Rabu, 15 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Anda tidak pernah ambil cuti sakit?

Posted: 14 Jun 2011 05:00 PM PDT

Syabas kepada Mohd Fakri yang selama 25 tahun bekerja tidak pernah ambil cuti sakit (mc). Moga hasrat murninya berusaha tidak ambil mc hingga bersara 10 tahun lagi tercapai.

Sebenarnya, bukan sedikit yang tidak pernah ambil mc. Saya boleh perkenalkan seorang hamba Allah yang tidak pernah mc dalam tempoh 38 tahun bekerja, kecuali dua hari; itu pun kerana dipaksa doktor sebab tercekik tulang ikan. Seorang pegawai tinggi jabatan kerajaan tidak pernah ambil mc kerana takut ke hospital. Beliau berumur 72 tahun sekarang. Saya doakan beliau terus sihat.

Ada juga yang barangkali tidak pernah ambil mc tapi waktu kerja panjat pasar raya dan masuk pawagam. Ada yang ambil mc tapi pusing seluruh bandar.

Oleh itu, biarlah yang tidak pernah ambil cuti atau mc itu ikhlas, bukan tidak cuti kerana sekadar hendak dipuji kawan dan majikan dan yang ambil mc itu juga jujur, bukan hendak cuti panjang hujung minggu untuk balik kampung.

Dikatanya, usahawan-usahawan sebenarnya ramai yang boleh dianggap kumpulan manusia istimewa. Mereka penuh dengan tenaga, kreatif, semangat berkobar dalam menjalankan pekerjaan dan selalu mengintai peluang.

Ramai usahawan di rantau Asia menulis mengenai pengalaman mereka, tapi di Malaysia, masih sedikit sangat sudi berbuat demkian. Sebuah buku yang saya baca beberapa tahun lalu, yang jika diterjemahkan bermaksud 'Di Setiap Lorong Ada Emas'.

Ia menceritakan mengenai kisah suka-duka Kim, seorang pengasas hebat sebuah syarikat Korea Selatan.

Seorang penagih kerja, Kim kerja 14 ke 16 jam sehari. Yang menarik dan yang saya ingat sangat hingga hari ini adalah Kim, masa itu, berusia lebih 50 tahun, bukan sekadar tidak ambil mc, bahkan tidak pernah tidak bekerja walau sehari pun dalam tempoh kerjayanya. Jadual kerjanya begitu ketat hingga beliau bersarapan pagi atau bercukur dalam kereta dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau ambil cuti hanya sehari, iaitu hari anak perempuannya kahwin.

Kim adalah antara usahawan yang melihat kemungkinan dalam ketidakmungkinan; seperti orang yang melihat peluang menjual kasut di negara penduduk berkaki ayam, atau seperti yang berjaya menjual peti ais kepada orang Eskimo.

Kim adalah usahawan daripada keluarga miskin masa peperangan, ketika ayahnya sendiri meringkuk dalam penjara, meninggalkan ibunya yang terpaksa menyara lima orang anak. Beliau menceritakan bagaimana beliau terpaksa berjalan 10 kilometer (dua jam) ke universiti setiap hari.

Dan dalam segala kesulitan yang dihadapi, beliau mempunyai mimpi besar untuk menjadi seseorang yang hebat dan berjaya di masa dewasa.

Pemegang ijazah bidang ekonomi, Kim banyak belajar masa menjual akhbar untuk bantu kehidupan keluarga.

Apa yang istimewa, beliau tentukan beliau edar akhbar dengan cepat untuk mendahului peniaga lain dan mengutip wang dalam perjalanan pulang. Beliau tidak mengutip semasa mengedar akhbar untuk kejar masa.

Digelar sebagai 'orang paling kuat bekerja di Korea Selatan', Kim menerima banyak hadiah atas kerja dan sumbangannya, termasuk di peringkat antarabangsa.

Nasihatnya kepada belia ialah mereka mesti ada impian. Belia yang tiada impian bukan belia, katanya.

Beliau sedar, di negaranya belia mahu kerja yang bergaji tinggi.

Tamak, padanya, boleh membawa kepada kekeliruan sosial dan di peringkat kebangsaan, peperangan. Sikap ini bertentangan dengan sikap generasi dahulu yang bekerja keras untuk masa depan.

Namun, dihujung hidupnya beliau tidak terlepas daripada masalah. Disebabkan asas kewangan yang rapuh, walaupun syarikatnya mempunyai cawangan terbanyak di luar negara, perniagaannya menjunam ketika krisis kewangan Asia pada 1998/9. Dia terpaksa jual hampir 50 perbadanan, dengan memberi tumpuan hanya kepada syarikat-syarikat besar.

Kim berada dalam senarai Interpol ketika di luar negara, meninggalkan syarikatnya pada 1999 dengan beban RM65 bilion untuk ditanggung kakitangannya.

Beliau ditangkap tidak lama selepas kembali ke Korea Selatan pada 2005 and memohon maaf 'kerana menyakitkan negara' dan menerima tanggungjawab penuh atas kejatuhan kumpulan syarikat dan bersedia menerima apa sahaja tindakan pihak berkuasa'.

Pada 2006, beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana menggelapkan wang dan penipuan akuan. Pada 2007, beliau diberi pengampunan oleh Presiden.

"Kesilapan saya, cita-cita saya terlalu tinggi. Saya cuba lakukan terlalu banyak, terlalu cepat." Balik kepada cerita awal. Apakah anda tergolong dalam kalangan mereka yang kuat kerja dan tidak pernah mc? Jika anda tidak pernah ambil mc selama 25 tahun ke atas, kecuali kurang lima hari kerana terpaksa, marilah kita tubuhkan Persatuan Orang Tidak Pernah Cuti Sakit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berlakon untuk melepas diri

Posted: 14 Jun 2011 05:00 PM PDT

Berlakon untuk melepas diri? Anda yang membaca artikel ini juga tidak boleh tidak, pernah berlakon untuk melepaskan diri daripada pelbagai situasi. Bermula sejak di zaman persekolahan, kita berlakon kononnya buku latihan tertinggal di rumah, padahal kita tidak membuat kerja sekolah. Kita berlakon, kaki kita sakit sebab tidak memakai kasut sekolah, padahal kasut kita basah kerana kita bermain lopak hujan petang semalam.

Apabila dewasa, berlakon untuk melepaskan diri menjadi satu mekanisme muslihat untuk mempertahankan diri. Berpura-pura tidak nampak si kakak penjaja kerepek yang singgah dari meja ke meja ketika kita makan di restoran, adalah satu contoh lakonan untuk mengelak daripada membeli jajan yang kita tidak ingini. Menyombongkan diri ketika dihampiri si pengutip derma di hadapan pintu bank mahupun mencampak telefon bimbit ketika berbual sewaktu memandu kerana takut disaman anggota polis trafik yang muncul di sisi adalah contoh lakonan untuk melepas diri.

Terdapat banyak lakonan yang kita lakukan untuk melepaskan diri. Apakah ini satu pembohongan? Ya. Berlakon untuk melepaskan diri juga adalah satu bentuk pembohongan. Saya tidak berani mengatakan ia bohong sunat kerana setahu saya, tidak ada istilah bohong sunat. Kerana itu saya juga tidak berani mengatakan, berlakon untuk melepaskan diri sebagai berpahala, apatah lagi satu perbuatan yang berdosa.

Namun, dalam pelbagai situasi dan ketika, kadangkala kita terpaksa berlakon untuk melepaskan kawan-kawan kita mahupun imej syarikat tempat kita bekerja. Contohnya, kita pernah menyatakan kawan kita Dol, sudah masuk ke pejabat tetapi terpaksa keluar kerana ada hal, sedangkan kita tahu dia datang lewat.

Ataupun memberitahu pihak pembekal, cek untuknya masih belum bos tandatangani lagi, padahal pihak syarikat kita belum ada duit untuk membayarnya. Lakonan untuk menutup kesalahan orang atau pihak lain kita lakukan untuk cover line.

Walau apa pun, berlakon untuk melepaskan diri juga wajar dilakukan agar kita tidak terjerat dengan tipu helah orang lain. Yang tidak bagusnya ialah apabila lakonan untuk melepas diri itu dilakukan berlebih-lebihan sampai sebati di dalam diri. Akhirnya, kita menjadi orang yang sentiasa bersandiwara untuk menipu orang lain.

Manusia yang sebegini menghidap gangguan psikologi yang dinamakan sindrom penafian. Sebuah artikel menarik The Denial Syndrome and Its Consequences, tulisan Dr. Sabrina P Ramet, seorang pensyarah yang berkelulusan Sains Politik, Universiti California, Los Angeles, Amerika menggariskan manusia yang menghidap gangguan psikologi ini.

Menurutnya, seseorang yang menghidapi gangguan psikologi sindrom penafian mempunyai tiga peringkat. Pertama, menafikan yang benar, sebaliknya percaya apa yang diperkatakannya itu yang benar. Kedua, menafikan yang benar, walaupun dia tahu yang apa yang diperkatakannya itu tidak benar.

Ketiga, dia mempunyai persepsi terpilih, ingatan terpilih dan intepretasi terpilih, lalu mengenepikan maklumat yang benar. Dalam erti kata lain, dia hanya memilih apa yang sesuai dengan kehendaknya.

Di peringkat ini, seseorang yang menghidapi sindrom penafian ini akan mempamerkan personaliti yang elok. Pada waktu yang sama, dia akan menyalah atau meletakkan kesemua kesalahan kepada orang lain. Dialah yang sentiasa benar dan orang lain yang menuduhnya pula yang salah.

Sindrom penafian yang ekstrim menjadikan seseorang itu kerap berbohong untuk melepaskan diri. Andainya ia sudah menjadi tabiat yang sebati di dalam diri, ia bererti dia terjerumus sebagai pembohong tegar yang hidup di dalam dunia pembohongan yang dianggapnya benar, sebaliknya realiti yang benar itu palsu pula baginya. Pendek kata, dia hidup di dalam dunia khayalan kerana sudah tidak sedar diri.

Orang begini berasakan dia boleh hidup dengan berbohong kerana dia menyangka orang lain sentiasa mempercayainya.

Ini sama sekali tidak akan terjadi kerana seperti kata Abraham Lincoln, "You can fool all the people some of the time, and some of the people all the time, but you cannot fool all the people all the time."

Bukan semua orang bodoh, tetapi ada orang bodoh bagi semua orang. Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved