Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Posted: 24 Aug 2011 05:00 PM PDT Selain lagu-lagu raya nyanyian P Ramlee, Saloma, dan Fazidah Joned, ada sekian banyak benda yang saya lihat – dan rasa – sekarang boleh membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak lebih setengah abad lalu. Kecuali 'Dendang Perantau', dan 'Selamat Hari Raya' yang kekal asli seperti zaman saya sekolah dulu, benda-benda lain sudah jauh berubah. Sekarang ada beratus lagu raya dinyanyikan oleh sekian banyak penyanyi baru. Saya tetap suka yang lama. Paling ketara yang berubah sekarang ialah kurma. Dulu-dulu orang kampung saya dapat lihat dan rasa kurma hanya ketika Ramadan. Sejak hari pertama puasa tauke Cina runcit di pekan mula menjerit: "Kuluma Alap mali punya!". Apa yang dimaksudkan ialah "kurma dari Arab." Kurma itu dalam guni, bukan sebiji-sebiji tetapi seketul-seketul, melekat antara satu dengan lain, macam kacang tempe. Kalau hendak ambil sebiji kena cungkil dengan sudu. Kalau keras sangat, kena tokek dengan parang. Oleh sebab dapat sekali setahun, dan sedikit pula, saya makan bukan main sedap, macam hendak telan dengan biji-biji! Hari ini di pasar raya dan kedai runcit, kurma ada setiap hari, sepanjang tahun. Bukan dalam guni, sebaliknya dibungkus begitu indah dalam bekas plastik atau kotak. Ada beraneka jenis kurma, sebiji-sebiji besar sedikit dari ibu jari. Malah ada kurma yang dijual masih dengan ranting dan tangkai, segar betul. Saya tidak pasti betul atau tidak 'kuluma' penyek di kedai Cina itu datang dari Arab sebab tidak ada tulisan di atas guni berkenaan. Tetapi kurma sekarang yang dibungkus begitu cantik dan kemas tidak semestinya dari negara Arab, sebab dinyatakan dengan jelas dari California. Mungkin ada yang datang dari rantau Israel. Berbeza juga ialah pelita minyak tanah. Malam tujuh likur kampung saya bergemerlapan dengan pelita minyak tanah. Semua buat sendiri dari tin susu atau tin sardin dengan sumbu tali guni. Minyak tanah – dari kedai Cina juga! – diisi dalam tin, nyala apinya kekal hingga ke subuh. Hari ini tidak ada pelita minyak tanah, semua guna neon warna-warni yang dipasang keliling rumah, atas bumbung, malah atas pokok. Tidak perlu susah-susah cari tin kosong atau sumbu, juga tidak perlu beli minyak tanah. Petik sahaja suis, semua lap-lip-lap-lip. Kalau ada yang membeli pelita minyak tanah betul di pasar raya pun belum tentu dapat dinyalakan, sebab bukan semua kedai menjual minyak tanah. Di KL membeli pil kuda atau kondom lebih mudah dari mendapatkan minyak tanah!. Dulu-dulu mercun bukan benda haram, tetapi sukar untuk mendapatkannya. Kalau nasib baik kedai yang menjual kurma dan minyak tanah itu juga menjual mercun. Mercun sebesar jari kelengkeng itu warna merah menyala. Dentumannya kuat, kami main berhati-hati sekali, dan tidak ada kecederaan. Hari ini mercun adalah barang larangan. Mereka yang mengedar, menjual, membeli dan membakar mercun dikira melanggar undang-undang yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda atau penjara atau keduanya sekali. Pelik, walaupun haram bahan peletup itu dijual secara terbuka di merata tempat. Pasar tani, pasar borong, pasar malam, bazar Ramadan dan kedai runcit semua menjual mercun. Siapa sahaja boleh membeli mercun, termasuk kanak-kanak bawah umur. Walaupun haram, mercun meletup setiap waktu, di mana sahaja, termasuk di kawasan kediaman polis. Tidak kira pagi atau tengah malam dentumannya amat memekakkan dan selalu mengganggu ketenteraman awam. Tetapi tidak ada siapa pun ditangkap kerana mercun. Oleh sebab mudah mendapat mercun, dan siapa sahaja boleh main, ternyata banyak mudarat daripada manfaat. Dulu-dulu jarang budak-budak cedera kerana mercun, sekarang setiap tahun ramai hilang jari sebab mercun. Setakat semalam tujuh kes hilang jari telah dilaporkan. Satu lagi perbezaan ketara, dulu-dulu ibu-ibu tidak kerja dan menyiapkan juadah berbuka untuk suami dan anak-anak. Mereka mengagihkan juadah kepada jiran, maka terjalinlah keakraban. Sekarang kebanyakan ibu bekerja dan beli makanan di bazar Ramadan. Tunjuk sahaja apa kata selera, bungkus dan bayar. Tidak ada untuk jiran, masing-masing hidup sendiri. Oleh sebab ada duit mereka beli apa sahaja makanan untuk berbuka, sehingga banyak tidak dimakan dan membazir. Malah ada yang mati sebab keracunan makanan di bazar Ramadan. Dulu setiap hari anak-anak makan air tangan emak, sekarang mereka lebih kerap telan air tangan mamak. Apakah itu punca anak-anak sekarang semakin liar dan kurang ajar?. |
Hadiah Syawal awal buat Rosmah Posted: 24 Aug 2011 05:00 PM PDT Dunia belum mahu kiamat tetapi setidak-tidaknya di Malaysia, sebilangan rakyatnya lebih mempercayai berita palsu dari berita yang datang daripada mulut pemiliknya. Begitulah sejak tersiar berita mengenai isteri Perdana Menteri memesan cincin bertatahkan berlian bernilai USD24 juta (RM74) dari New York, berita mengenainya lebih menarik dari krisis kewangan di Amerika Syarikat atau keganasan rejim Israel. Bukan sekadar satu kebetulan, setiap kali Datin Seri Rosmah Mansor muncul di khalayak umum, ramai yang tidak terlepas pandang cuba memerhati jari manisnya. Sesetengah yang diketahui rapat dengannya tanpa segan silu cuba juga bertanyakan punca berita itu. Pegawai-pegawai yang mengiringi Rosmah setiap kali wanita pertama itu turun padang turut terdengar bualan mengenai cincin berkenaan. Sejak berita mengenai cincin itu menjadi buah mulut, Rosmah tidak terpukul dengan cerita itu kerana beliau seperti berpegang kepada kata-kata "kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai." Cerita mengenai Rosmah, sejak Datuk Seri Najib Razak dilantik menggantikan Pak Lah sebagai Perdana Menteri ke-6, berlegar macam cerita hikayat 1001 malam. Dari cerita ia mempengaruhi Najib dalam hal-hal politik hingga membawa kepada cerita projek kesayangannya Permata Negara menelan perbelanjaan ratusan juta ringgit dan seluruh perbelanjaan itu dibiayai oleh kerajaan. Dan jika hal ini tidak cukup, kita tentu juga mendengar Rosmah mempunyai kuasa penentu dalam hal ehwal melantik jemaah menteri. Dalam kes Althantuya, Rosmah juga dipalitkan dengan tuduhan tidak senonoh seperti berada di tempat kematian model Mongolia itu. Namun bagi mereka yang menjaja cerita ini, ia tidak mati seperti keputusan mahkamah. Isu Altantuya terus dijadikan bahan kempen oleh pihak pembangkang bagi memastikan Najib tersungkur di gelanggang politik lebih awal dari membenarkan Najib bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Sebagai First Lady Rosmah dilihat berjaya mempamerkan bakat dan kemampuan dalam menggerakkan projek Permata Negara sebagai model kepada asas pembinaan generasi muda hari ini. Sebagai ibu, Rosmah tentu memahami bahawa melentur buluh biar dari rebung. Berdasarkan kebijaksanaan tradisional ini jugalah maka Rosmah mahu anak-anak pintar diberi ruang dalam satu kerangka seperti diberi kemudahan dalam proses pendidikan awalan. Program ini tidak menguntungkan anak-anak Rosmah ataupun cucu-cucunya, tetapi bagi generasi yang dibimbing, mereka merupakan insan terpilih dan daripada barisan anak-anak kecil ini, akan lahirlah pemimpin dan teknokrat negara yang lebih baik dan mampu menangani cabaran masa depan kelak. Rosmah bukanlah wanita pertama macam wanita-wanita pertama sebelumnya. Masa memperlihatkan wanita pertama dulu sekadar "pengiring" kepada suami yang menjalankan tugas Perdana Menteri. Sebenarnya sebagai isteri Perdana Menteri, Rosmah tidak perlu bertungkus-lumus untuk melakukan hal tersebut atau memerah minda untuk turut mengatakan sesuatu dalam sesuatu isu. Apatah lagi hal seperti ini hanya akan undang cemuhan awam, malah mungkin kalangan pemimpin Umno yang lain sendiri. Tetapi Rosmah memilih untuk meredah, the road less travelled. Jika golongan dikatakan itu membuat cemuhan disebabkan cemburu atau lain-lain, maka itu sudah diduga akan berlaku. Apa yang penting buatnya ialah kedudukan yang ada itu bukan untuk bersenang-lenang, tetapi bagi membantu orang lain. Publisiti luas diperolehnya menyebabkan banyak pihak tidak duduk senang. TV3 dan media pro kerajaan lain melihat Rosmah dari sudut "news value" dan kerana produk seperti itu boleh dijual, maka publisiti kepada Rosmah lebih besar berbanding sesetengah menteri Kabinet. Bukanlah menghairankan jika Rosmah dijadikan kambing hitam setiap kali terdapat usaha menjatuhkan Najib. Namun kesabaran juga ada had. Begitu juga Rosmah. Pada 29 Julai lalu, Rosmah dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris menafikan memesan berlian itu. Penafian Rosmah tidak bermakna pihak media membiarkan berita itu mati begitu saja dan di Jakarta, akhbar berpengaruh, Kompas pada 4 Ogos, menyiarkan berita yang sama. Rosmah sekali lagi berdepan dengan tuduhan yang sukar ditepis kerana tuduhan itu dibuat oleh sebuah media Indonesia yang berpengaruh. Untuk membawa pihak berkenaan ke muka pengadilan, ia bukan cara Najib dan juga bukanlah opsyen terbaik kerana kes berprofil tinggi lazimnya boleh menjejaskan karier politik seseorang. Justeru risikonya tidak berbaloi. Lagipun Najib dan Rosmah terlalu bijak untuk memakan umpan seperti itu. Kata orang, kebenaran tetap akan terbukti juga. Ibarat hadiah menjelang 1 Syawal, akhbar Indonesia Kompas melalui edisi 20 Ogos lepas secara terbuka memohon maaf kepada Najib, Rosmah dan keluarga berhubung berita 4 Ogos itu. Ketua Editornya Rikard Bagun seperti tersiar di halaman 10 - PM Najib Razak: Demokrasi juga jadi di Malaysia, disiarkan permohonan maaf itu. Kemudian penulis rencana itu Jimmy S Harianto menemui Najib di Putrajaya, mewawancara Perdana Menteri dan menyampaikan permohonan maaf bos dan medianya secara rasmi. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan