Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Cadangan debat @ polemik politik Posted: 22 Aug 2011 05:00 PM PDT Pilihan raya mungkin masih jauh, mungkin juga dekat. Cara gaya pihak kerajaan dan pembangkang bertingkah, membayangkan ia sudah agak dekat. Pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri, amat akrab dengan rakyat. Memang mungkin juga itu tiada kaitan, iaitu Datuk Seri Mohd Najib merupakan pemimpin yang rajin, bertenaga dan tidak mudah mengantuk. Itu adalah baik untuk rakyat. Pihak pembangkang juga, dengan pertolongan Datuk S Ambiga, amat giat mencari kelemahan perjalanan pengundian. Usaha membaiki perjalanan pilihan raya memang baik, cuma adalah diharapkan agar semuanya berjalan dengan cara yang tidak mengganggu kehidupan rakyat secara keseluruhannya. Telah berlangsung perhimpunan Bersih dengan baik dan bersesuaian dengan suasana ekposial Malaysia. (Menurut Dr Abu Hassan Hasbullah, ekposial ialah ekonomi, politik dan sosial). Penyokong Bersih tidaklah terlalu berlebih-lebihan, dan polis mengawal kesejahteraan rakyat juga berlaku adil dan baik hati terhadap penyokong Bersih. Segala kehebohan tentang perkara berkenaan adalah politikal, iatu masing-masing mahu mendapatkan political mileage. Kehendak perhimpunan tersebut telah dibincangkan, dan kita sedang melihat ada ura-ura perubahan akan berlaku. Amatlah negatif jika kita berbicara tentang pilihan raya berasaskan kelemahan pengundian. Jika segalanya buruk dan lemah, maka keseluruhan keputusan pilihan raya selama ini adalah cenderung silap. Kita selama ini memiliki kerajaan yang baik, dan kebaikan amat diakui secara langsung atau tidak langsung, apabila Pas sanggup berada dalam Barisan Nasional, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup jadi Timbalan Perdana Menteri. Peristiwa-peristiwa itu telah menjadi sejarah yang tidak boleh diubah, baik oleh sejarawan kanan, mahupun kiri. Tidak juga dapat ditolak oleh sejarawan sekular mahupun religius. Kita hendaklah menerima baik sistem pilihan raya kita, walaupun ada kelemahan. Ertinya, kita hendaklah usaha baiki kelemahan yang ada dengan semangat untuk beri faedah maksimum kepada rakyat, bukan memuaskan nafsu pemimpin, baik kerajaan atau pemimpin pembangkang. Apabila rakyat undi calon yang disukainya, maka tugas pemimpin ialah untuk berbakti kepada rakyat. Itu asas demokrasi. Keadaan politik kita kini dapat dibandingkan dengan kerbau dahaga. Kerbau itu meluru mendapatkan air di mana-mana tempat berlopak, di kubang, atau di parit, tidak kira air itu bersih atau sebaliknya. Demikianlah tokoh dan parti politik. Perkara yang difikirkan ialah kemenangan, dan strategi untuk itu tidak menghiraukan kebenaran. Kesimpulan ini mungkin tidak tepat, tetapi perbincangan di kalangan rakyat pada masa ini bersifat demikian. Isi pidato dan tulisan yang mengarah pada hal ehwal pilihan raya yang kita dengari dan baca pada masa-masa terakhir ini tebal dengan tuduh-menuduh pihak lawan, diselang-seli dengan puji diri. Kadangkala isi yang bersifat puji diri melebihi tuduh-menuduh. Rakyat tidak begitu mudah memikirkan kebenarannya, kerana dalam bidang retorik, perkara yang tidak betul dapat menjadi betul oleh kecekapan bicara sehala. Tidak besar jumlah rakyat yang sedar, bahawa keahlian dalam bidang pidato dan penulisan akan beri ruang untuk si pemidato dan penulis berbohong. Menyedari hakikat di atas, saya ingin cadangkan agar debat politik diadakan. Jika itu sukar dilaksanakan, maka cadangan saya ialah polemik politik. Polemik politik ialah bicara politik secara berjawab-jawapan, misalnya tentang naik turun harga minyak, tentang gaji minimum, tentang negara kebajikan, dan banyak lagi hal yang berkaitan denagan kehidupan rakyat. Polemik ini akan menyebabkan pembaca (rakyat) dapat memahami corak pemikiran dua pihak tanpa kecaman. Debat politik dan polemik politik juga akan dapat memperjelas makna 1Malaysia, transformasi, reformasi, ketuanan rakyat, anugerah Tuhan, dan sederet lagi ungkapan yang dikemukakan ahli politik, baik secara spontan, mahupun direncanakan. Rakyat perlu fahami arah tuju negara yang berada dalam fikiran pemimpin. Seterusnya, rakyat juga perlu tahu masihkah lagi pemerintah impikan Islam hadhari dan mentaliti kelas dunia. | |
Mencari publisiti atau dipolitikkan Posted: 22 Aug 2011 05:00 PM PDT Istilah dipolitikkan semakin lumrah disebut-sebut pada bibir rakyat sehingga ramai dalam kalangan kita samar-samar tentang pengertiannya. Apakah sebarang isu atau kejadian yang ditangani oleh orang politik boleh disifatkan sedemikian? Jika benar, memang terdapat banyak isu melibatkan campur tangan orang politik yang boleh diletakkan dalam kategori dimaksudkan. Bagi rakyat Malaysia berbilang kaum, meminta bantuan bahkan penyelesaian daripada orang politik, khususnya wakil rakyat dari parti pemerintah atau pembangkang, menjadi suatu kebiasaan saban hari. Mereka mengharapkan agar isu atau kejadian yang menimpa dapat diberikan perhatian dan seterusnya diselesaikan oleh pihak berkenaan melalui usaha wakil rakyat atau orang politik tertentu. Orang politik pula guna kesempatan itu untuk hebahkan isu yang diketengahkan melalui media supaya menarik perhatian umum, termasuk juga pihak berkuasa. Namun demikian, kita tetap meragui apakah isu-isu itu benar-benar disusuli secara tuntas yang akhirnya membawa kepada penyelesaian dan keadilan yang dimahukan? Ataupun tindakan orang politik yang menangani isu-isu itu sekadar mencari publisiti murahan semata-mata? Publisiti dimaksudkan banyak yang berniat mengejar populariti peribadi; tetapi tidak kurang juga bermotifkan kepentingan politik sesebuah parti. Amalan sedemikian sebenarnya merentasi kaum, agama dan fahaman politik. Oleh demikian, tidak ada maknanya apabila terdapat mana-mana pihak menuding jari kepada pihak lawan dengan tuduhan bahawa sesuatu isu atau kejadian itu dipolitikkan. Mustahak bagi rakyat adalah kesungguhan dan keikhlasan pemimpin politik untuk mencari penyelesaian. Sebarang dakyah politik untuk mencari populariti peribadi atau pengaruh parti sudah tentu akan ditolak sekiranya didapati berupa tin kosong. Kepada pihak berkuasa yang sentiasa terkilan atas adanya isu-isu atau kelemahan-kelemahan pentadbiran yang dipolitikkan oleh pihak lawan, nescaya menuding jari bukanlah penyelesaiannya. Sebaliknya, sikap proaktif untuk mengatasi kelemahan atau menyelesaikan masalah lebih berkesan dalam menyentuh hati rakyat. Bagaimanapun malang sekali, ketika ini masih kelihatan sindrom penafian (denial syndrome) setiap kali tercetusnya isu yang menggores perasaan rakyat. Dalam keadaan ini, sudah tentu orang politik, tidak semestinya terhad kepada ahli pembangkang, akan mengeksploitasi peluang untuk cari publisiti dengan gembar-gemburkan isu berkenaan. Amalan seperti ini pasti akan disifatkan sebagai dipolitikkan. Justeru, pihak berkuasa kini punya alasan untuk mewajarkan keberatan mereka dalam menyelesaikan masalah timbul kerana mereka pantang kelihatan tunduk kepada teguran dan kritikan. Tindakbalas demikian hanya akan menyemarakkan lagi kemarahan rakyat terhadap parti pemerintah kerana masalah akan berkekalan tanpa penyelesaian. Dalam perspektif perhitungan politik kepartian, perkembangan seperti ini hanya akan menguntungkan pihak pembangkang kerana isu yang menjadi kemelut itu akan terus memberikan mereka modal politik yang subur dalam pertarungan politik kepartian. Dari sudut kepentingan rakyat pula, kalaulah maruah atau kewibawaan pihak berkuasa yang dijadikan perhitungan pokok apabila berdepan dengan sesuatu isu kontroversi, keberatan atau kelembapan untuk mencari penyelesaian sudah tentu akan mendatangkan akibat lebih parah dalam menjejaskan kewibawaan pihak berkuasa. Dalam negara kita, masih terdapat banyak gejala lapuk namun ia tetap subur. Senario ini wujud bukan kerana warga kita kekurangan akal untuk mencari jalan keluar bagi kemelut itu, tetapi berpunca daripada sikap angkuh dan takuk minda jumud dalam kalangan sesetengah pemimpin politik dan pentadbiran awam yang berkuasa dalam membuat keputusan. Mengikut logik sejagat, sesuatu masalah itu tetap masalah, tidak mengenali benteng perkauman dan agama.Jika dibiarkan menular dalam sesebuah masyarakat majmuk tanpa dibendung, kesan tempiasnya juga akan turut dirasai kaum-kaum lain. Oleh yang demikian, tidaklah wajar sebarang masalah dalam masyarakat kita ditangani mengikut prejudis kaum atau agama. Pendekatan sedemikian hanya akan merugikan negara dan kesannya tidaklah terhad kepada sesuatu pihak saja. ***Penulis ialah Ahli Parlimen Pandan, bekas Presiden MCA. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan