Isnin, 10 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Di manakah agenda kebangsaan?

Posted: 09 Oct 2011 05:00 PM PDT

Resolusi perhimpunan MCA minggu lepas terus mendesak kerajaan mengarusperdanakan pendidikan vernakular setanding pendidikan kebangsaan. Antara desakan mereka, kerajaan mesti membantu pembangunan lebih 78 peratus sekolah Cina sedia ada melalui peruntukan khas.

Lembaga pentadbir sekolah Cina mesti dirujuk, terutama berkaitan penempatan guru besar (pengetua), penolong kanan dan guru bahasa Melayu. Mereka mesti berlatar belakangkan Cina dan boleh berbahasa Cina dengan baik. Masa pembelajaran dan pengajaran bahasa Cina mesti dikekalkan minimum lima period seminggu. Tiap-tiap tahun inilah desakan mereka.

Soal untuk memandaikan anak Cina yang lemah dalam komunikasi dan gagal dalam penulisan bahasa kebangsaan langsung tidak disentuh. Penting bagi mereka, anak Cina mesti pandai dalam bahasa Cina. Sekolah Cina mesti mendapat bantuan lebih dari sebelumnya, penguasaan bahasa Cina mesti diutamakan.

Sebelum ini Perdana Menteri bermurah hati bersetuju menyalurkan kutipan cukai arak dan judi kepada sekolah Cina. Mengecualikan cukai terhadap mereka yang memberi sumbangan kepada tabung pembangunan sekolah Cina dan banyak lagi. Pendek kata, sekolah Cina hari ini mendapat perhatian begitu tinggi daripada pelbagai pihak. Kerajaan terpaksa tunduk demi mendapatkan undi. Undi pun belum tentu diberikan kerana undi adalah rahsia. Buatlah perbandingan antara sekolah kerajaan dengan sekolah vernakular. Mana lebih baik. Kalau tidak percaya pergilah ke salah sebuah sekolah di kampung saya, SK Sungai Ranggam, Kota Setia, Teluk Intan, lihatlah betapa daifnya sekolah ini. Guru besar sekolah tersebut meminta saya memberitahu kementerian supaya membantu sekolah itu. Terfikir juga saya, apa yang dibuat oleh wakil rakyat di sana.

Saya memohon dan menasihatkan kerajaan, jika mahu terus mengarusperdanakan sekolah vernakular setanding sekolah kebangsaan, beberapa perkara berikut perlu diberikan perhatian.

Pertama, kerajaan tidak perlu tunduk pada desakan atau keputusan lembaga pentadbir sekolah Cina. Kedua, pentadbiran sekolah Cina hendaklah ditentukan pihak kerajaan, bukannya pentadbir sekolah Cina. Ketiga, sebahagian besar tanah sekolah Cina hendaklah diserahkan kepada kerajaan. Keempat, bahasa Melayu hendaklah diajar melebihi period minimum bahasa Cina. Jika mereka tidak mahu melakukannya, adalah tidak wajar kerajaan tunduk kepada desakan untuk menyamakan taraf sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan.

Kita amat serius dengan bahasa ibunda, tetapi tidak kepada agenda negara. Saya tidak nafikan ramai juga orang Melayu menghantar anak-anak ke sekolah vernakular. Tetapi situasinya berbeza. Melayu dapat menguasai bahasa dan budaya Cina. Manakala Cina tetap dengan kecinaannya (keindiaan).

Inilah dilema pendidikan negara yang kita hadapi sekian lama. Tidak salah memandaikan anak kita dengan bahasa ibunda. Tetapi apakah langkah yang dibuat untuk memandaikan anak kita dengan bahasa negara? Pihak ultra kiasu terus mendakwa sekolah vernakular adalah satu kekuatan. Tetapi pernahkah kajian dibuat untuk melihat kesan sekolah vernakular ke atas pembangunan negara bangsa dan integrasi nasional.

Selaku ahli akademik, saya pernah memohon grant untuk melakukan kajian seperti ini tetapi ditolak mentah-mentah atas alasan sensitif. Jawatan kuasa penilai terdiri kalangan bebal dan pandir. Saya amat hairan, perkara sebesar ini melibat masa depan negara dikatakan tidak penting. Saya memohon kepada kerajaan supaya memberikan kami grant untuk membuat kajian ini secara menyeluruh.

Sepatutnya orang Cina berlapang dada menerima pandangan pihak berautoriti bukannya defensif. Kita harus berasa bertuah kerana dapat mengekalkan pendidikan ibunda di sini. Di negara lain, seperti Indonesia dan Thailand, bukan sahaja pendidikan vernakular diharamkan, hubungan dengan negara asal diputuskan sama sekali. Kelonggaran hanya diberikan pada tahun-tahun 1990an. Tidak seperti kita, tidak pernah melarang sama sekali.

Rakyat Malaysia sepatutnya fasih berbahasa kebangsaan. Tidak timbul soal ada yang langsung tidak dapat bertutur dan memahami bangsa kebangsaan. Ingatlah, titik permulaan dalam pembentukan Bangsa Malaysia tersebut terletak pada sistem pembelajaran negara kita. Janganlah kerana mahukan undi kita terpaksa melukut di tepi gantang. Akhirnya nanti, siapakah yang akan menerima akibatnya?

Selamat tinggal ISA!

Posted: 09 Oct 2011 05:00 PM PDT

Dalam bahagian pertama rencana ini yang disiarkan pada 26 September lalu, saya menjelaskan sedikit sebanyak mengapa terdapat begitu banyak kritikan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1969 atau lebih dikenali sebagai 'ISA'. Pada bahagian kedua ini pula, saya ingin memberi pandangan tentang cadangan pemansuhan ISA, terutama sekali tentang dua undang-undang baru bagi menggantikan ISA.

Pada ketika ini, kita tidak mempunyai apa-apa butiran kukuh mengenai dua undang-undang tersebut. Menurut laporan, kerajaan sedang mendapat pandangan daripada pelbagai pihak dalam merangka undang-undang tersebut. Oleh itu, saya fikir ia amat tidak wajar apabila ada pihak-pihak yang sudah pun memberi kritikan berkenaan undang-undang yang akan digubal ini, walhal rang undang-undang tersebut masih belum wujud, setakat yang kita tahu.

Begitu pun, ia tidak bermakna kita tidak boleh memberikan cadangan. Masyarakat madani seperti biasa harus memastikan bahawa apa-apa undang-undang yang menggantikan ISA tidak menjadi 'racun lama di dalam botol baru'.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) beberapa tahun dahulu ada mengeluarkan laporan mengenai ISA. Terdapat beberapa cadangan diberi berdasarkan kelemahan dan kritikan terhadap ISA sebelum ini. Pihak kerajaan disyorkan supaya merujuk kepada laporan komprehensif ini dan mengguna pakai cadangan-cadangan telah diberikan.

Di samping itu, pihak kerajaan juga wajar mengambil kira undang-undang anti-keganasan di negara-negara lain. Secara peribadi, saya berharap undang-undang anti-keganasan di United Kingdom akan dikaji dan diguna pakai kerana saya percaya rangka perundangan tersebut berjaya mencapai keseimbangan di antara keselamatan negara dan hak asasi. Undang-undang yang menggantikan ISA mesti mencapai keseimbangan yang sama.

Pertamanya, undang-undang baru ini haruslah secara khusus digubal untuk menangani ancaman keganasan atau terrorisme terhadap keselamatan dalam negeri. Apa dikatakan sebagai 'keganasan' atau 'ancaman' diperincikan dengan jelas dan khusus, supaya tidak lagi memberi ruang kepada penyalahgunaan kuasa yang pernah berlaku sebelum ini.

Tahanan pencegahan tidak harus digunakan untuk alasan-alasan selain daripada ancaman keganasan.

Seterusnya, tujuan kuasa diberikan kepada pihak kerajaan untuk menahan seseorang tanpa bicara adalah untuk membuat siasatan ke atas suspek dan akhirnya mendakwa suspek di Mahkamah. Kuasa tahanan tidak boleh digunakan untuk 'menghukum' suspek tanpa bicara, seperti apa berlaku dengan ISA. Di bawah undang-undang anti-keganasan UK misalnya, suspek boleh ditahan tanpa bicara sehingga 28 hari sahaja.

Tamat tempoh tersebut, suspek sama ada didakwa di Mahkamah ataupun dilepaskan. Penahanan tidak boleh dilanjutkan lagi selepas itu. Maknanya, penahanan seseorang itu bertindak sebagai 'perintah reman lanjutan' untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan. Oleh itu, kuasa untuk mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun haruslah dimansuhkan sama sekali. Kem tahanan di Kamunting juga tidak lagi diperlukan.

Di samping itu, kuasa untuk menahan patut dipindahkan daripada pihak eksekutif (kerajaan) kepada badan kehakiman. Ini bermakna, seperti permohonan reman, perintah tahanan dikeluarkan oleh Mahkamah dan bukannya mengikut budi bicara kerajaan. Ini dipanggil judicial detention dalam bahasa Inggeris. Kerajaan harus meyakinkan Mahkamah bahawa suspek harus ditahan untuk siasatan lanjut. Permohonan ini boleh dibuat secara tertutup sekiranya terdapat kekhuatiran, sekiranya ia dibuat di mahkamah terbuka, butiran siasatan akan didedahkan kepada orang ramai dan memprejudiskan siasatan.

Sekiranya kerajaan benar-benar ingin membawa perubahan demokratik yang bermakna, mereka harus meneliti cadangan dikemukakan secara terperinci. Pertimbangan ke atas aspek-aspek yang telah saya nyatakan di atas adalah penting bagi memastikan kelemahan dan kritikan ke atas ISA sebelum ini ditangani dan menjadikan undang-undang yang bakal menggantikan akta zalim itu dapat mengimbangi keperluan semasa, di samping mendukung hak asasi dan Perlembagaan. Barulah kita benar-benar boleh mengucapkan selamat tinggal kepada ISA.

* Penulis seorang peguam muda dan rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved