Rabu, 19 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Sepatutnya komited, bukan kemetot!

Posted: 18 Oct 2011 05:00 PM PDT

Berteks atau tidak, khutbah Datuk Dr Hasan Mohamed Ali di Shah Alam baru-baru ini memang membakar semangat.

Nada suaranya turun naik bagaikan dilambung ombak, lantang dan penuh emosi.

Yang penting mesejnya jelas. Sudah hampir dua minggu khutbah itu berlalu, tajuknya (iaitu, bahaya gejala murtad) dan isinya (setiap individu Islam, daripada pemimpin hingga ibu bapa, perlu memainkan peranan berkesan memeranginya), masih mengiang-ngiang di telinga.

Itu keistimewaan Exco Selangor itu; beliau pun memang sudah terkenal sebagai motivator dan pemidato yang baik.

Tetapi, alangkah indahnya jika khatib di setiap masjid dapat menyampaikan khutbah dengan baik. Bukan sahaja ia boleh mengelak jemaah terlelap, tetapi mesejnya menusuk jiwa untuk dihayati dan diamalkan. Itulah masa dan tempat untuk mesej disampaikan sebaik mungkin kerana masa itu ribuan orang Islam, termasuk yang jarang berjemaah dan jarang mendengar ceramah di masjid, berhimpun mendengar apa yang disampaikan untuk menjadi makanan rohani.

Sama-sama kita doakan. Keadaannya kini bergerak ke arah itu. Di banyak masjid, sudah ramai imam dan khatib begitu; hasil tindakan semakin ramai ibu bapa yang condong kepada menjadikan anak mereka hafiz dan ulama.

Keadaannya ketara, terutama pada bulan Ramadan. Kita lihat di banyak masjid dan surau, tarawihnya dipimpin imam hafiz, muda belaka; keluaran pusat hafalan dalam dan luar negara.

Di surau tempat saya, keadaannya cukup terkawal. Tiga orang secara rasmi bergilir-gilir menjadi imam. Hafiz atau tidak, bacaan mereka memuaskan. Lebih menarik, andai kata imam lambat, yang lain boleh jadi imam. Alangkah baiknya jika kerjasama dan tolak-ansur seperti itu dapat wujud di semua masjid dan surau.

Tidak ada sabotaj, buruk sangka, apa lagi merebut tongkat dan tempat imam. Pergaduhan antara imam dan imam atau antara imam dan jemaah sampai melibatkan laporan polis tidak patut berlaku.

Malangnya, anda dan saya tahu, macam-macam berlaku di setengah masjid dan surau. Sebutan yang salah, terutama apabila melibatkan perkataan pelik bukan perkara luar biasa.

Rasanya berlaku di banyak tempat, tapi yang saya ingat masa ini adalah teguran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, tidak lama selepas mengumumkan kenaikan elaun 2,194 imam dan bilal masjid kampung di seluruh negeri itu.

Menurutnya, ada sesetengah imam tidak meneliti teks khutbah dan inilah yang selalunya membuat mereka tidak lancar masa membaca ketika berkhutbah.

Ada imam salah menyebut perkataan tertentu, khususnya diambil daripada bahasa Inggeris.

HINI, umpamanya, disebut 'hini'.

Di sebuah masjid baru-baru ini, seorang khatib mengejutkan jemaah. Beliau memberitahu mereka: Kita semua kemetot', menyebut perkataan yang dibaca dalam teks tulisan jawi. Jemaah tersentak dan terdiam; macam tidak percaya dengan apa yang mereka dengar.

Khatib terdiam beberapa saat. Wajahnya macam mencari talian hayat. Seorang ahli jawatankuasa masjid menghampirinya. Barangkali, dia memberitahu khatib itu: "Itu komitedlah tuan, bukan kemetot!."

"Kita semua komited," kata khatib, selamba meneruskan khutbahnya. Jemaah berasa lega. Mereka bukan 'kemetot' rupanya.

Barangkali ia lucu, tetapi ini adalah bibit-bibit yang boleh menimbulkan perpecahan akibat perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat dan jawatankuasa masjid dan surau.

Imam dan khatib memainkan peranan yang sangat penting dalam kalangan masyarakat. Sekiranya kesilapan dan ketidaklancaran penyampaian khutbah atau bacaan dalam solat dianggap perkara biasa dan dipandang remeh, lama-kelamaan ia akan bersarang dalam dada dan menimbulkan pertelagahan. Apa lagi kalau melibatkan ketidaksefahaman politik. Saya masih ingat kes seorang tok guru yang didakwa di mahkamah di Kampung Raja, Terengganu, 30 tahun lalu, kerana keluarkan 'fatwa'.

Antaranya, orang sebuah parti lain tidak boleh dijadikan imam dan sembelihan mereka haram.

Mahkamah mendapati tok guru itu bersalah dan dikenakan hukuman, tapi apakah isu kafir-mengkafir, dua imam dan boikot majlis kenduri yang berlaku selepas itu akibat daripada 'fatwa' tok guru tadi, saya tidak pasti.

Tetapi yang saya pasti, kesannya kekal, sekurang-kurangnya dalam ingatan yang mendengarnya, hingga ke hari ini.

Jadi, kita semua perlu komited untuk kekalkan keamanan dan kesejahteraan. Ini negara kita, tanah tumpah darah kita.

Full content generated by Get Full RSS.

Mimpi atau fikiran ke hadapan?

Posted: 18 Oct 2011 05:00 PM PDT

Tatkala mengikuti perkembangan Cinderella moden Bhutan, Jetsun Pema, saya tersenyum sendirian menyaksikan imejan terpapar di media. Gadis itu bertanggungjawab mencuri hati raja kelima monarki Bhutan, King Jigme Khesar Namgyel Wangchuk - perkahwinan mereka mendapat liputan luas seluruh dunia. Ketika memberi komentar kepada media antarabangsa, raja Bhutan itu berpesan agar kita mengahwini orang yang betul dan pada saat itu, beliau amat pasti sudah berjumpa pilihan tepat. Suatu kenyataan longgar tapi kental elemen romantisme dan harapan.

Bhutan – negara kecil di pergunungan Himalaya, terkepit antara China dan India – bukan kali pertama mencuri perhatian saya. Saya kira mereka ini lebih mementingkan aspek kepuasan hidup secara rohani bukan mengejar kekayaan dan pertumbuhan ekonomi sebagaimana lazim negara-negara lain di peta dunia.

Ketika dunia berlumba untuk meningkatkan pertumbuhan dalam negara kasar, selaras dengan usaha memperbaiki taraf hidup, raja Bhutan keempat, Jigme Singye Wangchuck, bertitah beliau lebih mementingkan Gross National Happiness (GNH) berbanding Gross Domestic Product (GDP). Menurut raja itu lagi, sasar pertumbuhan negara Bhutan harus diukur di atas skala GNH, bukan GDP.

Menarik sekali bukan? Ketika kita berlumba-lumba untuk mencari kepuasan dalam sistem ekonomi kapitalis yang berajakan wang, Bhutan ambil langkah unik dalam mengukur dimensi lebih menyeluruh tentang kebahagiaan seseorang rakyat Bhutan.

Mungkin jika dilihat dari perspektif populasi Bhutan yang sedikit (700,000 orang setakat Julai 2011) dan rata-rata rakyat merupakan petani miskin di kaki gunung, GNH di sana amat berbeza dengan Kuala Lumpur sekiranya diadili dalam skala serupa. Tetapi raja Bhutan keempat itu tetap bertegas, pertumbuhan ekonomi semata tidak menjamin kepuasan dan kebahagiaan menyeluruh insan. Dan beliau telah membina empat tiang seri utama dalam menentukan kepuasan hidup rakyat Bhutan, iiatu pembangunan sosioekonomi yang sekata; pemuliharaan warisan budaya dan spiritual; pemuliharaan alam sekitar; dan pemerintahan yang menyeluruh dan konsisten.

Pertama kali membaca tentang empat pilar kebahagiaan ini pada 2005, terus-terang saya rasa ketika itu, empat skala di atas akan menjadi konsep semata, bukan realiti. Mana mungkin kita bahagia atau berasa separa-bahagia jika sering dibelenggu masalah kewangan dan terperangkap lumba maraton budaya korporat?

Tapi Khamis lepas telah memaksa saya untuk berfikir semula, sekali lagi saya diingatkan betapa besar ketentuan ILAHI dan betapa khuluk hidup itu sangat sementara. Rakan blogger dan teman bertengkar di laman Twitter, Kharis Idris, telah pergi mengejut untuk bertemu PENCIPTAnya. Baru berusia 35 tahun, kali terakhir saya bertemu Kharis di Bangsar, beliau masih tertawa dan sihat walafiat meneguk kopi dan makan aiskrim bersama saya dan tiga rakan lain. Kutuk-mengutuk sesama sendiri jadi acara utama petang terakhir itu dan Kharis pergi sebelum saya sempat memohon maaf jika ada tergores di hati kata yang keluar di skrin Twitter dan mulut saya.

Pagi 13 Oktober lepas, Kharis keluar berlari, mungkin dalam persediaan menyertai Putrajaya Night Marathon 2011 yang bakal tiba. Beliau rebah dan usaha kecemasan untuk memulihkan semula pernafasannya gagal. Saya sebenarnya tiada kekuatan untuk meneka sebab kematian, sehingga keputusan autopsinya dikeluarkan. Hati saya berat mengenangkan isteri dan anak Kharis yang masih kecil, Yanthy dan Yasmin.

Pulang ke rumah setelah arwah selamat dikebumikan, saya teringat kembali tentang negara Bhutan yang agak berlainan pendekatannya tentang kehidupan. Hidup ini singkat, terlalu sementara untuk dipenuhi dengan kebencian sesama sendiri, sikap tamak mengejar duniawi atau berperang mengejar kuasa. Saya terpanggil untuk memberi analisa semula berkenaan GNH yang dipelopori Bhutan.

Mungkin sudah sampai masa untuk politikus dan pemimpin kita mengemulasi sistem yang sama. Kebahagiaan rakyat tidak terletak di perdu kestabilan ekonomi dan politik semata, harus diambil kira faktor bahawa hidup ini seketika sahaja, selagi ada hayat jangan disia-siakan dengan duniawi.

Saya akhiri ruangan minggu ini dengan memohon maaf sekiranya pernah menggores hati pembaca budiman selama berkarya di sini. Benar kata mendiang Steve Jobs: "Your time is limited, so don't waste it living someone else's life. Don't be trapped by dogma."

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved