Rabu, 13 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Menghayati susah sesudah senang

Posted: 12 Jul 2011 05:00 PM PDT

Sebahagian besar daripada kita asalnya datang daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, kita pernah merasa punyai hanya sepasang baju sekolah yang senteng kerana ayah tak mampu membeli pakaian baru. Ataupun, kita menyarung baju yang gedoboh kerana ia asalnya pakaian sekolah abang yang diberi kepada kita.

Untuk berjimat, kita membawa bekal ke sekolah berupa lempeng atau cekodok sekadar mengalas perut. Kalaupun diberi duit belanja, ianya cukup-cukup untuk membeli mi sepinggan dan segelas air sirap. Itu pun sudah cukup baik kerana ramai lagi kawan-kawan di waktu itu tidak membawa sesen pun ke sekolah. Mereka berlapar. Kalau haus, mereka menonggeng minum air paip sehingga kenyang. Tiada paip water cooler di sekolah pada zaman itu.

Di rumah, kita makan apa yang emak hidangkan. Kadang-kadang, makan malam kita adalah lauk tengah hari. Ada juga masanya, makan malam kita adalah lauk dua-tiga hari lepas, yang diperhangat sampai kering. Seisi keluarga akan makan hidangan yang sama. Bukan macam sekarang. Ada kalanya, hanya si suami yang akan makan masakan isterinya, sedangkan anak-anak makan apa jua menu selain daripada masakan ibu.

Siapa yang tidak pernah merasai kemiskinan? Sama ada ketika di kampus ataupun di hari-hari terakhir bulan ketika hidup membujang, sebahagian daripada kita tentu sekali pernah mengalami situasi tidak berduit hendak makan. Keadaan itu cukup menyakit dan memalukan. Malu pada orang dan malu pada diri sendiri.

Sebab itu, kita berazam untuk mengubah cara hidup dengan belajar rajin-rajin hingga mendapat kerja baik, atau menjadi usahawan hingga hidup kita menjadi selesa, kaya dan akhirnya dihujani kemewahan yang melimpah ruah. Alhamdulillah. Kita yang asalnya susah dan 'makan untuk hidup' kini bertukar senang dan kini 'hidup untuk makan.' Betapa lama kelamaan, kesenangan yang berpanjangan itu menjadikan kita terlupa apa erti kemiskinan.

Kita yang mewah biasa melancong ke pelbagai tempat eksklusif atau bersantai bersama keluarga di kompleks membeli-belah. Di sana, kita lihat wajah-wajah yang riang gembira seperti kita. Kemewahan ada di mana-mana. Orang masih berbelanja walaupun ramai yang kata harga barang-barang sudah mahal.

Tetapi, kita tak akan terserempak dengan golongan yang sudah tidak mampu mengunjungi ke tempat-tempat rekreasi seperti kita. Mereka tiada di tempat-tempat ini. Mereka juga tidak kelihatan di gerai-gerai tepi jalan, di pasar-pasar tani, bahkan di pasar-pasar malam. Mereka hanya berada di tempat kerja. Selepas kerja, mereka akan berkurung di rumah. Pendek kata, mereka sudah berundur dari pentas dunia kerana lelah mengejar kesenangan. Mereka kalah dan terperosok di dalam dunia kemiskinan dan menyisih diri. Sebab itu kita sudah tidak temui mereka.

Apakah kebimbangan mereka yang miskin ini? Mereka bimbang bagaimana hendak memberi makan kepada isteri dan anak-anak, membayar sewa rumah, melangsaikan pelbagai jenis bil dan hutang piutang yang semakin bertambah. Hidup mereka kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masa depan mereka hanyalah setakat esok hari. Mereka tidak berani berpandangan jauh kerana yang dekat pun sudah tidak terlarat hendak difikirkan, apatah lagi diimpikan.

Barangkali, dalam keadaan risau dan hampir putus harap akibat kemiskinan, maka terdetik di hati mereka mengapakah Allah menjadikan mereka sesusah dan semalang ini? Mengapa mereka tidak bernasib baik seperti orang lain yang cukup makan pakainya? Oleh kerana melihat masa depan yang kelam dan suram, mereka tergamak mempersoal Allah yang menjadikan mereka malang sebegitu.

"Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran." Meskipun hadis ini lemah, kemiskinan harta boleh membuatkan seseorang itu bimbang, risau dan putus asa. Kemiskinan harta boleh menjadikan seseorang itu juga miskin jiwanya hingga bertanya keadilan Allah yang mengatur segalanya.

Alangkah baik, dalam kemewahan kita pada hari ini, kita tidak lupa kepada mereka yang malang ini. Kita kena tolong mereka. Apabila kita menghulurkan bantuan kepada mereka, tentulah mereka akan memanjatkan syukur kepada Allah. Mereka akan memuji-Nya kerana rintihan mereka didengari oleh Yang Maha Mendengar.

Jika sebelum ini, mereka mempersoalkan Allah kerana kemiskinan mereka, tidakkah bantuan yang kita sampaikan kepada mereka itu menjadikan mereka berterima kasih dan mengagungkan Allah kembali? Dalam erti kata yang lain, tidakkah bantuan kita menarik mereka dari jurang kekufuran untuk kembali meyakini-Nya?

Kerana itu, program Sinar Kasih Ramadhan kali keempat yang diusahakan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan, Kongres India Muslim Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf dan akhbar ini seharusnya disokong. Dengan bantuan kita sebagai individu mahupun melalui syarikat, 1,000 keluarga miskin di seluruh Semenanjung akan memperoleh belanja berbuka dan bersahur di sepanjang bulan Ramadhan ini.

Mari hayati zaman sukar kita dengan menyenangkan orang lain. Mari gembirakan hati kita dengan membahagiakan orang lain. "Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia menyelesaikan kesulitan orang lain." (Hadis riwayat: Imam Ahmad) Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Khilaf terbesar: Penjajahan minda

Posted: 12 Jul 2011 05:00 PM PDT

Langit Kuala Lumpur petang 9 Julai, menangis. Hujan lebat mengekang ion-ion gas pemedih mata disembur ke arah rakyat yang berarak di jalanan. Rakyat dikecam sebagai hooligan atau samseng jalanan, pengkhianat aktiviti ekonomi atau demonstran perhimpunan haram di sisi undang-undang.

Tetapi untuk saya, Kuala Lumpur tidak menangis kerana merintihi tyranny di tanah bertuah, bumi keramat ini; Kuala Lumpur menangis kerana matahari demokrasi dan kebebasan bersuara masih menyala, jadi obor penyuluh gelita. Walau tidak sempurna, hak itu tetap ada. Tidak pasti di mana paksi pegangan anda, tetapi untuk saya yang masih mentah, perkara di bawah payung Perlembagaan Persekutuan amat jelas.

Walau bakal dituduh pseudo-liberal bengap sejarah, atau lebih teruk lagi dilabel persis mak nenek kuat membebel, saya ulang semula semangat di bawah Perlembagaan Persekutuan: Perkara 10(1)(a)dan(b) memberi hak kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengeluarkan pendapat dan berhimpun secara aman.

Hak ini, bagaimanapun, tertakluk kepada pengecualian di bawah Perkara 10(2),(3)dan(4) sekiranya perhimpunan tersebut mencabar keselamatan negara (national security). Sementara Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 yang memaktubkan rakyat perlu permit untuk berhimpun bercanggah dengan semangat di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat juga mendukung kebebasan di bawah Perkara 10(1) di atas. Maaf cakap, kalau setakat mahu berhimpun menyatakan pendapat, sekurang-kurangnya dalam kamus hidup saya, tidak jatuh dalam fasal keselamatan negara.

Tetapi kenapa hari minggu warga kota berantakan? Enteng sahaja. Itu akibatnya apabila nakhoda-nakhoda pemimpin negara - yang rata-rata berkiblatkan egoisme dan agenda masing-masing - gagal mencari titik penyelesaian atas nama tolak-ansur. Jelas tolak-ansur itu mudah di mulut, seksa di perut. Keikhlasan itu sangat mahal harganya.

Jangan kita melatah mengecam polis yang menjadikan lalu-lintas Kuala Lumpur lebih teruk dari Jakarta pada petang 8 Julai; jangan kita mengecam mereka kerana menyembur gas pemedih mata atau mengasari demonstran; jangan kita memuji polis kerana cekap menangkap nama-nama yang telah diperintahkan di bawah Seksyen 98 Kanun Prosedur Jenayah agar tidak memasuki Kuala Lumpur; jangan mengutuk polis kerana menjamu para demonstran dengan buffet makanan sedap-sedap. Mereka itu boneka tanpa jiwa, aksi dan suara mereka adalah mainan tok dalang wayang kulit dalam arena politik negara.

Jika benar ada molotov cocktail dan parang dalam kereta si demonstran, kenapa paraphernalia itu tidak digunakan pada 9 Julai? Jika benar tanggapan apabila ramai berkumpul negara bakal jadi huru-hara, kenapa pagi Ahad 10 Julai, Kuala Lumpur masih bernafas seperti biasa?

Soalan terakhir yang kuat mengganggu minda: kenapa ditangkap lalu diseret ke mahkamah si penjual baju kuning di Kota Bharu dan Alor Setar? Cara penangkapan dan liputan media yang diuar-uarkan persis mereka itu penjenayah besar.

Tidak, saya tidak melupakan rintihan hati pedagang dan pemandu teksi kota yang bersungut kerana hilang pendapatan pada hari tersebut. Tetapi bukankah negara ini mempraktikkan sistem keadilan sekata? Tepuk dada tanya peguam anda, sekiranya mantap kes dibina, saman sahaja semua yang terlibat. Tetapi jangan lupa, bukan demonstran baju kuning sahaja bertanggungjawab. Si baju merah pula bagaimana?

Dan untuk segelintir yang berpendapat kononnya demonstrasi jalanan bukan budaya kita orang timur, maaf saya tidak setuju. Perkara budaya dan adat bukan boleh dikoreografikan dalam rentak hak rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan. Untuk apa bersorak mempertahankan budaya jika minda terjajah? Seperti pernah saya kicaukan di laman Twitter: khilaf insani yang terbesar adalah apabila kita cuba untuk menjajah minda.

Aspirasi keamanan, kebebasan dan hak untuk bersuara bersifat universal, bukan novelty. Perang minda seharusnya lebih menjurus untuk memenangi kepercayaan di hati dan persepsi di mata rakyat, bukan untuk menayang kemampuan pihak berkuasa mengekang huru-hara yang 'bakal' tiba.

Untuk suami, saya pohon maaf kerana pendapat saya hanya berpaksikan Perlembagaan Persekutuan semata, bukan practicality. Juga untuk pembaca budiman yang tidak bersetuju dengan komentar saya minggu ini, tidak mengapa, kerana Mahatma Gandhi pernah berkata, "honest disagreement is a good sign of progress."

Elviza juga seorang peguam sedang berkicau di http://twitter.com/elviza.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved