Jumaat, 7 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna


Perginya tokoh revolusi dunia...

Posted: 06 Oct 2011 05:00 PM PDT

Perginya tokoh revolusi dunia... Enam tahun lalu, Steve Jobs berbicara mengenai bagaimana kesedaran bahawa beliau akan mati pada bila-bila masa menjadi motivasi paling utama baginya untuk membangunkan teknologi komputer Apple, iaitu ciptaan yang dimulakan di garaj rumah orang tuanya bersama rakan beliau, Steve Wozniak pada 1976.

"Kesedaran bahawa saya akan mati tidak lama lagi adalah alat paling penting yang pernah saya temui untuk membantu saya dalam membuat pilihan besar dalam kehidupan," katanya dalam ucapan di Universiti Stanford, California pada 2005.

"Ini kerana semua jangkaan, semua kesombongan, ketakutan, perasaan malu dan takutkan kegagalan akan hilang begitu sahaja jika saya meninggal dunia, dan apa yang tinggal hanyalah benda yang benar-benar penting," katanya lagi.

Dilahirkan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada 1955, Jobs adalah hasil perkongsian hidup Abdulfattah John Jandali, seorang lelaki Syria dan pelajar sarjana warga AS, Joanne Schieble sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkatnya, Paul dan Clara Jobs.

Selepas tercicir daripada pengajian di kolej, Jobs mula menunjukkan keistimewaan luar biasa apabila berjaya mengubah dunia teknologi dengan pelancaran komputer peribadi pertama ciptaannya, Apple II pada akhir 1970-an yang mendapat sambutan hangat pengguna dan pelabur.

Pada 1984, beliau sekali lagi mengulangi kejayaan sama dengan pengenalan komputer Macintosh yang dihasilkan menggunakan teknologi terbaru pada masa itu bagi mencipta komputer peribadi serupa dengan apa yang dilihat pengguna hari ini.

Sejak itu, ciptaan demi ciptaan dihasilkan Jobs dan selepas beberapa tahun, beliau mula memperkenalkan produk popular yang menambat hati jutaan pengguna seperti iPod, iPhone dan iPad.

Dipercayai memiliki kekayaan mencecah AS$7 bilion (RM21 bilion), Jobs yang dikenali dengan pakaian seragamnya, iaitu baju hitam berkolar tinggi dan seluar jeans biru dianggap sebagai nadi syarikat Apple, iaitu syarikat kedua paling bernilai di AS selepas Exxon Mobil.

Walaupun beliau adalah pengasas utama Apple, Jobs tidak teragak-agak untuk berundur daripada memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu, Ogos lalu selepas beranggapan masalah kesihatannya tidak lagi membenarkan beliau untuk memimpin syarikat itu.

"Saya selalu berkata, jika tiba hari di mana saya tidak lagi dapat menjalankan tugas sebagai CEO Apple, saya sendiri akan menjadi orang pertama yang memaklumkan perkara itu kepada anda. Malangnya, hari itu telah tiba," menurut Jobs dalam surat perletakan jawatannya pada 24 Ogos lalu.

Kematiannya, kelmarin, pada umur 56 tahun selepas bertahun-tahun menderita menghidap barah pankreas yang mula dikesan pada 2004 bukan sahaja dirasai pekerja syarikat itu tetapi dianggap kehilangan besar dunia teknologi kerana ciptaannya kini menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai orang di seluruh dunia.

Dan Jobs, tokoh revolusi yang dilihat berjaya mencuri hati ramai orang, bukan hanya meninggalkan produk berteknologi tinggi kepada dunia, tetapi meninggalkan contoh terbaik bagaimana semangat seseorang manusia mampu mengubah dunia.

Beliau turut menghadiahkan kata-kata semangat yang dianggap antara paling menyentuh jiwa melalui ucapannya semasa majlis konvokesyen Universiti Stanford, California pada 12 Jun 2005 dengan teks penuh boleh dibaca di http://news.stanford.edu/news/2005/june15/jobs-061505.html atau melalui carian video Steve Jobs' 2005 Stanford Commencement Address di laman YouTube.

Lagi keganasan di AS

Posted: 06 Oct 2011 05:00 PM PDT

Lagi keganasan di AS CALIFORNIA - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan tujuh lagi cedera selepas seorang pekerja kilang simen di California, Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan sebelum cuba mencuri sebuah kereta, kelmarin, menurut polis.

Penyerang dikenali sebagai Shareef Allman tiba di mesyuarat keselamatan kilang simen Lehigh Southwest lengkap bersenjatakan pistol dan senapang dan melepaskan tembakan ke arah kira-kira 15 pekerja lain yang berada di situ.

"Menurut saksi dan mangsa, Allman tidak gembira dan merungut tetapi tidak diketahui sama ada dia mempunyai masalah kerja atau isu keluarga," menurut jurucakap polis, Jose Cardoza.

Allman, berumur dalam lingkungan 40-an kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan masih dicari oleh polis.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved