Khamis, 2 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Perihal bir halal, bir haram

Posted: 01 Jun 2011 05:00 PM PDT

AWAL 70-an, sebagai anak teruna kampung yang baru datang ke KL, saya selalu ingat pesan emak dan abah: Jangan sekali-kali minum arak, sebab itu dosa besar! Maka, tentu saya amat serba salah apabila pada hari ketiga bertugas di meja pemberita Utusan Melayu, bos mengajak saya minum 'beer'.

Dia membawa saya ke sebuah restoran A&W di Petaling Jaya, dan belum apa-apa telah meminta dua gelas besar 'roots beer'. Dia meneguknya tanpa rasa bersalah, sedangkan saya rasa amat berdosa mengingkari perintah orang tua, juga perintah agama.

Macam hendak menangis saya sebab melakukan dosa besar. Air coklat lagi berbuih itu masuk ke tekak saya, bagaikan melonjak-lonjak hendak dimuntahkan. Betapa leganya saya apabila seminggu lepas itu baru mengetahui bahawa 'arak' yang saya teguk itu adalah 'beer' halal.

'Roots Beer' yang kini disebut dalam bahasa Melayu sebagai 'rut bir' (kenapa tidak bir akar!) adalah minuman tanpa alkohol, dan bukan arak. Sengaja saya bangkitkan nostalgia ini untuk membuktikan bahawa empat dekad lalu sudah ada bir halal di tempat kita.

Sebab itu apabila sehari dua ini orang Islam sibuk bercakap mengenai bir halal yang kini dijual secara terbuka di kedai dan restoran, saya tidak terkejut. Sejak 'dosa' pertama bersama bos dulu saya telah meneguk bir halal mungkin lebih 10 tempayan besar.

Masalah timbul apabila pihak berkuasa Islam meragui status halal sejenis bir yang dikatakan mengandungi alkohol melebihi dari paras yang dibenarkan. Peraturan menetapkan bir dikira halal sekiranya kandungan alkohol tidak melebihi 0.01 peratus.

Pengedar produk Istak menafikan kandungan alkohol dalam bir yang diproses di Iran itu melebihi 0.01 peratus.

Pegawai Perhubungan Awam Malaysia-Iranian Corporation Sdn Bhd, Raja Faizul Effendi Raja Abdul Karim berkata, produk Istak yang mempunyai 12 perisa adalah 100 peratus bebas daripada kandungan alkohol.

Produk itu sekarang dalam proses menunggu kelulusan bagi mengguna pakai logo Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Produk itu juga telah melepasi peraturan piawaian halal bagi membolehkannya menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 di Kuala Lumpur.

Isunya sekarang ialah bir dari Iran itu masih menunggu kelulusan logo halal Jakim. Kalau rut bir restoran hotdog terkenal itu boleh mendapat kelulusan halal Jakim, pasti Istak pun akan menerima sijil halal Jakim sekiranya produk tersebut mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Tidak ada apa yang hendak dikontroversikan, peminat bir Iran itu hanya perlu menunggu kelulusan Jakim. Sementara itu minumlah dulu bir halal di restoran makanan segera berasal dari Amerika itu.

Lepas ini jangan ada lagi pengedar yang memasarkan minuman bernama bir, sebab nama itu sendiri mengelirukan. Carilah minuman lain – sirap bandung, air mata kucing, kopi tongkat Ali, teh kacip Fatimah, dan sebagainya – asal jangan bir.

Orang kita pelik dan suka buat sensasi. Tidak lama dulu ada ura-ura untuk memperkenalkan 'bak kut teh halal'. Semua orang tahu 'bak kut teh' itu adalah makanan popular di kalangan masyarakat Cina yang diperbuat daripada daging babi.

Walaupun ramuannya ditukar kepada kambing, ayam, lembu dan sebagainya istilah asal itu tetap membawa erti babi. Mana ada babi halal? Mujurlah cadangan 'bergeliga' lagi 'mengada-ada' itu mendapat tentangan, kalau tidak orang Islam di negara ini akan makan 'babi'.

Sementara bersetuju 100 peratus dengan keprihatinan Jakim supaya orang Islam jangan minum bir halal yang kandungan alkoholnya diragui, saya berharap jabatan tersebut prihatin juga terhadap penjualan arak yang berleluasa di negara kita sekarang.

Arak dijual di mana-mana sahaja, dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja. Di kedai serbaneka yang dibuka 24 jam, arak diletakkan bercampur dengan minuman-minuman ringan lain.

Sementelahan pula Malaysia mempunyai dua kilang arak berbesar di rantau ini. Maka tidak menghairankan lebih mudah mendapatkan arak daripada hendak membeli kelapa.

Oleh sebab dijual secara terbuka, orang minum arak pun terbuka juga. Memang ada seorang dua yang kena tangkap, tetapi berpuluh ribu lagi terus minum bir haram dengan bangga, tidak ada siapa pun peduli.

Perangkaan menunjukkan dalam tempoh 2004 hingga 2009, sebanyak 1,673 orang Islam dikenakan tindakan di bawah penguatkuasaan minum minuman memabukkan di seluruh negara. Dalam masa lima tahun tidak sampai 2,000 ditangkap sebab minum arak di tempat terbuka. Kelakar!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Si naif, si cerdik mainan bahaya

Posted: 01 Jun 2011 05:00 PM PDT

Berderau rasa dada apabila membaca berita buruk membabitkan anak kecil. Walaupun berita yang dibaca itu tidak ada kena mengena dengan anak kita, namun emosi kita tetap terganggu memandangkan anak itu tidak berdosa. Sebaliknya ibu bapa dan penjaga yang diharapkan mengawasi si kecil telah melakukan kecuaian dan atas kelalaian itu ada nyawa kanak-kanak yang tergadai.

Apa yang kanak-kanak tahu mengenai kemalangan? Apa yang mereka tahu bahaya main air di lombong? Mereka juga tidak tahu dalam besen yang cetek itu, nyawanya akan melayang sekiranya terjerumus. Mereka juga tidak tahu rupanya ditinggalkan sendirian di rumah sambil bermain mancis, boleh merentungkan seluruh kediaman termasuk tubuhnya.

Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Fikiran mereka masih sempit. Pengalaman mereka masih zero. Otak mereka masih belum cukup untuk mengadun yang mana baik, yang mana jahat. Mereka juga tidak dapat bayangkan tali rafia yang kecil itu boleh menjadi tali belati, mencabut nyawanya sendiri.

Mereka masih naif dan apabila ditinggalkan sendirian di dalam kereta, mereka tidak tahu itu boleh mendatangkan bahaya sekiranya kereta dilarikan. Mereka tidak tahu bahawa sekiranya semua tingkap kereta terkatup rapat boleh membuatkan mereka lemas hingga membawa kepada kematian.

Selain itu, sekiranya kita bercuti ke mana-mana di luar bandar, pemandangan biasa yang kita lihat ialah kanak-kanak bawah umur yang belum ada lesen menunggang motosikal di merata tempat. Mereka tidak memakai topi keledar dan dengan tergelak besar. Ada pula sampai tiga orang membonceng motor yang sama.

Sudahlah begitu, tak ikut peraturan lalu lintas dan ada yang bermotosikal melawan arus. Sekiranya kemalangan berlaku di tempat sibuk, kita boleh anggap itu tragedi. Tetapi jika kemalangan juga berlaku di kawasan sunyi seperti di kampung, tentu ada faktor lain yang menjadi penyebabnya.

Antara faktor yang ketara ialah pengguna kenderaan di kawasan pedalaman memang sengaja mengabaikan ciri keselamatan seperti motosikal tiada cukai jalan dan lampu motosikal tidak berfungsi. Ini merangkumi 70 kesalahan utama yang gagal ditangani.

Jalan kampung yang tidak mempunyai lampu juga boleh menjadi penyebab kepada kemalangan, selain kecuaian penduduk kampung yang membiarkan ternakan berkeliaran sehingga mengganggu pengguna jalan. Kita juga biasa melihat sederet pemandu kereta yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya, tergesa-gesa menarik tali pinggang keledar masing-masing selepas mendapat tahu ada sekatan polis di hadapan. Buatlah undang-undang apa sekalipun - pemandu kereta termasuk penumpang di belakang mengenakan tali pinggang keledar hanya kerana takut disaman…!

Paling terkilan apabila kebanyakan mereka tidak mematuhi peraturan jalan raya itu bukan calang-calang orang jika dilihat kepada jenama kereta yang mereka pandu. Saya jadi termalu sendiri apabila suatu masa dulu anak kecil saya memberi komen begini – kereta saja besar tapi otak tak ada. Itu terjadi apabila dia melihat sebuah kereta mahal bergerak laju menggunakan lorong motosikal di lebuh raya.

Sememangnya kita gerun dengan statistik kemalangan yang tidak pernah surut sama ada di jalan bandaran atau jalan persekutuan. Namun sebenarnya eloklah kita gerun dengan kecuaian yang menjadi punya kepada rentetan kemalangan demi kemalangan itu.

Kata-kata, 'ah, dekat saja tak payahlah guna topi keledar' jika mahu ke kedai paling hampir dengan rumah. Ataupun 'bukan jauh, ke surau saja jadi tak perlulah dia ambil lesen kereta'. Eloklah dihentikan saja jika kita tidak mahu kehilangan orang yang tersayang.

Apakah kita mahu lahirkan ramai lagi mat rempit? Ataupun mahu melihat ramainya samseng jalanan? Semua ini terletak dalam tangan wanita dan lelaki yang bergelar ibu dan bapa. Kuasa ada dalam tangan anda – bahawa salah tetap salah.

Atau kita wajar saja bersetuju dengan cadangan Tan Sri Lee Lam Thye suatu masa dulu yang mencadangkan kepada kerajaan supaya sekiranya ada anak yang ditangkap kerana kesalahan jalan raya, maka yang patut dihukum dan dimasukkan ke dalam lokap ialah ibu bapa itu sendiri, bukan si pelaku kesalahan itu…!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved