Sinar Harian :: Suara Cakna Anda |
Enam motosikal terbakar di Seberang Jaya Posted: 08 Sep 2011 05:00 PM PDT Enam motosikal terbakar di Seberang Jaya SEBERANG JAYA - Enam motosikal yang diletak di tempat parkir berbumbung di Flat D20, Gerbang Tuna di sini terbakar pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat. Tiga daripadanya musnah manakala tiga lagi hanya mengalami kerosakan kecil dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi. K. Tinesh Kumar, 23, berkata beliau sekeluarga yang tinggal di tingkat tiga flat berkenaan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi siren kenderaan bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian. "Saya terus bangun sebelum turun ke bawah dan terkejut apabila mendapati motosikal saya hangus terbakar," katanya. Katanya, sebelum kejadian adiknya Vijitra, 16, dikatakan terdengar bunyi seperti orang membalingkan sesuatu objek tetapi tidak mengendahkannya. Tinesh yang kerugian kira-kira RM4,000 juga menemui sebotol bekas petrol berhampiran motosikalnya. S. Ganeson, 32, berkata beliau kerugian lebih RM10,000 apabila motosikalnya dan bapanya hangus terbakar. "Saya terus menelefon bomba selepas melihat asap berkepul-kepul dari tempat letak motosikal," katanya. Kesemua pemilik motosikal terbabit membuat laporan polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintenden Baharudin Mustapha mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. - Bernama |
Lelaki lemas bot karam di Tasik Bersia, Temenggor Posted: 08 Sep 2011 05:00 PM PDT Lelaki lemas bot karam di Tasik Bersia, Temenggor IPOH - Seorang lelaki mati lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakannya tenggelam di Tasik Bersia, Temenggor, kira-kira 180 kilometer dari sini, semalam. Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manaf Bahari, berkata mangsa yang mati lemas dalam kejadian jam 9 pagi semalam itu dikenal pasti sebagai Mohamad Khairu Zaid, 42, manakala rakannya Wan Zaini Wan Ismail, 32, terselamat selepas berjaya berenang ke tepi tasik. "Mayat Mohamad Khairu yang juga siak masjid di Kampung Bersia, ditemui di dasar tasik pada kira-kira jam 6.30 petang semalam oleh pasukan marin dan dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini. Manaf berkata, ketika kejadian kedua-dua mereka dalam perjalanan ke kebun getah apabila enjin bot gentian kaca itu mengalami masalah menyebabkan bahagian depannya yang membawa muatan 100 batang benih getah dimasuki air lalu tenggelam. Beliau berkata, mereka berdua bertindak terjun ke dalam tasik dengan Wan Zaini berjaya berenang ke tepi manakala Mohamad Khairu tenggelam ke dalam tasik. Katanya, polis yang menerima laporan daripada Wan Zaini kemudian melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). "Kejadian dipercayai berpunca bot yang sarat muatan hingga menyebabkannya tidak seimbang dan karam," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Sinar Harian :: Suara Cakna Anda To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan