Selasa, 11 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Full content generated by Get Full RSS.

Steve Jobs dan dilema inovasi Malaysia

Posted: 10 Oct 2011 05:00 PM PDT

Steve Jobs telah meninggal dunia. Takziah. Pencapaian pengasas Apple ini melebihi sesiapa sahaja dalam dunia teknologi maklumat – dan ini termasuklah Microsoft dan Bill Gates, kerana beliau telah berjaya menginsankan dan mempermudahkan komputer untuk semua lapisan masyarakat. Misalnya, ibu saya yang berusia 70-an juga mampu menggunakan Ipad2 dengan mudah lagi bergaya.

Kebijaksanaan Jobs sememangnya terletak pada keupayaannya untuk melihat teknologi dari sudut pandang pengguna. Beliau bertanya soalan mudah tetapi kritikal: apa yang pengguna mahu dan perlu? Bagaimana saya boleh memenuhi tuntutan-tuntutan ini? Daripada menghasilkan komputer yang semakin rumit, Jobs telah mencipta peralatan yang bukan sahaja mudah diakses tetapi juga - anggun, intuitif dan berguna, ia boleh dipakai di mana sahaja. Dalam usaha untuk mencapai matlamat ini, beliau telah mengubah cara tradisi kita membaca buku, mendengar muzik dan menonton filem. Beliau membentuk cara baru dengan meletakkan alatan rekaan beliau - iPod, iPhone dan iPad di tengah-tengah semua penyelesaian, sebagai medium zaman digital yang serba guna.

Dianggarkan sebanyak 100 juta Iphone dan 25 juta Ipad dijual setakat ini. Ironik sekali, pada hari Jobs meninggal dunia - kerajaan India melancarkan komputer tabletnya sendiri yang digelar Sky. Ini merupakan penghormatan terbesar kepada Jobs - lebih bermakna daripada laman-laman obituari yang menghiasi dada-dada akhbar dan laman web seluruh dunia.

Curahan hati dan tangisan yang datang dari seluruh dunia mengiringi pemergian Jobs membuktikan ikutan stail ikonoklastik beliau dan kehebatan berfikir secara berbeza, serta melakukan sesuatu tanpa mengira kesan yang mendatang. Sesungguhnya, semua usahawan mempunyai sedikit Steve Jobs dalam darah mereka.

Namun demikian, kita tidak boleh mengetepikan elemen nasib dalam kejayaan beliau - jika ditakdirkan Jobs meninggal dunia pada tahun 1990an, beliau mungkin dilupakan di pinggiran sahara - sebagai seorang lagi pengusaha yang telah ditendang keluar dari syarikat yang beliau dirikan sendiri. Tambahan pula, sebagai anak seorang pendatang Syria, Jobs sememangnya bertuah kerana dilahirkan di bumi Amerika – bumi penuh peluang dan bertuah itu.

Mungkin tiada tempat selain Amerika, yang boleh memberikan peluang kepada seorang yang tidak tamat ijazah untuk membuka syarikat dari garaj rumah ibu bapanya dan mengubahnya menjadi sebuah syarikat gergasi multinasional dengan nilai pasaran sekitar USD 222 billion. Kita bukannya mahu mengangkat Jobs sebagai seorang wali.

Pergaduhan antara Jobs dengan teman-teman dan staf beliau sudah sering dilaporkan. Malah, beliau juga bukannya seorang patriot yang bangga mengibarkan jalur Amerika Syarikat. Bukan seperti lagenda usahawan motor Henry Ford yang nasionalis, majoriti produk Apple dihasilkan di China di mana tuduhan kerahan buruh dan suasana pekerjaan yang buruk masih menghantui syarikat gergasi itu hingga ke hari ini.

Namun, tiada sesiapa yang boleh menidakkan bahawa Jobs menunjukkan semangat indivisualisma dan keusahawanan yang merupakan karakter jati Amerika.

Sesungguhnya, kita dibentuk oleh persekitaran di mana kita dilahir dan dibesarkan. Justeru, ini yang membingungkan saya setiap kali pemimpin kita bercakap tentang inovasi dalam ekonomi Malaysia atau bercakap tentang perlunya menghasilkan genius.

Bagaimana jika Steve Jobs lahir di Malaysia? Adakah beliau mampu mengecap kejayaan yang beliau miliki dan tinggalkan hari ini, atau terpaksa mengejar kontrak-kontrak kerajaan?

Jika kita mahu meningkatkan daya saing dalam inovasi, kita perlu sedar bahawa kreativiti dan inovasi merupakan fenomena budaya. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dicetuskan dengan mengepam wang atau diwujudkan secara paksa dengan dasar kerajaan.

Kreativiti dan inovasi tidak boleh hidup tanpa adanya ekosistem risiko dan ganjaran, dan ia mati jika kita mengutamakan warna kulit dan agama daripada bakat dan kepintaran.

Sememangnya tiada insentif untuk rakyat berfikir secara bukan konvensional jika kriteria untuk kaya ialah "siapa yang anda kenal" dari "apa yang anda tahu". Suka atau tidak, kreativiti juga adalah satu mainan politik.

Bayangkan, berapa ramai Jobs, Gates dan Zuckerberg versi Malaysia yang terkandas kerana mereka tidak mempunyai jaringan luas dan dilahirkan dalam komuniti yang salah?. Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan 2012 sebagai tahun Inovasi Nasional.

Ini mungkin tidak mendatangkan faedah selagi kita masih tidak memberi ganjaran setimpal dan adil kepada usaha gigih dan genius serta mengagung-agungkan mediakritis dan mengikut secara membuta tuli.

Full content generated by Get Full RSS.

Kembalikan kesopanan ke dunia siber

Posted: 10 Oct 2011 05:00 PM PDT

Saya pernah menulis puisi bertajuk Usia Pendidikan. Saya akan menyentuh isinya, sekurang-kurangnya saya merasakan usia pendidikan amat penting untuk dibicarakan. Saya berpandangan, usia pendidikan terlalu panjang. Agama ALLAH sejak dahulu kala telah mendidik umatnya. Nabi Muhammad dan nabi-nabi sebelumnya diturunkan (antara lain) untuk membaiki akhlak. Segala agama menganjurkan kebaikan, dan tidak kecil jumlah ahli falsafah serta tokoh moral memberikan pengajaran tentang kebaikan. Oleh itu, tahun ini yang akan berakhir – sewajibnya menjadi tahun orang berbuat baik, tiada keburukan. Saya bermaksud mengatakan sesuatu yang lebih jauh, iaitu manusia pada zaman ini seharusnya tidak jahat, kerana pendidikan terlalu lama wujud di dunia.

Apabila saya membaca tulisan Dr Azizan Bahari (www.sukarelawanmalaysia.com), yang tercatat tarikh 19 September 2011, saya kian berfikir tentang hal sama. Seingat saya, Dr Azizan pernah mendengar persoalan ini daripada saya, iaitu pada hari raya kedua (Aidilfitri). Saya tidak menyebutkan usia pendidikan kepadanya, tetapi menyatakan kesal kerana zaman sekarang ditentukan oleh kebiadaban.

Azizan menyebut, rakyat Malaysia sudah lama tidak berupaya melahirkan isi hati dan berkongsi fikiran, kerana kongkongan dan kawalan pihak berkuasa. Menurut Azizan lagi, akhbar bebas (yang bersikap berbeza atau berlawanan) pun, tidak akan pergi jauh, kerana akan hadir surat 'tunjuk sebab'. Suasana begini, mengikut Azizan menyebabkan kemunculan internet disambut dengan riang, dan digunakan secara habis-habisan oleh sesetengah pihak. Blog, laman web, laman sosial dan sistem pesanan ringkas menjadi 'penyelamat' jiwa yang resah, sedih, kecewa, geram, dan marah. Teknologi terkini dikatakan meraikan kebebasan.

Tumpuan bicara ini, dan bicara Azizan juga, ialah tentang bahasa kasar, lucah dan maki-hamun di blog-blog serta laman-laman sosial. Menurut ajaran umum yang kita pegang, bahasa demikian adalah biadab, tetapi jika anarkisme menjadi pilihan, apa-apa pun boleh. Jika kita bimbang hal ini, kebimbangan kita bukanlah kerana untuk diri sendiri. Orang yang memahami anarkisme, tahu tentang protes tidak terhad, yang mendalami psikoanalisis Freud, dan yang betul-betul tahu tentang perwatakan manusia pelbagai, tidak akan ditimpa bala petaka kebiadaban ini. Orang yang akan menerima beban ialah sejumlah orang umum, yang mudah terpengaruh dengan anjuran kemarahan, dan cenderung memulakan serta menyambung kekerasan. Mereka akan terperangkap dalam jerat emosi.

Pihak lain yang turut sengsara oleh beban ini ialah pembaca yang diharapkan melanjutkan kesopanan. Kesengsaraan begini tidak disedari, kerana bersifat dalaman dan terlindung. Pembaca akan berasa seronok, geli hati, puas dan muncul aneka perasaan yang sensasional sifatnya, bahkan mungkin terangsang oleh gambar-gambar dikemukakan, sedangkan pada hakikatnya kesusahan sedang menanti. Kesusahan juga terlindung kerana itu ialah kesusahan dalaman.

Kita faham betul maksud Azizan. Sekatan-sekatan yang terlalu lama menyebabkan sejumlah rakyat melepaskan geram melalui media bebas. Perasaan begitu mudah kita fahami, kerana sesiapa pun demikian. Jika pada masa kecil seseorang terlalu marah kepada orang dewasa, apabila besar dia akan menendang bola di padang. Dia menyimpan dendam terlalu lama, dan bola menjadi mangsa. Para sadis (pendera orang) asalnya didera, dan jiwa para vandal (perosak barang) juga asalnya dirosakkan oleh pengalaman buruk. Jadi, dapatlah kita terima bahawa penulis kata-kata lucah dan sarkastik di laman web dan lain-lain adalah terdiri daripada sekumpulan manusia yang resah dan kecewa.

Azizan menamatkan tulisannya dengan mengatakan beliau percaya, sebahagian pihak yang dikritik memahami hakikat dan alasan kemunculan pengkritik keras dan kasar itu. Soalnya, adakah pemahaman itu akan menyebabkan mereka berubah? Setelah mereka berubah, adakah pihak yang telah terbiasa dengan bahasa lucah itu akan memilih bahasa sopan dan mulia dalam penulisan akan datang? Saya tidak nampak akan berlaku perubahan sedemikian. Jadi, pendidikan yang telah tua ini tampaknya perlu diteruskan lagi. Kita yang tua hendaklah berusaha dengan apa cara juga untuk mendidik orang lebih muda agar berbudaya. Kembalikan kesopanan ke dunia siber.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved