Ahad, 5 Jun 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Assawabit neutral dijunjung

Posted: 04 Jun 2011 05:00 PM PDT

Upacara perasmian Ibupejabat Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam pagi Khamis lalu oleh Sultan Selangor Tuanku Sharafuddin Idris ringkas dan kemas: separuh formal, adat istiadat dipelihara tetapi tidak keterlaluan dan sekali gus "businesslike according to Malaysian standards" komen Speaking. Majlis berlangsung demikian kerana Sultan Idris, walaupun raja pemerintah, traditionalis baginda juga realis; moden dan businesslike.

Saya gembira dan bangga dengan kisah dan pencapaian Karangkraf dalam usianya 33 tahun: umpama bermula sebagai paya tetapi kini sudah menjadi bukit! Sinar, tiap hari antara 160,000 – 170,000 naskah, pembacanya pula pukul rata 660,000-700,000 orang, rata-rata muda-mudi dan orang Malaysia yang sedang membangun, mereka yang ada kemahiran, profesional atau separuh profesional. Pembacaan majalahnya (27) seramai lima juta tiap bulan tidak termasuk pembaca buku-bukunya. Ketiga-tiga: pembaca Sinar Harian, majalah-majalah dan buku terus meningkat. Saya kurang pasti sama ada Karangkraf melayari internet atau online. Apa pun kalau belum, saya yakin mereka akan memasuki dalam bidang itu. Maaflah, saya kurang arif tentang teknologi terbaru kerana saya dinosaur!

Datuk Hussamuddin Yaacob, pengasas Karangkraf, pemegang saham terbesar dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), orangnya kecil tetapi mempunyai visi: ramai berwawasan namun tidak bijak melaksananya secara praktikal, banyak wawasan tinggal sebagai khayalan sahaja, dalam ucapannya berkata: 'sebenarnya kami telah berpindah dari Taman Tun Dr Ismail, Wilayah Persekutuan ke Shah Alam, Selangor kira-kira lapan tahun dahulu sejajar dengan perkembangan pesat yang kami lalui (dalam 33 tahun). Langsung kami membeli tiga bangunan dan mengubahsuainya sebagai ibu pejabat korporat yang baru. Semua pembelian ini dari syarikat multi-nasional bagi menampung perkembangan masa hadapan'. Dengan adanya ketiga-tiga premis, Karangkraf sekarang merupakan satu-satunya syarikat Melayu (bukan GLC atau tersenarai di papan utama Bursa Malaysia) yang memiliki kawasan tanah paling luas, kira-kira 20 ekar dalam zon perindustrian paling pesat di Selangor. Karangkraf telah membuktikan keupayaan untuk bersaing di tengah-tengah kawasan keliling yang sebahagian besarnya dimiliki syarikat-syarikat multi-nasional asing.' Syabas. Tahniah. Sebuah syarikat Melayu maju dan sedang mara ke hadapan – Alhamdulillah – 'tanpa tongkat' pun! Mengikut sumber yang sahih tiap tahun, Karangkraf membelanjakan RM3 juta memberi biasiswa dan latihan pada kakitangannya dan anak Melayu lain menyambung pelajaran di universiti tempatan dan ramai pula ke Indonesia. Ramai wartawan, pelukis grafik dan lain-lain yang bertugas di Karangkraf dan Sinar adalah graduan Universiti Teknologi Mara yang juga di Shah Alam. Juga dari sumber yang sama, Sinar kini mendahului pengedaran dan pembaca harian tabloid yang terkenal Metro di Kelantan, Terengganu dan Kedah dan sedang meningkat pula di wilayah Selangor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain. Pendapatan jualan produk Karangkraf kini melebihi RM400 juta setahun.

Kejayaan Sinar, titah Sultan Selangor: 'Sinar Harian semakin popular. Beta membacanya setiap hari. Beta berharap Sinar akan terus mengekalkan sikap profesional dan beretika dalam melaporkan berita juga secara tepat dan cepat. Beta mahu akhbar ini lebih menumpukan kepada berita-berita yang mempunyai nilai pendidikan, motivasi dan kemanusiaan di samping memberi informasi yang tepat mengenai keadaan semasa di negara ini. Beta juga berharap akhbar Sinar Harian terus mengekalkan sikap neutralnya dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam melaporkan berita dan bukan membesar-besarkan cerita gosip atau sesuatu isu yang tidak betul.' Maknanya: kalau sara hidup rakyat naik, jika harga sayur, gula, petrol dan elektrik naik Sinar kenalah lapor bukan cuba 'spin' yakni putar belit untuk mengelirukan rakyat. Atau melaporkan 5,000 hadir di suatu majlis politik walhal yang sebenarnya tidak sampai pun separuh. Sukses Sinar ialah kerana setakat ini Sinar enggan menspinkan cerita bagi mana-mana pihak maka Sinar terus menjadi pilihan muda-mudi.

Secara umum, saya dapati perasaan muhibah muda-mudi kita pada Sinar dan penerbitan-penerbitan Karangkraf amat menggembirakan dan lebih penting minat mereka pada media neutral ini berkembang cepat dan meluas. Apa yang dihidang kena dengan selera mereka. Teruslah menyajikan berita dan isi yang bermanfaat, menarik, tepat, cepat dan bebas serta berkecuali. Komentari, analisis yang berwibawa, adil. Yang salah salahlah yang benar benarlah walaupun datang dari pihak yang tidak disukai. Jangan, bak kata Mat Salleh: 'shoot the messenger – memarahi pembawa berita!' Pembawa berita – baik atau tidak – patut disanjung.

Dia hanya cuba memberitahu keadaan sebenar. Kalau tidak percayalah sahaja pada yes men dan yes women: mereka yang lemah (suka membodek) selalu bersetuju dan memuji orang atas (boss) untuk mendapat keuntungan diri, mahu disayangi. Hindarilah sindrom Pak Turut yang beragenda!

Raja, pembesar, wartawan, politikus, orang bisnes dan korporat dan orang biasa semua bangsa berhimpunlah semuanya di majlis 'naik rumah baru' dengan disudahi makan tengah hari beradat dan beradab. Macam-macam pula hadiah diberi. Saya dapat satu payung berwarna ungu, warna korporat Karangkraf. Teringatlah saya pada lagu popular Melayu zaman saya 'Ketipang Payung'. Kerana hari panas terik payung itu selain daripada topi Panama yang saya pakai (bukan topi Mexico, juga bukan topi main golf) melindungi saya dari terkena matahari. Lebih simbolik, barangkali saya bisa berlindung di bawah payung Sinar. Sinar, cahayanya sedang memancar kini. Segeralah memayungi pergerakan memartabatkan agama, bangsa, bahasa dan negara tanpa takut dan gerun; tanpa berharap pujian. Satu keramaian 'naik rumah baru' yang nostalgik.

Dorongan dalaman dan karya

Posted: 04 Jun 2011 05:00 PM PDT

Apakah yang dimaksudkan dengan istilah karya kesusasteraan? Soalan ini telah dikemukakan oleh sahabat saya, arkitek yang berjaya.

Saya tahu, beliau sedar akan kehadiran novel, cerpen, skrip drama dan puisi di sekitar kehidupan kita. Saya yakin beliau juga sedar akan kewujudan segala macam karya sastera tradisi. Beliau mahu tahu tentang konsep kesusasteraan setepat-tepatnya, agar satu definisi dapat dipegang.

Saya perlu menjawab soalan Wan Shahreman Wan Hussain dengan cepat dan setepat-tepatnya. Kata saya, karya kesusasteraan ialah karya yang memuatkan isi budaya dan isi peribadi (kepercayaan, tingkah laku, fikiran dan perasaan), dicipta oleh orang yang berbakat dalam seni berbahasa, terhasil akibat dorongan dalaman.

Saya berpuas hati memberikan jawapan yang spontan itu. Ketika itu teringatlah saya akan karya persuratan yang dikemukakan oleh Mohd Affandi Hassan, dan dilanjutkan oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir. Jika saya menyatakan makna persuratan itu kepada Wan Shahreman, perbincangan akan menjadi berbelit-belit. Saya tidak terfikir Wan Shahreman akan gembira masuk ke perkara seperti itu, walaupun saya tahu beliau cenderung berbincang mengenai aneka perkara, baik mendengar pandangan, mahupun memberikan pandangan.

Karya persuratan yang dimaksudkan oleh Mohd Affandi Hassan ialah karya yang meletakkan ilmu di tempat utama, dan cerita dikebelakangkan. Dengan definisi yang mengarah ke situ, karya kesusasteraan akan terlihat kurang murni (berada di bawah karya persuratan), kerana karya kesusasteraan terhasil akibat daripada desakan atau dorongan psikologi sasterawan, tanpa meletakkan ilmu (atau hasrat untuk mendidik) di tempat utama.

Dalam karya kesusasteraan, jika ada pendidikan atau ilmu, itu bukanlah syarat. Karya kesusasteraan yang menekankan ilmu secara yang ketara dianggap karya didaktik. Karya sastera absurd, psikologikal, eksistensialistik dan lain-lain, akan ditinjau mengikut kriteria dalam pelaksanaan kesenian karya itu sendiri, bukan berasaskan nilai murni, ilmu dan lain-lain yang diputuskan melalui pemikiran pendidikan.

Ketika saya memikirkan jalan cerita untuk cerpen "Jalan Untuk Zeti" (Dewan Sastera, Mei 2011), saya memutuskan bahawa saya akan menghasilkan karya kesusasteraan, bukan karya persuratan. Rozninah Abd. Azib, editor Dewan Sastera berasa sedikit musykil, kerana watak Zetti ialah ustazah, tetapi dia mengamalkan poliandri, iaitu berkahwin lebih daripada seorang. Seorang wanita bersuami dua dalam karya kesusasteraan tidak mengapa, kerana itu ialah peniruan pada peristiwa dalam masyarakat. Sesekali muncul berita dalam akhbar bahawa seorang isteri disaman kerana bersuami dua. Rozninah dapat menerima peristiwa itu, tetapi baginya, untuk cerpen "Jalan untuk Zetti", watak Zetti janganlah bertugas sebagai ustazah! Saya tidak keberatan mengeluarkan jawatan ustazah daripada perwatakan Zetti, kerana pandangan editor kena kitalah hormati. Namun, dalam pengetahuan saya, dan untuk karya yang berjudul "Jalan untuk Zetti", wanita yang bersuami dua memang ustazah. Lantaran (saya tahu) Zetti ialah ustazah, maka saya terdorong kuat untuk menghasilkan cerpen itu. Ini ialah hakikat sasterawan.

Sasterawan mestilah menghasilkan karya mengenai apa-apa yang diketahuinya. Pandangan ini telah dikemukakan oleh Anwar Ridhwan kepada pelajarnya, dan pandangan tersebut berulang kali dicacatkan oleh Sasjira dalam novelnya Lestari Cintaku. Sri Diah yang berceramah tentang penulisan novel jua sering menyebutkan hal ini.

Pada fahaman saya, sesiapa yang mahu menghasilkan karya persuratan, dia hendaklah awal-awal lagi menetapkan bahawa ilmu akan mengambil tempat utama dalam karyanya itu. Lain halnya dengan seseorang yang mahu menulis karya kesusasteraan.

Karya kesusasteraan bermula daripada idea dan hasrat berkarya yang tidak boleh ditahan-tahan. Perkara yang utama ialah kreativiti. Jika seseorang memperoleh jalan cerita untuk sebuah novel, maka dia akan menghasilkan novel. Siti Rosmizah, penulis novel Andai Itu Takdirnya (terbitan Buku Prima Sdn Bhd), mengatakan bahawa karyanya itu bertolak daripada mimpi yang bersambung-sambung. Siti Rosmiza bertugas sebagai peguam, tetapi idea dan dorongan untuk penghasilan novel tidak dapat ditahan-tahannya. Karya kesusasteraan memang terhasil melalui jalan begitu.

Karya kesusasteraan yang bertolak daripada mimpi dapat dikaitkan dengan idea Sigmund Freud. Bagi tokoh psikoanalisis itu, karya kesusasteraan ialah hasil himpunan idea dan perasaan yang tersimpan di bahagian "the unconscious" sasterawan. Mimpi pun begitu. Jadi, mimpi Siti Rosmizah berturut-turut tiga malam (malam pertama pengenalan, malam kedua klimaks, dan malam ketiga penutup), biarpun sukar terjadi kepada orang lain, adalah munasabah.

Jika ada penasihatan yang termuat dalam novel Andai Itu Takdirnya, maka itu ialah kebetulan. Siti Rosmizah menghasilkan karya itu kerana dorongan dalaman, dan sememangnya karya kesusasteraan terhasil daripada dorongan begitu. Saya mendapat tahu, Sasjira dan Sri Diah juga menghasilkan karya kerana wujudnya dorongan dalaman.

Kita tahu bahawa Rosmizah didorong oleh mimpi, manakala Sasjira mungkin berasaskan pengalaman yang luas, manakala Sri Diah pula mungkin berasaskan kekayaan maklumat yang dalam pengetahuannya. Mereka sama dalam satu perkara, iaitu masing-masing gigih lantaran hadirnya dorongan dalaman.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved