Jumaat, 9 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Menentang nafsu jahat dalam diri

Posted: 08 Sep 2011 05:00 PM PDT

Ramadan yang syahdu sudah berlalu. Kini kita berada dalam Syawal yang ditunggu-tunggu. Sebulan berpuasa kemudian diteruskan sebulan berhari raya, adalah matematik yang logik tetapi tidak masuk akal. Kepada yang mengamalkan sikap ala kadar, seminggu berhari raya dicampur dengan puasa enam yang sunat, itu sudah memadai.

Peningkatan kematian dan status kemalangan jalan raya tetap tidak berubah berbanding tahun-tahun terdahulu. Inikah makna kemajuan, zaman moden dan canggih dengan sistem mengesan kelajuan, alat pandu arah dan sebagainya? Malah tahun ini jumlah kematian meningkat lebih banyak berbanding tahun lepas.

Memang ramai sungguh yang menggadai nyawa di jalan raya dengan memandu laju, tidak berhemah. Kita yang sama-sama memandu, jadi takut. Silap-silap kita teraniaya angkara kesilapan orang lain. Dirempuh dari haluan bertentangan atau bontot kereta kita dicium muncung kereta orang lain – inikah Ramadan dan Syawal yang kita mahu raikan?

Selain karenah jalan raya, hari raya tahun ini juga berlainan sungguh berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dulu, anak-anak masih ikut cakap kita. Sekarang sudah besar dan ada rakan-rakan rapat mereka sendiri. Kini mereka mengatur jadual raya sendiri. Segala rancangan kita berhari raya sekeluarga mesti pula mengikut jadual mereka.

Masakan tidak, kita jadi kasihan pula apabila mereka mahu berjumpa rakan-rakan dari Perak, dari Johor, Kelantan, Sarawak yang balik berhari raya. Itu belum termasuk yang balik dari United States, dari Los Angeles, dari Moscow. Mereka mahu berjumpa sesama mereka sebelum berpisah dan balik ke kampus masing-masing, lagi dua tahun baru berpeluang beraya sama.

Inilah pengorbanan. Tak mengapalah, biar mereka gembira. Hari kita untuk gembira ada banyak lagi, di segenap sudut. Bukankah nafsu jahat selalu sahaja menggoda kita supaya semua orang mengikut telunjuk kita? Ya itu nafsu jahat yang harus ditentang. Samalah juga dengan nafsu yang suka untuk melihat orang lain jatuh dan nampak bersalah.

Musuh (nafsu jahat) akan menyerang dari segala kelemahan yang kita ada. Mereka akan merencana pelbagai dakyah supaya amalan baik kita berkurangan. Mereka akan bertepuk tangan apabila melihat kita tersungkur. Dalam kes ini, anak-anak yang menjadi mangsa. Kasih sayang kita ini tinggi nilainya, jadi janganlah kita runtuhkan nilai itu semata-mata kerana mementingkan diri sendiri.

Saya tertarik untuk berkongsi tulisan di bawah yang ditemui dalam laman web iluvislam.com:

"Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut?"

"Jika mata kita selamat daripada melihat aurat belum tentu telinga kita selamat daripada mendengar orang mengumpat."

"Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat."

"Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan."

Nafsu (daripada segala jenis nafsu) adalah sebahagian daripada diri kita yang jika tidak dikawal akan menyusahkan kita. Oleh sebab itu, kawallah nafsu bukan kita dikawal olehnya.

Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.

Tetapi bagaimana dengan ibu ayah? Suami, isteri dan anak-anak? Bagaimana dengan jiran dan sahabat handai? Apakah kita mahu selamat seorang diri sedangkan al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan juga ahli keluarga daripada api neraka?

Saya tidak dapat bayangkan kalau nafsu jahat saya melarang anak-anak berjumpa kawan-kawan mereka. Atau saya buat arahan semua orang mesti mengikut cakap kami suami isteri. Alangkah kecewanya hati yang baru bertunas itu. Kami boleh kalau mahu. Namun syukur Alhamdulillah, sikap rasional itu berjaya mematikan nafsu jahat.

Sama seperti nafsu jahat yang kini menyuruh kita saling adu domba; Mat Sabu betul atau salah fakta dalam kes Bukit Kepong? Atau menyuruh bapa Allahyarham Noramfaizul menyaman Kelab Putera 1Malaysia kerana kes kematian di Somalia? Semua itu adalah nafsu jahat yang menyuruh kita bergaduh sesama Islam. Siapa untung? Kitalah yang rugi nanti...

Semua itu adalah ujian untuk melihat utuhkah Islam yang sayangkan kedamaian. Islam, agama yang menyuruh kita tebalkan makna kasih dan sayang, menjauhi prasangka dan hati yang jahil.

Tragedi di hotel musim raya

Posted: 08 Sep 2011 05:00 PM PDT

Berita awal pagi yang disiarkan stesen radio popular itu memang menyentap perasaan: "Kira-kira 300 ekor kucing berjaya diselamatkan setelah dikatakan kebuluran dalam kurungan di pusat jagaan haiwan..."

Saya segera teringat si Kenit. Sehari sebelum lebaran saya dan isteri menghantarnya ke sebuah 'hotel kucing'. Saya telah membuat tempahan awal menempatkan kucing berusia enam bulan itu sebab kami akan seminggu beraya di kampung.

Ini pengalaman pertama kami ke pusat jagaan kucing, dan amat mengejutkan. Ada kira-kira 50 sangkar besi yang dijadikan bilik untuk 'tetamu'. Bayaran sewa bilik RM10 sehari, tidak termasuk makanan.

Ketika kami tiba, kebanyakan bilik telah berpenghuni berbagai spesies. Menurut wanita tuan punya 'hotel', semua bilik sudah penuh ditempah sejak pertengahan puasa. Ada sebilik untuk dua atau tiga penghuni, ada yang sebilik untuk satu penghuni.

Sekiranya ada 100 ekor kucing ditempatkan di situ selama seminggu, dan setiap satu dikenakan RM10 sehari, tauke hotel akan mendapat RM7,000. Baru saya tahu 'hotel kucing' pun satu bisnes yang baik, lebih-lebih lagi pada musim-musim perayaan.

Hotel itu sentiasa ada penghuni, paling tidak pun 50 peratus bilik akan diisi setiap hari sepanjang tahun. Ada kucing Siam, kucing Parsi, dan kucing daripada baka-baka terhebat, yang harganya mungkin RM ribu-ribu seekor.

Kenit adalah kucing biasa, mungkin tidak ada yang sanggup membeli walaupun RM1. Kami menemuinya ketika berjoging mengelilingi tasik Subang Jaya, satu pagi minggu. Dia masih terlalu kecil, mungkin tidak sampai sebulan, mengiau tidak henti-henti sambil berjalan terhincut-hincut.

Simpati dengan keadaannya yang kebuluran dan dibasahi embun itu, kami membawanya pulang. Baru disedari kaki belakang sebelah kanannya ditusuk duri, itu yang membuatkan dia berjalan selalu tersenget-senget.

Kami mencabut duri di kaki, memandikannya dan mengelap tubuhnya. Terharu betul ketika diberi makan, kucing kecil itu melahapnya hingga licin. Agaknya dia sudah tidak makan berhari-hari. Siapa agaknya yang tergamak membuang haiwan tidak berdosa itu di tepi tasik?

Lebih mengharukan apabila setelah kenyang, dia tidur lena di bawah meja. Kami memutuskan untuk membela kucing jantan itu, dan memberi nama mengikut bentuk tubuhnya yang kecil lagi kurus itu. Setelah lebih enam bulan menjadi anak angkat, nama itu sebenarnya tidak sesuai lagi, sebab bentuk tubuhnya sudah jauh berubah.

Dia sebenarnya menjadi penghibur keluarga. Ketika menonton TV, Kenit akan lepak di hadapan skrin sambil sekali-sekala melompat keriangan, macamlah dia faham apa yang kami tonton. Ketika kami membaca akhbar dia akan mencakar-cakar kertas.

Ketika saya masuk kereta untuk ke pejabat dia menghantar saya hingga ke pintu pagar. Ketika saya pulang sebelah petang, dia menunggu di muka pintu. Tidak sangka haiwan yang terbuang di tasik, boleh menjadi begitu manja.

Kali terakhir kami mengusap tubuhnya ialah ketika Kenit dimasukkan ke dalam 'bilik' di hotel tidak bernama itu. Dia macam sedih hendak ditinggalkan, tidak mengiau tetapi sempat menggigit jari kelengkeng saya.

Tiga empat hari beraya sakan di kampung, kami lupa pada si Kenit. Hanya setelah mendengar berita radio pagi itu, barulah kucing itu kembali dalam ingatan. Kebimbangan pun segera menerjah fikiran.

Menurut laporan radio, juga berita yang disiarkan di sebuah akhbar perdana hari yang sama, keadaan kucing-kucing tersebut amat teruk. Mereka ditempatkan berasak-asak dalam sarang dengan tubuh basah kerana air kencing sesama sendiri.

Beberapa ekor kucing yang ditempatkan di situ telah mati, dipercayai akibat kebuluran atau sesak. Menurut akhbar, 50 laporan polis telah dibuat oleh pemilik kucing terhadap dua pusat penjagaan kucing di Damansara Damai, Petaling Jaya dan Desa Moccis Sungai Buloh.

Kami memandu sejauh 200 kilometer dari kampung di Muar, meredah kesesakan lalu-lintas sepanjang lebuh raya, dengan setiap saat penuh debaran, sambil tertanya dalam kebimbangan: apakah Kenit menerima nasib yang sama?

Akhirnya semua tersenyum panjang dan bernafas lega. Kenit mengiau dan melompat-lompat gembira ketika kami mengambilnya di 'hotel' Seksyen 18, Shah Alam. Kak Yong pemilik 'hotel' itu memahami perasaan kami, dan memberitahu semua penghuni hotelnya dilayan baik, tidak ada seekor pun yang didera. Kenit membuktikan itu.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved