Jumaat, 12 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Isu murtad: Pas pilih Jais atau DAP?

Posted: 11 Aug 2011 05:00 PM PDT

Sekali lagi Pas berada di persimpangan, sama ada berpaksi kepada perjuangan 'amal makruf nahi mungkar' atau tunduk saja kepada DAP atas dasar setia kawan dalam pakatan politik untuk memenangi pilihan raya.

Kemelut Pas berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan pemeriksaan di gereja, dipercayai cuba memurtadkan orang Islam minggu lalu, membuka pekung di dada. Rakyat, termasuk penyokong Pas sendiri mahu melihat yang mana menjadi pilihan parti bernama Islam ini.

Andainya Pas memilih dasar perjuangannya mendaulatkan Islam, mereka mesti menyokong tindakan Jais, yang bertindak atas laporan awam dan bahan bukti. Mesti berdiri tegak di belakang Datuk Dr Hasan Ali, Exco Hal Ehwal Agama Islam di Selangor, yang mempertahankan tindakan Jais mahu menyelamatkan akidah 12 Muslimin.

Setakat ini, ramai penyokong Pas, NGO dan pertubuhan Islam, menzahirkan sokongan terhadap tindakan Jais. Namun, Pas bersikap dingin dan melahirkan hasrat untuk mendapat maklumat lanjut daripada pihak gereja dan Jais sendiri. Ini sangat bertentangan dengan tarbiah Pas kepada penyokongnya untuk tidak berkompromi dalam soal perjuangan hak Islam.

Kenapa kepimpinan Pas bagaikan burung kasawari membenam kepala di dalam lubang tanah dalam soal ini? Takut menyinggung perasaan penganut Kristian dan DAP? Apakah Pas tidak percaya dengan Hasan atau meragui kesahihan maklumat diperoleh Jais? Apa pula kuasa Pas untuk mengarah sebuah agensi kerajaan negeri untuk beri maklumat kepadanya? Mahukah sebuah gereja Kristian disoal selidik oleh parti Pas?

Lebih teruk, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sudah pun memohon maaf kepada pihak gereja atas tindakan Jais, walaupun belum dapat laporan lengkap kedudukan sebenar. Ini seolah-olah Jais sudah bersalah. Nampaknya Menteri Besar sudah hilang kepercayaan kepada Exco dan jabatan agamanya sendiri. Kini, beliau dilaporkan mahu mendapat nasihat Sultan Selangor pula. Nasihat terbaik untuk Khalid ialah siapa korek lubang, dialah yang timbus.

Ramai ketahui Exco paling berpengaruh di Selangor ialah yang dipegang pemimpin DAP. Selain Hasan, Pas hanya ada dua wakil dalam kerajaan negeri, dianggap lemah dan junior. Sejak 2008, banyak isu berkaitan Islam dan Muslimin yang diperjuangkan Pas ditentukan oleh DAP. Ini termasuk konsert rock terbesar di Shah Alam, penjualan arak dan premis rumah urut, penggajian orang Islam di premis jual arak, serta pembukaan ladang babi terbesar di Malaysia. Exco-Exco DAP bukan Islam ada pengaruh besar ke atas Menteri Besar, melebihi Exco-Exco Pas Islam.

Pas sudah tersepit dengan konsep tahaluf siyasinya kerana mahu terus berdamping dengan DAP bagi memperoleh kuasa, ia menjadi pengecut dan tidak berani lagi mempertahankan prinsip Islam. Sudahlah dasar perjuangannya selama ini – negara Islam, hudud – sudah dibuang, pemimpinnya sendiri dikritik hebat kerana melaksanakan tanggungjawab. Semuanya gara-gara takut kepada DAP.

Saya cuma terbayang, andai Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) juga mendapat laporan sahih berlaku usaha memurtadkan orang Islam di sebuah gereja di Alor Setar, tidakkah Jaik pergi menyiasat? Atau kena tunggu arahan DAP dulu? Jika pemeriksaan dibuat, adakah Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak kena mohon maaf juga?

Hasan kini diarah tutup mulut oleh Menteri Besar. Karpal Singh kata Hasan sudah 'melampaui batas'. Lim Kit Siang tegur Hasan supaya 'ikut garisan' dan jadi 'pemain pasukan'. Pemimpin Pas Selangor juga kritik Hasan. Ada yang tuduh beliau ejen UMNO, cuba sabotaj hubungan Pas-DAP. Hasan kata dia sedia dipecat kesemua jawatan dalam kerajaan mahupun parti. Sebelum ini, beliau sudah dipecat sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor selepas gagal pertahan Naib Presiden dalam muktamar ke-57.

Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang berkata, keputusan selepas Raya Puasa. Andai Hasan dipecat sebagai Exco menjelang Aidiladha nanti, bermakna ada pemimpin Pas Selangor dan DAP yang akan berhari raya awal – dengan Hasan sebagai korban kambing hitamnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Zuckerberg tak puasa, ada ‘pahala’

Posted: 11 Aug 2011 05:00 PM PDT

Saya yakin Mark Zuckerberg tidak berpuasa hari ini. Namun Sabtu lalu, dia cukup berjasa kepada saya dan kawan-kawan kerana mengatur majlis buka puasa kami. Saya, Gayat, Mail, Taufik, Mie Pakcik Bulan, Bad, Izwan dan Fino Hero Remaja berbuka bersama dalam pertemuan pertama sejak habis sekolah pada 1988.

Majlis itu jadi kenyataan setelah diatur menerusi Facebook yang diasaskan Zuckerberg. Malah dengan Mail, saya tidak pernah jumpa sejak dia meninggalkan Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) selepas SRP 1986.

Itu untuk kami. Di seluruh dunia, entah berapa ribu lagi pertemuan serupa diatur oleh Zuckerberg terutama pada minggu Aidilfitri akan datang. Pertemuan itu amat sukar malah mustahil diatur tanpa Facebook.

Selepas lebih 20 tahun, reunion sudah tentu amat mengujakan. Mulut bergerak sama pantas mengimbas kenangan sambil mengunyah dan menelan. Apa lagi, sesi pengkisahan di De Palma, Shah Alam itu diiringi live show oleh Jay Jay, yang menguatkan lagi ingatan pada zaman sekolah kami.

Saya mengingatkan Mail akan peristiwa petang bulan puasa 1986 apabila kami sama-sama terperangkap di dalam tandas asrama pada waktu berbuka gara-gara pulang lewat dari membeli juadah.

Pada petang malang itu, kami terleka merayau dan apabila sampai di asrama, rupa-rupanya Pengetua, Pak Kassim sudah pun menunggu di dewan makan.

Demi menyelamatkan diri, saya dan Mail terpaksa bersembunyi di dalam tandas. Tidak terbayang oleh saya betapa syahdunya hati mendengar azan. Hendak sumbat juadah yang sudah di tangan, rasa tidak tertelan memandangkan persekitaran di mana saya berada amatlah memualkan.

Itulah antara kenangan yang sempat diimbau malam Sabtu lalu, yang sudah pasti perlu disusuli dengan pertemuan yang lain selepas ini. Dan sudah tentu, khidmat Facebook masih amat diperlukan!

Seperti tulisan saya minggu lalu, bulan puasa akan lebih mengingatkan kita pada zaman kanak-kanak dan remaja. Bagaimana pekatnya air liur kita pada siang hari puasa, begitulah juga pekatnya ingatan pada masa silam.

Masih teringat akan meriahnya malam terawih tatkala mengikut ayah ke surau. Bermain dan bergurau senda dengan rakan-rakan hingga sering mengundang kemarahan orang dewasa. Namun marah mereka tidaklah lama, apabila tiba waktu moreh, dipanggilnya kami dengan mesra, malah didahulukan giliran mengambil makanan.

Saya masih ingat, saat paling mengujakan terawih pada zaman kanak-kanak ialah tatkala menyahut selawat oleh bilal. Ketika itulah suara dikuatkan meskipun sebutannya lintang pukang. Habis terawih, tiba giliran untuk bermain tabuh pula. Ada irama tertentu yang dimainkan untuk memeriahkan suasana malam Ramadan zaman itu.

Apabila usia menginjak remaja, lain pula caranya kami meraikan bulan puasa. Saya dan rakan sebaya sering berebut mikrofon untuk memanfaatkan suara yang sudah 'berubah' dengan selawat, azan atau apa sahaja bacaan asal suara kami sampai ke seluruh kampung. Meskipun nampak baik lagi soleh, namun hakikatnya dalam hati tidak ikhlas, sekadar mahu mengundang perhatian anak-anak dara yang jadi idaman. Di sekolah esoknya, dibayang-bayangkan bahawa "sayalah yang azan semalam."

Berhijrah dari kampung dan tinggal di asrama, berlaku kejutan budaya. Di sekolah saya, tidak ada pelajar perempuan melainkan hanya Tingkatan Enam. Sebelum ada surau besar, semua pelajar asrama KSAH bersolat terawih di dewan perhimpunan.

Apa yang saya masih ingat, ketika di Tingkatan Dua, saya sering masuk saf paling belakang. Sebabnya, di belakang saf yang belakang itu, saf pelajar perempuan.

Sementara bilal berselawat, saya dan kawan-kawan sengaja menghulurkan jari ke belakang tirai, kononnya terbabas. Pernah jari saya dipukul. Dan esoknya, jari yang sama - kali ini berbalut plaster luka - pula dihulur ke sebelah sana. Aduhai ...

Ya, sudah tentu jasa Zuckerberg diperlukan lagi untuk mengimbas memori itu pada reunion akan datang!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved