Khamis, 2 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Pemuda UMNO, Pas bersatu perangi fitnah politik

Posted: 01 Jun 2011 05:00 PM PDT

Pemuda UMNO, Pas bersatu perangi fitnah politik Selain perhatian masyarakat yang semakin meningkat, ditunjukkan dengan bertambahnya bilangan penonton yang hadir setiap kali wacana Sinar Harian dianjurkan, Siri Wacana ke-4 kelmarin mencatat sejarah yang tersendiri apabila buat pertama kalinya, dua pemimpin muda dua parti politik yang paling berpengaruh di tanah air kita berkongsi pentas untuk membahaskan satu isu yang sangat menarik, Fitnah: Ancaman Umat Akhir Zaman.

Inilah kali pertama Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan duduk bersama untuk melontarkan pandangan masing-masing dalam menuju matlamat yang sama - membebaskan negara daripada gejala rasuah.

Sebagai orang politik, hujah kedua-dua pemimpin muda itu sudah tentu tidak lari daripada menoleh ke dalam bidang mereka sendiri - politik - yang selama ini dianggap lubuk segala rasuah oleh sesetengah pihak.

Dibimbing dan diimbangi oleh pandangan dan nasihat seorang lagi ahli panel, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta kawalan perbahasan yang kemas dan meyakinkan oleh ahli akademik, Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), pengakhiran Siri Wacana Sinar Harian ke-4 ternyata berjaya membuahkan sesuatu yang amat bermakna - semua ahli panel bersepakat untuk menolak rasuah yang dianggap senjata ganas yang boleh menjahanamkan negara.

Kesepakatan ini mungkin boleh diandaikan sebagai bermulanya titik pertemuan dua seteru politik, yang mana di bawah kepimpinan generasi mudanya, sudah mula menampakkan sinar di hujung terowong. Ikuti rakaman semula Siri Wacana ke-4 Sinar Harian yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, 31 Mei lalu.

DR MASZLEE: Setiap panel diminta mengulas serba ringkas mengenai pemahaman fitnah yang menjadi ancaman umat ini?

KHAIRY: Tajuk yang dibincangkan pada hari ini amat bertepatan sekali dengan cabaran politik yang dihadapi oleh rakyat Malaysia kini. Fitnah, sebagaimana yang difahami dalam budaya dan politik ialah satu perkataan atau tuduhan yang tidak benar, diselitkan dengan niat jahat untuk memburukkan perwatakan tidak terhad kepada individu sebaliknya turut dialami oleh kerajaan, institusi dan parti politik.

Kadang-kadang tuduhan dilakukan sebab kita tidak tahu, tidak ada fakta tetapi fitnah ini dibuat dengan niat jahat, bukan tidak sengaja. Walaupun kita tahu ada hujah di pihak yang dituduh menyangkal perkara itu tidak benar, tetapi diteruskan juga fitnah tersebut dengan hujah sendiri. Walaupun ada keraguan, kita tegas dengan pendirian kita bahawa beliau dituduhkan dengan sebab – sebab tertentu. Inilah suatu keadaan yang tidak sihat.

Sebagai ahli politik muda, kita menghadapi masalah untuk mengangkat sistem politik Malaysia daripada sistem politik yang terjerumus dengan lontaran fitnah sesama kita, sama ada dalam parti politik sendiri ataupun di antara parti politik lawan kepada satu sistem politik berdasarkan perbincangan, wacana yang berdasarkan fakta dan ilmu.

Saya selalu sebut di Parlimen supaya jangan kita mengamalkan politik yang menyerang peribadi semata-mata dan tidak melihat isu sebenar, isu yang lebih besar membabitkan rakyat.

Jadi, bagi saya fitnah itu adalah satu perbuatan yang dahsyat terutamanya terhadap parti politik kita, kerana mengelak kepada matlamat yang besar.

NASRUDIN: Fitnah ini kesannya lebih dasyat dari membunuh dan menimbulkan masalah besar kepada tamadun manusia. Mewujudkan persengketaan, pertelagahan dan sampai ke peringkat boleh membawa kepada pembunuhan. Fitnah senjata paling tua atas muka bumi untuk membinasakan pihak lain. Saya lihat ia merupakan suatu senjata sangat berbahaya dan amat berbisa kerana kesannya lebih besar berbanding radiasi nuklear yang boleh membunuh jiwa manusia. Ulama menganggap fitnah paling besar adalah syirik, manifestasi daripada manusia yang menolak Tuhan dan agama sedangkan yang menjadikan manusia lurus hidupnya adalah agama.

Apabila mereka mengetepikan agama, akhirnya manusia bertindak berdasarkan nafsu.

Maka fitnah itu adalah datang daripada nafsu.

DR ASRI: Perkataan fitnah yang disebut al-Quran dan fitnah yang dirujuk orang Melayu adalah berbeza. Orang Melayu kata fitnah itu bermaksud cerita atau tuduhan yang tidak benar terhadap seseorang. Tetapi istilah fitnah dalam al-Quran merujuk kepada kucar-kacir, syirik, kegawatan, musnahkan agama, musnahkan keamanan, itu fitnah. Selalu orang kita bila dia nak kata jangan fitnah, dia kata fitnah lebih dahsyat daripada membunuh (merujuk kepada ayat al-Quran). Sebenarnya al-Quran tidak maksudkan fitnah Melayu ini, tetapi al-Quran maksudkan fitnah kekacauan, hilangnya keamanan. Tetapi ada satu lagi perkara iaitu membuka keaiban orang. Ianya rakan kepada fitnah, Ia juga diharamkan oleh agama jika membawa kepada fitnah yang disebut oleh al-Quran tadi iaitu kekacauan, maka hilang fokus dalam masyarakat. Sebenarnya kedua-dua perbuatan ini adalah fitnah yang mengancam masyarakat.

Dr MASZLEE: Sebelum ini YB Khairy menyebut fitnah bukan sahaja antara parti politik sebaliknya paling hebat adalah dalam parti politik itu sendiri. Persepsi umum daripada trek rekod UMNO melihat parti itu tidak dapat dipisahkan dengan budaya politik fitnah sama ada dengan lawan politik mereka mahupun di kalangan sesama pemimpin terutamanya ketika merebut jawatan tertinggi parti. YB sendiri dilihat 'mangsa fitnah' terutama setelah memenangi kerusi Ketua Pemuda dalam pemilihan lalu di mana gambaran 'KJ Rasuah' berleluasa. Bolehkan YB justifikasikan budaya fitnah dalam UMNO. Adakah YB melihat ini sebagai satu yang salah dan perlu dihapuskan dan apakah YB mampu melaksanakannya dalam sisa- sisa waktu sebagai Ketua Pemuda UMNO?

KHAIRY: Saya harap sisa- sisa waktu itu lama ya (sambil ketawa). Politik fitnah tidak terhad dalam UMNO. UMNO tidak monopoli politik fitnah. Kalau kita lihat tuduhan yang dibuat dalam parti politik lain juga tidak kurang hebatnya. Cuma UMNO sebagai parti yang popular mendapat liputan dan perhatian meluas. Kita tidak menafikan fitnah berlaku dalam parti kita.

Secara umumnya, kita perlu cari jalan bagaimana untuk mengurangkan masalah budaya fitnah ini. Apa yang saya nampak, pertamanya, sikap kita dalam UMNO atau parti lain ialah sikap ketaksuban, bukan terhadap perjuangan untuk membantu rakyat tetapi perjuangan terhadap pemimpin. Banyak fitnah yang diterima adalah daripada pihak lawan, penyokong- penyokong pemimpin lain. Jadi apabila perjuangan kita taksub kepada individu, bukan kepada perjuangan sebenar, maka semua dihalalkan. Saya melihat tidak kira UMNO mahupun pembangkang, kita perlu keluar dari kepompong ini.

Keduanya, budaya politik kita terlalu bergantung kepada fitnah dan rakyat terlalu mudah dipengaruhi fitnah. Rakyat memang tidak selidik , tidak rujuk apa yang didengar, hanya buat keputusan berdasarkan bias dan prejudis. Hujah yang menjadi fakta tidak diterima oleh kerana ketaksuban terhadap individu melebihi parti.

Jadi bagi saya, usaha untuk mengatasinya ialah dengan mewujudkan persekitaran maklumat yang lebih bebas. Saya adalah orang dalam UMNO yang menyokong kebebasan.

Antara sebab saya sertai wacana hari ini, saya hendak tunjuk kepada Pemuda UMNO dan Pas bahawa kita boleh duduk di satu pentas, cari kebenaran dan kita serah kepada rakyat untuk buat penilaian, bukan tuduh menuduh. Akhirnya apabila sebut nama Ustaz Nasrudin, Pemuda UMNO akan tepuk tangan dan apabila menyebut nama saya, Pemuda Pas akan takbir.

DR MASZLEE: Pas merupakan parti Islam. Dasar Pas adalah Islam. Tetapi ini tidak bermaksud segala tindak tanduk pemimpin dan ahli Pas mewakili Islam atau terselamat daripada melakukan kesilapan. Pas juga tidak terlepas daripada isu politik fitnah. Apakah Ustaz boleh justifikasikan politik fitnah dalam Pas. Ustaz lihat ia merupakan perkara silap dan perlu dihapuskan tetapi apa Ustaz mampu lakukan?

NASRUDIN: Berkait dengan fitnah yang berlaku, saya setuju bahawa fitnah itu bersifat umum yang boleh berlaku dalam dan luar parti politik, masyarakat dan boleh juga berlaku kepada seseorang individu.

Tetapi paling penting, setiap manusia mesti memahami bahawa fitnah menyebabkan dia dimurkai Allah SWT. Jadi, apa yang saya lihat hari ini, politik kita terlalu ganas, melepasi batas pertimbangan syurga dan neraka, pahala dan dosa. Akhirnya untuk mencapai cita-cita politik, mereka menggunakan fitnah.

Kita mahu politik telus dan tulus yang mempunyai kredibiliti dan berasaskan hujah serta pandangan bernas. Bukan kepada hasrat untuk menjatuhkan lawan.

Merujuk kepada perkembangan dalam Pas sebagai sebuah gerakan Islam, yang dasarnya adalah Islam, pertama adalah untuk memastikan setiap anggotanya selamat daripada segala kemungkaran serta dan kemaksiatan.

Kedua, untuk memastikan setiap anggotanya meletak landasan bahawa berjuang adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menegakkan syariat di atas muka bumi.

Kelemahan manusia yang melibatkan pergolakan dan persengketaan adalah perkara biasa. Tetapi dengan sebab agama Islam, setakat ini dalam pemilihan parti di peringkat Pas di setiap kawasan adalah terkawal. Setakat berbeza pendapat dan pandangan, saya kira itu biasa.

Saya mempunyai satu tekad, apabila diberi amanah sebagai Ketua Pemuda Pas, saya ingin memastikan setiap anggota khasnya Pemuda mengamalkan dasar dan sistem politik berakhlak, bermaruah, berhemah dan bukan bertunjangkan fitnah.

Kita tidak mahu politik berlandaskan kepada menjatuhkan maruah orang lain, politik keji dan jijik.

DR MASZLEE: Ada juga orang agama yang melakukan fitnah secara tidak sedar kerana mereka menganggapnya sebagai memperjuangkan Islam. Apakah kita boleh percayakan golongan ini jika mereka masuk ke arena politik?

DR ASRI : Dalam sejarah, golongan politik sering kali menggunakan orang agama untuk mendapatkan pengaruh. Kerana mereka tahu elemen yang mempengaruhi masyarakat itu adalah agama. Apabila disebut sesuatu perkara dan disertai dengan nas agama, maka ramai orang akan terpengaruh. Agama boleh menjadi madu atau penawar yang menyembuhkan penyakit politik tetapi dalam masa sama, jika tidak dikendalikan dengan betul, agama menjadi racun kepada politik. Agama akan menjadi penyebab kepada kacau bilau politik jika tidak diadun dengan cara yang betul. Sebab itu agama perlu berada di atas parti politik, bukan parti politik yang mengendalikan kehendak agama. Agama yang menentukan keputusan terhadap parti politik, bukan parti politik yang mengarahkan para ulama mengeluarkan fatwa sesuai dengan kehendak parti politik. Di situ perlunya kebebasan golongan agama supaya mempunyai sikap yang bebas dan tidak mempertahankan partinya tetapi mempertahankan prinsip. Mengadunkan agama dan politik memerlukan adunan yang benar-benar jujur. Jika tidak, kita akan melihat agama tidak lebih melainkan senjata orang politik dan orang agama juga akan gunakan orang politik yang ada kuasa untuk kedudukan agama dia.

DR MASZLEE: Sebagai ahli politik muda sememangnya YB tidak reda dengan politik Malaysia yang semakin kucar kacir dan keliru. Jika dilihat di negara maju, politik di negara ini agak ketinggalan dengan budaya maki hamun, pendedahan video seks dan sebagainya. Sudah tentunya YB mempunyai idea politik segar dan berdaya maju. Persoalannya, YB sering dilihat keseorangan dan tidak mendapat sokongan Pemuda UMNO. Malah sikap sesetengah media memainkan isu sentimen agama dan perkauman juga ada yang tidak bersetuju. Apakah langkah yang boleh anda lakukan untuk membawa perubahan dalam politik yang lebih matang, politik idea dan bukan politik primitif berdasarkan perkauman dan sebagainya?

KHAIRY: Bagi saya, jika kita mahu membawa perubahan dalam politik Pemuda UMNO, kita memerlukan satu jangka masa panjang, bukannya perubahan sekelip mata. Saya percaya pegangan prinsip saya untuk membawa model politik baru yang tidak tertumpu kepada politik perkauman, tertumpu kepada isu sempit seperti isu etnik, isu agama dan sebagainya. Kita akan fokus kepada isu- isu sejagat, isu- isu yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia dan ini juga akan mengambil masa.

Jadi, tidak adil mengatakan perjuangan saya bersendirian. Saya rasa perubahan yang dibawa dalam politik Pemuda UMNO hari ini lebih sederhana. Pemuda UMNO boleh menerimanya. Mungkin mereka nampak saya keseorangan sebab politik saya, idea saya terlalu baru, terlalu lain daripada dahulu tetapi saya selalu mengingatkan kepada orang lama dalam UMNO bahawa zaman sudah berubah. Apabila berlaku pemindahan zaman, kita perlu bawa perubahan. Jika tidak dilakukan perubahan, kita tidak akan dapat sokongan daripada anak muda hari ini.

Kita kena bawa satu perjuangan yang lebih inklusif, yang lebih luas keterangkumannya untuk semua dan berhasil. Walaupun tanggapan mengatakan tidak dapat sokongan, tetapi dalam pilihan raya kecil sejak Manek Urai, Kelantan lalu, saluran muda 3 dan 4 semua memihak kepada Barisan Nasional.

DR MASZLEE: Ramai pemerhati politik bersetuju bahawa Ustaz tidak seagresif Ketua Pemuda sebelum ini. Pemuda Pas dilihat lesu dan longlai, malah ada yang bersikap eksklusif. Mungkin penggal lepas hanya menumpukan pembinaan fitrah di peringkat dalaman. Sepatutnya seorang ketua memiliki karakter peringkat nasional, bukan hanya jaguh kampung. Pemuda Pas juga sepatutnya mampu untuk menunjukkan kepimpinan peringkat antarabangsa serta mampu berinteraksi dengan bukan Islam di pelbagai peringkat, jika Pas ingin menggantikan UMNO. Persoalannya, apakah Pemuda Pas terus hilang idealisme? Tidak mampu untuk menjadi alternatif kepada Pemuda UMNO yang ketuanya lebih berketrampilan di peringkat antarabangsa. Adakah Pas sudah tidak mempunyai Pemuda yang lebih berwibawa dan berkualiti? Apakah politik masa depan Pas yang ingin dibawa oleh Pemuda masih dengan retorik 80-an? Ke arah mana Pas sekarang ini? Adakah masih dengan politik negara Islam yang jumud berbanding gerakan Islam yang mula membuat anjakan paradigma?

NASRUDIN: Saya menerima persepsi keadaan Pas sekarang tetapi saya mempunyai pandangan tersendiri dalam memimpin Dewan Pemuda. Kita diberi amanah untuk memastikan anak-anak muda dapat dibimbing.

Saya mulakan langkah iaitu pertamanya, untuk membetulkan akidah, kedua membina fitrah dan ketiga memastikan sahsiah atau akhlak seseorang pemuda itu menepati ajaran Islam.

Saya ingin memastikan pemuda yang saya pimpin mestilah berkualiti, bukan hanya mempunyai suara politik kuat, tapi dalamannya kosong. Oleh sebab itu, ucaptama saya adalah mengenai 'memurnikan perjuangan, memaknakan kemenangan'.

Perjuangan mampu dimurnikan berasaskan akhlak dan apa yang dikehendaki oleh ajaran Islam serta kemenangan dicapai itu adalah untuk menunaikan tanggungjawab. Kita mahu membina kehidupan berpaksikan ajaran Islam dan membina modal insan baik.

DR MASZLEE: Dr Asri menawarkan pandangan ketiga kepada masyarakat di dalam isu-isu agama dan politik. Apakah langkah untuk membawa transformasi daripada politik fitnah kepada politik matang di Malaysia?

DR ASRI: Saya rasa kita perlu keluarkan cara berfikir kita daripada apabila orang sebut, orang politik, bererti dia menjadi ahli kepada mana-mana parti politik. Contohnya bila saya memberi pandangan politik, orang akan cakap saya tidak patut mengeluarkan pandangan seperti itu kerana saya bukan ahli politik. Ini salah. Jika kita kekal dengan pemikiran begini, kita tidak akan dapat mengorak sebuah masyarakat yang matang dalam negara ini. Saya rasa ada satu perkara yang ditekankan pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu Islam Hadhari. Saya tidak bersetuju dengan Islam Hadhari tetapi amat tertarik dengan konsep Ulul Albab, iaitu orang yang mendengar semua pendapat dan mengikut yang terbaik, bukan hanya taksub kepada sesuatu pendapat. Jadi kita memerlukan gerakan yang boleh mengajak rakyat berfikir dan bersedia untuk menghukum parti politik bila-bila masa sahaja apabila kita rasa parti itu gagal. Mesti ada pergiliran politik dan perubahan iklim politik supaya para pemerintah tidak berada dalam suasana terlalu selesa. Kita perlukan gerakan intelektual seperti ini kerana kita yang menentukan masa depan orang politik, bukan orang politik menentukan masa depan kita.

Dr MASZLEE: Penjelasan telah diberikan oleh kesemua panel-panel hebat kita. Oleh demikian, sebagaimana biasa apakah kesimpulan yang akan diberikan setiap panel?

KHAIRY: Saya nak tegaskan kita datang di sini sebahagian adalah dari penyokong politik, ada dari Pemuda UMNO dan juga Pas. Tetapi jika kita hendak mengelak, ingin mengangkat politik kita lebih atas dari budaya fitnah dan sebagainya, kita perlu adil terhadap setiap hujah. Jangan datang dengan idea yang telah kita tetapkan, seakan kita mengubah pandangan walaupun kita berdepan dengan kebenaran. Kita kena adil. Saya datang di sini, jika dahulu sukar untuk dapat pemimpin UMNO datang satu pentas dengan pemimpin Pas. Sebab kita mahu bercakap soal perubahan, mungkin generasi lama tidak melihat percambahan idea. Jadi saya mahu beritahu, sekiranya pemimpin- pemimpin besar kita sama ada parti UMNO ataupun pembangkang enggan berdebat dalam pilihan raya akan datang, kita buat di kalangan Pemuda.

NASRUDIN: Tahniah kepada penganjur Sinar Harian. Bukan senang untuk menganjurkan wacana di mana satu keberanian diperlukan. Saya gembira dapat bertukar pandangan walaupun sedikit sebanyak terdapat kontra tetapi ini dilihat sebagai permulaan untuk kita mencari jalan ke arah politik matang selepas ini. Ianya lebih dewasa dalam menyelesaikan isu yang kita hadapi. Kesimpulan saya ialah untuk melahirkan hasrat bagi melaksanakan syariat Islam di negara kita. Saya percaya hanya dengan syariat Islam, semua permasalahan yang dihadapi akan berjaya diselesaikan.

DR ASRI: Fitnah perlu dihentikan. Parti-parti politik di Malaysia mesti membuang budaya ini dengan menggantikan budaya intelektual yang lebih matang, di mana perbahasan yang lebih ilmiah dan membuka kepada rakyat apa yang menjadi keperluan rakyat bukan membuka kepada rakyat mengenai isu-isu peribadi pemimpin. Tadi kita dengar kedua- dua pemimpin muda telah bersetuju hal ini. Kita perlu buktikan terutamanya pihak kerajaan, fitnah di media ini perlu dihentikan sebagai bukti. Orang politik perlu dipilih kerana kualitinya, idea dan kebijaksanaan nya bukan sebab tiada video lucah membabitkannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

TUDM tingkat kawalan udara

Posted: 01 Jun 2011 05:00 PM PDT

TUDM tingkat kawalan udara BUTTERWORTH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan kawalan udara di sempadan kerana sering berlaku permasalahan tuntutan pertindihan persempadanan.

Bagi memastikan usaha itu tercapai, TUDM bakal menerima kelengkapan inventori pasukan hingga 2015 sebagai usaha meningkatkan keupayaan menjaga kedaulatan ruang udara dari dicerobohi anasir luar.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, untuk menghadapi cabaran keselamatan dan pertahanan negara, TUDM sentiasa peka dengan isu keselamatan di peringkat serantau.

"Isu itu umpamanya permasalahan tuntutan bertindih sempadan, persaingan kuasa ekonomi di Laut China Selatan, aktiviti pencerobohan kawasan maritim dan ruang angkasa.

"Dalam usaha membendung isu itu, TUDM bersama agensi keselamatan lain akan terus memainkan peranan sebagai peneraju unggul dan sentiasa di hadapan untuk menangkis sebarang ancaman dari luar terhadap negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-53 di Pangkalan Udara Butterworth, semalam.

Katanya, bagi merealisasikannya, TUDM akan menerima beberapa radar kawalan bagi melengkapkan penggunaan sistem kawalan udara sedia ada, dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, ini berikutan beberapa kawasan terutamanya di Malaysia Timur masih kurang dari segi pengawasan udara.

"Terdapat jurang pengawasan udara di Sabah dan Sarawak. Inisiatif kita dalam tempoh terdekat ini untuk menambah sistem radar bagi mengawasi pergerakan masuk pesawat asing atau yang tidak diingini.

"Sebahagian lagi akan di pasang di Semenanjung. Ingin saya jelaskan bahawa, radar ini sebagai pelengkap untuk memastikan kapasiti kawalan udara dapat diperhatikan sepenuhnya," katanya.

Selain itu, bagi memantapkan lagi kebolehan TUDM beliau berkata, TUDM kini menunggu keputusan Kerajaan untuk meluluskan Sistem Kawalan dan Amaran Udara (AWACS).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved