Isnin, 29 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Merdeka yang hilang?

Posted: 28 Aug 2011 05:00 PM PDT

Setiap kali tiba bulan kemerdekaan, akan kedengaran di corong-corong udara, persoalan yang sering dikemukakan: apa erti kemerdekaan? Persoalan ini banyak bersangkut-paut dengan perspektif ortodoks kita tentang apa itu patriotisme, yang telah dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi. Kita diuli untuk melihat patriotisme melalui kaca mata hitam putih yang sempit.

Patriotisme adalah bendera. Patriotisme adalah nyanyian lagu-lagu kenegaraan. Patriotisme adalah perarakan warna-warni. Patriotisme adalah anak Melayu, anak Cina dan anak India tersenyum lebar dan berterima kasih kerana kemakmuran negara.

Patriotisme maknanya kesyukuran. Patriotisme itu ikrar mempertahankan agama, bangsa dan negara. Patriotisme maksudnya menerima seadanya.

Erti kemerdekaan dibentuk mengikut acuan yang disediakan melalui sistem pendidikan kita. Mengikut acuan ini, merdeka itu mengingati pejuang-pejuang kemerdekaan silam, seperti Tok Janggut, Rentap, Datuk Maharajalela serta tokoh-tokoh Perikatan yang membawa kemerdekaan. Kita kemudian disajikan dengan filem-filem bertemakan perjuangan seperti Sarjan Hassan dan Bukit Kepong. Merdeka akan menyaksikan pemimpin memegang bendera kecil dan mengibarkannya bersama-sama dengan rakyat marhaen.

Maka, apabila bulan kemerdekaan tiba dan kurangnya kibaran bendera, kita mula panik, kita mula gempar. Kita lakukan perkara-perkara drastik seperti memaksa pemilik bangunan untuk menggantung bendera. Kita banjirkan lagu dan program yang dikatakan 'patriotik'. Seperti biasa, patriotisme dan merdeka itu dikerah dan disumbat ke dalam diri kita. Semuanya untuk memastikan konsep kemerdekaan yang telah diiktiraf itu dipelihara dan patriotisme itu tampak di mata.

Anak muda kemudiannya dituduh tidak kenal erti kemerdekaan. Dikatakan, generasi masa kini tidak patriotik. Kurangnya bendera bermakna rakyat tidak lagi mencintai negara. Oleh kerana kita tidak lihat simbol dan ikon ortodoks kemerdekaan, kita terus membuat kesimpulan bahawa merdeka itu telah hilang di hati. Terburu-buru kita mencari merdeka yang entah ke mana.

Tetapi, 'erti' kemerdekaan itu harus dilihat semula. Ia tidak boleh dikongkong oleh satu interpretasi sahaja dan ia tidak boleh hanya berlabuh di lautan silam. Merdeka harus kontemporari dan harus sentiasa relevan.

Bagi saya, kemerdekaan itu diluahkan melalui Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri. Ia bukan hanya terhad kepada hak untuk wujud dan bernyawa, tetapi juga merangkumi kebebasan untuk menikmati kehidupan berkualiti. Oleh itu, seorang anak Malaysia bebas untuk menjalani kehidupan bermakna kerana kemerdekaan yang dikecapi.

Kita lupa sebenarnya. Dalam ketaksuban kita mencari petanda-petanda patriotisme yang kita kenal, kita tidak menyedari bahawa semangat cinta akan negara tidak mempunyai hanya satu manifestasi. Patriotisme itu bukan sahaja merah, putih, kuning dan biru, ia boleh terbit melalui jalur-jalur warna yang lain. Oleh kerana sudah sekian lama kita disuap dengan satu interpretasi kemerdekaan, kita sukar untuk melihat interpretasi lain yang mungkin ada.

Terdapat begitu banyak cara seseorang rakyat Malaysia meluahkan perasaan cinta akan negaranya. Dia tidak perlu menuturkan kata-kata tersebut, cinta itu boleh terlihat melalui perilakunya. Seseorang berpolitik demi melihat Malaysia yang lebih baik sama patriotiknya dengan anak muda yang berkumpul di Dataran Merdeka setiap malam minggu atas dasar demokrasi. Seorang pemain gitar dalam kugiran yang menyanyikan lagu-lagu rakyat sama patriotiknya degan aktivis yang ingin memar­tabatkan Perlembagaan. Kasih mereka sama, cara mereka berbeza.

Semangat patriotisme tidak akan lahir dengan paksaan. Ia harus dipupuk dan digalakkan, walaupun apa rupa bentuknya. Kerana seperti cinta-cinta yang lain, cinta kepada negara itu adalah sesuatu yang bersifat semula jadi yang akan hadir bila tiba waktunya, tidak diundang dan tidak dipinta.

Penulis adalah seorang peguam muda dan rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

Apa lagi jawapan Kristian?

Posted: 28 Aug 2011 05:00 PM PDT

Pada 5 Ogos 2011, saya telah menulis satu artikel dalam blog saya, http://ridhuantee.blogspot.com, bertajuk "Awasi dakyah Kristian". Kisah benar bagaimana perancangan Kristian memurtadkan orang Melayu Islam ketika mereka masih kanak-kanak lagi. Namun, tidak ramai ambil pusing, sehinggalah berita ini diperbesarkan oleh sebuah akhbar yang dituduh oleh ultra kiasu sebagai akhbar rasis atau ultra Melayu. Akhbar ultra kiasu tidak kurang juga ultranya, tetapi mereka tidak pernah disalahkan, maklumlah sekapal.

Artikel ini pada mulanya saya tulis untuk akhbar 'ultra Melayu' tersebut untuk siaran 7 Ogos 2011, kerana ketika itu isunya masih panas, berkaitan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Damansara Utama. Malangnya, ia tidak disiarkan. Mungkin editor akhbar itu menganggap saya mereka-reka cerita ataupun editornya mungkin takut untuk menyiarkannya. Saya berterima kasih kepada akhbar Sinar Harian kerana begitu neutral dan berani menyiarkan setiap penulisan saya walaupun ada akhbar lain yang berasa kecut.

Cikgu S yang dimaksudkan itu adalah sahabat karib saya, seorang guru bahasa, berbangsa India beragama Kristian yang mengajar di salah sebuah sekolah rendah di Lembah Kelang. Kami sering berhubung dan bertukar-tukar pandangan mengenai agama. Beliau amat menghormati agama Islam. Seperti telah saya sebutkan dalam artikel itu, beliaulah yang memberikan segala bukti bagaimana seorang kanak-kanak darjah satu diajar oleh guru tuisyennya mengenai Kristian dan Nabi Isa. Kanak-kanak lebih memahami Kristian daripada Islam. Beliau mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi tidak ramai ambil berat sehinggalah berita tersebut disensasikan oleh media. Terfikir juga saya, siapa sebenarnya bertanggungjawab menjaga kepentingan Islam, orang Islam atau orang bukan Islam? Kita hanya sensitif bila isu menjadi sensasi. Maklumlah mahu mencari publisiti. Sedarkah kita akan implikasi ke atas Islam jika ramai yang murtad? Terus-terang, saya amat jarang jumpa non-Muslim yang amat prihatin dengan orang Melayu dan agama Islam. Beliau seolah-olah sudah Islam di sisi Allah SWT. Tertanya-tanya juga dalam diri, kenapa tidak ramai orang Islam seperti beliau. Saya yakin selepas ini jika identiti beliau didedahkan, beliau akan menjadi sasaran bukan Islam, terutama orang Kristian. Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga beliau tabah dan kehidupannya diberkati. Saya sebenarnya tidak mahu bersangka buruk kepada orang Kristian. Tetapi realiti yang berlaku, membenarkan sangkaan buruk saya ini. Missionari Kristian bergerak aktif dalam segala aspek. Mereka akan mengambil kesempatan, ruang dan peluang untuk menyebarkan agamanya kepada orang Melayu (Islam), walaupun dilarang oleh undang-undang. Namun, atas alasan hak asasi manusia dan mendapat perlindungan antarabangsa, mereka nampak kebal dan tetap meneruskan niat mencabar kedudukan agama Islam. Sedihnya, kita terlalu berlembut. Sedangkan kita semua tahu, agama Islam tidak boleh disamaratakan dengan agama bukan Islam. Kita boleh berkongsi nilai-nilai baik agama-agama, tetapi kita tidak boleh berkongsi agama, kerana bagi kamu agamamu, bagi aku, agamaku. Itulah ingatan Allah dalam surah al-Kafiruun, Lagipun, Islam mendapat perlindungan dalam Perlembagaan. Sila rujuk perkara Perkara 8, iaitu persamaan dan hak sama rata dan pengecualian peruntukan ini dalam soal agama, kedudukan istimewa Melayu dan seumpamanya.

Perkara 10 (4), iaitu batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan Raja-Raja, Islam, orang Melayu, kewarganegaraan dan seumpamanya. Perkara 38, iaitu kuasa Majlis Raja-Raja menghalang Parlimen membuat undang-undang yang menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu, bahasa Melayu dan Islam. Perkara 150 (6a), iaitu kedudukan agama Islam, adat istiadat Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan meskipun dalam keadaan darurat. Perkara lain yang berkaitan dengan kedudukan Agama Islam ialah: Perkara 11 (4) - tentang kebatasan kebebasan agama orang Islam. Perkara 12 (2) - peranan Persekutuan dan suatu negeri dalam memajukan pendidikan Islam.

Sedarlah wahai saudaraku, orang Melayu akan hancur tanpa Islam. Islamlah yang memartabatkan orang Melayu selama ini. Justeru, janganlah hari ini kita terlalu sombong dan bongkak sehingga menjadi sukar untuk menjaga kepentingan Islam. Islam tidak akan tercabut walaupun mungkin sesuatu bangsa itu mungkin pupus. Islam mendapat jagaan Allah, tetapi kuasa dan takhta belum tentu.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved