Ahad, 2 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna


Wanita ditahan berhubung kes penemuan mayat bayi dalam longkang

Posted: 01 Oct 2011 05:00 PM PDT

Wanita ditahan berhubung kes penemuan mayat bayi dalam longkang

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang wanita berumur 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat bayi perempuan di dalam longkang di sebuah flat di Taman Selayang Segar 2 di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, wanita tersebut yang merupakan seorang pelatih di sebuah restoran di Bandar Baru Selayang ditahan di asramanya kira-kira pukul 9.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, suspek mengaku telah melahirkan bayi tersebut di tandas asrama penginapannya yang terletak berhampiran restoran itu kira-kira pukul 4 pagi.

"Selepas melahirkan, suspek mendakwa bayinya tidak lagi bernyawa dan mengambil keputusan untuk membuangnya ke dalam longkang," katanya kepada Bernama.

Bayi yang cukup sifat dan masih mempunyai tali pusat itu berada dalam keadaan tertiarap di dalam longkang ketika dijumpai oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi.

Asrama itu turut menempatkan lapan orang lagi pelatih restoran tersebut.

Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Selayang.- Bernama

Anak naik angin serang bapa dengan parang di Kulim

Posted: 01 Oct 2011 05:00 PM PDT

Anak naik angin serang bapa dengan parang di Kulim

KULIM - Seorang bapa terpaksa lari menyelamatkan diri daripada diserang anak lelakinya dengan parang di rumah mereka di Kampung Baru Air Merah di sini malam tadi.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku setelah si bapa yang berumur 60 tahun dan merupakan pesara tentera menegur sikap anaknya yang berumur lingkungan 30-an itu yang bertindak liar sebaik pulang ke rumah pada pukul 11 malam.

Mereka dikatakan telah bertengkar diikuti pergaduhan antara kedua-duanya sehingga menyebabkan si anak terjatuh dan luka di kepala, kata Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Salleh.

Beliau berkata menyedari dia mengalami kecederaan, si anak naik berang lalu mengambil parang dan cuba menyerang bapanya yang terpaksa menyelamatkan diri ke luar rumah.

"Atas bantuan jiran-jiran, bapa berkenaan telah menghubungi balai polis bagi mendapatkan bantuan," katanya kepada Bernama hari ini.

Ghuzlan berkata anggota polis yang tiba di tempat kejadian telah berjaya memujuk si anak sebelum dia menyerah diri dan dibawa ke balai polis.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian itu.- Bernama

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved