Khamis, 13 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Patin liar Sungai Semantan

Posted: 12 Oct 2011 05:00 PM PDT

Selalu saya diingatkan oleh kawan-kawan yang biasa dengan ikan patin. Kata mereka, sekiranya masuk mana-mana restoran, atau gerai – baik di negeri Pahang, lebih-lebih lagi di KL – yang menghidangkan ikan sungai itu, jangan terus ambil dan makan. Tanya dulu harganya.

Tanpa bertanyakan harga, anda akan sesak nafas atau terbeliak hingga terkancing gigi, malah mungkin pengsan apabila bil datang sebaik anda selesai makan. Sebab anda mungkin terpaksa membayar RM40 atau RM50 hanya untuk seketul ikan patin sebesar dua jari.

Tentu semua masih ingat perihal sekumpulan pelanggan yang dikenakan bayaran RM13,000 bagi hidangan ikan patin ketika makan tengah hari di sebuah restoran di bandar Temerloh, tidak lama dulu.

Saya berada di Temerloh, Bandar Ikan Patin, hujung minggu lalu untuk menyertai Pesta Patin selama tiga hari anjuran akhbar Sinar Harian. Banyak yang saya ketahui mengenai ikan tersebut daripada seorang anak tempatan yang mendakwa pakar patin. Beliau ialah anggota Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ikan tanpa sisik berdaging lembut itu sejak lebih sedekad lalu menjadi 'trade mark' bandar tersebut di bawah Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI). Ada 120 pengusaha ikan patin sangkar sekarang, atau kira-kira 1,200 sangkar ikan patin di bandar tersebut. Selain pengusaha patin sangkar ada kira-kira 200 nelayan sungai yang juga menangkap patin.

Ada sebab patin, sama ada mentah atau yang telah dimasak gulai tempoyak, mahal harganya. Permintaan lebih dari penawaran. Pengusaha sangkar juga nelayan sungai hanya berupaya mengeluarkan kira-kira 50 metrik tan patin setahun, sedangkan permintaan melebihi 100 metrik tan.

Di bandar Temerloh sahaja ada 50 restoran menghidangkan ikan patin. Di medan selera Lembah Semantan – betul-betul menghadap Sungai Semantan – ada dua tiga gerai patin yang setiap tengah hari pelanggan berbaris untuk mendapatkan tempat duduk.

Lain patin, lain rasanya, lain juga harganya, demikian saya diberitahu. Patin sangkar harganya RM15 per kilo, sedangkan patin liar antara RM50 hingga RM70 per kilo. Paling mahal ialah patin muncung liar yang harganya boleh mencecah hingga RM150 per kilo. Maka berdoalah supaya isteri tidak mengidam patin muncung liar, sebab spesies ini bukan sahaja mahal tetapi susah mendapatnya. Nelayan sungai pun jarang mendapat si muncung yang lazatnya dikatakan hingga menjilat jari.

Sebagai anak tempatan jati, YB berkenaan tahu banyak rahsia patin. Konon, patin Temerloh lain rasanya dengan patin Jerantut. Patin Sungai Tembeling berbeza dengan patin Sungai Semantan. Patin buah lain rasanya dengan patin muncung.

Di KL sekarang ada beberapa restoran yang menghidangkan ikan patin sebagai menu utama. Kerap juga saya diajak makan di restoran-restoran tersebut yang senarai harganya memang boleh mengempiskan saku.

Ada ikan patin sangkar, patin liar, patin buah, patin muncung yang ditawarkan pada harga berbeza. Masalahnya ialah saya – dan mungkin ramai lagi pelanggan – tidak dapat membezakan rasa patin sangkar dengan patin liar. Maka ada kemungkinan kita membayar harga patin liar untuk hidangan patin sangkar.

Sebab itu kalau hendak makan patin ada baiknya bawa bersama orang Pahang yang betul-betul mahir patin. Saya hanya mahir nasi kandar kari kepala ikan bawal. Kalau dibungkus makan di rumah pun saya boleh tahu sama ada itu nasi kandar Jalan Tunku Abdul Rahman atau yang dibeli di tempat lain.

Saya kena ajak YB Temerloh itu makan di restoran ikan sungai sekurang-kurangnya seminggu sekali selama setahun supaya betul-betul dapat membezakan rasa patin sangkar dengan patin liar.

Selain patin liar yang lazat, air Sungai Semantan juga ada khasiat tersendiri. Konon, orang luar yang meneguk air sungai tersebut – sama ada sengaja atau terminum – biasanya akan selalu berulang ke Temerloh. Ramai orang KL yang minum air sungai itu kini menjadi warga tetap bandar tersebut.

Mula-mula beli tanah kecil, kemudian beli tanah lebih besar, buat rumah, akhirnya membentuk keluarga dan menetap sebagai orang Temerloh. Maka, sebelum pulang KL petang itu saya minum seteguk dua air Kuala Semantan.

Almaklumlah, berhajat juga saya untuk membeli sekeping tanah kecil di negeri terbesar di Semenanjung itu. Harap-harap sehari dua ini YB dapat mencarikan @ mencadangkan mana-mana tanah terbiar untuk saya beli!

Full content generated by Get Full RSS.

DAP dan permainan burung tempua

Posted: 12 Oct 2011 05:00 PM PDT

Telatah terbaru DAP di Perak menyamai peribahasa Melayu lama 'kalau tidak ada-ada, masakan tidak tempua bersarang rendah'. Ada apa-apa ke DAP atau apa ada pada DAP? Ibarat burung, dari sebuah parti pembangkang kecil bermula 1969, DAP kini membina sarang di setiap ceruk rantau, termasuk kawasan perumahan. Bagaimanapun, lebih dari seekor burung yang biasanya terbang tanpa arah dan tujuan, DAP ialah parti politik dengan agenda dan perjuangannya tersendiri – walaupun, termasuk masyarakat Cina sendiri, adalah sukar untuk membaca, menterjemah dan memahami apakah visi, misi dan aktiviti DAP sebenarnya.

Dulu DAP tidak memerlukan undi Melayu kerana ia hanya mahu menjadi wira masyarakat Cina. Justeru tidak keterlaluan jika dikatakan ketika itu DAP hanya boleh diterima penyokong tidak berjiwa Malaysia dan dengan kecinaan yang cukup totok.

Suatu yang tidak dapat dinafikan ialah DAP sukar diterima orang-orang Melayu kerana slogan Malaysia Malaysia yang konon dipusakai dari PAP Singapura. Konsepnya mudah bahawa DAP memperjuangkan hak sama rata bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kini DAP sudah sedar hakikat, untuk berkuasa ia terpaksa mencari regu dan dalam hal ini ia terpaksa mencari parti bertunjangkan orang Melayu.

Dalam pilihan raya umum lalu DAP bekerjasama dengan Pas sehingga membolehkan mereka menguasai Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Di Perak DAP memenangi 18 kerusi Dun dan merupakan salah satu parti dalam komponen pembangkang memperoleh kerusi majoriti. Namun kerana ia tidak ada calon Melayu ketika itu, maka terpaksalah akur kepada Perlembagaan Perak yang memperuntukkan Adun Melayu sebagai Menteri Besar.

Di sinilah munculnya DS Nizar Jamaluddin, lulusan UK dalam bidang kejuruteraan yang kebetulan bertanding atas tiket Pas di Pasir Panjang.

Seperti dalam filem klasik Melayu, DAP jatuh cinta pandang pertama selama 11 bulan bersama-sama Nizar. Selepas kerajaan PR jatuh tersungkur, Nizar masih mengikuti program bersama-sama DAP sehingga ada yang secara sinis melihat Nizar lebih dekat dengan DAP dari Pas.

Keserasian Nizar dan DAP bukan berakhir dengan kejatuhan kerajaan PR, malah baru-baru ini Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng mengumumkan secara rasmi, partinya menyokong Nizar sebagai bakal MB Perak jika pembangkang menang. Dengan kata-kata lain, Nizar dilihat macam de facto MB Perak.

Justeru macam burung tempua, hakikatnya DAP tentu ada sebab untuk membuat endorsement lebih awal dari biasa. DAP bukanlah ketua dalam PR Perak, malah selama ini parti itu sekadar dilihat sebagai sebuah dari gerabak. Drebar kepala gerabak tentulah tidak lain dan tidak bukan dari de facto PM, YB Mr Anwar Ibrahim (seperti yang kerap disebut oleh media luar).

Selaku ketua, Anwar dilihat mengutamakan PKR dari DAP. Sebagai contoh bila Nik Aziz membangkitkan isu hudud sekali lagi, Anwar juga ikut menyokong berbanding dengan sikap DAP. Boleh dikatakan dalam hampir banyak keputusan rasmi mengenai PR dan dasar-dasarnya, Anwarlah juruteranya. Anwar juga instrumental dalam pelantikan TS Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor sebaik PR menang di negeri itu.

DAP sendiri nampak laluannya di Perak sukar melainkan parti itu menyokong calon MB dari Pas ataupun PKR. Walau dilihat dalam apa aspek sekalipun, DAP menyedari Nizar adalah pilihan terbaik.

Andai kata PKR ada calon lebih berkualiti, impian calon Pas nak jadi MB sepertilah tempua merindui sang rambulan (yang mana lebih teruk dari sekadar pungguk merindukan bulan). Tapi DAP amat senang dengan Nizar. Mantan MB itu ibarat Kuda Trojan dalam Pas. DAP tidak melihat Nizar macam Datuk Hassan Ali yang selicin belut serta sekeras DS Azizan Abdul Razak, MB Kedah dalam hal-hal berkaitan Islam.

Ironinya walaupun isu hudud memisahkan Pas dengan DAP, namun di Perak, Nizar berjaya 'mengneutralizekan' isu ini. Semasa menjadi MB, DAP telah menguji keberanian Nizar (tentu sekali setelah disokong Exco DAP) meluluskan kepada 11 penduduk Kampung Baru (Cina) di Kuala Rui, Gerik geran hak milik 999 meskipun tindakan itu dibantah. Oleh itu DAP awal-awal lagi melihat Nizar mirip DAP dari Pas dan tanpa DAP berkuasa pun, dasar DAP boleh diteruskan oleh pemimpin seperti Nizar.

Menjelang PRU13, DAP terpaksa memastikan Nizar tidak diketepikan Pas dari senarai calon MB. Sebesar mana serban pun, malah fikiran hampir nyanyuk dan tubuh dibalut penyakit tidak menghalang mereka menjadi MB. Mabuk kuasa tidak sama macam mabuk alkohol kerana mabuk kuasa membuatkan penyandangnya sanggup gadai negeri. Maka kerana faktor inilah rebutan untuk jawatan MB di Perak semakin dirasai di kalangan parti-parti pembangkang.

DAP sebenarnya takut Pas calonkan seorang lagi ulamak lebih sealiran dengan Nik Aziz atau macam Hassan Ali. Sebab itu dalam keghairahan ini, DAP telahpun membayangkan akan meletakkan calon Melayu bertanding, sebagai persiapan jika Nizar tertolak. Andai kata ini berlaku, maka calon DAP lah yang akan menerajui Perak selepas PRU ke-13 kelak. Dan inilah yang dimaksudkan dengan 'ada-ada'.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved