Isnin, 22 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Siapa yang untung lebih?

Posted: 21 Aug 2011 05:00 PM PDT

Pada 10 Ogos 2011 saya tersentak membaca berita 41 pelajar mendapat biasiswa Sun-MAPCU (The Malaysian Association of Private Colleges & Universities) bernilai RM4.5 juta. Saya berasa pelik, kenapa tidak ada seorang pun penerimanya kalangan orang Melayu (Islam)? Adakah tidak ada permohonan? Atau tidak ada yang layak? Malangnya, tidak ada pertubuhan Melayu atau orang Melayu yang bersuara atau mendesak atau bertanyakan kenapa tidak ada pelajar Melayu mendapat biasiswa tersebut? Bayangkan jika semua pelajar Melayu mendapat biasiswa itu, apakah reaksi bukan Melayu? Sudah dapat dijangkakan. Heboh satu dunia.

Inilah sifat Melayu yang saya puji, jarang sekali kiasu, apatah lagi menjadi ultra. Kiasu ini ada baik dan buruk. Jika langsung tidak ada kiasu, bagaimana kita mahu bersaing dengan orang lain. Buruknya pula, jika kiasu sampai kepada peringkat ekstrem, ia akan menimbulkan pelbagai masalah seperti berlaku hari ini. Pendek kata, kiasu perlu ada dalam diri kita, tetapi perlu digunakan pada tempatnya. Jika terus menerus kiasu sehingga menjadi ultra, kontroversi dan masalah tidak akan selesai.

Misalnya, kontroversi biasiswa JPA terus berlaku saban tahun. Apabila senarai penerima biasiswa dikeluarkan, suara ultra kiasulah yang paling lantang. Mereka akan menyediakan senarai panjang calon-calon mereka yang dikatakan layak tetapi tidak tersenarai. Mereka tidak sedar, masih ramai pelajar Melayu yang layak juga tidak tersenarai.

Tidak cukup dengan itu, biasiswa yayasan-yayasan negeri yang ditawarkan turut menjadi rebutan, terutama Yayasan Selangor. Ultra kiasu semakin mendesak supaya mereka juga diberikan peluang sama. Saya tidak nafikan hak setiap warganegara, tetapi biarlah berpada-pada, berpandukan kepada 'formula' dan garis panduan yang ada.

Tidak lama lagi, jika kerajaan mengiktiraf UEC (Unified Examination Certificate), yakni sijil yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina, perebutan dan persaingan akan menjadi semakin sengit, walaupun ada kalangan mereka yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mendapat pangkat baik dalam peperiksaan.

Isu ini sengaja dipolitikkan oleh ultra kiasu untuk mendapatkan sokongan walaupun hakikatnya pemberian biasiswa JPA adalah terjemahan kepada apa yang terkandung dalam kontrak sosial dan perlembagaan negara yang telah dipersetujui semua kaum. Akibat tekanan dan desakan ini, ditambah pula kepentingan politik, kini pemberian biasiswa tidak lagi mengira kuota, tetapi berasaskan kepada merit peperiksaan semata-mata. Temu duga yang cuba dilakukan oleh JPA ditentang habis-habisan, kerana mereka tahu apa kelemahannya.

Inilah strategi yang amat licik, biasiswa mereka, untuk mereka sahaja. Manakala biasiswa orang lain hendaklah dikongsi. IPTS untuk mereka sahaja (walaupun terbuka), IPTA mesti dikongsi bersama. Syarikat mereka untuk orang mereka sahaja, manakala syarikat kerajaan mesti dikongsi bersama.

Trend sebegini tidak akan berhenti setakat ini sahaja, ia akan bertali-temali dalam segala sektor dan profesion pekerjaan. Kesan jangka panjang amat tidak menguntungkan kita jika tidak ditangani dari sekarang. Syarikat-syarikat bukan Melayu (sektor swasta) akan mengambil graduan-graduan IPTS kepunyaan kaum tertentu. Manakala dalam sektor awam pula yang dikatakan dipenuhi oleh orang Melayu, perlu dibuka kepada semua kaum.

Saya yakin, dalam jangka panjang, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS berasaskan kaum. Tidak perlulah bicara soal IPTA antarabangsa, sudah tentu kabelnya lebih besar.

Pengajaran yang lalu perlu diambil sebagai iktibar. Misalnya, kedudukan Bahasa Melayu. Saya ke sebuah bank yang baru melakukan penggabungan. Polisi bank tersebut, adalah pertama bahasa Inggeris, kedua bahasa Mandarin dan ketiga, lain-lain bahasa. Petunjuk atau papan tanda dalam bahasa Melayu dalam bank itu hampir tiada, kecuali dua atau tiga pekerja di kaunter adalah Melayu.

Justeru, di manakah slogan 'Malaysian first' seperti dicanangkan. Apabila ada di antara kita yang berkata 'Malay first', heboh satu dunia menuduh orang ini rasis orang itu rasis. Tetapi apabila mereka mengetepikan agenda nasional,

mengutamakan bangsa sendiri, itu bukan rasis namanya. Politik rimba apakah ini? Jangan jadi kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.

Kemunculan kesedaran baru sosial

Posted: 21 Aug 2011 05:00 PM PDT

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk memperbaiki sistem pilihan raya.

Jelas beliau komited melakukan transformasi politik. Ini penting dalam melaksanakan politik baru bagi mematangkan demokrasi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri memahami realiti-realiti baru yang sedang berlaku dalam masyarakat. Menurutnya, masyarakat kita sedang berada dalam transisi dan landskap politik telah berubah.

Satu daripada realiti baru itu ialah kemunculan kesedaran dan gerakan baru sosial. Ia meliputi dua komponen utama, iaitu penggeraknya dan bentuk-bentuk gerakannya.

Komponen pertama, iaitu penggeraknya, terdiri daripada peserta, aktivis dan konstituen yang meliputi golongan baru tetapi semakin besar jumlahnya dan signifikan peranan dan pengaruhnya, iaitu belia, mahasiswa, pensyarah, wanita, k-pekerja, profesional, karyawan dan sukarelawan. Sebahagian daripadanya menggerakkan badan-badan masyarakat sivil yang berpengaruh.

Ciri-ciri mereka ialah pelbagai dan plural; mengongsi identiti kolektif yang kukuh; bebas daripada sebarang struktur dan kategori; fokus terhadap sesuatu yang subjektif, pandangan alam dan pengalaman dikongsi bersama; sesuai dengan kepentingan individu, seperti umur, gender, etnik, bahasa dan latar belakang profesional; dan mementingkan matlamat budaya dan simbolik.

Mereka punya kepercayaan, prinsip dan perjuangan berdasarkan makna dan simbolik berasaskan kepentingan kumpulan, kepakaran, norma dan nilai tertentu.

Komponen kedua ialah tindakan-tindakannya. Mereka bergerak sebagai jaringan sosial, iaitu gabungan dan jaringan longgar, tak-formal dan anti-birokrasi yang berhubung secara interpersonal.

Mobilisasi anggotanya bersifat mikro. Ia terdiri daripada kumpulan-kumpulan kecil yang berselerak, berpaut secara spontan. Organisasi-organisasinya pelbagai, tidak terpusat dan berautonomi. Mereka fokus kepada keprihatinan terhadap isu-isu khusus dan tempatan. Mereka sering bertukar bentuk serta mudah berkumpul, berpecah dan berkumpul semula.

Gerakannya menyentuh kehidupan harian, iaitu aktiviti-aktiviti yang menjadi sebahagian kehidupan harian dan bukannya bergantung pada kegiatan yang besar dan bermusim. Tindakan-tindakannya berkait dengan cara hidup dan isu-isu peribadi. Ia menggabungkan antara kepentingan individu dan kumpulan. Ia mementingkan tindakan melalui teladan peribadi.

Gerakan ini amat ke hadapan dalam menggunakan media (terutamanya media baru) dan ICT. Mereka menggunakan media dan ICT bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi, lebih penting lagi, sebagai gelanggang dan tindakan paling utama untuk bersuara, berbuat, berkongsi dan berperwakilan secara meluas dan canggih.

Susunan aktiviti-aktivitinya adalah tak-konvensional. Ia bergantung pada luahan, kreativiti dan penentangan; tindakan yang berskala kecil dan desentralisasi; bersifat sub-institusi, pasca-parlimen dan spontan.

Kempen-kempen gerakan ini bersifat tetap dan transnasional. Tindakan-tindakannya berkesinambungan dan melangkaui masa dan ruang dan berkait rapat dengan pengalaman harian, iaitu memfokuskan terhadap masalah dan peristiwa yang spesifik atau penyelesaian khusus terhadap sesuatu isu.

Mereka melakukan penjajaran semula dan pengorganisasian-semula yang berkesinambungan dalam bidang, kepentingan dan nilai yang luas. Tindakan-tindakan dan aktiviti-aktivitinya menjadi perubahan dan perhubungan yang tidak berkesudahan dan menjadi kebiasaan harian.

Kesedaran baru sosial ini muncul sebagai reaksi terhadap kelemahan-kelemahan dan kekurangan-kekurangan kehidupan hari ini. Ia punya kekuatan gerakan yang tersendiri. Pada masa sama, ia bergabung dengan kesedaran sosial yang sedia ada, iaitu kesinambungan gerakan menegakkan kebenaran, keadilan dan kesejahteraan diperjuangkan sejak dahulu, turut muncul dalam bentuk-bentuk baru.

Gerakan ini membawa perubahan dalam masyarakat. Transformasi politik perlu melibatkan suara dan peranannya.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved