Isnin, 1 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Memahami politik rimba, bebal

Posted: 31 Jul 2011 05:00 PM PDT

Sebut sahaja nama Ibrahim Ali pada pandangan ultra kiasu seolah-olah sedikit pun tidak ada kebaikan pada dirinya. Begitu juga segelintir kalangan umat Islam, semuanya buruk belaka. Bila ditanya pula kepada golongan ultra ini akan pandangan mereka terhadap kenyataan-kenyataan rasis pemimpin parti politik perkauman dan NGO seperti Dong Zong, Jiao Zong, Dong Lian dan Dong Jiao Zong, termasuk beberapa Dong lagi, semuanya baik belaka. Mereka dinobatkan sebagai wira.

Marilah kita membuat senarai semakan, berapa banyak kebaikan dan keburukan Ibrahim. Saya yakin kita akan terjumpa juga dengan beberapa kebaikannya. Ibrahim yang saya kenali memang seorang yang lantang memperjuangkan nasib Melayu (Islam) sehingga dicap sebagai rasis. Tidakkah kita terfikir, kadangkala perlu ada juga orang yang lantang seperti ini sebagai reaksi kepada pertubuhan ekstrem atau ultra yang lain. Bangsa lain lantang dikatakan hak, orang Melayu lantang dikatakan rasis.

Saya yakin Ibrahim tidak akan menindas dan menganiaya orang bukan Islam jika ditakdirkan mempunyai kesempatan memegang kuasa. Islam tidak membenarkannya. Apa yang jelas, beliau bukan penzina (peliwat), penjudi, peminum arak dan tidak melakukan dosa besar. Berbanding dengan pemimpin ultra lain, yang sudah jelas terlibat melakukan dosa besar, tidak pula dibesar-besarkan peribadinya, malah dianggap sebagai orang berjasa.

Pada mereka latar belakang seseorang tidak penting, yang penting hak-hak bangsa mesti dipertahankan. Inilah cara ultra kiasu berfikir.

Ketika Ibrahim menawarkan anugerah kepimpinan oleh Perkasa kepada UiTM, saya berada bersama beliau sebagai panel dalam majlis forum tersebut. Pegawai atasan akademik dan pentadbiran UiTM bertepuk tangan dengan pengumuman anugerah tersebut, seolah-olah menerima sebagai tanda setuju. Saya tidak dengar Ibrahim menamakan anugerah tersebut atas namanya.

Saya fikir tawaran itu tidak salah. Selaku rakyat Malaysia, Ibrahim berhak berbuat demikian. Naif sangat kita jika menolak sumbangan seseorang hanya kerana namanya tidak enak didengar, kecuali hasil daripada pendapatan haram.

Pada hemat saya, kesilapan UiTM adalah dengan memberikan nama anugerah tersebut atas nama Ibrahim, yang pada perkiraan saya agak tidak wajar nama beliau ditonjolkan dan mungkin Ibrahim pun tidak setuju, walaupun wang itu datang daripada poketnya. Isu ini mungkin tidak akan menjadi sensasi jika anugerah tersebut dinamakan Anugerah Kepimpinan Terbaik dan disenyapkan nama Ibrahim Ali dan Perkasa.

Memelikkan saya, kenapa batang tubuh seseorang itu yang menjadi sasaran. Banyak juga anugerah ditaja syarikat judi, arak dan sebagainya, kenapa kita tidak tolak dan cemuh anugerah tersebut?.

Ada yang mencadangkan nama-nama seperti Arsyad Ayub, Ani Arope, Ishak Mohamad, Awang Had Salleh, dijadikan anugerah. Saya tidak menolak nama dan tokoh tersebut, kerana mereka memang wajar untuk didendangkan kewiraannya. Jika kita bertindak waras, senyapkan nama Ibrahim atau Perkasa, letakkan nama-nama tokoh besar tersebut. Kenapa tidak dibawa berbincang sehingga menyebabkan kawan makan kawan, kawan jadi lawan?

Adakah anugerah-anugerah seperti ini tidak terdapat di Kolej New Era, Kolej Tunku Abdul Rahman, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Terbuka Wawasan dan universiti-universiti yang dipunyai oleh kaum-kaum tertentu? Berapa banyak nama Lim Lian Geok dinobatkan? Adakah perjuangan parti-parti politik dan NGO perkauman yang saya sebut ini tidak rasis? Ini cara pemikiran yang sukar untuk negara berkembang maju.

Di negara-negara Barat, anugerah-anugerah yang diambil berasaskan kepada nama-nama mereka yang memberi sumbangan adalah perkara biasa. Misalnya, Presiden Bush, Hitler, dan sebagainya. Jika kita mengambil batang tubuh mereka, tidak layak dinobat sebagai wira. Apakah kita boleh memaafkan Bush yang telah membunuh ramai umat Islam melalui arahannya semasa menjadi presiden Amerika? Begitu dengan Hitler, Mao Tse Tung, Shih Huang Ti dan sebagainya. Nama-nama ini tetap disanjung dan tidak kurang anugerah diberikan atas nama mereka. Kenapa kita tidak mengutuk?

Menyerang batang tubuh seseorang adalah perbuatan yang keji dan tidak sepatutnya berlaku. Apabila orang Melayu menuntut hak mereka, dituduh sebagai rasis. Tetapi apabila kaum lain menuntut hak mereka secara ekstrem, maka itu dikatakan hak atau merit untuk mendapatkan keadilan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Negara dalam keadaan darurat

Posted: 31 Jul 2011 05:00 PM PDT

Tahukah anda pada ketika ini, negara kita berada dalam keadaan darurat? Jangan terperanjat, ini diakui sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen.

Beliau menyatakan, terdapat dua Perisytiharan Darurat iaitu pada 1964 dan 1969 yang berkuat kuasa di seluruh negara dan masih belum ditamatkan.

Menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, jika YDPA berpuas hati bahawa suatu darurat besar yang sedang berlaku dan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam dalam negara adalah terancam oleh kerananya, maka baginda boleh mengeluarkan suatu Perisytiharan Darurat.

Apabila Perisytiharan Darurat diumumkan, YDPA boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan. Maknanya, undang-undang (yang dikenali sebagai 'ordinan darurat') boleh digubal tanpa perlu diluluskan oleh Parlimen dan undang-undang ini akan mempunyai kesan seperti sebuah Akta Parlimen sehinggalah ia dibatalkan atau dimansuhkan.

Lebih penting lagi, apa-apa ordinan darurat yang dimasyhurkan adalah sah walaupun ia tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan, melainkan percanggahan itu adalah berkenaan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa. Oleh itu, suatu ordinan darurat boleh menggantung kebebasan dan hak asasi kita yang termaktub dalam Perlembagaan dan ia adalah sah.

Contoh ordinan darurat yang telah dimasyhurkan ialah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 yang sering kali digunakan untuk menahan seseorang tanpa bicara.

Seksyen 3 ordinan tersebut memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan tanpa bicara seseorang atas dasar mencegah ancaman terhadap ketenteraman awam atau jenayah melibatkan keganasan selama tidak lebih dari 60 hari. Ini dipanggil 'penahanan polis'. Manakala Seksyen 4 ordinan tersebut pula memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan perintah bagi menahan seseorang tanpa bicara untuk suatu tempoh yang tidak melebihi dua tahun. Ini dipanggil 'Perintah Tahanan'. Perintah Tahanan ini boleh diperbaharui berkali-kali tanpa had.

Jika dilihat, kuasa-kuasa diberikan kepada polis dan Menteri Dalam Negeri di bawah ordinan tersebut adalah sama dengan yang diberikan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Kedua-duanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menahan seseorang itu tanpa bicara.

Tahanan selalunya akan memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah untuk mendapatkan perintah bahawa penahanan mereka tidak mengikut undang-undang (unlawful detention). Sekiranya penahanan itu hanya penahanan polis di bawah Seksyen 3, masih ada peluang untuk berjaya kerana pihak polis harus memberi justifikasi objektif mengapa mereka menahan.

Tetapi, sekiranya ia adalah Perintah Tahanan di bawah Seksyen 4, menteri tidak perlu memberi justifikasi, sudah cukup beliau berpuas hati terdapat sebab-sebab untuk menahan dan Mahkamah tidak akan mempersoalkan sebab-sebab tersebut.

Di samping itu, Seksyen 7C ordinan tersebut menyatakan Mahkamah tidak boleh mempersoalkan atau menyemak semula bidang kuasa menteri kecuali terdapat kekhilafan dari segi prosedur, contohnya jika Perintah Tahanan tidak ditandatangani.

Oleh sebab itu, peguam yang mewakili tahanan akan sentiasa memohon supaya bicara permohonan habeas corpus dipercepatkan sebelum Perintah Tahanan dikeluarkan oleh menteri. Secara jujur, adalah mustahil untuk mana-mana pihak memberi justifikasi mengapa negara ini masih berada di bawah keadaan darurat. Tidak ada perintah berkurung, tidak ada keadaan berbahaya, tidak ada apa-apa mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam. British telah lama pulang, komunis militan tidak lagi berjuang dan kita tidak berperang dengan mana-mana negara.

Maka, keadaan darurat yang membelenggu negara ini sewajarnya ditamatkan dengan serta-merta. Jika tidak, bagaimana hendak terangkan kepada dunia bahawa negara Truly Asia ini masih berada dalam darurat yang berdekad lamanya?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved