Ahad, 31 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Belum puasa sudah beraya!

Posted: 30 Jul 2011 05:00 PM PDT

Tidak kira anak bulan Ramadan kelihatan atau tidak petang ini, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam, khasnya kepada pengikut setia ruangan ini.

Di Kuala Lumpur jemputan untuk berbuka puasa telah diterima seawal seminggu sebelum tarikh melihat anak bulan. Anak bulan masih dalam perut ibunya, orang sudah berebut-rebut untuk berbuka puasa.

Seorang Tan Sri menjemput saya dan isteri untuk berbuka puasa di kediaman beliau di Jalan U Thant, satu kawasan perumahan mewah di pinggir bandar, pada 18 Ogos, Khamis malam Jumaat.

Undangan juga diterima daripada beberapa syarikat besar. Turut awal mengundang berbuka puasa ialah beberapa kementerian, yang dihantar oleh Bahagian Perhubungan Awam menerusi faks atau e-mel, dengan pesanan: "Masukkan undangan ini dalam diari tuan!"

Demikianlah, orang KL berebut-rebut menjemput berbuka puasa, walaupun anak bulan Ramadan masih belum kelihatan. Apakah ini tanda kemewahan? Atau, pertanda awal pembaziran?

* LEBIH menarik lagi ialah tawaran-tawaran hari raya yang mendahului waktu. Permulaan puasa belum ditetapkan – Syawal masih jauh! – kempen membeli belah Aidilfitri telah bermula.

Kotak pos di rumah diasak beraneka risalah dari pasar raya dan pusat beli-belah, menawarkan berbagai potongan harga pembelian menyambut hari besar itu. Sama ada anda hendak membeli keperluan membuat kuih-muih, kain langsir, perkakas rumah, hatta perkhidmatan mencuci permaidani atau mengecat rumah, semuanya ditawarkan pada harga istimewa. Hubungi sahaja nombor telefon disertakan, semuanya tanggung beres.

Seminggu sebelum puasa, iklan-iklan jualan istimewa hari raya juga sudah mula disiarkan baik menerusi akhbar atau radio dan TV. Tawaran potongan harga hingga 80 peratus .

Pusat-pusat beli-belah sudah menggantung replika ketupat warna kuning dan hijau, dan lemang di premis masing-masing. Malah, hotel-hotel besar mengiklankan tawaran mengadakan rumah terbuka, sama hebat dengan juadah berbuka.

Pendek kata Ramadan dan Aidilfitri diiklankan seolah-olah ingin menimbulkan persepsi bahawa puasa dan raya ada acara makan-makan dan berbelanja besar untuk umat Islam.

Mengapa tidak ada iklan atau risalah yang mengajak umat Islam mengimarahkan masjid dan surau pada bulan al-Mubarak ini? Mengapa yang ditonjolkan hanya makanan dan bermewah-mewah, tetapi tidak ada kempen besar-besaran meningkatkan ibadat pada bulan besar itu?

Atau, apakah orang kita memang megahkan makanan dan kemewahan kebendaan, berbanding meningkatkan ibadah?

* SEPERTI biasa kita akan mendengar lagu-lagu lama setiap kali menjelang raya. Pihak berkuasa agama meminta hotel-hotel memohon sijil dan logo 'halal' sekiranya hendak menawarkan pakej buka puasa.

Banyak hotel, termasuk berstatus lima bintang, tidak mengendahkan arahan Jakim supaya mendapatkan logo dan sijil penting itu. Bagi mereka tidak ada tanda halal pun orang penuh juga makan di situ.

Sebenarnya soal halal atau tidak bukan masalah pihak berkuasa agama, tetapi masalah pengguna. Kalau pelanggan sendiri tidak mengendahkan hukum agama, siapa pun tidak boleh membantu.

Bayangkan setelah letih dan dahaga berpuasa sepanjang hari, kita berbuka di hotel yang tidak disahkan halal. Tidak payah ditanya apa hukumnya berpuasa dengan berbuka juadah tidak halal. Fikir sendiri!

Setiap kali raya kita kurang bekalan daging dan ayam. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberi jaminan bekalan mencukupi.

Katanya, negara dijangka memerlukan tambahan 340,000 ekor sehari bagi menampung keperluan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini. "Kita akan pastikan bekalan mencukupi, harga tidak naik," katanya. Mudah-mudahan apa yang dikata, akan dikota!

* AKHIR kalam, walaupun dengan sokongan dan semangat berkobar beribu penonton, Harimau gagal menewaskan Singa di Bukit Jalil, Khamis lalu. Maka pasukan bola sepak negara pun tersingkir untuk pusingan awal Piala Dunia.

Kita terus dilanda kemarau dan terpaksa menunggu untuk kelayakan perlawanan paling berprestij itu yang akan diadakan di Rusia 2018. Ada tujuh tahun lagi untuk Harimau kita menajamkan taring, dan menguatkan ngauman!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Memahami makna karya kreatif

Posted: 30 Jul 2011 05:00 PM PDT

Tidak semua orang berkeupayaan menghasilkan karya kreatif. Daripada 1,000 kita mungkin menemukan seorang sahaja yang berbakat menghasilkan novel, skrip drama, sajak atau cerpen. Dalam kuliah penulisan kreatif, saya mendapati antara 20 pelajar, hanya seorang dua yang dapat memahami konsep karya kreatif secara dalaman. Selebihnya berpendapat, penciptaan karya kreatif sama seperti kerja memasak bihun atau nasi lemak.

Sebenarnya, orang memasak makanan (bertukang dan lain-lain) akan menghasilkan sesuatu yang tetap, tepat seperti yang dirancang. Karya kreatif berbeza daripada itu semua. Sesebuah novel oleh seseorang pengarang, berbeza daripada novel orang lain.

Novel Anwar Ridhwan dan skrip drama Zakaria Ariffin ada ciri khas keperibadian mereka. Jika kita memikirkan novel-novel karya pengarang terkenal Malaysia, dengan menyenaraikan A Samad said, Shahnon Ahmad, Arenawati dan banyak lagi, kita akan menemukan kaedah penciptaan yang pelbagai. Demikian jugalah skrip drama Usman Awang, Noordin Hassan, Syed Alwi, Ismail Kassan dan beberapa lagi. Kesemuanya mempunyai ciri-ciri khusus kepengarangan mereka. Apabila kita memasuki bidang puisi, kita akan mendapati alangkah berbezanya karya Muhammad Haji Salleh berbanding karya Latiff Mohidin. Karya Zurinah Hassan juga amat berbeza daripada karya Marsli N.O dan Siti Zainon Ismail.

Karya kreatif yang berbentuk fiksyen selalu disamakan dengan cerita. Novel ialah cerita, demikian juga cerpen dan skrip drama. Jika kita menonton filem (wayang gambar), kita akan tertumpu pada cerita juga. Oleh itu, dapat kita simpulkan, selain penyair, pengarang karya kreatif ialah pencerita.

Apakah makna karya kreatif? Jika kita fikirkan cerita, kita akan mengatakan bahawa pengarang kreatif menghasilkan kisah tidak berlaku. Bersandarkan hal ini, Lim Teck Leong, mantan Pensyarah Kesusasteraan Inggeris di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, secara bergurau mengatakan pencerita ialah pembohong. Saya membahaskan kenyataan tersebut, dengan mengatakan bahawa story telling ialah satu bidang. Apabila kita berada dalam satu bidang, kita tidak bolehlah mengatakan bidang kita itu bidang untuk berbohong.

Penghasilan karya kreatif memerlukan kemahiran. Sesebuah novel yang tebal masih dapat mengawal perwatakan, misalnya jika watak itu mempunyai ciri panas baran, atau intelektual, atau penakut, perwatakan itu dapat dikekalkan, dan jika dia dinamik, perubahannya dapat disandarkan pada sesuatu peristiwa. Watak yang dinamik akan berubah apabila berlaku sesuatu yang menyebabkan munculnya kemarahan, kejutan, keinsafan dan sebagainya.

Perwatakan, plot dan peristiwa-peristiwa yang berupa episod dalam sesebuah karya kreatif, adalah rekaan pengarang. Kebolehan mencipta kesemua itulah yang menyebabkan karya tersebut dinamakan karya kreatif. Laporan berita, penulisan sejarah dan lain-lain tidak disebut karya kreatif, kerana tumpuan pengarang ialah perkara yang sedia ada. Di situlah letaknya perbezaan asas antara penulisan kreatif dan penulisan karya nonkreatif.

Kebolehan pengarang kreatif terletak pada daya kreativitinya. Peniruan isi, plot dan gaya ialah musuh kreativiti. Ertinya, pengarang kreatif yang tulen tidak ada kecenderungan meniru. Memang terdapat unsur-unsur tertentu yang masuk ke dalam karya seseorang melalui pengaruh yang tidak disedarinya, tetapi itu tidak dapat dielakkan. Analoginya begini: Kita bercakap sekarang pun hasil pengaruh percakapan orang lain juga. Namun, kita bercakap dengan berasaskan keperibadian kita. Jadi, kita tidak meniru.

Untuk menjadi pengarang karya kreatif, seseorang penulis perlu mendapatkan ilmu yang cukup - memahami psikologi, sosiologi dan ilmu sejarah untuk melukiskan watak-watak setepat-tepatnya. Seterusnya memperkukuh bahasa kreatif dengan keupayaan menghasilkan metafora, personifikasi, enumerasia dan lain-lain.

Akhir kata, jika anda berbakat menghasilkan karya kreatif, laksanakanlah, jangan biarkan bakat anda terpendam dan terus padam.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved