Ahad, 9 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Ibu pertahan anak dibelasah samseng

Posted: 08 Oct 2011 05:00 PM PDT

Ibu pertahan anak dibelasah samseng JERTIH - Seorang suri rumah cedera pada beberapa anggota badan selepas diseret keluar dari rumahnya oleh dua lelaki, sebelum ditumbuk dan ditendang dalam kejadian di perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pancur, Hulu Besut Selasa lalu.

Tidak cukup dengan itu, ibu kepada empat anak berusia 33 tahun itu turut dibelasah dengan batang ubi kayu oleh kedua-dua lelaki sekampungnya itu.

Mangsa, Norfizah Mat Adin berkata, kejadian berlaku jam 4 petang ketika dia sedang melipat pakaian di ruang tamu rumahnya, sebelum tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia awal 20-an dari arah belakang lalu menumbuk dan menendang badannya.

Menurutnya, dia menjerit meminta tolong sambil merayu lelaki itu tidak mencederakannya, namun tanpa menghiraukan jeritan mangsa, lelaki itu bertindak menyeret mangsa ke luar rumah, kemudian dengan seorang lagi, memukulnya dengan batang ubi kayu di samping disepak terajang.

"Saya amat takut dan terasa sakit yang amat sangat sehinggakan mengalami kesukaran bernafas akibat dipukul," katanya.

Norfizah berkata, dia bernasib baik apabila jiran datang menghalang kedua lelaki itu daripada terus memukulnya dan dia dibawa ke hospital.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada bersama seorang anak bongsu berusia lima tahun manakala suaminya tidak ada di rumah kerana bekerja.

Menurutnya, dia tidak menolak kejadian itu mungkin berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek pertama terhadapnya selepas dia menegur lelaki itu kerana memukul anak lelakinya.

"Pada Ahad lalu, anak saya pulang ke rumah memberitahu, adik suspek (murid tahun lima) bergaduh dengannya di sekolah, tetapi saya nasihat anak saya supaya jangan bergaduh dengan orang, namun pada ke esokannya (Isnin), anak saya pulang sambil menangis dan mengadu, suspek utama menunggunya di luar sekolah sebelum bertidak memukulnya.

"Berikutan itu, pada jam 11 pagi hari kejadian, saya kebetulan bertemu dengan suspek dan bertanyakan mengapa dia tergamak memukul budak kecil sedangkan pergaduhan itu membabitkan kanak-kanak sahaja. Namun pada jam 4 petang, suspek datang pukul saya," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kedua-dua suspek telah ditahan dan akan didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, polis memandang serius budaya samseng dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Tiga rakan maut hari pertama kerja

Posted: 08 Oct 2011 05:00 PM PDT

Tiga rakan maut hari pertama kerja JOHOR BAHRU – Tiga orang kawan yang baru sehari bekerja menemui ajal apabila kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori bermuatan pasir dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, semalam.

Kemalangan di Batu 16 Sungai Tiram, Ulu Tiram kira-kira 9.20 pagi itu mengorbankan pemandu kereta Mohamad Faiz Ahmad Tahir, 18, serta dua lagi sahabatnya, Mohamad Khairuddin Karimi, 21, dan Mohd Nazri Zulkifly, 20.

Mereka dipercayai baru mula bekerja kelmarin di sebuah kilang di kawasan perindustrian Taman Desa Cemerlang, di sini.

Ketua Polis Seri Alam, Superitendan Roslan Zainuddin berkata, ketika kejadian mereka dipercayai dari arah Pekan Tiram menghala ke Kampung Sungai Tiram berlanggar dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

"Keadaan kereta remuk dan ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Roslan berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, adik kepada Mohd Nazri, Mohd Faiz, 17, berasa terkilan tidak dapat bertemu abang kerana keluar bekerja sehari sebelum kejadian dan terkejut dengan berita kematian abangnya.

"Memang tidak sempat jumpa abang, sebab saya bekerja. Abang kelihatan gembira dapat kerja di tempat baru kerana sebelum ini dia bekerja di sebuah bengkel berhampiran rumah.

"Kami memang rapat, cuma beberapa hari sebelum ini, abah (Zulkifly Abdul Aziz) ada berpesan pada abang agar jangan mula bekerja lagi," katanya yang ditemui di bilik mayat Hospital Sultan Ismail, disini, semalam.

Bagaimanapun, ibu bapa ketiga-tiga mangsa enggan ditemubual.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved