Jumaat, 7 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Apabila isteri bakal bergelar ‘mak aji’

Posted: 06 Oct 2011 05:00 PM PDT

Sejak dua minggu lalu, saya terima banyak ucapan tahniah yang bersulam doa "semoga saudara mendapat haji yang mabrur".

Ya, ianya agak janggal juga kerana saya tidak ada rancangan untuk ke Tanah Suci dalam masa terdekat namun ucapan itu datang bertalu-talu hingga saya pun terfikir, "alangkah seronoknya jika ini benar-benar berlaku."

Puncanya adalah salah faham. Yang sebenarnya ke Makkah (sudah pun berangkat subuh 5 Oktober lalu) adalah isteri saya.

Lalu apabila hal itu sampai kepada kawan-kawan, mereka sangka kami pergi bersama. Ya, tentunya begitu kerana amat jarang seorang wanita yang bersuami pergi ke Tanah Suci bersendirian, apa lagi suaminya sendiri belum bergelar haji.

Namun perginya isteri saya bukan jemaah biasa sebaliknya sebagai petugas perubatan yang sekali gus memberikan dia peluang menunaikan haji. Dan apabila hal itu saya jelaskan kepada kawan-kawan yang tersalah faham, ada pula idea mereka: "Tak pa hang tak pi lagi pun , nanti bini hang balik, hang boleh 'naik' haji jugak."

"Huh! Ada saja akal mengarut hangpa," kata saya membalas usikan mereka. Hal pemergian isteri saya ke Makkah tahun ini bukan sesuatu yang kami duga akan berlaku begitu cepat.

Sebelum ini, kami bukan tidak pernah bersembang hal nak pergi haji, dan apabila usia masing-masing menjangkau 40 tahun, kami juga tidak lupa bahawa kami bukan muda remaja lagi untuk sengaja menangguh rukun Islam yang kelima itu.

Namun apabila memikirkan soal kuota, isu ke Makkah sering sahaja dipinggirkan. Lebih mudah dan lebih menarik jika bersembang hal-hal yang berkaitan soal masa depan, "nanti nak suruh anak-anak sambung belajar bidang apa?", "sudah pencen nak tinggal mana?", "tanah pusaka di kampung nak tanam kelapa sawit atau getah?" dan hal-hal lain yang seumpama itu sahaja.

Hal pergi haji, jarang sangat jadi topik walaupun keinginan sememangnya ada. Sama juga seperti hal nak cari 'kawan' baru untuk isteri saya, keinginan sememangnya ada tetapi jarang sangat saya berani bergurau bab itu. (P/S: Saya berani tulis begini kerana isteri saya ikut jadual hanya akan kembali ke tanah air sebulan setengah lagi).

Namun, itulah yang dikatakan rezeki. Dalam hal ini, takdir akan mengatasi segalanya. ALLAH sudah menentukan sesiapa yang DIA mahu pada sesuatu masa untuk jadi tetamuNYA.

Bos saya, pemilik Kumpulan Media Karangkraf yang menerbitkan Sinar Harian, sempena musim kali ini, menaja 10 'orang lama' menunaikan fardu haji sebagai membalas jasa dan kesetiaan mereka yang rata-ratanya sudah berkhidmat dengan syarikat selama lebih 20 tahun.

Ini kali kedua setelah kumpulan pertama - juga 10 orang - diberi peluang yang sama tahun lalu. Saya sendiri - yang hingga sekarang masih belum mendaftar dengan Tabung Haji - entah akan terpilih atau tidak, ataupun entah akan sempat atau tidak untuk mendapat peluang seperti itu.

Seperti yang saya nyatakan tadi, ini semua bergantung kepada rezeki. Namun dalam hal ini, saya tidak menggalakkan diri untuk hanya menunggu yang percuma atau ditaja kerana saya sudah pernah menunaikan umrah atas pembiayaan orang lain, dan kali ini, biarlah fardu haji yang diwajibkan ke atas diri saya, ditunaikan dengan belanja daripada usaha dan pengorbanan sendiri.

Bukan tidak menghargai namun setelah sekian banyak nikmat yang saya 'enjoy' dalam hidup ini daripada pemberian ALLAH, saya mahu diri ini ikhlas pula memberikan hanya beberapa persen daripada sekian banyak yang saya dapat itu, untuk DIA pula.

Seperti yang saya katakan tadi, jika sepanjang seminggu dua ini saya berasa janggal apabila diberi ucapan tahniah dan doa "semoga mendapat haji yang mabrur", selepas ini saya sudah tentu akan berasa lebih janggal lagi kerana pasti akan ada yang terus tersalah sangka memanggil saya 'Pak Aji' pula.

Meskipun tersalah sangka, ini sudah tentu akan membuatkan saya lebih tidak sabar untuk segera naik haji.

Jangan salah faham, ini betul-betul naik haji, bukan seperti apa yang anda fikirkan!

Pas lupakan jasa Asri Muda

Posted: 06 Oct 2011 05:00 PM PDT

Mungkin ramai tidak tahu siapakah yang mencadangkan nama Barisan Nasional dan orang yang melakarkan simbol dacing. Orang bertanggungjawab ialah Tan Sri Dr Mohd Asri Muda dan pelukis logo ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, keduanya sudah arwah.

Asri pernah memimpin Pas (1965-1983) selepas Ahmad Fuad dan Dr Burhanuddin Helmy serta mantan Menteri Besar Kelantan (1964-1972). Pada zaman kemuncaknya, beliau seorang pemidato yang hebat dan memukau. Beliau satu-satunya Presiden Pas yang menyertai Umno. Ini berlaku pada 1988 selepas meninggalkan Pas yang dipimpinnya selama 18 tahun dan parti Hizbul Muslimin (Hamim) yang dipeloporinya pada 1983 selepas keluar dari Pas.

Bibit awal krisis dalaman Pas sehingga Asri dilihat sebagai liabiliti berlaku pada awal 1980an apabila pemimpin muda parti itu tidak setuju dengan sikap sederhananya. Mereka berpendapat sebagai pemimpin parti, Asri harus lebih tegas menyaingi Umno, khususnya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan agenda menerapkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat dan pentadbiran negara.

Di Kelantan dan Terengganu, peristiwa kafir mengkafir mengakibatkan perpecahan keluarga dan masyarakat Islam. Mulanya ia berkisar antara penyokong gerakan muda dalam Pas dengan mereka yang pro-Asri, kemudian merebak lebih serius. Berlakunya sembahyang dua imam, pulau kenduri, perceraian suami isteri serta kubur dan masjid berasingan dalam mukim sama disebabkan perbezaan fahaman politik.

Golongan pemimpin muda dalam Pas ketika itu sangat terpengaruh dengan Revolusi Iran. Ramai pergi 'berkursus' di sana tanpa diketuai Presiden sendiri. Sikap sederhana Asri menjadikan beliau mula disisih golongan muda yang lebih ekstrem dari segi pemikiran dan tindakan. Suara pro-revolusi merebak cepat dalam Pas dan kemuncaknya penyingkiran Asri dan penyokong beliau yang digelar Kumpulan 13.

Mereka termasuk bekas Menteri Besar Datuk Ishak Lutfi Omar, bekas Timbalan Pesuruhjaya Negeri Datuk Nik Man Nik Mat, bekas Timbalan Menteri Besar Wan Ismail Ibrahim, bekas Bendahari Agung Hassan Muhammad, bekas Naib Ketua Pemuda Azhari Awang dan bekas Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan Salahuddin Abdullah.

Walaupun ada usaha beberapa tokoh Pas dari Kedah, termasuk Sudin Wahab, Othman Alyunusi dan Mohd Ramli Abdullah, untuk damaikan keadaan namun gagal. Di muktamar Pas pada 1982, perwakilan yang muram dan benci kepada Kumpulan 13 telah menolak ucapan dasar Presiden – sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Pas. Gambar tokoh-tokoh revolusi Iran ditampal di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka di mana muktamar diadakan. Mereka melaung pekikan Marakbar Asri ('Mampuslah Asri') berselang-seli dengan kalimah Allahu Akbar.

Begitulah hinanya cara perwakilan Pas melayan Presiden mereka. Sebaik muktamar, Asri letak jawatan. Beliau dijemput jadi Karyawan Tamu UKM pada 1992 dan sempat menghasilkan Meniti Arus: Memoir Politik Asri (Bangi, 1993). Namun hasratnya menulis buku Politik Bangsa Melayu Di Zaman Empat Perdana Menteri mengenai pertikaian dan kerjasama antara Pas dan Umno tidak kesampaian. Beliau meninggal dunia pada 28 Ogos 1992 pada usia 70 tahun.

Dalam memoirnya, Asri cerita bagaimana kerjasama Pas dan Umno bermula, hasil kesedaran kedua pihak mengenai tragedi 13 Mei sehingga wujudnya kerajaan campuran. "Pertemuan empat mata berlaku dalam suasana tenang, mesra dan masing-masing curah pandangan serta isi hati dengan ikhlas dan saya rasa baik Tun Razak dan saya sendiri, bercakap secara terus-terang tentang hal negara dan masa depannya sehingga menyentuh kepada soal bagaimana kita menghadapi sekitar masalah politik negara, terutamanya tentang zaman depan bangsa Melayu, dan tentu juga persoalan Islam yang menjadi suatu isu terpenting ketika itu. Sesungguhnya bertolak daripada inilah, suasana perhubungan antara Pas Kelantan dan Kerajaan Pusat mulai berubah daripada keadaan tegang kepada keadaan yang lembut." (hal 89-90)

Kerajaan campuran yang ditubuhkan pada 1 Januari 1973 kini menjadi sejarah. Namun atas dasar perpaduan Melayu-Islam, banyak pihak berpendapat usaha perlu dilakukan untuk mencantum semula umat negara ini. Namun kepimpinan Pas hari ini, khususnya Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat berkeras tidak bersetuju. Malah, di bawah kepimpinan beliau dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas dicantumkan dengan parti cauvinis Cina dan bukan Islam.

Bukan ini sahaja, rakyat boleh lihat pelbagai keanehan Pas dan betapa tersasarnya perjuangan Pas hari ini berbanding semasa ia ditubuhkan. Sidang penubuhan Pas ke-60 minggu lalu menonjolkan sifat parti itu yang semakin ekstrem, bercelaru dan gila kuasa. Pemimpin dan ahli Pas hari ini juga tidak bercakap lagi mengenai Asri, jauh sekali untuk mengenang jasa dan sumbangan.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved