Ahad, 4 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Bakat, minat dan kerajinan

Posted: 03 Sep 2011 05:00 PM PDT

Ini bukan sastera. Ini motivasi. Wujudkah manusia malas? Itu ialah satu soalan yang mudah dijawab, iaitu "Orang malas memang wujud." Jika tiada manusia yang malas, tentulah tidak wujud perkataan "MALAS". Namun, apabila kita hendak mengatakan si A atau si B itu malas, kita hendaklah berhati-hati. Katakanlah A itu Ahmad, dan B itu Baharum.

Sebelum berbicara tentang Ahmad dan Baharum, marilah kita fikirkan Nujum Pak Belalang, filem P Ramlee. Pak Belalang asyik tidur saja, manakala anaknya keluar mencari rezeki. Itu peringkat awalnya. Pada peringkat seterusnya, Pak Belalang menunjukkan kesungguhan berusaha melalui kerja 'nujum kaki temberang'. (Nota: lirik lagu berkenaan menyebutkan 'Wahai Nujum Pak Belalang/ Tuk Nujum kaki temberang'....)

Kerja menilik bukanlah contoh yang baik. Dari segi moral, kita mungkin bimbang kerana Pak Belalang berjaya mengahwini puteri raja hanya dengan temberang. Walau bagaimanapun, kita yakin remaja faham betul, bahawa cerita itu ialah jenaka. Dalam kesusasteraan, cerita jenaka berada di tempat tertentu.

Saya ingin menekankan persoalan 'malas' dan 'rajin'. Setelah menjadi nujum istana, kita mendapati Pak Belalang sentiasa berwajah ceria, dan rajin. Malah, keceriaannya itu berupaya membangkitkan rasa cinta puteri raja. Ketika berlawan dengan ahli nujum dari negeri lain, Pak Belalang memaparkan kesungguhan, iaitu satu cabang kerajinan. Tidak kiralah dia tahu jawapan yang dipinta oleh musuh melalui 'pintu belakang'. Apa yang penting dia yakin dan bersemangat. Bagaimanakah orang yang amat malas tiba-tiba bertukar menjadi rajin dan ceria?

Kerajinan amat berkaitan dengan minat. Minat (dalam hal tertentu) amat berkaitan dengan bakat. Bakat dan minat memerlukan pendorong, hasilnya seseorang yang berbakat dan berminat itu akan menjadi rajin. Dalam hal Pak Belalang, bakat dan minatnya didorong oleh kemewahan yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya, dan seterusnya oleh cinta Tuan Puteri. Sekarang, kita beralih pada hal-hal di sekitar kita. Terdapat anak muda (Ahmad) yang meminta bapanya membeli gitar. Setelah kehendaknya dipenuhi, maka Ahmad pun bermain gitar pagi dan petang. Kerja lain tidak dibuatnya.

Ahmad dianggap pemuda yang malas. Ibunya bergaduh dengan bapanya, "Itulah. Abang ikut kemahuan dia. Buat apa abang belikannya gitar? Apabila ada gitar, dia malas membuat kerja lain." Adakah anggapan ibu Ahmad itu betul? Jika Ahmad malas, mengapakah dia tidak jemu-jemu bermain gitar?

Ahmad bertemu dengan beberapa kawan yang meminati muzik. Oleh sebab mereka mempunyai minat sama, mereka rajin berlatih, dan akhirnya menyertai pertandingan anjuran satu kementerian. Kumpulannya (Kembara Desa) menang dan menjadi terkenal. Mereka memperoleh pendapatan yang banyak hasil persembahan di sana sini, termasuk di kaca televisyen. Adakah ibu Ahmad masih mengatakan Ahmad malas?

Baharum asyik melukis. Lukisannya disimpan di dalam stor di rumahnya. Isterinya mengatakan dia malas, kerana tidak melakukan kerja-kerja mendatangkan hasil. Apabila seseorang berusaha memperkenalkannya sebagai pelukis berbakat besar, lukisannya dapat dijual dengan harga mahal. Baharum mendapat hasil jualan yang lumayan. Malaskah Baharum?

Kesimpulan daripada contoh-contoh di atas, ada dua.

Pertama, dalam hal khusus, kerajinan datang daripada dorongan yang berkaitan dengan bakat dan minat. Seseorang mungkin ada bakat tertentu, tetapi tidak didorong untuk mencapai tahap yang cemerlang. Pemain gitar perlu bersua dengan pemuzik lain untuk bergabung dan sama-sama mengejar kemajuan. Pelukis memerlukan orang yang memperkenalkan diri dan karyanya. Mereka tidak malas.

Kedua, dalam hal umum, kerajinan berkaitan dengan minat. Untuk menjaga kaunter, sesiapa pun boleh, tidak memerlukan bakat tertentu. Jika dia tidak berminat, maka dia kelihatan murung dan masam. Jika dia berminat, dia kelihatan ceria.

Oleh itu, carilah bidang yang bersesuaian dengan bakat dan minat. Jika itu ditemukan, saya percaya tiada siapa pun yang malas.

Puasa enam vs rumah terbuka

Posted: 03 Sep 2011 05:00 PM PDT

BAGI sesetengah orang, mereka hanya beraya pada 1 Syawal, dan pada hari raya kedua menyambung puasa selama enam hari berturut-turut. Selepas itu mereka beraya sakan pula pada 8 Syawal.

Ada yang hanya memulakan puasa enam setelah seminggu Aidilfitri, sebab mereka tidak tahan dengan godaan dan dugaan untuk berpuasa ketika juadah-juadah raya masih melimpah di atas meja.

Ada yang mula berpuasa hanya pada pertengahan Syawal, sebab waktu itu saku sudah kering dan tidak mampu lagi untuk makan di restoran atau gerai. Dalam keadaan pokai mereka melakukan puasa enam, tidak semestinya berturut-turut tetapi selang seli selagi ada Syawal.

Ada juga yang tidak sempat menghabiskan puasa enam sebab setiap hari ada undangan rumah terbuka. Sudah setengah hari berpuasa tiba-tiba menerima panggilan untuk ke rumah terbuka seorang teman rapat.

Sebenarnya bagi yang bersungguh hendak mendapatkan pahala puasa enam, mereka akan lakukan walaupun dengan godaan dan dugaan yang hebat. Tetapi bagi yang tidak mahu buat, ada sahaja alasan.

Kata orang nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Syabas kepada mereka yang dapat menyempurnakan puasa sunat Syawal. Selamat berumah terbuka kepada mereka yang tidak sanggup menghadapi dugaan.

WALAUPUN rata-rata orang mengeluh tidak cukup duit sebab serba-serbi mahal, masih ramai yang meneruskan tradisi rumah terbuka Aidilfitri. Setiap hari ada rumah terbuka, terutama hujung minggu.

Kad-kad ucapan hari raya yang saya terima minggu terakhir Ramadan, semua disertakan undangan ke rumah terbuka. Ini yang dikatakan '2 dalam 1' – satu kad dua tujuan iaitu untuk ucap selamat dan untuk undangan.

Para pemimpin mengundang rakyat jelata berbagai kaum untuk ke rumah terbuka sambil sama-sama merayakan hari besar ini. Menteri, timbalan menteri, orang-orang korporat tidak putus-putus menjamu di rumah terbuka.

Nama sahaja 'rumah terbuka', pada hakikatnya kebanyakan mereka tidak menjamu di rumah tetapi di hotel-hotel mewah. Oleh sebab nama hotel mewah, yang dihidangkan kepada tetamu semua mewah-mewah.

Tidak sahaja ketupat dan rendang yang menjadi trade mark tradisional, ada sekian banyak juadah dihamparkan untuk tetamu – sate, ketam goreng, udang, daging salai, kambing panggang, sup gear-box, martabak, roti canai, tose, pendek kata semua ada.

Ada hotel yang mengenakan bayaran sehingga RM150 setiap kepala untuk jamuan di rumah terbuka. Bayangkan sekiranya yang diundang 1,000 orang, berapa banyak harga jamuan itu.

Pendek kata, walaupun rata-rata orang ramai mengeluh sebab harga bahan makanan melambung – kelapa sebiji pun RM2! – masih ramai juga yang bermewah-mewah mengadakan rumah terbuka.

SEPERTI biasa ada beberapa perkara mengenai rumah terbuka yang nampaknya tidak menepati semangat Aidilfitri sebenar. Perkara ini sering ditegur oleh ulama, tetapi tidak dihiraukan. Siapa peduli!

Ada rumah terbuka yang disertakan dengan hiburan seperti karaoke untuk tetamu. Tetamu menyanyi dan yang lain-lain boleh menari ikut suka hati, betul-betul macam parti hari jadi. Tarian 'poco-poco' yang telah difatwakan haram di sesetengah negeri pun menjadi acara dalam rumah terbuka. Cabutan bertuah, lawak jenaka yang mengandungi gosip dan fitnah pun ada juga.

Aidilfitri adalah perayaan agama Islam, tentulah tidak sesuai sekiranya ada acara hiburan seperti itu, lebih-lebih lagi sekiranya yang datang menayang betis, paha, lengan, malah ketiak. Orang Islam pun buka-buka juga di rumah terbuka.

Mereka kata: "Saya ada duit dan mampu, apa salahnya saya hendak menghibur tetamu dengan hiburan-hiburan seperti itu?" Masalahnya ini majlis Syawal @ Aidilfitri @ Raya Puasa, bukan parti hari jadi atau parti 'house warming'.

Kalau orang Islam sendiri tidak menghormati – malah 'mengotori' – perayaan Islam, tentulah orang bukan Islam memandang rendah terhadap kita.

AKHIR kalam, orang mula mendedahkan kemewahan keluarga Muammar Gaddafi bekas pemimpin Libya yang kini dalam buruan pemberontak. 'Istana' yang dipenuhi perabot mewah, kolam renang, kereta-kereta, dan semua yang di luar jangkaan.

Ketika dia berkuasa selama tiga dekad tidak seorang pun berani mempertikaikan dari mana dia dapat semua kemewahan itu. Begitulah bila sudah jatuh, barulah kemewahan menjadi persoalan, semuanya akan dibongkar satu persatu. Harap-harap pemimpin kita tidak mewah begitu. - TOK PERAK

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved