Jumaat, 14 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Akad nikah biarlah banyak kali

Posted: 13 Oct 2011 05:00 PM PDT

Untuk tempoh beberapa minggu akan datang, saya terima banyak jemputan kahwin. Ini sesuatu yang menarik sebab dahulu, kenduri kahwin biasanya dilangsungkan pada musim cuti sekolah. Tetapi sekarang, di luar musim cuti pun ramai yang nak berkahwin.

Ada juga yang menempah tarikh 11.11.11. Bolehlah jika ada sesiapa yang bercadang nak buka syarikat saji atau kanopi kerana saya percaya, tukang saji dan penyewa kanopi yang sedia ada tidak akan menang tangan pada hari itu.

Sekarang, orang tidak kira lagi pada bajet yang defisit atau harga barang yang melambung, kahwin tetap kahwin. Sama juga seperti di jalan raya kita. Walaupun harga kereta melambung, harga minyak pula menjunjung, jalan tetap sesak. Kereta baru tetap bertambah.

Siapa yang boleh tahan nafsu daripada beli kereta baru hanya kerana tak mahu jadi mangsa jalan sesak? Tidak mungkin. Itu jauh lebih ringan berbanding jika ada orang yang bertahan tak mahu kahwin hanya kerana mahu mengelak bajet defisit. Kalau ada yang seperti itu, tolong beritahu, saya mahu berguru cara yang paling berkesan bagaimana menunduk nafsu!

Semalam, saya duduk bersembang dengan seorang bakal pengantin - perempuan - yang akan naik pelamin penghujung bulan ini. Sebagai 'orang lama', saya nasihatkan dia supaya banyak bersabar dalam menempuh hidup berumah tangga, terutama pada lima tahun pertama. Inilah tempoh seribu satu pancaroba.

Maklumlah lebih 20 tahun yang dilalui terdahulu segala-galanya berbeza, tiba-tiba bertembung di bawah satu bumbung. Ya sukar, memang amat sukar sekali.

Bagi kebanyakan pasangan, hanya selepas 10 tahun barulah sesebuah rumah tangga boleh dianggap mantap. Itu pun, apabila menjelang umur 40 (baca: umur suami), biasanya cabaran yang lain pula mendatang. Si isteri perlu tambah 'perisian' jika tidak mahu ketinggalan.

Namun ini bukanlah bermakna tidak ada harapan ataupun amat sukar untuk sesebuah rumah tangga mengecap kebahagiaan.

"Jangan fikir sangat sampai tak jadi kahwin pulak. Yang penting, kena banyak sabar, tolak ansur," kata saya.

Sedang asyik melayan sembang, tiba-tiba 'tanduk' tumbuh sedikit demi sedikit. Datang idea saya hendak mengusik.

"Saya tau, dalam waktu ini, awak mula rasa ragu-ragu. Awak tertanya-tanya sama ada awak buat keputusan yang tepat dan sudah bersedia untuk berkahwin, atau pilihan awak itu adalah yang terbaik, yang awak akan hidup bahagia dengannya berpuluh-puluh tahun akan datang?"

Dia mengaku. "Ya, itu yang saya rasakan. Macam mana awak boleh tahu?"

Saya kata kepadanya: "Sebenarnya bukan awak saja yang rasa begitu. Sesiapa juga yang nak kahwin akan rasa seperti itu, termasuk lelaki."

Tetapi kata saya, kesungguhan atau kesediaan seseorang lelaki untuk berkahwin lebih mudah dilihat berbanding wanita.

"Sebabnya, dia yang akan lafaz terima nikah. Kalau sekali, terus sah. Itu bukti dia tidak ada ragu-ragu. Malah boleh juga dianggap dia betul-betul seronok nak kahwin," kata saya.

Kepada pembaca, saya minta jangan percaya teori ini membuta tuli. Saya agak sahaja. Akan tetapi, kata saya lagi, adalah lebih baik bagi seseorang bakal isteri menasihatkan pasangannya supaya melafaz akad nikah banyak kali, biar sampai 10 kali kalau boleh.

"Mengapa pulak?" dia bertanya dengan nada terkejut. Di wajahnya ada kerut. "Sebabnya, setiap orang rata-rata mengharap hanya satu perkahwinan dalam hidup. Oleh kerana kahwin hanya sekali, biarlah akad nikahnya berkali-kali. Lepas itu, tak ada lagi dah. Biarlah yang sekali itu betul-betul jadi kenangan seumur hidup," kata saya.

"Lagi pun sekarang ini, majlis akad nikah biasanya divideokan. Jadi bukankah seronok apabila sudah beranak pinak kelak, sama-sama tengok video akad nikah ayah yang berkali-kali itu," kata saya lagi.

Manakala sebab yang kedua, isteri biasanya paling takut kalau suami mereka berubah hati. Kerana itu, mereka perlu nasihatkan suami untuk akad nikah banyak kali kerana manusia biasanya tidak akan rasa puas jika sesuatu perkara itu dilakukan hanya sekali sahaja sepanjang hidupnya.

"Kalau betul tak mahu suami kahwin lagi, pujuklah dia untuk akad nikah banyak kali. Kalau boleh sampai 10 atau 15 kali, rasanya lepas itu dia serik tak buat lagi dah. Paling tidak pun, tak akan ada lagi tok imam yang sanggup nikahkan dia. Maknanya, kalau pun dia ada hajat nak kahwin lagi lepas itu, tentu tak akan jadi," kata saya.

Full content generated by Get Full RSS.

Warga emas aset negara yang bernilai

Posted: 13 Oct 2011 05:00 PM PDT

Menurut kajian, terdapat 2.4 juta warga emas di Malaysia hari ini, yakni kira-kira lapan peratus penduduk negara. Jabatan Statistik mensasarkan bilangan ini bertambah menjadi 3.2 juta 10 tahun lagi. Apabila bilangan warga emas menjadi 9.5 peratus komposisi penduduk negara pada 2035, maka Malaysia secara rasmi menjadi negara masyarakat tua seperti Jepun dan Singapura.

Bilangan warga emas (mereka berumur 60 tahun ke atas) semakin meningkat kerana jangka hayat yang lebih lama, berikutan kualiti hidup dan kemudahan perubatan yang lebih baik. Secara purata, jangka hayat wanita negara kita ialah 78 tahun dan lelaki 76 tahun. Keadaan ini mempunyai implikasi yang besar terhadap negara. Di peringkat keluarga, ia bermakna anak-anak perlu memastikan penjagaan kepada orang tua mereka. Kos penjagaan, terutama kesihatan, pemakanan dan perubatan, mungkin meningkat pada masa depan. Di sinilah pentingnya anak-anak dididik supaya menghormati dan menyayangi orang tua. Mereka sepatutnya tidak lepas tangan, malah berperanan menghargai ibu bapa.

Perkara ini sangat disarankan agama Islam. Maksud ayat 36 Surah An Nisa: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa." Banyak ayat yang menganjurkan umat berbakti dan taat kepada ibu bapa termasuk Al Israa: 23-24, Al Ankaabuut: 8, At-Taubah: 23, Ash Shaafaat: 102 dan Luqman: 15.

Doa kepada ibu bapa dalam Surah Ibrahim ayat 41 bermaksud: "Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari Kiamat).

Hari ini, ramai warga emas yang mengalami sindrom 'empty nest' atau perasaan sunyi kerana bersendirian atau ditinggalkan anak-anak yang menetap di tempat lain. Kesannya, mereka berasa sedih dan mengalami tekanan atau masalah mental, terutama warga emas wanita. Ada yang menjadi gelandangan. Satu kajian kerajaan pada 2010 menganggarkan 538,000 warga emas termasuk dalam kategori ini.

Walaupun Kerajaan menyediakan infrastruktur dan mengadakan peruntukan besar bagi mengendali kebajikan warga emas, namun yang terbaik ialah untuk anak-anak sendiri menjaga ibu bapa mereka yang tua. Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan bahawa 60 peratus warga tua tinggal dengan keluarga, manakala kajian Institut Gerontologi pada 2008 pula menunjukkan bahawa 60 peratus warga emas di Malaysia menerima bantuan kewangan daripada anak, menurun daripada 70 peratus pada 1999.

Di peringkat kerajaan pula, antara infrastruktur yang disediakan ialah Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (ada 22 kesemuanya) dan pelbagai program sokongan termasuk Unit Penyayang Warga Emas, Khidmat Bantu Di Rumah (Homehelp) dan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau Karisma.

Ramai warga emas Eropah yang sudah menetap di Malaysia di bawah Skim Malaysia Rumah Keduaku. Semakin ramai warga Singapura yang berminat melabur dalam skim perumahan bagi pesara di Iskandar, sebagaimana minat warga emas Jepun melabur dalam projek yang sama di Thailand. Skim sebegini menyediakan banyak kemudahan khusus untuk warga emas, meliputi penjagaan kesihatan dan perubatan sehinggalah tandas yang sesuai untuk kegunaan mereka.

Hakikatnya, warga emas adalah aset negara kerana ilmu pengetahuan, pengalaman, kesabaran dan kelebihan berkomunikasi yang ada pada mereka. Mereka masih boleh cergas dalam semua aspek dan menjalani hidup secara aktif, beribadat, berfikiran positif, bergaul dengan jiran tetangga dan bergiat dalam aktiviti kemasyarakatan. Di banyak negara maju, tenaga warga emas masih digunakan dalam bidang pekerjaan dan kesukarelawanan.

Kerana itulah setiap 1 Oktober, mereka diraikan dengan Hari Warga Tua Sedunia. Malaysia juga menzahirkan penghormatan dan pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka dengan Hari Warga Emas Kebangsaan pada tarikh sama.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved