Khamis, 20 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Sekali lagi kena tukar MyKad

Posted: 19 Oct 2011 05:00 PM PDT

Pada usia melewati setengah abad, saya lupa entah berapa kali telah menukar kad pengenalan (KP). Tetapi masih jelas dalam ingatan bentuk dan rupa kad pengenalan pertama yang saya ada ketika berusia 12 tahun. Comel betul wajah saya, macam bayi!

Selepas kad pertama yang comel itu banyak kali dokumen penting peribadi tersebut ditukar, bukan sebab hilang tetapi kerajaan memperkenalkan kad baru yang lebih canggih.

Banyak kali saya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan berbaris panjang lagi berpeluh, untuk menukar kad baru.

Paling akhir kad itu ditukar kira-kira sedekad lalu, namanya pun tidak lagi kad pengenalan tetapi 'MyKad' atau 'Kad Pengenalan Pintar' yang lebih cantik, lebih berciri IT dan dilengkapkan dengan cip keselamatan tercanggih untuk mengelakkan pemalsuan.

Kini terbukti kad pintar itu pun ternyata tidak berapa pintar, sebab boleh dipalsukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ciri keselamatan pun jelas tidak selamat, sebab beribu-ribu kad itu telah dipalsukan di seluruh negara. Sebab itu perlu ada MyKad yang super canggih.

Maka, kalau panjang umur Januari 2012, rakyat Malaysia – termasuk saya – untuk ke sekian kalinya akan mendapat MyKad baru. MyKad dulu tidak berapa canggih, yang akan diperkenalkan tahun depan lebih berkualiti, lebih selamat.

Kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, MyKad baru itu sesuai dengan peredaran waktu, dan cabaran masa depan, juga mampu menangani permasalahan yang sering dibangkitkan sebelum ini termasuk isu pemalsuan.

Setelah beberapa kali diubahsuai dan dimasukkan ciri-ciri keselamatan paling canggih, tentu sekali dokumen penting itu tidak boleh lagi dipalsukan oleh mana-mana pihak. Jika selepas ini ada lagi MyKad palsu itu ertinya apa yang dikatakan ciri selamat itu sebenarnya tidak selamat.

Apa pun pujian patut diberi kepada JPN yang mempermudah sistem permohonan dan pembaharuan MyKad. Dulu-dulu kena berbaris panjang, kemudian menunggu hingga tiga bulan untuk mendapatkannya. Kini tidak perlu berbaris, dan MyKad boleh siap hanya dalam beberapa hari.

Ada orang tidak tahu pentingnya MyKad, sebab itu mereka mengambil kad dan membiarkan kad yang telah siap di pejabat-pejabat JPN seluruh negara. Satu ketika dulu ada lebih setengah juta kad tidak dituntut, sehingga memenuhi stor JPN.

Kerajaan berbelanja besar untuk menghantar kad-kad tidak dituntut itu kepada pemiliknya. Malah, pernah kerajaan bercadang untuk memberi hadiah menerusi cabutan nombor bertuah kepada sesiapa yang datang menuntut kad. Mujurlah cadangan 'bergeliga' itu tidak dilaksanakan, kalau tidak duit kerajaan banyak dihabiskan untuk membeli hadiah!

Pada hemat saya mereka yang enggan menuntut kad yang telah siap adalah orang tidak menghormati negara. Mereka adalah warganegara tidak prihatin. Kerajaan tidak perlu bersusah payah menghantar kad tersebut. Kalau mereka tidak sudi mengambilnya, musnahkan sahaja kad tersebut.

Harap-harap MyKad baru yang akan diperkenalkan tahun depan tidak menyusahkan orang ramai. Tidak salah kerajaan menukar kad dari semasa ke semasa, untuk keselamatan.

Jangan ada lagi kes pemalsuan MyKad selepas ini. Pihak yang memalsukan MyKad perlu diburu hingga ke lubang cacing. Mereka musuh negara.

Isu MyKad baru sebenarnya lebih dari sekadar pemalsuan. Ada hal-hal lain yang perlu juga dijelaskan. Ada pihak melihat niat murni kerajaan ini sebagai satu sumber rezeki pada pihak-pihak lain.

Seperti yang dibangkitkan oleh M Manogaran, YB pembangkang dari Teluk Intan, beliau ingin tahu pihak mana yang terlibat dalam pengeluaran MyKad baru ini? Beliau meminta kerajaan memberitahu syarikat yang telah ditawarkan kontrak untuk mencetak MyKad baru.

Beliau juga ingin tahu siapa pemilik syarikat yang diberi kontrak tersebut, dan berapa harga untuk setiap kad baru yang dicetak. Kalau syarikat dapat RM1 untuk setiap kad baru, tentu lumayan juga jika 10 juta orang memohon kad baru itu tahun hadapan.

Bagi kebanyakan orang tentu tidak kisah menukar MyKad baru asalkan tidak berbaris panjang dan tidak dikenakan bayaran tinggi. Tetapi bagi orang seperti YB Teluk Intan kecurigaannya ialah jika ada sesuatu tidak telus di sebalik pengenalan MyKad tersebut.

Saya percaya kecurigaan itu akan dijelaskan.

Full content generated by Get Full RSS.

Boria, Francis Light dan Koh Tsu Koon

Posted: 19 Oct 2011 05:00 PM PDT

Bayangkan satu senario di mana sebaik sahaja Francis Light menjejakkan kakinya di bumi Pulau Pinang kira-kira 150 tahun silam, ribuan penduduk menyambut beliau dengan persembahan dan nyanyian boria: Lainlah buluh, lainlah parang. Lain dahulu, lain sekarang. Tuan Light sudahlah datang. Kami nak serah, Pulaulah Pinang. Yay!!

Namun hal seumpama ini tidak berlaku dalam sejarah. Malah tidak ada rekod seni persembahan boria itu adalah budaya tempatan melainkan diimport sebagaimana Francis Light itu mengimport dirinya ke Pulau Pinang.

Apa pun catatan sejarah menunjukkan Light menguasai Pulau Pinang setelah memperdayakan Sultan Kedah. Kemunculan beliau bukan sahaja merubah landskap rupa bumi pulau berkenaan, tetapi turut merubah demografi, budaya sosial serta set minda penduduknya hampir untuk selama-lamanya.

Justeru sebab inilah juga barangkali askar-askar Inggeris diarahkan pihak berwajib British agar mengimport persembahan boria dari India dan memaksa penduduk tempatan ketika itu ubahsuai agar dapat diterima sepanjang zaman kelak sebagai satu budaya tempatan yang lahir dan berasal dari Pulau Pinang.

Itulah kebijaksanaan penjajah. Penipuan tidak semestinya secara langsung, tetapi tidak langsung dan cukup halus. Paling penting, segala penipuan, tipu daya dan putar belit mestilah berkeupayaan kekal untuk selama-lamanya.

Kita tak perlu menyelongkar khazanah sejarah bagi pertahan asal-usul boria kerana ia semacam tidak lagi relevan dalam konteks Pulau Pinang. Ini kerana bagi kebanyakan penduduk Melayu pulau negeri tersebut, hampir semuanya sudah tiada lagi kecuali boria.

Sultan Kedah dan penduduk negeri jelapang padi waktu itu, mempunyai sebab untuk tidak merestui kehadiran penjajah berkulit putih itu. Benarlah dasar penjajah seperti kata pepatah lama, diberi betis, hendakkan paha dan benarlah Light seperti juga macam Belanda - mulanya mendapat seinci tanah, kemudian lama kelamaan habis satu negeri dijadikan tanah jajahan. Tak cukup dengan sebuah pulau, sebahagian tanah besar Kedah juga dijadikan milik mereka dan diberikan nama Province Wellesley (kini Sebarang Perai).

Penduduk Cina di Pulau Pinang tidak kisah sikap Inggeris dan Francis Light kerana kedatangan mereka ke pulau itu adalah untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung kehidupan yang lebih baik.

Orang Melayu sebagai penduduk asal selain kehilangan sumber pendapatan malah mereka kini terpaksa hidup berketuakan Inggeris, bukan lagi Sultan dan harus patuh kepada segala garis panduan dan peraturan hidup yang ditetapkan penjajah pula.

Dalam sekelip mata Sultan dan rakyat Kedah kehilangan sebahagian dari sebuah negeri, di samping itu mereka juga kehilangan kebebasan manakala orang Melayu Pulau Pinang kehilangan sejarah who's who orang-orang Melayu di pulau itu. Kini dari senarai 20 orang-orang terkenal di Pulau Pinang, tiga empat kerat saja Melayu manakala yang lain-lain, bukan Melayu termasuklah pereka kasut dan juga jaguh badminton.

Sejarah Pulau Pinang hari ini adalah sejarah ketidakupayaan orang-orang Melayu menentang Inggeris yang datang dengan niat hendak menjajah mereka. Seperti umum ketahui negeri itu asalnya milik Kesultanan Kedah tetapi bertukar tangan pada 1786 setelah diserahkan Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa, kepada Inggeris sebagai pertukaran mendapat perlindungan daripada serangan Siam dan Burma. Inggeris bukan saja berjaya menguasainya, pada 11 Ogos 1786, Light menukar namanya kepada Pulau Prince of Wales dan Tanjung mendapat nama Georgetown.

Sejak dari tarikh keramat itu, Kedah bukan saja kehilangan sebuah pearl of the orient atau mutiara timur, Kedah juga kehilangan sumber kekayaan dan lebih perit orang-orang Melayu juga mendapat tuan baru. Maka sejarah juga memperlihatkan bagaimana Pulau Pinang yang mulanya dihuni orang Melayu, mula menerima kemasukan orang Cina dan India dan akhirnya orang Melayu kekal sebagai kaum minoriti di situ.

Hakikatnya, bukan orang Melayu tak mahu memperbaiki diri dan masyarakat tetapi tekanan serta penindasan seperti berjadual. Bahkan isu yang sering dijadikan hantu menakut-nakutkan pengundi Cina ialah Umno mahukan semula jawatan Ketua Menteri. Pilihan Raya Umum ke-13 dilihat sebagai berakhirnya kekuasaan calon Cina sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan selepas tarikh itu, calon Umno bakal ambil alih.

Oleh itu, orang Cina tanpa mengira fahaman politik dan parti yang ditunjangi akan berdiri mempertahankan status quo. Pulau Pinang dilihat kini milik mereka selama-lamanya dan jawatan Ketua Menteri pun dianggap hak mutlak yang tidak boleh ditawar menawar lagi.

Hari ini sesiapa yang berjalan di Penang Road ataupun berada di Batu Maung tentu akan mendengar orang bercakap mengenai politik tempatan. Selain bercakap tentang betapa angin perubahan mulai bertiup melepasi jambatan Pulau Pinang, mereka juga bercakap mengenai masa depan Tan Sri Koh Tsu Koon. Ramai mahu melihat Pulau Pinang diperintah oleh Ketua Menteri baru, bukan Guang Eng dan Tsu Koon.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak macam ada bola kristal yang selain dapat melihat, boleh membaca apa tersirat dalam hati penduduk tempatan. Maka pengumuman Najib bahawa Umno tidak akan menuntut jawatan Ketua Menteri walaupun BN kembali memerintah mengandungi maksud tersirat. Mungkin kenyataan Najib membuatkan masyarakat Melayu, buat masa ini, terkilan namun jangka panjang, orang-orang Melayu di pulau itu akan nampak hakikat tersirat.

Pendek kata Najib bukan boleh dibuai dengan lagu-lagu boria semata-mata. Ada perkara yang lebih besar dan signifikan bermain di fikirannya. Dan ia bukan lagi dalam bentuk Francis Light jelmaan, atau Koh Tsu Koon jadi-jadian, tetapi dalam erti kata lebih saksama kepada semua.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved