Rabu, 24 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Gendang, tok tok masih dipalu

Posted: 23 Aug 2011 05:00 PM PDT

Setiap bulan puasa, suasana di kampung saya jadi meriah.

Keadaan puasa mula terasa apabila Cek Pa tiba. Duda dalam lingkungan usia 40-an itu jual kacang pol di Singapura, tetapi setiap tahun, sehari dua sebelum Ramadan mesti datang dan tumpang di rumah seorang jiran sampailah hujung bulan puasa.

Kerjanya setiap hari ialah masak bubur lambuk di masjid kampung kami dan agih-agihkan kepada penduduk.

Saya terlalu kecil untuk merungkaikan kemusykilan kenapa beliau begitu rajin berbuat demikian, tapi saya kira sama ada beliau mahu cari pahala atau barangkali ada kenangan lama.

Saya dan rakan-rakan sebaya yang dalam lingkungan usia 10 tahun masa itu, selalu berkerumun depan Cek Pa, kagum mendengar ceritanya pasal Jalan Ampas, tempat pelakon-pelakon zaman kegemilangan filem Melayu tinggal dan berlakon. Terlopong kami mendengar cerita Cek Pa mengenai kemerduan suara dan sambutan hangat terhadap penyanyi-penyanyi masa itu.

Juga tidak dapat saya lupa, bagaimana kami selalu dimarahi bilal masjid kerana buat bising dan berlari-lari dalam masjid ketika orang lain tekun menghabiskan 20 rakaat Terawih. Akhirnya, kami terpaksa berpuas hati main sorok-sorok dalam gelap di tepi makam belakang masjid. Sekali sekala kami berpesta dengan letupan mercun dan dentuman meriam buluh.

Apabila meningkat remaja, kami pula tolong petugas masjid mengagih-agihkan bubur lambuk dan makanan kepada mereka yang berbuka dan berterawih dan basuh pinggan mangkuk hingga larut malam.

Waktu yang paling kami tunggu ialah kira-kira jam 4 pagi kerana itulah waktunya pemuda kampung mula palu gendang kulit kerbau secara berirama untuk mengejutkan orang kampung bangun sahur.

Apabila mereka letih atau sudah puas bergendang, barulah kami yang belasan tahun ini diberi peluang memukul gendang itu; apa lagi... kadangkala sampai kena herdik atau dihalau kerana tidak berhenti pukul gendang hingga masuk waktu Imsak.

Pendek kata, kulit kerbau yang dijadikan gendang masjid itu terpaksa ditukar setiap tahun kerana terlalu kendur atau pecah.

Apabila masuk waktu subuh, kami tukar ketuk tok tok (sebutan orang utara; bahasa baku, beduk) pula. Tetapi tok tok hanya boleh diketuk sebanyak kira-kira 30 kali dalam masa seminit apabila masuk waktu solat lima waktu dan tidak boleh diulang lagi. Ia bahaya kerana takut timbul kekeliruan dan, lebih bahaya, menggemparkan. Sebabnya, selain dari waktu masuk waktu solat, tok tok juga diketuk ketika kecemasan, seperti kebakaran, dan sebelum pengumuman dibuat melalui pembesar suara mengenai kematian orang kampung.

Sepanjang yang saya ingat, belum pernah ada rungutan atau protes daripada mana-mana pihak mengenai pukulan gendang, tok tok, azan atau tarhim mengguna pembesar suara, di masjid kampung kami.

Barangkali keadaan dan status kampung saya itu membuatkan suasana dan penerimaannya begitu. Bahkan, jika seorang penduduk kampung meninggal dunia, hampir sekampung lelaki - yang tua dan muda - ikut berarak dan beralfatihah sepanjang kira-kira 5 kilometer hingga ke tanah perkuburan. Apa tah lagi kalau kenduri kahwin; anda boleh bayangkan sendiri betapa meriahnya; siap dengan persembahan kumpulan pancaragam dan - wajib ada - joget.

Budak-budak macam saya berpeluh diasak yang lebih tua hingga terpaksa keluar dari garisan bulatan penonton untuk mencari udara.

Dibangunkan atas tanah wakaf, kampung saya ketika itu mempunyai 56 buah rumah, hampir semua papan. Penduduknya ada Melayu campur Jawa, campur India atau campur Arab atau apa-apa. Ada juga Arab tulen dan India tulen, cakap Melayu pun pelat, tetapi 100 peratus Islam.

Kalau ada pun hanya sebuah keluarga Cina yang buka kedai kecil berdinding papan dan berbumbung zink dalam kampung itu, tetapi mereka tidak tinggal di situ.

Apabila kembali ke kampung itu baru-baru ini selepas meninggalkannya lebih 45 tahun, banyak betul perubahan berlaku. Bilangan rumah barangkali sudah hampir tiga kali ganda; berhimpit-himpit. Imam dan bilal lama masjid dan ramai daripada yang dewasa masa saya kanak-kanak dahulu sudah tiada lagi. Kawan-kawan yang masih ada sudah boleh dikira dengan jari. Setengah mereka sudah berhijrah ke negeri atau kawasan lain.

Beberapa orang yang masih ada sudah mengambil alih tugas di masjid; jadi imam, bilal, tok siak dan ahli jawatankuasa.

Bubur lambuk masih diagihkan di bulan puasa ini, cuma bukan lagi Cek Pa yang masak. Paluan gendang terus memecah hening malam; tok tok terus diketuk sebelum setiap solat lima waktu.

Azan terus berkumandang merdu setiap waktu; Subuh menyusuli tarhim yang penuh syahdu, memecah hening pagi...

Cara lama yang lebih bererti

Posted: 23 Aug 2011 05:00 PM PDT

Sehingga kini, saya sudah menerima berbelas-belas kad ucapan selamat hari raya. Setiap kad yang saya terima akan saya buka, saya tatap, tetapi saya akan letak ke tepi tanpa perasaan teruja. Sebabnya, kad-kad itu semuanya kiriman orang yang tidak saya kenali. Dan, saya percaya mereka juga tidak mengenali saya!

Ada kad yang mengandungi hingga sepuluh tandatangan, siap dengan status jawatan masing-masing. Ada kad yang dikirim mempunyai tandatangan yang saya tahu bukan dicarit sendiri oleh si pengirim, bahkan ia adalah tanda tangan yang bercetak. Bagaimana pun, saya tetap akan membalas kesemuanya sebagai tanda terima kasih.

Saya juga mula menerima ucapan selamat hari raya melalui e-mel. Membuka kad-kad raya elektronik ini pula ada kalanya mengambil masa. Lagi canggih animasinya, lagi lambat ia dapat ditatap. Malah, ada juga kad-kad yang tidak boleh saya buka kerana punyai perisian yang berbeza daripada perisian di komputer saya.

Ucapan Aidilfitri daripada kawan-kawan facebook juga sudah mula saya dapat. Separuh daripada mereka, tidak pernah saya kenal. Tidak mengapalah. Selama ini pun, saya ghairah menambah kawan termasuk kawan yang punyai nama pelik, nama Jepun atau nama Korea walaupun saya tahu mereka orang Malaysia. Pada tahun lepas, saya menerima ucapan selamat hari raya yang kononnya ditujukan khas buat saya. Padahal ada seratus nama lain yang ditaggedkan bersama dengan nama saya. Tidak mengapa juga kerana saya tahu si pengirim hendak menjimatkan masa.

Tentu sekali, menjelang malam raya nanti, saya akan menerima berpuluh-puluh ucapan selamat hari raya melalui sistem pesanan ringkas. Biasanya SMS ini lebih peribadi. Meskipun ringkas, ia menyentuh hati kerana dikirim oleh mereka yang saya kenali ~ ahli keluarga, teman sekerja dan sahabat lama. SMS yang menarik pantunnya akan saya simpan. Maaf cakap, oleh kerana membalas SMS ini adalah satu kerja yang remeh, saya terpaksa mengitar semula SMS menarik yang saya simpan itu untuk digunakan sebagai ucapan yang kononnya saya yang tulis. (Saya percaya, anda tidak pernah buat apa yang saya lakukan).

Begitulah cara terkini kita mengucapkan salam Aidilfitri. Teringat saya pada zaman persekolahan dulu, bila mana mengirim kad hari raya sudah menjadi satu kemestian. Setelah menulis senarai penerima kad hari raya agar tidak terlupa, barulah saya pohon bajet dari emak.

Memilih kad pun boleh memakan masa hingga setengah hari kerana kad yang dibeli pun saya pilih agar tidak sama. Tidak sedap hati kalau kad yang dibeli itu serupa walaupun untuk dua orang yang berbeza. Padahal, mereka bukan tahu pun kalau saya membeli tiga puluh kad yang serupa coraknya.

Setelah siap bersampul, saya akan ke pejabat pos untuk membeli setem. Lazimnya, pada hari-hari puasalah pejabat pos akan sesak dikunjungi oleh mereka yang hendak mengirim kad hari raya. Panjangnya barisan, kadang-kadang sampai ke tangga luar. Setelah setem dibeli, kini giliran mencecah setem dengan air pelekat pula perlu dilakukan. Tempat melekat setem pun biasanya sesak. Spannya sudah kering kerana ramainya mereka yang mencecah setem. Kalau hendak cepat, terpaksa jugalah setem-setem itu dijilat sahaja sebelum ditampal ke sampul surat.

Pada penghujung Ramadan juga, kad-kad hari raya akan sampai ke rumah. Ada pelbagai jenis kad hari raya yang diterima. Ada yang semerbak baunya, ada yang bermuzik dan ada juga yang timbul bunga serta ketupatnya sebaik sahaja lipatan kad itu dibuka. Tidak kurang juga yang reka bentuknya hanya sehelai, bergambar kartun atau gambar unta sedang berehat di bawah pohon kurma di malam hari yang dihiasi bintang dan bulan sabit. Tetapi yang unik ialah kad hari raya berbunga yang dihiasi dengan serbuk berkilat. Sebaik sahaja dibuka kad itu, habuknya jatuh berderai di tangan.

Saya akan buka dan baca satu persatu sebelum saya susun dan gantung sebagai perhiasan di ruang tamu. Ia juga menjadi kebangaan apabila teman-teman yang datang berkunjung memuji apabila melihat betapa banyaknya kad hari raya yang saya terima. Inilah klasiknya ucapan selamat hari raya pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Walaupun proses menghantar atau menerimanya memakan masa berbanding dengan cara moden sekarang yang begitu pantas, cara tradisional itulah yang lebih bererti. Kadangkala terasa ingin sekali merentas di denai semalam. Sengaja hendak menjenguk masa lalu yang begitu nostalgik.

Selamat hari raya Aidilfitri daripada saya, buat anda semua yang suka membaca kolum Maaf Cakap ini. Maaf zahir dan batin.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved