Rabu, 7 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Waktu-waktu yang terhenti...

Posted: 06 Sep 2011 05:00 PM PDT

Salam dari tanah tinggi.

Jujur kata, rasanya sudah bosan berkunjung di puncak Cameron Highlands setiap kali musim cuti tiba. Tapi walau sudah jelak menyumbat jagung lemak manis dan strawberi ke mulut, saya dan keluarga tetap kerap ke sana. Mungkin faktor logistik dan kewangan yang tidak melampau serta bayu dinihari yang dingin kerap memanggil kami untuk kembali.

Tapi kunjungan kali ini agak istimewa kerana saya terjumpa suatu tempat di Brinchang - bukan ladang teh, rumah hijau strawberi atau gerai sayuran-sayuran segar yang klise. Didorong rasa bosan berkurung di bilik hotel semata, saya dan kakak ipar memandu tanpa arah di sekitar Tanah Rata dan Brinchang. Bosan memandu, kami mencari tempat parkir, mungkin sudah tersurat, kami berhenti betul-betul di muka pintu sebuah tempat bernama Time Tunnel. Tempat apa ini? Saya bertanya dalam hati.

Setelah berpisah dengan RM5, saya dibenarkan masuk ke dalam perut mini muzium di bawah tanah itu. Dalam ruangan yang sebenarnya tidak layak dipanggil muzium itu, berumah segala macam cerita dan peralatan masa lampau yang dipulihara molek.

Bermula dengan segmen memaparkan sejarah dan cara hidup Orang Asli di Cameron Highlands, berselit pula dengan kendi lama, cermin, periuk belanga dari era seawal 40-an, tempat ini buat saya sungguh di luar dugaan. Berdiri lama di hadapan imej dua Orang Asli menyumpit di gigi air terjun, saya menyedari tiada larangan untuk membawa kamera dan merakam gambar di sini seperti mana rata-rata muzium lain di kota besar dunia. Tanpa melengahkan masa lagi, lensa dan shutter button kamera saya kerah untuk bekerja lebih masa bagi merakamkan artifak dan imejan-imejan dipamerkan.

Sekiranya anda membesar pada era 50-an, akan menghargai artifak-artifak dipaparkan secara rawak di muzium ini. Sebelum masuk ke dalam sebentar tadi, si penjaga kaunter memaklumkan bahawa mini muzium ini dimiliki dan dibiayai oleh orang perseorangan, tanpa bantuan dana daripada mana-mana pihak. Setelah pulang, saya cepat-cepat melayari laman lebai Google untuk mencari informasi terperinci tentang muzium ini.

Ditubuhkan pada Januari 2007, pemilik muzium See Kok Suen, membuka pintu Time Tunnel kepada umum dengan modal RM20,000 sahaja. Berbekal barang-barang koleksi persendirian dan hadiah rakan-rakan, Kok Suen membawa pengunjung Time Tunnel mengimbau kenangan lama dan sejarah penduduk setempat pada waktu yang sama.

Buat saya, apa teristimewa di muzium ini ialah bahagian yang dikhususkan untuk mendiang James H W Thompson. Thompson yang dinobat raja kain sutera Siam menjadi terkenal kerana menubuhkan The Thai Silk Company pada 1940; beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan kain sutera di busana fesyen antarabangsa dan dalam industri filem Barat. Menjelang lewat 50-an, kain sutera menjadi komoditi perniagaan terkenal seantero dunia.

Thompson mendapat sudut tersendiri di Time Tunnel bukan kerana kreativiti beliau memberi nafas baru kepada industri sutera Thai, tetapi kerana beliau hilang dari hutan Cameron Highlands dan gagal dikesan sejak 44 tahun lalu. Tiada mayat; tiada bayang; tiada kesan dijumpai. Hanya teori kehilangan Thompson mendominasi laporan media tempatan dan antarabangsa. Teori diperoleh daripada ratusan bomoh, pawang, ahli psikik, Orang Asli, penduduk setempat dan pasukan penyelamat tanpa disokong apa-apa bukti kukuh.

Tanggal 26 Mac 1967, Thompson yang sedang bercuti bersama rakan-rakan, pergi berjalan-jalan di kawasan hutan berdekatan chalet The Moonlight Cottage. Thompson yang menyedari mereka sesat, mencadangkan mengikuti arus sungai untuk mencari jalan keluar.

Tetapi pada hari kedua, Thompson hilang begitu sahaja ketika rakan-rakan yang lain sedang tidur.

Walaupun misi pencarian secara besar-besaran dilancarkan di sekitar hutan berdekatan The Moonlight Cafe, Thompson atau mayatnya masih belum ditemui sehingga ke hari ini. Oh, berdiri tegak bulu roma di lengan saya ketika habis membaca sejarah kehilangan Thompson.

Secara keseluruhannya, mini muzium ini memberi keunikan dari sudut berbeza kepada Cameron Highlands yang lazimnya terkenal dengan ladang teh dan saujana landskap hijau untuk santapan mata semata. Cuma dari segi label dan informasi untuk setiap artifak yang dipamerkan perlu dikemas kini bagi membantu pengunjung asing lebih memahami cara hidup masa lampau orang kita.

Islam, perkauman dan konspirasi

Posted: 06 Sep 2011 05:00 PM PDT

Antara buku yang memberikan kesan besar kepada idealisme politik saya ialah the Autobiography of Malcolm X yang saya ambil daripada seorang teman di MCKK ketika usia 14 tahun. Saya memang seorang ulat buku dan teman tersebut memberikan kepada saya.

Malcolm X merupakan pemimpin Nation of Islam sebuah kumpulan kulit hitam yang bukan sahaja berasaskan ajaran songsang Islam, tetapi juga Ketuanan Kulit Hitam. Bagaimanapun Malcolm meninggalkan kumpulan tersebut dan menunaikan ibadah haji sebagai seorang Muslim pada 1964 – satu pengalaman benar-benar meninggalkan kesan besar kepada dirinya.

Pengalamannya menyaksikan masyarakat pelbagai kaum dapat menunaikan rukun Islam tersebut dengan aman damai di Mekah mengubah persepsinya terhadap isu kaum dan beliau menolak ideologi Ketuanan Kulit Hitam.

Sejak itu, saya yakin bahawa Islam sendiri menolak perkauman dan menitikberatkan prinsip keadilan.

Baru-baru ini, di Singapura, saya singgah di kedai buku Islam Wardah Books berhampiran Masjid Sultan. Bagi mereka yang menghargai pilihan buku Islam Bahasa Inggeris di Kinokuniya KLCC, Wardah Books asalnya merupakan pembekal kepada toko buku tersebut. Selain membeli pelbagai buku, saya turut ternampak CD syarahan Imam Zaid Shakir, seorang sarjana Islam dari Amerika Syarikat bertajuk What Would Malcolm Say?

Setelah mendengar CD seorang ulama Amerika yang menyampaikan syarahannya dalam Bahasa Inggeris loghat kulit hitam berkali-kali, terutamanya selepas kontroversi gereja dan azan ketika Ramadan lalu di Malaysia, saya merasakan mesejnya teramat sesuai untuk umat Islam Malaysia hari ini.

Zaid Shakir memetik pandangan dua ahli akademik Henry Louis Gates Jr. dan Cornel West yang mengkritik masyarakat kulit hitam Amerika kerana gemar menyalahkan pihak lain sahaja dalam menghadapi masalah mereka.

Dua ahli akademik tersebut menyeru agar masyarakat kulit hitam berhadapan dengan kedua-dua realiti perkauman kulit putih dan kegagalan kulit hitam sendiri untuk mengambil inisiatif dan memecahkan kitaran kemiskinan serta keluar daripada kemelut mereka hari ini.

Tetapi pendekatan lapuk hanya menyalahkan orang Korea, Yahudi, wanita malah pendatang asing kulit hitam kerana kegagalan masyarakat kulit hitam sendiri, tidak lagi boleh diguna pakai. Sebaliknya, masyarakat kulit hitam harus diajar mengambil tanggungjawab atas kelakuan mereka sendiri.

Zaid mengingatkan kita, kritikan yang sama boleh digunakan terhadap umat Islam sendiri. Mendengar CD tersebut saya berasakan nasihat sama juga amat relevan untuk masyarakat Melayu di Malaysia.

Pada masa sama, Zaid mengingatkan umat Islam di Amerika, dalam berhadapan tragedi 11 September 2001 bahawa meskipun Malcolm menyedari pelbagai konspirasi dan perancangan jahat musuh-musuhnya, beliau menekankan tindakan positif. Malcolm tidak menghabiskan masanya memikirkan konspirasi Iluminati, Freemason atau Yahudi tetapi bekerja menyusun organisasi masyarakat kulit hitam Amerika seperti Nation of Islam, Muslim Mosque Incorporated dan Organisation of Afro-American Unity.

Ini, tegas Zaid, merupakan perspektif Islam. Sekiranya betul pun ada konspirasi terhadap umat Islam, bukankah Allah SWT telah berpesan dalam al-Quran:

"Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka, dan menggagalkannya). Oleh itu janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa." - Surah at-Taariq (Ayat15-17) Lihat sahaja umat Islam di negara ini sekarang. Kita dimomok tentang agenda Yahudi; rancangan Kristian; Cina dan pelbagai lagi konspirasi sehingga kita menghabiskan masa memikirkannya. Buku-buku membicarakan isu-isu ini begitu laku di pasaran.

Apa yang penting kita menumpukan masa, mengubah nasib bukan sahaja umat Islam, tetapi bukan Islam berasaskan keyakinan bahawa Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Bukankah itu pendekatan Rasulullah SAW?

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved