Sabtu, 10 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Tragedi Bukit Kepong: Hormati mayat!

Posted: 09 Sep 2011 05:00 PM PDT

Tragedi Bukit Kepong: Hormati mayat! Salah satu ciri keindahan ajaran Islam ialah satu cara hidup yang mengatur hubungan sesama manusia bukan sahaja semasa masih hidup, bahkan ada beberapa adab yang perlu dipertahankan walaupun sesudah kematiannya. Antara adab yang perlu dijaga (tetapi sejak-sejak akhir-akhir ini semakin tidak diendahkan) ialah pencabulan terhadap kehormatan maruah ma yat lebih-lebih lagi apabila mayat berkenaan adalah mayat orang Islam. Dalam media cetak seperti surat khabar, majalah mahupun media elektronik seperti laman sesawang dan tulisan-tulisan blog sejak-sejak akhir ini semakin tidak menghiraukan adab-adab yang perlu dijaga terhadap orang-orang yang telah mati ketika membuat ulasan mengenai isu sensasi peristiwa serangan Bukit Kepong. Saya merasa terpanggil untuk menasihatkan pembaca khususnya orang-orang Islam agar mengawal diri dengan kawalan syarak ketika mengutarakan pandangan atau pendapat sama ada memihak kepada anggota keselamatan yang telah mempertahankan balai polis Bukit Kepong mahupun yang memihak kepada Mat Indera.

Antara adab terhadap orang yang telah mati ialah kita dilarang mencela orang yang telah mati. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

"Janganlah kamu mencela mayat kerana sesungguhnya mereka telah mempersembahkan apa yang telah mereka lakukan." (Hadis sahih riwayat al-Bukhari).

Dalam keadaan tertentu, larangan mencela mayat juga meliputi larangan mencela mayat orang-orang kafir seperti Nabi SAW melarang para sahabat mencela mayat tentera-tentera musyrikin dalam peperangan Badar disebabkan mengelakkan diri dari menyakiti orang-orang yang masih hidup dalam kalangan saudara-saudara mereka yang Muslim. Rasulullah SAW melarang celaan kepada tentera-tentera musyrikin yang terbunuh dalam peperangan Badar.

Baginda SAW bersabda: Janganlah kamu mencela mereka kerana celaan kamu itu tidak sampai kepada mereka sebaliknya akan menyakitkan orang-orang yang masih hidup. Yang pastinya perkataan celaan kamu itu adalah satu kehinaan". (Hadis mursal sahih Al-Isnad dari kitab Umdah al-Qari).

Apa yang pasti, mayat anggota keselamatan ataupun mayat Mat Indera masih mempunyai waris yang masih hidup. Terselamatkah kita daripada tidak menyakiti waris-waris mereka apabila kita secara tidak berhemah mengeluarkan pandangan semata-mata menegakkan hujah masing-masing. Kita tidak berani menghukum atas dasar apakah mereka mati sebaliknya selama mana tidak ada tanda yang sangat nyata seseorang itu sebagai kafir maka kita kena menyimpulkan bahawa ia mati sebagai orang Islam. Peranan niat mereka sangat penting untuk meletakkan kedudukan mereka di sisi Allah. Dalam perkara ini, kita serahkanlah ia kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

"Mana-mana lelaki berkata kepada saudaranya, wahai kafir maka kekafiran itu akan kembali kepada salah seorang daripada keduanya." (Fath al-Bari, hadis no 6104)

Berkata Hujjatul Islam, Imam Abu Hamid al-Ghazali: Perkara yang sepatutnya seorang Muslim berhati-hati ialah mengkafirkan, menghalalkan darah dan harta orang yang solat mengadap kiblat dan secara terang-terangan mengungkap tiada tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad itu pesuruh ALLAH. (Al-Iqtisad fi Al-I'tiqad h.157)

Imam Al-Syahid Al-Banna meletakkan panduan yang jelas dan cermat dalam menangani isu melabel seseorang demi menjaga kesatuan umat. Ini jelas dalam usul yang kedua puluh:

"Kita tidak mengkafirkan seorang Muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutannya dan menunaikan kewajipannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya melainkan jika beliau mengakui kalimah kufur, mengingkari perkara-perkara agama yang diketahui secara dharuri, mendustakan ayat al-Quran yang jelas pengertiannya, mentafsirkan al-Quran dengan pentafsiran yang tidak diterima oleh uslub bahasa Arab dalam semua keadaan dan melakukan sesuatu yang tidak boleh ditafsirkan selain dari kufur." (Pandangan semula kepada Risalah Ta'alim, h. 185)

Apa yang dinisbahkan bahawa di kalangan yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong itu sebagai "tali barut" penjajah mahupun "komunis" tidaklah menjadi bukti cukup kuat untuk mewajarkan kita berani menghukum bahkan melabelkan kematian mereka dengan label-label tertentu sehingga mengguris para waris yang seakidah dengan kita. Biarlah Allah Yang Maha Adil dan Bijaksana mengadili mereka berdasarkan niat mereka masing-masing. Tugas kita sebagai saudara seakidah adalah mendoakan agar ALLAH SWT memberi keampunan kepada mereka seperti mana saranan ALLAH SWT:

"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu." (Surah Al-Hasyr ayat 10)

Namun hakikat yang kita perlu sepakati ialah sama ada penjajah mahupun ideologi komunis selama-lamanya kita tolak kerana ia adalah antara batu-batu penghalang kepada ubudiyyah mutlak kita kepada ALLAH sebagai hamba dan khalifah ALLAH.

Kita harus terus melihat ke hadapan dengan menjadikan sejarah sebagai modal yang amat berharga untuk kita mengambil iktibar dan merangka strategi berikutnya bagaimana kita dapat melepaskan generasi akan datang bukan sekadar melepaskan diri dari menjadi tali barut penjajah mahupun komunis tetapi sebagai penghambat kepada ideologi-ideologi yang sangat asing dengan ajaran Islam.

Seorang pemikir Islam terkemuka Al-Marhum Syeikh Muhammad Al-Ghazali mencadangkan agar sejarah diolah sehingga mampu menggerakkan hati dan membangkitkan keazaman. Apabila ia dibaca dan dikaji, ia memberi kesan kepada jiwa pembacanya, menyemarakkan perjuangan serta mendorong kepada berpegang dengan kebenaran dan setia kepadanya. (Fiqh Sirah)

Pengerusi surau kena belasah

Posted: 09 Sep 2011 05:00 PM PDT

Pengerusi surau kena belasah SELAYANG – Gara-gara berang dihalang menggunakan mikrofon untuk membaca kitab, seorang penceramah bebas terkenal di sini bertindak mencederakan seorang pengerusi surau di ruang solat, Khamis lalu.

Akibat tindakan tersebut, mangsa, Pengerusi Surau An-Nur Kampung Lembah Indah, Rostam Abdul Rahim cedera di bahagian muka dan telinga akibat ditunduk dan ditendang penceramah terbabit.

Menceritakan detik kejadian, Rostam memberitahu, kejadian selepas selesai solat Isyak bermula sebaik yang juga penceramah bebas yang didakwa tidak mempunyai tauliah itu menggunakan mikrofon surau untuk membaca kitab.

"Sebelum itu, ustaz (penceramah) sudah dimaklumkan agar tidak menggunakan kemudahan tersebut melalui arahan bersama dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Pihak Jais telah menasihati saya menghalangnya daripada membaca kitab kerana namanya tidak terdapat dalam senarai.

"Pihak Jais juga menasihati saya hanya membenarkan ustaz itu untuk menjadi imam atau jemaah sahaja," katanya.

Bertindak atas arahan tersebut, Rostam terpaksa menegur penceramah terbabit dan melarangnya menggunakan mikrofon surau selain mendakwa pihak surau banyak menerima aduan penceramah terbabit sering kali menyalahgunakan platform surau untuk berceramah berbaur unsur politik.

Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan ramai jemaah tidak berpuas hati dan mengambil tindakan boikot aktiviti surau tersebut yang membabitkan penceramah terbabit.

"Saya telah maklumkan sekali lagi arahan itu kepadanya tetapi tidak diendahkan menyebabkan saya terpaksa bertindak mematikan suis mikrofon," katanya.

Marah dengan tindakannya, Rostam mendakwa penceramah telah memaki hamunnya sebelum dibantu anak lelakinya bertindak menendang dan menumbuk bahagian bawah matanya hingga berdarah.

"Akibat dipukul, doktor mengesahkan bahagian dalam dinding telinga saya cedera hingga menjejaskan pendengaran.

"Anak lelaki saya yang mahu meleraikan kejadian ketika itu juga dibelasah," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Susulan kejadian terbabit, satu laporan polis telah dibuat Rostam di Balai Polis Selayang.

"Saya dimaklumkan ustaz itu juga ada membuat laporan polis. Tetapi atas nasihat ketua kampung dan nazir, kami menarik balik laporan itu keesokan harinya, " katanya.

Menurutnya, satu perjumpaan dengan pihak Jais akan diadakan Isnin ini.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved