Khamis, 6 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Bila senyuman tak mengusik jiwa

Posted: 05 Oct 2011 05:00 PM PDT

Tidak ramai yang menyedari terdapatnya sebuah jambatan kecil di sebalik potret senyuman separuh Mona Lisa. Tapi bagi dunia seni halus, potret tersebut yang disimpan di bawah kawalan keselamatan ketat di Museum Louvre, Paris dianggap hasil karya seni teragung dan paling bernilai.

Leonardo da Vinci mengambil masa 16 tahun untuk menyiapkan karyanya. Ketika itu Renaissance Eropah, terutamanya Itali sedang dicambahi ahli seni lain seperti Michelangelo dan Raphael. Apabila lukisan cat minyak pada panel kayu popular itu siap sepenuhnya pada 1519, ia serta-merta dianggap oleh dunia seni sebagai karya signature era tersebut.

Siapakah dia Mona Lisa? Ada mengatakan wanita dalam potret itu ialah isteri saudagar sutera zaman tersebut. Dan Brown dalam novel popularnya The Da Vinci Code yang sarat dengan pelbagai maklumat mengatakan Mona Lisa sebenarnya ialah Leonardo da Vinci sendiri.

Mungkin kehebatan Mona Lisa tidak ada kena mengena dengan senyuman. Kalau kita bandingkan senyuman tersebut dengan senyuman, contohnya penyanyi diva Datuk Siti Nurhaliza, maka senyuman yang dirakamkan oleh da Vinci 492 tahun silam adalah, bak kata orang, nothing.

Barangkali senyuman Mona Lisa lebih kurang serupa dengan senyuman Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah – kedua-duanya adalah senyuman pemikir dan bukan senyuman penghibur (jika apa yang dikatakan oleh Dan Brown mengenai Mona Lisa itu benar). Namun ini tidak bermakna mereka yang memiliki senyuman penghibur sebagai orang tidak suka berfikir.

Kalau tak suka berfikir, masakan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak ke-11, berkemampuan untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah. Oleh itu, tidak seperti gelaran diberikan kepada Mona Lisa, "the half-smiling lady", Dr Zambry pula digelar sebagai 'the smiling MB'. Sekiranya agensi pengiklanan mahu mencari personaliti paling sesuai untuk iklan terbaru ubat gigi Colgate, mereka tak perlu pergi jauh, singgah sahaja di pejabat MB Perak dan buat temu janji.

Namun Dr Zambry orang politik yang memiliki jawatan dan perlu memikul tanggungjawab ke atas rakyat. Senyum-senyum orang politik tak sama dengan senyuman penyanyi seperti Siti Nurhaliza. Lagipun senyuman Dr Zambry ini adalah by default dan bukannya senyuman dibuat-buat. Dia cukup serius apabila menghadapi sesuatu tugas.

Masih lagi dengan subjek 'senyum'. Dalam beberapa hal Dr Zambry mempunyai saingan dengan pelakon wanita Hollywood, Julia Roberts yang dikatakan mampu menandingi senyuman Mona Lisa. Filem Mona Lisa Smile yang dibintanginya tahun 2003 membuatkan produsernya dan Julia tersenyum ke bank apabila kutipannya USD141 juta, mengatasi kos pengeluaran USD64 juta dan aktres penerima Academy Award kategori aktres terbaik 2001 (Eric Brokovich) itu pula dibayar USD25 juta. Inilah gara-gara sebuah senyuman.

Dalam konteks ini ramai nampak senyuman sebagai relevan, dapat memikat hati orang ramai. Orang politik faham jika mereka lebih banyak tersenyum daripada 'wajah toya', pengundi mudah dijinakkan. Namun entah macam mana ramai kalangan ahli politik berasa sukar nak menghabiskan lima atau 10 minit dengan senyuman. Mereka harus ingat bukan mudah hendak memenangi sesuatu pertandingan dalam pilihan raya kerana ia melibatkan 'jurinya' puluhan ribu orang.

Calon yang bertanding dalam pilihan raya bertanding atas tiket parti masing-masing. Mereka bergantung kepada jentera parti untuk membantu memenangi hati pengundi. Kadangkala calon dilihat winnable dan likeable, macam resipi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun rakyat menolak di peti undi.

Zaman dulu hal begini tak timbul kerana calon yang mewakili parti kerajaan walaupun lulus darjah enam dan kadangkala mukanya sebengis Allahyarham pelakon S Kadarisman atau Saleh Kamil, masih memiliki peluang cerah. Sebab itu sebaik namanya dicalonkan, orang sudah pun memanggilnya YB (yang berhormat). Sebabnya mudah - dia bakal menang dan bakal bergelar YB.

Tapi zaman kian kompleks dan hari ini rakyat sudah semakin cerewet membuat pemilihan. Calon yang baik tapi kurang pandai melemparkan senyuman mungkin setakat memenangi hati pucuk pimpinan daripada mendapat undi rakyat. Banyak faktor lain mempengaruhi pemikiran rakyat seperti pelajaran, wawasan, keikhlasan, dan sebagainya. Namun dalam sudut yang satu lagi, senyuman juga satu faktor rakyat ambil kira. Berkempen dengan projek dan wang belum memastikan kemenangan seperti mana terbukti dalam pilihan raya umum 2008.

Malah dalam agama pun kita dianjurkan sentiasa senyum kerana ia satu ibadat. Bukan kita tak tahu ada pemimpin tidak pandai menyedekahkan senyuman. Mahal agaknya walhal mereka menjadi pemimpin pun kerana diundi rakyat.

Di kalangan pemimpin pembangkang pun ada masalah ini. Ramai yang sukar sangat nak senyum, itu belum lagi jadi menteri.

Bercakap tentang senyum dan pemimpin yang kedekut untuk memberi senyuman, kita tentu teringatkan mantan Perdana Menteri Tun Abdudllah Ahmad Badawi. Sebut sahaja namanya ada yang teringat gambar clip art pada tiub ubat gigi Darlie yang memaparkan seorang lelaki kulit hitam memaparkan sebaris gigi putih. Apa membezakan cuma Pak Lah berkulit putih dan tak memakai topi. Pak Lah tetap tersenyum walaupun dalam keadaan mindanya sedang paling berserabut.

Pak Lah menjadi Perdana Menteri cuma sepenggal berbanding bekas bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamed, hampir 23 tahun. Dari aspek PR dan ramuan senyumannya, Pak Lah jauh meninggalkan Dr Mahathir. Tapi dalam hal ini tokoh sehebat Pak Lah dalam hal ehwal senyuman belum cukup untuk menjanjikan kesejahteraan buat rakyat malah dilihat menyimpang dari keupayaan mentadbir negara. Ini yang dipertikai Dr Mahathir sejak dulu hingga sekarang.

Jika Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri ada senyuman macam Pak Lah atau Dr Zambry, kedua-dua tokoh ini akan menjadi tokoh terhebat dalam sejarah politik Malaysia. Namun masih belum terlambat bagi kedua-duanya mempelajari sesuatu daripada senyuman pemimpin.

Akhir sekali apa yang pasti dalam dunia politik, cuba elakkan diri daripada mewarisi senyuman sebagaimana yang diukir oleh Mona Lisa. Ia hanyalah senyuman buat-buat yang dilakar oleh pelukisnya.

Bukan mudah jadi tetamu ALLAH

Posted: 05 Oct 2011 05:00 PM PDT

SYABAS kepada rakan-rakan sekerja yang tahun ini terpilih untuk mengerjakan rukun Islam kelima. Ada benarnya madah orang tua dulu-dulu mengenai ibadat wajib ini. Kata mereka: "Kalau belum sampai seru, kita tidak boleh pergi ke Makkah!"

Terbukti duit bukan faktor utama untuk membolehkan kita menunaikan ibadat tersebut. Ada beribu-ribu orang yang simpanan mereka di Tabun g Haji (TH) sudah lebih dari cukup, tetapi masih tidak berupaya untuk melaksanakan rukun terakhir itu.

Sekiranya anda mula membuka akaun dengan TH hari ini, anda terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk tiba giliran melihat Kaabah di Masjid al-Haram. Ada kemungkinan kita meninggal dunia sementara menunggu giliran.

Kuota haji yang diberikan Kerajaan Arab Saudi kepada kita hanya 25,000 setahun, sedangkan bilangan penyimpan TH yang telah layak jumlahnya ratusan ribu. Ertinya, ada duit ada kesihatan pun belum tentu dapat ke Makkah, kalau tidak ada seru.

Saya dan isteri mendapat seru itu lima tahun dahulu. Sejak hari pertama mengikuti kursus haji anjuran TH di Petaling Jaya, saya mendapati banyak yang negatif mengenai tanah suci. Entah mengapa ustaz yang mengendalikan kursus selama dua bulan – setiap Ahad – menyelitkan fakta-fakta menakutkan ketika berceramah.

Antara yang selalu disebut-sebut ialah: "ALLAH akan menguji kita ketika di tanah suci, jadi kena sentiasa berhati-hati!" Kata ustaz, segala keburukan yang kita lakukan di sini akan diserlahkan ALLAH semasa kita mengerjakan haji.

Seorang bakal haji yang mengikuti kursus, nyaris membatalkan hasrat untuk ke Makkah, sebab takut diuji ALLAH. Dia kata sejak zaman muda banyak melakukan dosa. Pada usia yang semakin senja dia bertaubat dan berhasrat ke Makkah.

"Saya takut ALLAH akan menguji saya di sana nanti," katanya sungguh-sungguh sambil menitiskan air mata. Saya menenangkan dia: "Pakcik telah dipilih sebagai tetamu ALLAH, jangan lepaskan peluang ini."

Berkali-kali saya memberitahunya bahawa ALLAH menguji kita tidak kira di Makkah dan Madinah, malah di mana sahaja, pada bila-bila masa. Di Kampung Tengku pun kita sentiasa diuji oleh Yang Maha Mengetahui. Akhirnya dia tidak jadi menangguhkan haji. Selalu juga ustaz menyebut mengenai hal-hal yang tidak sedap, termasuk ramai jemaah sesat jalan dan hilang, ramai hilang kasut ketika sembahyang, ada yang pengsan di hadapan Kaabah. Malah diceritakan juga perihal pemandu teksi Arab yang suka melarikan isteri orang!

Memang apa yang diceritakan ustaz berlaku. Saya sendiri beberapa kali hilang selipar baik ketika sembahyang di Masjid Nabawi Madinah mahupun ketika di Masjid al-Haram di Makkah. Saya terima ini sebagai ujian ALLAH. Beribu-ribu jemaah lain juga hilang selipar. Hakikatnya ialah ada lebih 3 juta umat Islam dari seluruh dunia bertumpu ke kota suci itu pada tahun itu, dan pada setiap waktu masjid di Mekah sesak dengan manusia, hingga di atas jalan dan kaki lima penuh orang bersembahyang.

Dalam keadaan sesak begitu hilang selipar atau kasut bukanlah perkara luar biasa. Usahkan di Makkah atau Madinah, ketika sembahyang Jumaat di masjid tempat kita pun ramai hilang kasut, malah ada hilang beg, cermin mata, jam tangan dan sebagainya. Saya tidak pengsan, tetapi kerap melihat jemaah lain pengsan bukan sahaja ketika tawaf, malah ketika mengerjakan rukun-rukun haji yang lain. Bukan sahaja pengsan dan sakit, yang meninggal dunia pun ramai. Boleh dikatakan setiap kali selepas solat pasti ada solat jenazah, ada ketikanya hingga lebih 10 jenazah. Tetapi ini tidak sepatutnya menakutkan, sebab di tempat kita pun setiap hari ada orang meninggal dunia.

Dalam kumpulan manusia yang sebegitu ramai, jemaah sesat jalan pun bukan luar biasa. Tempat baru, bentuk bangunan berbeza, dan cuaca pun tidak sama, tentu sekali ramai yang tidak tahu arah. Ini pun bukan luas biasa. Usahkan di Makkah, di Lot-10 Kuala Lumpur pun boleh sesat!

Perihal pemandu teksi Arab suka melarikan isteri orang, itu saya tidak nampak. Tetapi di tempat kita pun hari-hari ada orang kena culik, atau dilarikan ke tempat lain, termasuk di Lombok. Ada beribu pemandu teksi di Makkah, mungkin yang jahat tidak sampai satu peratus.

Kesimpulannya: ustaz tidak perlu menakutkan bakal haji semasa kursus. Sebab apa yang terjadi di tanah suci, kerap juga terjadi di tempat kita. ALLAH menguji kita di mana sahaja, setiap masa.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved