Jumaat, 28 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Mana perginya perikemanusiaan

Posted: 27 Oct 2011 05:00 PM PDT

Air mata ibu Yue Yue sudah lama kering, tetapi doa dan harapannya terus membuak. Dia menjenguk di celah tingkap bilik bedah hospital tentera di selatan China, tidak putus putus memanggil nama anaknya yang sedang bertarung dengan maut.

"Dia mendengar suara saya. Dia kuat. Saya tahu dia akan hidup," kata ibu muda itu, yakin. Wartawan dan orang ramai yang berkerumun di belakangnya tidak dapat menahan air mata mendengar dia terus merayu: "Yue Yue, kembalilah kepada ibu; berilah ibu sekali lagi peluang untuk memanja dan mencurahkan sepenuh kasih sayang pada mu; kembalilah."

Seminggu selepas itu, Yue Yue kembali, tetapi bukan kepada ibunya; kepada Tuhan. Kanak-kanak perempuan comel berusia dua tahun itu mati dalam keadaan sangat tragis dalam kes langgar lari melibatkan dua kenderaan dalam tempoh tujuh minit di jalan sempit sebuah pasar di Foshan, Guangdong, pada 13 Oktober lalu.

Kematian Yue Yue dalam kejadian memalukan yang dirakamkan CCTV dan dimuatkan dalam laman sosial, mengundang kemarahan masyarakat seluruh dunia. Mereka tersentak, bagaikan tidak percaya apa yang disaksikan.

Pemandu dua kenderaan tersebut sanggup meninggalkan tempat itu, membiarkan Yue Yue meraung kesakitan; tulang kaki dan pinggang patah dengan badannya berlumuran berdarah.

Seolah-olah tidak cukup, 18 orang yang lalu-lalang dalam tempoh 10 minit dia terbaring di tengah jalan, tidak peduli untuk menyelamatkannya. Akhirnya, seorang pengangkut sampah, Chen Xiaomei, mengangkat dan meletak Yue Yue di tepi jalan, dalam keadaan terkulai seperti anak patung.

Chen, wirawati segera itu, kerana tidak tahan menghadapi tekanan dikejar wartawan di rumah dan di jalan, lari balik ke kampung halamannya di pedalaman setelah menyerahkan sebahagian daripada wang dan hadiah diterima daripada mereka yang menghargai tindakan kemanusiaannya itu.

Kedua pemandu itu sudah ditahan polis, tetapi ia tidak memberhentikan debat mengenai persoalan apakah nilai kemanusiaan sudah lenyap di China kerana pembangunan pesatnya? Atau ia disebabkan undang-undangnya?

China ada lebih 1.3 bilion penduduk hari ini dan sebahagian masyarakatnya dikatakan enggan membantu mangsa kemalangan kerana takut mereka pula akan dipersalahkan dan menghadapi tindakan undang-undang.

Beberapa kes berprofil tinggi menyaksikan mereka yang menolong mangsa kemalangan disaman pihak mangsa sendiri. Apa sahaja alasannya, yang jelas sebilangan manusia nampaknya sudah sampai ke peringkat melampau dalam keghairahan mengaut harta hingga tidak mahu lagi menolong orang kesusahan.

Ini masalah kemanusiaan; ia boleh berlaku bukan di China, tapi di mana juga di muka bumi ini.

Kita masih ingat kes di Britain yang turut menjadi perdebatan di seluruh dunia apabila beberapa perusuh berpura-pura hendak membantu seorang pelajar Malaysia yang jatuh basikal, sebelum memukul dan mengambil wang dan telefon bimbitnya.

Selepas kejadian itu, rakyat Britain turut mempersoalkan keruntuhan moral di negara mereka; apakah akibat kerakusan manusia mengaut material atau disebabkan sistem pendidikan.

Dalam kes di Foshan itu, masyarakat dunia yang bersimpati menyumbangkan kira-kira 270,000 yuan (RM132,750) kepada ibu bapa Yue Yue, tetapi apakah sumbangan boleh menyelesaikan masalah keruntuhan moral yang sangat serius seperti itu?

Di Guangdong, pihak berkuasa cuba cari jalan memperbaiki taraf keruntuhan moral masyarakat dengan bincang kemungkinan gubal undang-undang baru bagi menghukum mereka yang abaikan sesiapa memerlukan bantuan.

Patutnya ia sudah lama dilakukan kerana kita tahu ada sesuatu tidak kena kepada sistem sosial yang boleh benarkan kebobrokan begitu berlaku.

Tragedi itu nampak mula menjadi peringatan kepada masyarakat supaya sikap enggan menolong mereka yang dalam kesusahan tidak berlaku lagi.

Menurut pakar, sikap keberatan menolong adalah senario urbanisasi di mana orang luar membanjiri bandar-bandar dan dalam proses itu mewujudkan jiran yang tidak mengenali antara satu sama lain.

Kepesatan urbanisasi bukan libatkan China sahaja, tetapi merata dunia. Di negara kita bagaimana?

Full content generated by Get Full RSS.

Wanita Malaysia dan wanita dunia

Posted: 27 Oct 2011 05:00 PM PDT

Perkembangan wanita sedunia cukup memberangsangkan. Di Denmark, seorang wanita, Helle Thirning-Schmidt, 44, menjadi Perdana Menteri baru. Beliau menyertai senarai 20 wanita lagi seluruh dunia yang memimpin negara, termasuk Yingluck Shinawatra (Thailand), Julia Gillard (Perdan Menteri Australia), Dilma Vana Bousseff (Presiden Brazil), Angela Merkel (Canselor Jerman), Cristina Kirschner (Presiden Chile), Laura Chinchilla (Presiden Costa Rica) dan Kamla Persad-Bissessar (Presiden Trinidad dan Tobago). Presiden Iceland hari ini juga ialah seorang wanita.

Mereka mengikut jejak langkah Margaret Thatcher (UK), Indira Gandhi (India). Golda Meir (Israel), Sirimavo Bandaranaike (Sri Lanka), Benazir Bhutto (Pakistan), Cory Aquino dan Gloria Macapagal Arroyo (Filipina) dan Zia Khaleda Begum (Bangladesh).

Selain mereka, antara wanita paling berkuasa dalam politik termasuklah Hillary Clinton (Setiausaha Negara Amerika Syarikat), Christine Lagarde (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Hina Rabbani Khar (Menteri Luar Pakistan).

Di Mesir, bekas pembaca berita Bothaina Kamel, yang dikenali sebagai "wanita seumpama 100 lelaki" mengumumkan pencalonannya untuk jawatan Presiden. Begitu juga di Tunisia, ramai calon wanita dijangka menawarkan diri merebut jawatan presiden apabila pilihan raya diadakan.

Di negara jiran, Arab Saudi, golongan wanita bersorak gembira apabila pemerintah membenarkan wanita menjadi calon untuk jawatan Majlis Syura mulai 2015. Pemerintah juga membatalkan hukuman 10 sebatan yang dikenakan terhadap Sheima Jastanian, yang ditangkap Julai lalu kerana memandu tanpa mahram. Pengharaman terhadap wanita memandu juga telah ditarik balik.

Manakala di Australia, tentera wanita dibenarkan menyertai barisan depan unit tempur seperti rakan sejawat mereka di New Zealand, Israel dan Kanada.

Bagaimana di negara lain, apa kedudukan dan layanan terhadap wanita? Parlimen Kepulauan Solomon tidak mempunyai seorang wakil rakyat wanita pun. Di negara seperti Chad dan Niger, budak perempuan berumur 10 atau 11 tahun sudah dikahwinkan. Banyak kes honour killings (membunuh anak perempuan kerana menjaga maruah) berlaku di Pakistan yakni pada kadar 1,000 pembunuhan setiap tahun manakala di Afghanistan, ramai wanita mati ketika melahirkan anak kerana tiada perkhidmatan perubatan yang mencukupi.

Majalah Newsweek (26 Sept 2011) melaporkan 1,100 wanita kena rogol setiap hari di Republik Demokratik Congo. Dalam kalangan mangsa kebuluran yang teruk di timur Afrika, 80 peratus ialah kaum ibu dan wanita.

Alhamdulillah, kedudukan dan pencapaian wanita di negara kita berada pada tahap baik, namun masih ada ruang untuk ditingkatkan lagi. Misalnya, lebih tiga juta wanita Malaysia bekerja, yang mana lebih 54 peratus doktor gigi, 44 peratus peguam dan 42 peratus akauntan dalam negara ini adalah wanita. Tetapi pembabitan wanita sebagai pengarah syarikat tersenarai hanya 8.2 peratus dan sebagai ketua eksekutif 100 syarikat-syarikat terkemuka di Bursa Malaysia hanya 3.3 peratus. Bagi jawatan politik pula, sekitar 10 peratus sahaja.

Kerajaan mengunjurkan 55 peratus wanita Malaysia dijangka bekerja menjelang 2015. Ini memang dijangkakan berdasarkan nisbah 65 peratus pelajar universiti tempatan adalah perempuan. Dasar Kerajaan ialah memastikan 30 peratus jawatan pembuat keputusan disektor swasta dipegang oleh wanita. Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa syarikat yang mempunyai wanita sebagai pengarah mencatat prestasi kewangan dan keuntungan yang lebih baik. Umumnya, eksekutif wanita didapati mempunyai bakat, tahap inovasi dan akauntabiliti yang lebih tinggi daripada lelaki.

Pandangan bahawa wanita bekerja boleh mengurangkan tahap kesuburan tidak benar. Sweden membuktikan bahawa kadar kesuburan wanita negaranya lebih tinggi daripada Jepun, Italy atau Jerman, yang mana bilangan wanita bekerja lebih sedikit. Terbukti golongan wanita yang terpelajar dan produktif menyumbang kepada kekayaan negara, membantu menstabilkan masyarakat dan dapat mendidik anak yang lebih berkualiti. Malah kajian Forum Ekonomi Dunia mendapati negara yang tidak menggunakan aset ekonomi wanita sepenuhnya mengalami pertumbuhan agak perlahan.

Justeru, wanita Malaysia menyokong keputusan kerajaan menerima Deklarasi San Francisco pada September lalu yang memberi penekanan terhadap pembabitan wanita dalam sektor ekonomi dan pekerjaan. Dengan dasar kerajaan yang proaktif dan progresif serta peluang yang terbuka, wanita negara ini turut menjadi penggerak dan penjana pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved