Khamis, 27 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Perjuangan Islam Pas cuma di kertas?

Posted: 26 Oct 2011 05:00 PM PDT

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12, semacam terbentuk satu budaya baru dalam politik Malaysia. Tidaklah dapat dipastikan sama ada budaya ini sihat dan berkesan dalam menyatakan sesuatu protes dan tidaklah dapat dipastikan pihak mana yang sebenarnya telah mempelopori budaya ini. Namun apa yang jelas pembangkang kerap menggunakan cara ini. Sikit-sikit buat perhimpunan sehinggakan mengganggu dan mengancam ketenteraman awam.

Minggu lalu seluruh dunia hampir menyaksikan sebuah perhimpunan terbesar umat Islam di Malaysia sejuta peserta. Program diatur dan kempen dilakukan melalui pelbagai media massa serta juga melalui mulut ke mulut dan tidak ketinggalan rangkaian sosial Internet, Facebook dan Twitter serta laman sesawang dan blog-blog mendekati serta memujuk orang ramai berhimpun dalam program yang dikenali sebagai 'Himpun.'

Pada mula ia mendapat sokongan daripada Pemuda Pas. Kononnya mereka akan mengerahkan ahli-ahli serta penyokong agar hadir. PKR pun seperti terpengaruh dengan Pemuda Pas, bersedia untuk hadir dan mempamerkan rasa kegeraman kepada usaha pihak tertentu memurtadkan umat Islam.

Beberapa hari sebelum Himpun atau Perhimpunan Sejuta Umat Islam Selamatkan Akidah mengadakan program perhimpunan di Stadium Shah Alam, Pas pusat tiba-tiba 'mengharamkan' ahli-ahlinya hadir. Seperti dijangka, Pemuda Pas terpaksa ikut arahan parti induk, begitu juga PKR mengeluarkan kenyataan tidak akan hadir.

Beberapa bulan lalu, PKR dan Pas khususnya Pemuda Pas menyahut ajakan Ambiga untuk bersama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0. Selain hadir dalam perarakan haram, mereka macam diwajibkan memakai baju berwarna kuning. Maka kita dapati bukan saja Ambiga, malah Hadi Awang, Presiden Pas dan geng-geng mereka turut menjadi pak turut dengan mengenakan baju berwarna kuning.

Lucu apabila Hadi tidak membantah. Begitu juga Mat Sabu yang baru-baru ini menganggap Mat Indera sebagai wira dalam tragedi Bukit Kepong serta barisan kepimpinan Pas yang turut dan mencemar diri berarak di jalan raya dengan berpakaian kemeja T kuning. Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia itu sudah dapat mencongak betapa begitu mudah untuk mempengaruhi pemimpin dan ahli Pas, yang sudah sebati dengan budaya berhimpun di jalanan ini, untuk menurut telunjuknya.

Protes tempoh hari mengakibatkan imej Malaysia terjejas di mata dunia dan imej kerajaan yang memperjuangkan Islam sehingga dicemburui oleh banyak pihak, juga tercemar. Dalam pada itu media Barat berpesta dalam laporan mereka dan menganggap demokrasi di Malaysia sudah mati ekoran daripada langkah ketat yang dikenakan pihak polis dalam mengekang dan mengawal perhimpunan tersebut.

Media beribu pejabat di Singapura dan blog-blog di republik itu juga berpesta sakan. Kita lihat mereka macam ada agenda peribadi dan melepaskan geram yang barangkali sudah lama bermukim di lubuk hati.

Bersih 2.0 dianjurkan kerana membantah SPR yang didakwa 'kotor'. Malah sistem pilihan raya di negara ini yang dijalankan sejak tahun 1959 tiba-tiba saja dipertikai dan dianggap menguntungkan Perikatan dan Barisan Nasional. Budak-budak Bersih 2.0 seronok serta menjulang kemenangan dengan tanpa disedari mereka menjadi alat yang dirancang orang luar.

Berbeza dengan Himpun, ia bukan agenda Ambiga. Oleh itu Pas dan PKR lebih-lebih lagi DAP tidak tertarik. Konon Himpun didalangi Umno bagi meraih sokongan dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti itu di Selangor.

Pada 22 Oktober lalu Himpun menyaksikan kehadiran 8,000 peserta. Ada yang mengatakan 15,000 orang. Justeru sudah tentu ia tidak menepati ramalan. Malah begitu jauh tersasar dari sasaran satu juta. Akhbar Sinar Harian melaporkan sebagai 'sambutan dingin'. Justeru ia tidak menarik minat media barat, khususnya media di Singapura.

DAP dan sekutu termasuklah Pas dan PKR boleh ketawakan penganjur. Sindiran itu tempiasnya kepada Umno yang dilihat berada di belakang perhimpunan. Saiz kehadiran memperkukuhkan semula kerjasama antara DAP, Pas dan PKR.

Namun walau apa pun yang berlaku perhimpunan tempoh hari gagal dari segi saiz kehadiran tetapi jika dilihat dari aspek penganjuran, ia berjaya menyedarkan umat Islam tentang isu murtad. Isu ini sejak kebelakangan ini mencemaskan umum.

Isu murtad, khususnya isu membabitkan sebuah gereja di Petaling Jaya beberapa bulan lalu tidak banyak bezanya dengan isu Natrah di Singapura tahun 1950-an. Natrah ialah gadis Belanda yang memeluk agama Islam kemudiannya menikah dengan Mansor Adabi.

Dipendekkan cerita, melalui tipu daya, Natrah dikristiankan semula dan perkahwinannya dengan Mansor dibubarkan.

Manakala Himpun adalah perhimpunan memprotes gerakan memurtadkan umat Islam di negara ini, ia dibuat secara aman, berbeza dengan demonstrasi jalanan di Singapura 60 tahun lalu.

Walau dilihat gagal menepati sasaran sebenar, Himpun berjaya menjadi program NGO dengan menggabungkan NGO-NGO berahlikan orang Islam. Kehadiran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menguatkan hujah bahawa isu ini serius dan 10 deklarasi Himpun yang diluluskan dengan asas tujuan melindungi umat Islam.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali memeriahkan majlis bersama ahli-ahlinya. Mencuri tumpuan tentulah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, yang juga Adun Gombak Setia (Pas) hadir dan membaca doa. Hassan bukan saja mengingkari arahan Pas Pusat, malah doa dibaca dengan linangan air mata.

Himpun berjaya membuka pemikiran segelintir (yang hadir) orang Pas dan ramai di luar tentang isu murtad. Kepada Pas isu murtad jika ia dijuarainya boleh membuatkan DAP dan penyokong mereka (di kalangan bukan Melayu) menarik semula sokongan. Di Kedah, Perak (dulu), Selangor, calon-calonnya memenangi beberapa kerusi DUN adalah melalui sokongan DAP. Tanpa DAP, Pas samalah seperti parti-parti lain yang mampu berkokok di jalanan. Pas sedar bahawa politik itu bertopengkan kebenaran dan cara mencuri pengaruh tentu saja menggunakan strategi Machivellian di mana matlamat menghalalkan cara.

Dalam isu hudud, Pas sedar isu ini hanya berkesan di Kelantan dan Terengganu yang ramai pengundi-pengundi Melayu. Di Pantai Barat, isu hudud merugikan seperti terbukti baru-baru ini sehingga DAP secara terbuka, sekali lagi menolak perlaksanaan undang-undang hudud. Di tengah-tengah Pas mengatur silat dengan membenam isu hudud, isu Himpun dianggap dapat memperbaiki imej di kalangan masyarakat bukan Melayu, khusus dalam usaha meyakinkan DAP tentang kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Sebab itu Pas melarang ahli-ahli menyertai Himpun. Agak malang arahan itu diingkari Hassan, justeru dalam situasi ini, Hassan dilihat sebagai liabiliti kepada Pas.

Tindakan Hassan memberi political milage kepada Umno dan penganjur. Kehadiran Hassan berjaya menyelamatkan maruah NGO-NGO kerana walaupun Hassan hanya individu kerdil dalam hierarki Pas, ia melambangkan wujudnya kesatuan pemikiran dan keyakinan yang tidak lagi jitu di kalangan pemimpin Pas.

Selama ini tindakan Hassan dalam mempertahankan agama Islam di Selangor kurang disenangi orang-orang Pas. Perbuatan Hassan semakin hari menghakiskan kepercayaan DAP terhadap perjuangan parti itu. DAP seperti rela berkelana dari melihat rakan sebantal mereka, Pas, melaksanakan hudud dan perlaksanaan undang-undang Islam.

Himpun berjaya membuka sebuah lembaran baru perjuangan mendaulatkan Islam sebagai sebuah agama rasmi. Testimoninya 10 Deklarasi Himpun akan dijadikan asas kepada usaha memerangi isu memurtadkan umat Islam di negara ini.

Hassan ada peranan dalam aspek ini namun dalam Pas, pilihan raya umum 2008 berkemungkinan merupakan kali terakhir beliau bertanding sebagai wakil parti itu manakala PRU13 merupakan perjuangan baru dan berbeza.

Rumusannya begini: Hassan kalah dalam parti dan juga di kaca mata pimpinan Pas, namun di hati rakyat dan orang Melayu, Hassan adalah wira yang tidak didendangkan, ia hidup dan segar dalam hati mereka sebagai pejuang. Manakala Pas menang dan tidak kalah dalam isu perhimpunan murtad, namun kemenangan itu setakat di atas kertas kerana di hati orang-orang Melayu, Pas gagal mengelak dari dituduh menjadi boneka DAP dan mengamalkan politik Machiavelli.

Full content generated by Get Full RSS.

Tehran dan gadis rambut perang...

Posted: 26 Oct 2011 05:00 PM PDT

Sepanjang yang berhubung dengan kehidupan harian, hanya ada satu persamaan antara Tehran dengan Kuala Lumpur kesesakan lalu lintas. Itu yang saya lihat dan alami sejak tiba di ibu kota Iran ini empat hari lalu.

Tidak lama selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini (IKIA) jam 2.30 waktu tempatan petang itu, kenderaan mula bergerak perlahan. Ini menambahkan lagi keletihan lapan jam terperuk dalam pesawat Iran Air dari KLIA.

Semakin menghampiri pusat bandar raya kenderaan semakin merangkak, ada kalanya terhenti terus hingga setengah jam. Hari-hari berikutnya siput melambatkan kebanyakan acara dan pertemuan yang telah diatur.

Kecuali 'kesiputan', banyak sangat beza antara KL yang berpenghuni kira-kira 2 juta dengan Tehran yang kepadatan lebih 12 juta orang. Pertama, bandar raya ini tidak ada hiburan. Kebanyakan kedai tutup jam 7 malam. Belum pukul 10 semua sudah mati.

Tidak ada kelab malam, tidak ada disko, tidak ada karaoke, jauh sekali tarian gelek yang satu ketika dulu menjadi tarikan pelancong di beberapa negara Arab. Saya membayangkan kalaulah ada dangdut pasti ramai lagi orang Malaysia datang ke sini!

Laleh International Hotel, penginapan lima bintang di mana saya dan lain-lain tetamu Perhimpunan Akhbar Dunia Islam ditempatkan, juga tidak ada sebarang hiburan, kecuali piano yang dimainkan sewaktu makan malam, membawakan beberapa lagu barat, termasuk yang saya minati sejak dulu, My Way.

Di dalam bilik hotel, TV berskrin besar jenama terkenal Jepun boleh ditonton sepanjang 24 jam. Tetapi tidak ada seminit pun program seperti Akademi Fantasia, American Idol. Tidak ada nyanyi-nyanyi.

Juga tidak ada opera sabun @ sinetron yang menarik perhatian. Sebahagian besar adalah drama tempatan bercakap bahasa Parsi, atau drama barat yang telah dimurnikan, juga dialih suara bahasa sama, tanpa sari kata Inggeris. BBC adalah satu-satunya rangkaian yang boleh difahami sebab mengekalkan bahasa Inggeris.

Kemudahan internet disediakan dalam bilik sepanjang 24 jam, percuma. Tetapi saluran maya itu juga hanya boleh digunakan untuk perkara asas. Semua bahan-bahan hiburan dan sampah saraf maya disekat. Sebagai negara Islam, Tehran juga Iran secara keseluruhan menghalang apa sahaja bahan yang dianggap tidak islamik.

Saya selalu membayangkan Iran sebagai musuh ketat Amerika Syarikat (AS) tentu akan memboikot produk atau jenama negara kuasa besar itu. Tetapi kedai dan pusat-pusat membeli-belah yang sempat saya kunjungi sehari dua ini menunjukkan jenama dari negara tersebut melambak dalam pasaran.

Belum nampak lagi restoran KFC, tetapi McDonalds' ada di beberapa tempat. Malah di hotel tempat kami menginap, Coca-Cola dan beberapa minuman ringan jenama barat dihidangkan setiap hari.

Ada sekian banyak bank tempatan, tetapi belum nampak setakat tiga hari ini bank-bank terkenal dari luar negara. Walaupun kuat bersuara anti AS @ barat, dolar AS dan Euro adalah mata wang utama yang dialu-alukan dalam urus niaga.

Saya tidak dapat membeli rial Iran di KL, dan disyorkan oleh kebanyakan pengurup wang supaya menukar dolar atau Euro untuk dibawa ke Iran. RM1 bersamaan 1,500 rial. Maka, sama seperti di Jakarta, saya tiba-tiba menjadi jutawan segera di negara Islam terbesar ini.

Makan malam pertama – secara bufet – amat mewah dan menyelerakan. Kebab kambing dan lembu menjadi tarikan utama, selain sekian banyak makanan Iran. Ada juga makanan barat. Tetapi setelah tiga hari berturut-turut berkebab, saya mula teringat nasi kandar kari kepala ikan bawal di Jalan Tunku Abdul Rahman. Tidak pasti berapa lama saya boleh bertahan tanpa roti canai, nasi lemak dan tempe.

Rata-rata wanita dan gadis menutup aurat, termasuk rambut, tetapi berfesyen moden dengan jean, blaus lengan panjang dan jaket. Tehran kini menghampiri musim sejuk, suhu sekitar 20 darjah Celsius, menjadikan jaket satu keperluan.

Saya mula menyedari kecantikan wanita dan gadis Iran ketika membuat visa di kedutaan Iran KL. Hidung mancung, bibir merah, wajah licin, kulit putih melepak, rambut perang. Di lobi hotel juga di pusat-pusat membeli belah perhatian selalu tertumpu pada keindahan dan kecantikan ini.

Memang, mereka tidak semesra wanita dan gadis di Jakarta, Medan atau Bangkok. Malah kaum Hawa di sini amat pemalu – mungkin juga takut kepada lelaki asing. Tetapi sesekali tersenyum, manis sekali. Sesekali menjeling, menusuk sekali. Ini yang membuat saya serba salah!

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved