Rabu, 14 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Catatan pemerhatian dari Abu Dhabi

Posted: 13 Sep 2011 05:00 PM PDT

Salam dari... tunggu sekejap, di mana ini sekarang? Maaf, minda celaru kerana terlalu lama berkurung secara sukarela dalam pesawat. Tidak bagus untuk penghidap penyakit klaustrofobia seperti saya. Saya mula sekali lagi, salam dari kerusi menunggu balai berlepas, lapangan terbang antarabangsa Doha. Tujuh jam dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Abu Dhabi, saya mula meragui kebijaksanaan perjalanan yang dirancang. Rasa penat, mengantuk dan keliru dalam zon waktu yang berbeza berbaur jadi satu.

Sebentar tadi, bila pesawat Qatar Airways mula turun di pesisir Selat Parsi dan ketika melihat saujana padang pasir yang berceratuk dengan bangunan pencakar langit, mercu pembangunan Abu Dhabi, hati saya melonjak dengan rasa teruja yang sukar dikawal. Destinasi pertama perjalanan, Istanbul, hanya tinggal empat jam sahaja lagi dari Doha. Tapi saat ini, dalam masa transit di Doha, badan saya lemau tidak bermaya.

Ketika berjalan menuju balai berlepas, saya pejamkan mata dalam usaha mengekang nafsu dari terlibat dengan acara membeli-belah di syurga barang-barang bebas cukai. Niat di hati ingin tidur di balai berlepas berbantalkan beg sandang. Untung-untung dapat tidur sejam dua, sudah mencukupi.

Sebelum tidur, saya merancang dalam otak untuk mencari plag punca kuasa elektrik untuk memberi nafas kepada komputer riba dan telefon pintar. Malang sungguh, dalam lapangan terbang yang sedang dinaiktaraf dengan belanja sebanyak USD 2 bilion dan dijangka siap pada 2015 ini, mencari alur plag dan arus elektrik itu satu perkara yang hampir mustahil. Ini antara aspek mengembara paling saya benci, bila gadjet habis bateri dan sambungan internet tidak menentu. Harap-harap email untuk ruangan ini sempat sampai ke inbox Darina dan Encik Jalil Ali sebelum skrin komputer jadi hitam tanpa kuasa.

Dan niat untuk melelapkan mata ini juga mungkin tidak kesampaian. Sistem pengumuman yang terlalu kuat dalam pelbagai bahasa tidak putus-putus menggigit telinga. Ratusan lampu menyimbah terang ke segenap sudut dan lapangan terbang Doha ini sebenarnya terlalu kecil untuk menampung ribuan penumpang dalam transit antara benua Eropah, Timur Tengah dan Asia.

Suasana kelam-kabut walau hari masih pagi. Bunyi-bunyi pembinaan sekitar lapangan terbang mengusai ruang udara, berkecamuk dengan bunyi sistem pengumuman dan bahasa asing di sekeliling saya. Gamat, gegak-gempita. Mana mungkin saya tidur? Kerusi tempat duduk juga penuh, tidak cukup untuk menampung keperluan penumpang. Lima anak muda yang bertutur dalam bahasa Perancis sebentar tadi, kini bergelimpangan tidur di atas lantai sahaja. Walau sepenat mana tubuh, saya tidak mampu untuk tidur di atas lantai yang sejuk beku itu.

Setiap kali terbang ke mana-mana, lapangan terbang selalu membikin saya rasa seperti berada dalam twilight zone apabila memerhati langkah manusia bertali arus mengejar destinasi masing-masing, mendengar bahasa-bahasa asing yang singgah di telinga, dan mengamati persekitaran berbeza.

Lenguh mengetuk papan kekunci, saya kerling suami di sisi. Ah, sudah tidur dia. Senang sungguh melelapkan mata teman sebilik saya ini. Memandang wajah beliau yang lesu, rasa kasihan merenggut di hati. Kerana suratan jodoh, dia jadi mangsa melayan ketagihan saya melihat tanah asing. Walau dia selalu sibuk dan hidup dalam jadual yang teratur setiap hari, bila masa dan kewangan mengizinkan, dia tetap menurut gila si isteri.

Tahun lepas saya paksa dia memandu 500 batu mencari kubah batu kapur, The 12 Apostle, di Selat Bass. Tahun ini, saya pujuk dia untuk menemani saya menjejaki Suleyman the Magnificient, Sultan Mehmet II dan si arkitek hebat empayar Ottaman, Mimar Sinan. Dan sekiranya diizinkan waktu, saya juga akan menulis perihal sejarah dan tamadun kemanusiaan dari tanah tempat lahir demokrasi dan sukan Olimpik di Athens.

Apabila saya toleh ke arah tingkap lapangan terbang Doha, mata terkilas pandang dengan apa yang digelar sebagai Saudi Arabia – tanah padang pasir yang lapang lagi menakjubkan, terhampar sejauh habis pandangan mata. Kekuasaan Ilahi yang tidak mampu saya gambarkan dengan perkataan.

Ruangan ini juga akan bersara sebentar dari memberi komentar tentang isu semasa di Kuala Lumpur yang amat saya sayangi. Dan selama berjalan mengukur sejarah peradaban manusia di Turki dan Greece, akan saya kirimkan nota ruangan dari mana-mana saya berada. Maaf, kuasa komputer riba sudah tinggal 10 peratus dan harus saya manfaatkan untuk menghantar email ruangan. Sampai ketemu lagi minggu hadapan dari air yang memisahkan antara Eropah dan Asia, Selat Bhosphorus.

* Elviza Michele Kamal juga seorang peguam yang sedang berkicau di http://twitter.com/elviza

Fikir sahaja apa yang kita mahu

Posted: 13 Sep 2011 05:00 PM PDT

Baru-baru ini, saya bertemu dengan Dr Khairil seorang jiran lama. Banyak yang kami perbualkan. Sambil bertanya mengenai kliniknya di Seremban, saya berkata, selepas raya tentulah kliniknya didatangi ramai pesakit. Sambil mengiakan, dia menjawab, ramai yang datang mengadu batuk, selesema, demam dan cirit-birit. Pesakit-pesakit yang serius tidaklah ramai, tetapi kalau ada biasanya kes-kes kecemasan seperti kemalangan, kes jantung dan darah tinggi.

Menurut Dr Khairil lagi, dalam kalangan pesakitnya, terdapat juga mereka yang sebenarnya tak sakit, tetapi berfikir yang mereka sakit. Mereka adalah pesakit yang datang berulang-kali ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang sama. Biasanya, mereka mengadu pening kepala dan sakit-sakit badan. Untuk mereka ini, saya akan bertanya satu soalan yang boleh membuatkan mereka jarang datang ke kliniknya lagi kerana sudah hilang sakit!

Kata Dr Khairil, "Untuk mereka ini, saya akan bertanya mereka… 'kenapa datang ke klinik saya?' Jawapan lazim mereka ialah, 'sebab saya hendak ubati penyakit.' Kepada mereka ini, saya akan tegur supaya memperbetul jawapan mereka. Ubah sahaja jawapan daripada 'saya hendak ubati penyakit' kepada 'saya hendak sihat.' Itu sahaja."

"Walaupun tujuan mereka datang ke klinik saya adalah sama, tetapi terdapat perbezaan jawapan yang benar-benar membantu seseorang itu bukan sahaja berfikiran positif, malah bersemangat. Jawapan 'saya hendak ubati penyakit' bertujuan positif tetapi memfokus kepada unsur yang negatif iaitu 'penyakit.' Sedangkan jawapan 'saya hendak sihat' hanya memfokus kepada yang positif semata-mata."

"Biasanya pesakit begini sudah tidak datang lagi ke klinik saya. Kalau terserempak di tepi jalan, mereka memberitahu saya yang mereka sudah tidak sakit lagi kerana bukan sahaja mereka berfikiran positif, tetapi memfokus kepada yang positif semata-mata."

Sebelum berpisah, Dr Khairil memberikan pandangan yang penting untuk renungan kita bersama. Katanya, pada hari ini, kita di kelilingi terlalu banyak perkataan-perkataan dan perkara yang berunsur negatif, sehinggakan kita menjadi suka kepada perkara-perkara yang buruk.

Saya setuju dengan pandangan beliau. Media massa yang mempengaruhi sebahagian besar daripada kehidupan kita banyak sekali menyampaikan sesuatu yang mempunyai unsur negatif dan melalui perkataan yang negatif juga hinggakan ia menjadi santapan minda kita. Jika kita membuka akhbar dan melihat tajuk berita 'Seorang Penumpang Maut Kemalangan Bas,' ia tidak menceritakan 40 lain yang terselamat. Begitu juga, kalau kemalangan yang tidak berlaku pun ditulis, 'Sekeluarga Nyaris Maut Kereta Terjun Gaung.' Ia tidak ditulis 'Sekeluarga Terselamat Kereta Terjun Gaung.'

Lihatlah berita-berita yang mengutamakan yang negatif di televisyen. Hinggakan kita diasuh untuk lebih berminat hendak melihat berita NGO berdemonstrasi, tetapi memandang enteng sebuah berita mengenai 10,000 tawaran kerja kosong berikutan dengan pelaburan sebuah syarikat antarabangsa. Lihatlah juga di alam siber; kisah-kisah yang negatif di blog, facebook dan twitter mendapat lebih banyak komen berbanding dengan tulisan-tulisan yang positif.

Apa hendak jadi dengan kita? Kita semua mengimpikan kehidupan yang baik, aman damai, harmoni, cukup makan pakai dan sejahtera hingga berpindah ke alam yang satu lagi. Tetapi dalam kehidupan seharian, kita seolah-olah ketagih dengan apa sahaja yang negatif. Malah, tidak keterlaluan jika kita lihat usaha kelompok manusia untuk memajukan masyarakatnya dalam bidang politik, ekonomi, sains dan sosial lebih banyak membicarakan mengenai masalah bukannya penyelesaian.

Bicara agama pun lebih banyak berkisar mengenai neraka dan bukan syurga, lebih banyak mengenai dosa dan bukan pahala, lebih banyak yang tidak boleh daripada yang boleh. Bukankah pembicaraan begitu tidak seiring dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagai pembawa berita gembira untuk umat manusia? Ucapan itu doa. Kerana itulah, pandangan, fikiran, bacaan dan perlakuan kita sepatutnya hanya yang positif. Untuk benar-benar berjaya, kita kena fikir sahaja apa yang kita mahu, bukannya apa yang kita tidak mahu.

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved