Selasa, 18 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Kita perlu bebas belenggu takuk lama

Posted: 17 Oct 2011 05:00 PM PDT

Pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan baru-baru ini memperlihatkan beberapa pemberian imbuhan kepada kumpulan tertentu, khasnya golongan berpendapatan rendah.

Bagi ahli parti pemerintah, itulah yang diuar-uarkan sebagai sifat dan langkah penyayang Kerajaan Persekutuan. Namun bagi pihak pembangkang pula, seperti biasa timbul pelbagai persoalan bahkan ejekan dan pertikaian, dari dakwaan bahawa idea bagi amalan pemberian tertentu diciplak daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat, kepada kesangsian kalau-kalau kerajaan mampu laksana projek tersebut.

Segala tindak-tanduk saling mengejek itu tidak lain mainan politik kepartian yang tidak membina. Namun ternyata kedua-dua pihak, baik parti pemerintah mahupun pembangkang, tidak lari daripada hakikat untuk mengambil hati pengundi berbilang kaum menjelang PRU 13. Justeru, mereka berlumba-lumba untuk menabur wang rakyat melalui pemberian terus kepada pengundi, baik di peringkat kebangsaan atau negeri dikuasai.

Sesungguhnya, ini bukanlah satu trend atau hala tuju politik sihat dan membina kerana sebarang pemberian terus yang berupa one-off itu hanya sekadar menyeronokkan hati si penerima, tetapi tidaklah memadai untuk membebaskan mereka yang daif daripada kepompong kemiskinan dalam jangka masa panjang. Lebih-lebih lagi, perbuatan sebegini juga mudah membiakkan gejala sindrom subsidi yang sememangnya sukar dikikis dalam amalan hidup kita.

Kini, terlintas di hadapan mata kita ialah cabaran yang memang boleh dijangka, iaitu penyampaian pemberian yang dimaksudkan. Adalah wajar mekanisme yang telus digerak dan diumumkan untuk melicinkan penyampaiannya secara berkesan tanpa penyelewengan atau kelambatan.

Jentera Kerajaan Persekutuan perlu ambil iktibar daripada kekeliruan yang pernah timbul dalam pemulangan rebat petrol beberapa tahun lalu. Tidaklah munasabah jika sesuatu pemberian yang bertujuan mendekati rakyat itu menimbulkan ketidakpuasan hati semata-mata kerana penyampaiannya kurang terancang. Apa yang dilakukan itu tidak banyak beza daripada 'senjata makan tuan'.

Memang perlu dan tepat tindakan sesebuah kerajaan mengenal pasti masalah rakyat demi kesejahteraan negara. Namun bagi kita, dugaan yang betul-betul mencabar ialah strategi meningkatkan daya saing negara dalam pelbagai sektor di persada antarabangsa.

Daya saing dimaksudkan tidaklah sekadar tercermin dalam perangkaan kemasukan FDI, tetapi tahap daya saing anak-anak watan kita sendiri dalam pelbagai sektor ekonomi.

Dalam pada itu, segala sumber bakat kita yang ada perlu dihargai dan diterokai untuk membawa manfaat kepada negara. Bakat yang terpendam perlu dicungkil, yang dipinggirkan perlu ditawarkan peluang, yang sudah berhijrah ke luar negara tetap didekati agar mereka turut berpeluang menyumbang kepada tanah air, baik dari negara bermastautin atau pulang ke negara sendiri.

Dalam hal ini, badan TalentCorp yang baru setahun jagung memikul tanggungjawab cukup berat untuk merealisasikan brain gain di negara ini. Pengalaman daripada kegagalan kita dalam usaha sama pada masa lampau, seharusnya menjadi pengajaran kepada kita mengatur semula strategi untuk mencapai tahap keberkesanan munasabah.

Sebagai contoh, pendekatan yang sungguh menarik pakar-pakar ikhtisas kita yang telah berhijrah agar berbakti kepada tanah air sememangnya satu anjakan paradigma positif berbanding dengan sikap bulat-bulat melabel mereka sebagai tidak patriotik bahkan pengkhianat negara.

Namun, daya usaha brain gain yang tengah rancak diusahakan kini tidak semestinya terus terbelenggu dalam takuk minda lama, yakni pentakrifannya hanyalah terbatas pada mereka yang sanggup pulang ke tanah air sahaja, tanpa mengambil kira keadaan kerjaya seseorang individu itu selepas kepulangannya nanti.

Ternyata, hingga kini masih terdapat mereka yang sanggup mengorbankan pendapatan lumayan di seberang laut, kerjaya terbantut di negara sendiri kerana kepakaran didapati tidak berbaloi dengan sistem perkhidmatan sedia ada.

Hakikatnya, banyak masalah masih dihadapi kita sejak sekian lama bukanlah serumit ilmu sains roket, tetapi disebabkan kurang komitmen dan iltizam untuk mencari jalan keluar buat jangka masa panjang. Itu tetap satu-satunya faktor penghalang yang terus membelenggu kemajuan kita selama ini.

* Penulis merupakan Ahli Parlimen Pandan

Full content generated by Get Full RSS.

Maju, undur, tapi tak sentuh

Posted: 17 Oct 2011 05:00 PM PDT

Belleza Permata Hijau ialah sebuah pusat membeli-belah megah di tengah-tengah Jakarta. Namun, ia juga hampir sepenuhnya kosong.

Hujung minggu lepas, saya telah dijemput untuk menyertai rancangan temu bual (dipanggil BIG BAZ) untuk stesen Kompas tv- stesen tv milik akhbar Kompas, yang baru sahaja dilancarkan.

Penggambaran diadakan di Belezza dan topik perbincangan yang dipilih ialah ketegangan terkini dalam hubungan dua hala. Rancangan tersebut dihoskan oleh sahabat lama saya yang juga seorang kolumnis yang dihormati, Pak Budiarto Shambazy. Kerana hubungan sesama kolumnis yang erat, saya telah memenuhi undangan tersebut walaupun tidak berapa pasti tentang hal-hal seperti penanda sempadan, Perjanjian Inggeris-Belanda, MoU dan Tanjung Datu.

Ketika tiba di set, saya merasakan ruangan atrium yang bergaung di Belezza yang dipilih untuk wawancara ini sememangnya memberikan latar belakang yang anggun, tetapi juga agak aneh untuk rancangan mingguan ini. Berhampiran, kelihatan sekumpulan empat orang gadis molek yang berpakaian warna terang bermain alat muzik, mereka kelihatan sukar untuk menjaga tempo dan melodinya juga agak sumbang! Gadis-gadis itu mungkin terganggu dek kilauan cahaya dan cubaan bunyi yang dilakukan oleh krew penerbitan.

Saya juga merasa hairan dengan keringat deras membasahi belakang baju batik saya hari itu, dan cuba untuk tidak mengendahkannya.

Bagaimanapun, saya duduk dan berbual dengan tiga orang tetamu lain - seorang ahli politik dari parti nasionalis PDIP, Pak TB Hassanuddin (beliau bertanggungjawab meletupkan isu penanda sempadan ke domain awam), seorang birokrat yang gementar Pak Sutrisno dan seorang pakar dasar luar negara yang pintar dan tenang, Connie Bakrie - yang meyakinkan saya bahawa dia bukan seorang ahli 'keluarga itu'.

Oleh kerana saya benar-benar keliru tentang kontroversi penanda sempadan itu, saya meminta Pak TB (yang juga bekas jeneral) untuk menerangkan kepada saya apa yang sedang berlaku.

Memandangkan bahawa beliau merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya 1 (Komisi 1) di Parlimen yang mengendalikan isu-isu keselamatan negara, saya telah menerima penjelasan teliti.

Kemudian (dan di udara) saya memberitahu beliau supaya beliau perlu melawat KL untuk menerangkan kepada orang ramai di Malaysia apa yang sedang berlaku kerana kebanyakan orang seperti saya: kebingungan dan keliru.

Sebenarnya, Pak TB dan saya telah bersama-sama beberapa kali sebelum ini di pelbagai rancangan TV, lalu pertemuan kami itu dipenuhi dengan senda-gurau mesra. Malah, kali terakhir kami bertemu dia mengugut mahu memakan saya!

Namun demikian, rakaman rancangan itu sebenarnya agak mengecewakan sedikit. Belleza mempunyai akustik yang membenarkan lantunan suara menghasilkan gaung yang kuat- dan ini menyukarkan ahli panel untuk berbicara sesama mereka. Mas Baz perlu merekod semula beberapa adegan kerana masalah teknikal dan ini menyebabkan momentum hujah Pak TB seperti tidak lancar.

Pada babak kedua perbincangan, bintang sinetron - Marcella Zalianty - hadir menyertai panel.

Sememangnya kehadiran beliau yang tinggi lampai dan cantik ini menyerikan suasana- walaupun gangguan teknikal masih berlaku. Marcella sebelum ini telah mengeluarkan satu dokumentari dipanggil Cerita dari Sempadan (Stories from the Frontier) yang meliputi kehidupan rakyat Indonesia biasa di sempadan Entikong. Kehadiran beliau mengingatkan saya tentang bagaimana garis pemisah antara selebriti, politik dan aktivisme itu ternyata kabur di Indonesia.

Setelah selesai penggambaran dan bersalaman dengan ahli panel yang lain saya segera memasuki kenderaan untuk menuju satu parti peribadi di sebuah hotel terkemuka di Jalan Sudirman. Dalam perjalanan ke sana, fikiran saya tertumpu kepada irama tertentu isu-isu politik di Indonesia. Isu-isu ini bangkit, mengumpul momentum, seolah-olah meletup dan kemudian sama seperti cepat hilang. Apa yang saya baru alami adalah pengakhiran pertikaian dua hala terkini – penutupan buat babak kali ini.

Jauh dari tingkat atas balkoni tempat majlis keraian itu berlangsung, saya memerhatikan para tetamu asyik menari tarian poco-poco. Bergoyang perlahan-lahan, penari bergerak ke hadapan, kembali semula, langkah yang diambil kemas dan tepat, tubuh mereka tidak bersentuh walau sekali pun. Keanggunan terhalang yang kelihatan melalui tarian ini – yang penuh cermat, hati-hati dan berdisiplin, - ternyata merupakan metafora sesuai untuk menjelaskan bagaimana untuk menguruskan hubungan dua hala Indonesia dan Malaysia: "maju, undur tapi tak sentuh".

Sebenarnya, kunci menguruskan proses diplomasi antara dua negara jiran ini boleh diandaikan seperti satu lenggok tarian- kedua-dua buah negara perlu bersantai dan jangan terlalu serius dalam menanganinya. Kadang-kala lebih elok kita mengikut rentak muzik dalam mencari damai abadi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved