Sabtu, 29 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna


Ibu derita sakit paru-paru rayu bantuan

Posted: 28 Oct 2011 05:00 PM PDT

Ibu derita sakit paru-paru rayu bantuan

SUNGAI PETAN - Seorang ibu yang menderita sakit paru-paru sejak dua tahun lalu merayu simpati orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

Sadiaron Sainon, 42, dari Kampung Padang Buloh di Sidam Kiri dekat sini berkata dia kini hanya bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan memandangkan sebahagian paru-parunya telah rosak.

"Saya sudah tidak boleh berjalan sejak tiga bulan lalu dan doktor ada kata kepada saya bahawa penyakit saya ini tidak ada harapan nak sembuh.

Sepanjang hayat perlu bergantung kepada mesin oksigen ini yang mana tiga orang anak saya ini terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah bagi menjaga keperluan diri saya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini.

Katanya keluarganya kini berdepan dengan masalah kewangan memandangkan suaminya Tajuddin Shafie, 46, yang hanya bekerja kontrak tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu memenuhi keperluan harian keluarga termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak yang berusia 11 hingga 15 tahun.

"Suami saya ini pun baru sahaja sembuh daripada strok pada bulan Julai lalu dan kerja mesin rumput di rumah-rumah orang iaitu apabila hari hujan tidak boleh kerja, jika tidak kerja maka tidak ada gaji. Secara anggaran kasar kalau sebulan suami saya kerja tanpa henti boleh dapat kira-kira RM500," katanya.

Sadiaron berkata pendapatan itu tidak mencukupi untuk keperluan mereka sekeluarga tambahan dia menggunakan lampin pakai buang manakala tiub air kencing perlu ditukar dua minggu sekali selain berulang-alik ke Hospital Sultan Abdul Halim dekat sini untuk rawatan susulan.

"Ini tidak kira lagi waktu kecemasan yang memerlukan saya ke hospital dengan serta-merta, iaitu ada juga kes dalam sebulan saya kena pergi ke hospital dua kali.

" RM60 perlu dibelanjakan untuk menambah gas oksigen kepada salah salah satu mesin oksigen manual yang diberi pihak hospital kepada saya dan kalau gas habis cepat sebulan dua kali juga kena tambah. Jadi kos untuk semua benda ini akan bertambah," katanya.

Sadiaron berkata dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan kadang-kadang ada juga pihak yang sudi membantu dengan menghantar makanan ke rumahnya.

Orang ramai dan pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Giro (02123-29-00015022-3) atas nama anak lelakinya Mohamad Amirul Tajuddin atau menghubunginya di talian 013-4703483 - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

NGO Malaysia hantar bantuan air minum kepada mangsa banjir Thailand

Posted: 28 Oct 2011 05:00 PM PDT

NGO Malaysia hantar bantuan air minum kepada mangsa banjir Thailand

HATYAI - Misi bantuan kemanusiaan Malaysia kepada mangsa banjir di Thailand yang diselaraskan oleh Pejabat Perdana Menteri berupa satu kontena mengandungi lebih 1,000 karton air minum tiba di sini, malam tadi.

Penyelaras misi penghantaran itu, Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah, berkata empat lagi kontena air minum akan dihantar dengan lori treler dan dijangka tiba menjelang Selasa ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencetuskan idea supaya badan-badan bukan kerajaan (NGO) membentuk satu gabungan bagi mengumpul sumbangan untuk dihantar kepada mangsa banjir Thailand.

"Pada masa ini mereka sangat memerlukan air minum berikutan bekalan air bersih di Bangkok terputus malah Pegawai Khas Perdana Menteri Yingluck Sinawatra memberitahu mereka amat memerlukan air minum.

"Pihak berkuasa Thai turut memberi bantuan dan komitmen penghantaran bantuan itu berjalan lancar," kata Latt Shariman kepada wartawan Malaysia yang turut serta dalam misi itu.

Air minum tersebut diserahkan kepada Ketua Polis Hatyai, Jirawat Payungtham yang akan menguruskan penghantarannya ke Bangkok.

Katanya, pasukan St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah Kedah dan Pulau Pinang serta Barisan Kola (UMNO Kuala Kedah) yang membentuk satu gabungan misi 'Bantuan Banjir Thailand' menerima banyak sumbangan daripada syarikat korporat dan individu.

Latt Shariman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah berkata, bantuan lain kepada mangsa banjir Thailand akan menyusul kerana banyak lagi bantuan dijangka diterima.

Sebelum ini kerajaan Malaysia menyumbang sebanyak RM1 juta kepada kerajaan Thailand untuk membantu mangsa banjir.

Sementara itu, Jirawat, bagi pihak kerajaan dan rakyat Thailand mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang bermurah hati serta bersimpati dengan menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di negara itu.

Beliau juga berkata, kerajaan Thailand sudah membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan banjir melanda Hatyai sepertimana tahun lalu.

"Pada masa ini sukar meramalkan banjir akan melanda Hatyai kerana ia bergantung kepada cuaca dan hujan pada November ini," kata Jirawat. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved