Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Nota persinggahan dari Istanbul Posted: 20 Sep 2011 05:00 PM PDT Ralat: Ruangan minggu lepas ditulis dari Qatar, bukan Abu Dhabi. Pohon maaf. Senja di Istanbul indah sekali. Tiada kosa kata dapat menggambarkan kota yang menyimpan sejarah lebih dari 3000 tahun ini. Merdu laungan azan sahut-menyahut dari ratusan menara masjid di sekitar Sultanahmet. Paling jelas di telinga sekarang, panggilan menunaikan solat Maghrib dari masjid terletak antara Universiti Istanbul dan Grand Bazaar. Terhenti seketika segala tuntutan dunia. Istanbul yang terbahagi antara benua Eropah dan Asia, menjadi rumah kepada lebih 3,000 masjid dan 600 daripadanya dibina pada zaman empayar Ottoman. Majoriti penduduk kota ini beragama Islam, tetapi mereka juga tinggal harmonis dengan orang Kristian dan Yahudi. Tetapi yang paling istimewa petang tadi, apabila perasaan jadi halus setenang dinihari tatkala melangkah masuk di mimbar masjid paling gargantuan di kota ini, Masjid Sultanahmet, atau lebih popular dengan nama 'Masjid Biru'. Mercu tanda Istanbul ini dibina Sultan Ahmet I berdasarkan pelan asal yang dilakar oleh arkitek bernama Mehmet Aga. Mengambil masa tujuh tahun untuk siap, masjid berusia lebih 400 tahun ini digelar 'Masjid Biru' kerana rona sama mengusai mimbar masjid apabila 20,000 jubin di bumbung setinggi 43 meter tersimbah panahan matahari. Kemilau biru dan cahaya lampu di mimbar sahaja sudah cukup memberi khabar hebatnya masjid ini di hati penduduk Turki. Ada cerita sebalik pembinaan masjid dengan enam menara ini. Ketika baru siap, kontroversi berlaku kerana enam menara itu menyerupai Masjidil Haram di Mekah. Akibat kritikan yang sama, Sultan Turki hantar arkitek beliau untuk menambah menara ketujuh di masjid tanah haram. Bertentangan Masjid Biru, Hagia Sofia (atau 'Aya Sofya' dalam bahasa Turki) turut menjulang langit. Aya Sofya asalnya dibina sebagai gereja oleh Constantine the great di atas kawasan berhala zaman jahiliah. Apabila Constantinople (nama lama Istanbul) jatuh ke tangan Ottoman Turk di bawah pimpinan Sultan Mehmet II, Aya Sofya telah ditukar menjadi masjid imperial. Arkitek berjari emas, Mimar Sinan, telah menambah tiga lagi menara di sekitar Aya Sofya. Aya Sofya kekal sebagai masjid sehingga 1935 apabila Kamal Atartuk memerintah agar Aya Sofya dijadikan sebuah muzium. Pengaruh Kristian dan Islam ada di setiap sudut, sungguh istimewa sekali, tidak pernah saya saksikan di mana-mana sebelum ini. Berbicara tentang Turki, tidak sah jika nama Selat Bosphorus tertinggal. Setiap hari sejak sampai di sini, Bosphorus dan Laut Marmara pasti saya kunjungi. Selat Bosphorus membelah antara Turki Eropah dan Timur - pemisah antara benua. Terusan selat yang sama turut menghubungkan Laut Hitam dan Marmara, seterusnya mengalir ke Mediterranean. Rakan saya di Istanbul, Kerem, memandu berjam-jam lama dari pusat bandar raya ke suatu sudut terceruk bernama Rumeli Feneri. Oh, hampir terlupa, sekiranya kita rasa lalu-lintas kenderaan di Kuala Lumpur amat teruk, di Istanbul jarak satu inci antara kenderaan sudah dikira selamat. Kus semangat! Rumeli Feneri - perkampungan kecil yang menjadi titik antara Selat Bosphorus dan Laut Hitam. Jadi hari itu saya minum teh di anjung kedai kopi Turki sambil melihat Laut Hitam. Semasa kecil dahulu saya bayangkan Laut Hitam ini berwarna hitam pekat seperti dakwat, tapi saya salah. Menurut cerita lagenda, nama Laut Hitam itu diberi oleh pelayar dan lanun yang terperangkap dengan gelora di mana air bertukar jadi hitam. Sementara pelayar Yunani pula menamakan laut ini 'Pontos Axenos' bermaksud inhospitable sea. Mungkin warna nilam pekat laut ini disebabkan oleh kedalaman setinggi 1,271 meter. Istanbul juga menyimpan khazanah dan budaya untuk jualan di pasar besar yang mereka termakan sebagai 'Kapali Carsi'. Pasar ini mempunyai 66 lorong kecil dengan lebih 4,000 kedai kecil menjual seribu satu macam barang-barang seperti karpet, set cawan teh tembikar Turki, paip tembakau, paip air (shisa) dan jajan untuk pelancong bawa pulang. Ketika sesat dalam pasar besar ini, saya tiba di persimpangan antara Masjid Beyazit dan Universiti Istanbul di mana saya berjumpa dengan syurga dunia, The Old Book Bazaar, menjual ratusan jenis tafsir Al-Karem, buku-buku lama, lukisan Ottoman dan peta antik. Tapi hati-hati di sini, kebanyakan penjual hanya ingin membuat wang segera. Peta Turki lama zaman Byzantine yang dilukis atas kulit kambing diletak harga sebanyak 220 lira Turki! Walau hati berkenan saya lupakan sahaja. Sampai ketemu lagi minggu hadapan. * Elviza juga seorang peguam yang sedang berkicau di http://twitter.com/elviza |
Posted: 20 Sep 2011 05:00 PM PDT Kontroversi kenyataan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu tentang insiden Bukit Kepong dan ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendominasi Syawal tahun ini. Berkenaan kenyataan Mat Sabu, mesej utama yang harus difahami semua ialah kita sewajarnya mengiktiraf semua pejuang kemerdekaan negara. Tidak kisahlah mereka itu kanan atau kiri, Umno mahupun Putera, AMCJA mahupun MCA. Hakikatnya, golongan kirilah yang pertama sekali memikirkan bahawa Tanah Melayu sewajarnya Merdeka menerusi Perlembagaan Rakyat yang diusulkan oleh pakatan Putera-AMCJA. Hakikatnya, Putera-AMCJA telah ditakuti oleh pihak British. Apa yang tidak disedari ialah golongan kiri sendiri memilih pelbagai jalan untuk menghadapi tekanan British. Contohnya tiga pemimpin Awas (yang sebahagian daripada Putera): Aishah Ghani, Khatijah Sidek dan Shamsiah Fakeh selepas 1948. Aishah menyertai Umno – menjadi Menteri Kabinet dan Ketua Wanita Umno. Khatijah juga menyertai Umno dan menjadi Ketua Kaum Ibu Umno (nama lama Wanita Umno). Beliau dikenali kerana ketegasannya dan keprihatinannya terhadap isu-isu wanita dan akhirnya dipecat daripada parti. Beliau menyertai Pas, memimpin Kaum Ibu Pas (nama lama Muslimat Pas) dan menjadi Ahli Parlimen Dungun. Shamsiah Fakeh pula memilih Rejimen Melayu Parti Komunis Malaya. Selepas mereka terpaksa berundur ke sempadan Thai, beliau ke China untuk bekerja dengan jentera propaganda di sana. Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa beliau kemudian berbeza pendapat dengan Chin Peng. Memandangkan tidak boleh pulang, beliau dan keluarganya menjadi pekerja biasa di China sebelum dibenarkan pulang ke tanah air pada 1994. Siapakah kita untuk hukum Ibu-Ibu Kemerdekaan yang memilih jalan berbeza selepas Awas? Mereka tiada ilmu untuk membaca masa hadapan, justeru bagaimanakah mereka tahu pada ketika itu parti mana akan memimpin Tanah Melayu selepas Merdeka dan parti mana akan kekal dengan idealisme mereka? Kita seharusnya memahami keputusan itu dari konteks zaman mereka, bukan zaman kita. Pada masa sama, kita juga tidak boleh memperlekeh golongan kanan. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, seorang anak raja meninggal dunia tanpa harta yang banyak. Harta-bendanya dikorbankan demi perjuangan dan tidak kayakan dirinya seperti sesetengah pemimpin hari ini. Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Razak Hussein ialah Menteri Dalam Negeri pada 13 Mei 1969, tetapi ketokohannya menangani insiden tersebut membolehkan beliau dihormati semua kaum. Ketika DEB diperkenalkan, beliau berada di barisan hadapan perancangan dan pelaksanaan, namun menegaskan bahawa dasar tersebut bersifat sementara demi kebaikan orang Melayu sendiri. Sudah semestinya, tafsiran sejarah yang lebih luas dan adil diperlukan memandangkan generasi muda kita mungkin dipengaruhi versi berat sebelah yang diajar di sekolah-sekolah, universiti-universiti, kem-kem BTN dan media arus perdana. Tafsiran semula sejarah merupakan proses semula jadi yang sewajarnya dialu-alukan. Tapi kita biarkanlah tugas itu kepada sejarawan. Politikus sewajarnya menekankan cabaran hari ini dan masa hadapan. Malaysia hadapi pelbagai cabaran berat pada masa tidak menentu. Bukankah lebih afdal kita selesaikan masalah ini daripada diheret perbahasan tak sudah? Pengumuman Hari Malaysia Najib ialah contoh yang baik. Alhamdulillah, selepas lebih 50 tahun merdeka, PM akhirnya akui kebenaran perjuangan rakyat selama ini untuk menghapuskan tahanan tanpa bicara dan bebaskan undang-undang media. Kami mahu bersangka baik dengan cadangan PM. Malangnya rakyat biasa kecewa berkali-kali dengan perubahan separuh masak atau tak kesampaian langsung. Rakyat tidak lupa bagaimana Mahathir dan Abdullah pernah bermula dengan imej perubahan pada awal pemerintahan mereka. Bukan mudah untuk PM meyakinkan kelompok ekstrem Umno tentang keperluan perubahan ini. Umno-BN telah selesa dengan undang-undang zalim sebegini, dengan berhujah bahawa ia penting demi keselamatan negara. Malah ada menyatakan ia penting bagi kelangsungan Ketuanan Melayu. Justeru, banyak inisiatif perubahan ataupun reformasi gagal memandangkan inisiatif ini bertentangan dengan pihak berkepentingan. Malaysia tidak dapat mendepani zaman dengan kepalsuan sebegini. Negara kita memerlukan kepimpinan yang bersandarkan hati berani dan minda yang jelas. Dasar-dasar tidak boleh dilakarkan berdasarkan turun naik kadar sokongan rakyat. |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan