Isnin, 18 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Permainan licik ultra kiasu

Posted: 17 Jul 2011 05:00 PM PDT

Isu ahli politik ultra kiasu berhujah menggunakan al-Quran dan Hadis bergema lagi. Malah kali ini lebih hebat. Ia dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Saya tidak nampak keperluan menggunakan hujah tersebut, kerana golongan ini sejak dari dahulu lagi lebih obses dengan hujah-hujah daripada sumber bangsanya sendiri dan Barat. Tetapi kenapa sejak akhir-akhir ini Quran dan Hadis menjadi mainan bibir?

Saya harap umat Islam tidak terperangkap dengan taktik begini. Jika tertarik dengan Islam, sudah lama mereka memeluk Islam atau bersetuju dengan suruhan dan larangan Islam, yang juga ajaran agama mereka.

Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu dan Islam, paling tidak pun, tidak segan silu untuk memakai baju Melayu dan songkok ketika pembukaan DUN atau Parlimen sebagai tanda penghormatan dan penerimaan Islam sebagai agama persekutuan serta orang Melayu Islam sebagai bangsa majoriti. Ini tidak, mereka akan mencari seribu satu alasan untuk mengelak.

Tujuan ultra kiasu tidak lain, untuk memukau umat Islam supaya mereka ini hebat. Selepas ini sekutu mereka akan berhujah, "Tengok! UMNOpun tidak berhujah menggunakan Quran-Hadis, malah menolak Islam, bukankah lebih baik kita menyokong bukan Islam (ultra kiasu) ini". Di penghujungnya nanti UMNO salah, ultra kiasu yang betul.

Ini terbukti apabila ketua ulama Pas mempertahankan tindakan ADUN ultra kiasu tersebut. Katanya, "... sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam, bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam. Bagaimana mereka ingin mengenali Islam kiranya kita menghalang mereka untuk mendekati Islam."

Saya tidak kata ultra kiasu tidak boleh berhujah guna Quran dan Hadis, tetapi cuba membaca di sebalik taktik mereka yang licik ini. Malah saya tidak akan halang mereka guna kalimah Allah dan baca Quran jika mereka ini sejak awal lagi ikhlas dan tidak menentang Islam. Apakah kita tidak pernah mengambil iktibar apabila kerajaan Kelantan mahu mengharamkan arak, judi, nombor ekor dan sebagainya, merekalah paling awal menentang.

Saya tidak kata UMNO sudah baik, tetapi jika diberi pilihan antara mempercayai UMNO dengan ultra kiasu, saya memilih UMNO. Seburuk-buruk UMNO, mereka tetap seakidah dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Kita tetap bersaudara walaupun dipisahkan oleh batasan politik, bangsa, bahasa dan warna kulit berbeza.

Saya amat musykil kenapa mereka tidak berhujah menggunakan sumber agama atau ajaran masing-masing. Tidak kurang nilai-nilai baik turut diucapkan oleh Konfucius, Lau Tzu, Mencius, Buddha dan sebagainya? Kenapa Islam perlu ditonjolkan?

Jika ultra kiasu benar-benar yakin dengan nilai-nilai Islam, mereka sepatutnya menyokong Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 - yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan. Antara kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Parti ultra kiasu Kedah tidak pernah bersetuju dengan larangan ini. Mereka tetap mahu pusat hiburan beroperasi tidak kira bulan apa sekalipun. Adakah mereka sensitif dengan perasaan Melayu dan Islam? Jika ini pendirian mereka, adakah wajar kita bersangka baik dengan ultra kiasu ini?

Sebenarnya, bahaya yang mengancam ultra kiasu adalah Islam. Umat Islam pernah menguasai Eropah, mewarisi semangat jihad yang tinggi, memiliki peradaban hebat. Islam pernah dinobatkan sebagai tamadun besar dunia tanpa memerlukan proses pembaratan. Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Perancangan licik musuh-musuh Islam sudah berakar umbi beribu tahun lama, mereka tidak berdiam diri malah mengatur strategi menyerang umat Islam dari setiap penjuru. Sedar atau tidak, sasaran utama adalah pemimpin kepada umat Islam. Jangan kita buta hanya kerana kepentingan politik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ode kepada Badan Peguam

Posted: 17 Jul 2011 05:00 PM PDT

Beberapa minggu sebelum perhimpunan awam 9 Julai lalu, Majlis Peguam menghantar surat pekeliling kepada ahli-ahli Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar) memohon peguam sekalian untuk mendaftar diri sebagai peguam pemerhati. Pasukan peguam pemerhati ini dikendalikan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam. Di samping itu, Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam juga memerlukan peguam-peguam sukarelawan untuk pasukan tangkapan segera (urgent arrest) untuk memberikan khidmat guaman kepada mereka yang ditahan pada hari tersebut.

Pada mulanya, saya langsung tidak bercadang menawarkan diri untuk mana-mana pasukan. Jika perlu sekalipun, saya akan sekadar memberikan pertolongan ketika permohonan reman bagi mereka yang ditahan. Itu pun pada hari esoknya, dan bukan pada hari itu sendiri. Tetapi, reaksi pihak berkuasa terhadap penganjur dan penyokong perhimpunan awam itu telah menukar fikiran saya. Respons yang pada saya langsung tidak berkadar (proportionate) kepada matlamat memelihara ketenteraman awam telah memperkukuhkan keputusan saya untuk terlibat secara langsung sebagai seorang peguam.

Saya tidak berseorangan. Ramai kenalan peguam juga membuat keputusan sama. Sebagai peguam, kami diberi kuasa oleh Akta Profesion Guaman untuk mempertahankan keadilan tanpa perasaan takut atau belas kasihan. Walau apa pun dakwaan dilemparkan terhadap penganjur dan penyokong perhimpunan awam itu, sama ada benar atau tidak, hak mereka yang termaktub di bawah Perlembagaan dan undang-undang harus dilindungi tanpa kompromi.

Maka lebih kurang 200 peguam sukarelawan menyahut panggilan Majlis Peguam dan mendaftarkan diri sama ada sebagai peguam pemerhati atau peguam sukarelawan untuk Pusat Bantuan Guaman. Jumlah itu lebih ramai daripada biasa dan saya jangka ia adalah reaksi terhadap tindakan pihak berkuasa menjelang perhimpunan awam tersebut. Apa yang begitu memberangsangkan adalah jumlah peguam muda yang menyahut panggilan Majlis Peguam dan menjadi sukarelawan untuk pertama kali.

Ramai di antara mereka tidak mempunyai pengalaman dalam prosedur dan amalan undang-undang jenayah serta ramai juga yang bukan peguam litigasi yang sering ke Mahkamah. Namun, itu semua tidak menghalang mereka mendaftarkan diri. Mereka tidak semestinya menyokong sebab perhimpunan itu diadakan, hanya mendukung hak dan kebebasan yang termaktub. Seperti kita ketahui, Kuala Lumpur dikunci tutup bermula dari 12 tengah malam 9 Julai. Jalan-jalan ke ground zero ditutup langsung. Malam itu, sekiranya tiada urusan di kota raya Kuala Lumpur, anda tidak akan berada di situ. Ramai di antara kami yang khuatir pihak berkuasa akan menyekat pengangkutan ke ground zero pada pagi itu, termasuklah perjalanan LRT. Atas dasar itu, ada di antara kami tinggal di kota raya dengan menyewa bilik hotel untuk memastikan dapat hadir ke Majlis Peguam pada pagi itu.

9 Julai 2011. Hari kuning dan merah, hari gas pemedih mata, meriam air dan air hujan. Hari darah dan air mata, juga hari rakyat Malaysia meraikan demokrasi. Di ground zero seramai 100 peguam pemerhati memantau apa berlaku dari beberapa titik panas yang dijangkakan Majlis Peguam. Walaupun diiktiraf pihak berkuasa sebagai pemerhati, mereka tidak terlepas daripada gas pemedih mata, meriam air dan air hujan.

Juga tidak ada jaminan mereka tidak akan ditahan pihak berkuasa, walaupun berpakaian seperti akan ke Mahkamah dan mempunyai tag 'Pemerhati'. Di Pusat Bantuan Guaman pula, peguam sukarelawan bertungkus-lumus menerima laporan tentang tangkapan, berhubung ahli keluarga dan pihak polis, memberi nasihat guaman serta menghadiri balai-balai polis di mana pemprotes ditahan untuk memberikan khidmat guaman.

Sebelum ini, peguam-peguam lebih senior sering kali berkongsi kisah-kisah silam tentang bagaimana Badan Peguam Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan untuk mendukung keadilan dan hak tanpa rasa takut atau belas kasihan. Tetapi, pada 9 Julai lalu, saya menyaksikan sendiri sahabat-sahabat dalam profesion ini meluangkan masa dan usaha demi kepercayaan mereka. Sebagai seorang peguam muda yang basah di belakang telinga, semua ini memberi inspirasi kepada saya untuk terus melakukan yang terbaik demi mendukung keadilan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved