Rabu, 10 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Mismah, kita dah tahu anda di mana

Posted: 09 Aug 2011 05:00 PM PDT

Sehari sebelum puasa pada 1 Ogos lalu, Datuk Seri Najib Razak, meminta semua pihak hormati kesucian Ramadan dengan mengetepikan politik.

UMNO, kata Presiden parti pemerintah itu, akan tumpu kepada program berbentuk ibadah dan sumbangan kepada mereka memerlukan sepanjang bulan mulia ini, meskipun pembangkang "dalam kepalanya semua politik".

Tidak sampai beberapa jam selepas nasihat Najib itu, negara dikejutkan dengan kemunculan Mismah, wanita mistri, yang didakwa mendapat taraf warganegara dalam tempoh empat jam. Pembangkang tidak melepaskan peluang - puasa atau tidak - untuk mempertikaikan pendaftaran 1,597 pengundi dalam draf daftar pemilih tambahan bagi pemilih berdaftar, yang Mismah termasuk di dalamnya, sehingga akhir bulan Jun, yang disenaraikan di laman sesawang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai penduduk tetap.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah 'kecuaian teknikal', manakala JPN menjelaskan rekod JPN menunjukkan Mismah sebenarnya telah dapat taraf penduduk tetap pada 17 Julai 1982.

Menurut JPN, taraf Mismah sebagai warganegara Malaysia telah diluluskan pada 31 Januari 2011 selepas 29 tahun memegang taraf penduduk tetap.

Kini saya sudah tahu Mismah di mana dan sedang cuba merungkai kekusutan yang ada. Masalahnya di negara ini, apa sahaja isu yang timbul tidak mudah dinafikan. Di negara ini dan barangkali di mana sahaja, khabar angin dianggap benar, sehingga terbukti sebaliknya.

Sama ada penjelasan JPN dan SPR boleh diterima atau tidak, bergantung kepada dari sudut mana yang anda hendak lihat, tetapi yang pasti nama Mismah - termasuk beberapa lagi; yang terkini, pemilih bernama 'Kampung Baru' - akan terus diarak merata-rata hingga kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), yang tarikh terakhirnya adalah 7 Mac, 2013, tetapi dipercayai akan diadakan seawal November atau selewat-lewatnya Mac depan.

Barangkali lega dengan hasil Wacana 'Apa selepas Julai 9?' anjuran Sinar Harian baru-baru ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar sudah kurang bertegang leher dengan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk S Ambiga melalui media mengenai lapan tuntutan, termasuk penggunaan biometrik dan dakwat kekal, tetapi ramai geli hati dengan cerita pengundi di Pulau Ketam, Selangor, yang menempa sejarah mengguna inai di jari selepas memilih ketua masyarakat mereka bulan lalu.

"Ia berjaya. Tidak perlu bazirkan wang guna biometrik," kata seorang pemimpin di situ. Itu satu isu; yang lain banyak lagi.

Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim membuat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hampir hilang sabar dengan cabarannya supaya Mursyidul Am Pas itu jangan sembunyikan kebenaran beliau mengadakan pertemuan sulit berhubung dengan cadangan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, bagi menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Lawak jenaka," komen Nik Aziz, yang menegaskan beliau tidak pernah sembunyi rahsia apa pun dan mengingatkan media guna Ramadan tulis yang benar.

"Ingatlah, apa yang ditulis dan diucap akan menjadi bahan untuk dihisab oleh Allah di akhirat," katanya melalui Facebook.

Membaca isu demi isu dan perdebatan politik membuatkan saya terfikir apa perlunya tuntutan Bersih 2.0 untuk dibenarkan kempen pilihan raya diadakan hingga 21 hari.

Anda tidak perlu menjadi penganalisis politik untuk menyedari di Malaysia kempen pilihan raya berjalan sepanjang masa.

Ia bermula sebaik sahaja PRU-12 tamat pada 8 Mac 2008; tiap-tiap hari, melalui risalah, media, ceramah, laman sesawang dan apa sahaja yang boleh dijadikan alat berkempen. Dan maaf cakap, setiap kali ada wakil rakyat meninggal dunia, sebelum selesai urusan pengebumian, siapa penggantinya sudah ligat dibahaskan.

Patutlah pilihan raya dianggap pesta.

Akhir kata, saya perlu beri kepujian kepada Sinar Harian, akhbar muda yang muncul hanya enam tahun lalu di bawah Kumpulan Media Karangkraf, kerana telah berjaya mengadakan lima wacana, satu setiap bulan. Program ini, termasuk yang terakhir bertajuk 'Apa Selepas Julai 9?' turut berjaya menyuntik harapan baru kepada perkembangan minda rakyat dan masa depan negara.

Di sinilah tempat yang dirasai paling selesa setakat ini oleh banyak pihak untuk duduk dan berbincang apa sahaja isu dan mencapai apa yang dihajati tanpa ragu-ragu; tidak apa kalau terdapat sedikit keriuhan dan sindir menyindir. Ia tetap sihat dan menggalakkan.

Yang penting, ada sinar harapan untuk rakyat di negara yang kita cintai ini.

Alangkah baiknya jika wacana seperti ini dapat dianjurkan sejak dahulu lagi. Tentu banyak daripada matlamat kita sudah tercapai.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Rungkai dilema guru B. Inggeris

Posted: 09 Aug 2011 05:00 PM PDT

Pagi Ahad lepas, kening saya terjungkit dalam keliru semasa membaca laporan akhbar bertajuk: Lack of trained teachers the cause. Laporan itu telah memetik buah fikiran Presiden National Union of Teaching Profession (NUTP), Hashim Adnan, yang berpendapat guru Bahasa Inggeris negara tidak fasih dan kurang arif dalam perkara dasar yang membentuk penguasaan bahasa itu secara efektif. Tambah beliau lagi, bagaimana hendak mengajar murid apabila guru sendiri tidak mahir dengan bahasa penjajah itu.

Maaf, saya tidak setuju dengan keseluruhan pendapat presiden NUTP. Beban penguasaan dan kefasihan seseorang murid berbahasa Inggeris tidak jatuh sepenuhnya di bahu guru. Antara yang memainkan peranan sama penting ialah persekitaran, gaji guru, masa dan sukatan pelajaran.

Setelah bersembang panjang dengan dua guru Bahasa Inggeris di Kuala Lumpur dan pedalaman Sabah, saya berpendapat, perkara tonggak yang menjadikan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan generasi baru tidak memberangsangkan langsung, adalah kerana mereka tidak berminat dengan bahasa lingua franca itu. Bukan masalah kualiti guru. Kedua guru yang bercakap dengan saya semalam amat fasih berbahasa Inggeris, emel mereka juga tiada cela dari segi struktur ayat, tatabahasa dan gaya penulisan.

Sebab mutakhir murid tidak berminat dengan Inggeris sebagai bahasa kedua adalah kerana mereka tidak mempunyai daya kefahaman yang jitu. Contohnya, salah seorang daripada dua guru tersebut, telah mengajukan soalan kepada seorang murid Tahun Lima di sekolah beliau: "how are you today?" Si kecil membalas: "today is Monday." Di sini jelas menunjukkan anak berusia 11 tahun itu tidak faham konteks soalan ringkas di atas. Apabila tidak faham, tahap minat akan merudum. Bila minat merudum, penguasaan bahasa jadi terbantut. Isu menjana minat ini, saya percaya, bergantung pada pendedahan.

Manakala pendedahan itu pula harus bermula dari usia yang muda. Dan apabila kita berdebat soal pendedahan, kita tidak boleh menuding jari kepada sistem pendidikan semata.

Anak-anak yang didedahkan dengan pertuturan, program TV, bahan bacaan seperti buku dan internet dalam Bahasa Inggeris, secara tidak langsung, akan membawa minat tersebut apabila ke sekolah. Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh bergantung dengan masa tiga setengah jam seminggu, slot mata pelajaran bahasa Inggeris itu sahaja, untuk menjadikan anak-anak kita fasih.

Pesan saya untuk ibu bapa, rancangan kartun bahasa Inggeris jangan dialihbahasakan. Sungguh cacat bila Dora The Explorer bertutur dalam bahasa Melayu. Bahan bacaan awal anak-anak perlu ada dalam bahasa Inggeris. Mereka harus didedahkan dengan laman web dan aplikasi komputer dalam bahasa yang sama. Lebih afdal sekiranya bahasa Inggeris digunakan secara rawak di rumah. Jika salah tidak mengapa, tiada noktah dalam perjalanan menimba ilmu.

Sekarang mari kita lihat profesion perguruan di Malaysia. Adakah mereka diberi balasan gaji setimpal dengan masa diluangkan untuk mengajar, menjalankan aktiviti bersama murid-murid dan menulis laporan berjela panjang setiap hari? Di Singapura misalnya, profesion guru adalah salah satu dari lima pekerjaan yang mendapat gaji tertinggi di kota singa. Guru-guru mereka diasak menjadi lebih kompetitif dengan sogokan gaji dan bonus tinggi setiap tahun. Perkara sama boleh diadaptasi di negara kita untuk menjadikan guru Bahasa Inggeris lebih kompetitif dan bersemangat dalam mendorong anak-anak fasih berbahasa Inggeris.

Singapura juga ambil inisiatif dengan menyerap hanya graduan terpandai untuk menjadi guru.

Sukatan pelajaran yang berkisar setakat di bilik darjah dan makmal komputer sahaja sebenarnya amat konvensional lagi membosankan. Kemahiran berbahasa – tidak kira bahasa apa sekalipun – bergantung pada sistem pembelajaran yang interaktif dan moden.

Sudahkah kita kaji bagaimana negara-negara seperti Amerika dan Australia ajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua kepada komuniti Orang Asli mereka? Apabila sesuatu bahasa itu bukan bahasa perantaraan utama kehidupan, pendekatan berbeza perlu diambil, bukan sewenang boleh menyalahkan guru sahaja.

Program menggaji native speaker sebagai mentor guru-guru Bahasa Inggeris tidak salah, cuma keberkesanan program itu mungkin lambat. Tanggungjawab ini dipikul sama rata oleh ibu bapa dan guru-guru. Ibu bapa harus memberi pendedahan awal, manakala guru-guru pula perlu dibekalkan sukatan pelajaran yang moden dan interaktif. Gabungkan juga peranan internet dan media bukan konvensional untuk menjana minat generasi alaf baru.

Saya pernah bertanya sepupu saya, abang Remy, bagaimana anak perempuan beliau yang baru berusia enam tahun boleh fasih Inggeris? Jawab beliau selamba: "hadapkan saja dia dengan Play House Disney setiap hari." Dan sebenarnya saya menggunakan resipi yang sama. Jika pembaca budiman tidak percaya, sila cuba.

* Elviza sangat pantang berguru kepalang ajar. Dengar kicauan beliau di http://twitter.com/elviza

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved