Rabu, 5 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Gaun Vera Wang di Muzium Negara?

Posted: 04 Oct 2011 05:00 PM PDT

Sedang dahi berkerut cuba memahami krisis mata wang Euro dan kemelut perbankan yang meribut di Eropah, satu email daripada sahabat masuk ke dalam peti bacaan. Turut disertakan pautan ke laman berita artis tempatan yang memberi khabar bahawa baju pengantin Memey akan dipamerkan di Muzium Negara.

Saya tidak tahu, sama ada mahu tergelak atau menangis. Aduh, kedangkalan manusia kadang-kadang merentap elemen sabar yang sememangnya kurang dalam diri. Jika benar laporan akhbar itu, maaf saya tidak mampu mengawal diri, soalan ini terpaksa saya ajukan kepada Pengarah Muzium Negara: apa masalah saudara?

Bukan saya mendabik dada dengan rezeki kurniaan Ilahi, tetapi fitrah pengembaraan kerap menghantar saya ke kaki muzium di serata dunia. Dari Louvre di Paris sehingga National Folk Museum di Seoul, saya kagum dengan khazanah tinggi nilai sejarah yang dipulihara molek dalam perut muzium, khusus untuk tatapan generasi sekarang dan masa akan datang. Pengajaran boleh ditimba bukan sedikit, perbezaan cara hidup dan sejarah nenek moyang masing-masing jadi iktibar jika diperhalusi dengan betul.

Baru-baru ini, walaupun saya malu untuk mengaku, air mata saya bergenang semasa melihat pedang dan janggut Rasulullah SAW di Istana Topkapi, Istanbul. Latar belakang muzium yang dititip dengan bacaan Al-Karem secara langsung, telah menyentuh sudut paling jauh dalam hati setiap pengunjung pada petang musim luruh Eropah hari itu.

Tatkala berada di Greece pula, saya tercengang-cengang dengan beberapa plot kosong tanpa arca atau sebarang bahan pameran di dalam The New Acropolis Museum. Bertanya kepada pembantu muzium, beliau tersenyum penuh makna. Apabila dia menjawab, saya telah belajar sesuatu yang baru - tidak pernah saya temui dalam mana-mana buku sejarah.

Pembinaan The New Acropolis Museum (dibuka 2009) bagi menggantikan Acropolis Museum yang lama; dan sebenarnya ia juga untuk menghantar mesej sinis kepada Britain. Ceritanya begini, pada 1799, Earl of Elgin ke-7 telah ambil dua pertiga dari arca yang berada di dalam The Parthenon pulang ke Britain. Arca-arca itu dijual kepada British Museum; British Museum pula enggan mengembalikan arca-arca tersebut walau berkali-kali Greece meminta.

Kata Britain, arca-arca itu penting untuk membuktikan pencapaian kebudayaan manusia dan Greece tidak ada tempat yang sempurna serta selamat untuk mempamerkan arca-ara yang telah dicuri itu. Kini setelah The New Acropolis Museum siap, Greece apabila berharap pengunjung melihat plot-plot pemeran baru yang bergemerlapan, tetapi kosong, Britain akan berasa tertekan lalu memulangkan semula apa yang diambil.

Oh, begitu... ternganga mulut saya mendengar penjelasan pekerja muzium itu. Jangan salah tafsir, bukan saya membezakan sejarah negara kita dan peradaban Barat yang sudah berusia ribuan tahun. Di Cameron Highlands misalnya, ada muzium kelolaan orang perseorangan yang punya koleksi sangat memberangsangkan. Tanpa pertolongan kerajaan, hanya berdasarkan cinta dan minat, Muzium Time Tunnel di Brinchang ada potensi besar untuk mengetengahkan identiti negara di mata dunia.

Saya tiada masalah dengan artis tempatan atau fesyen. Anak wayang adalah tunggak aspirasi seni filem atau drama sesebuah negara. Mereka merupakan cabang kreativiti insani; mereka juga contoh paling dekat untuk menzahirkan bagaimana bakat bisa merubah hidup seseorang. Saya juga perempuan, walau selesa bercelana denim dan berkemeja putih, busana lakaran Vera Wang amat mempesonakan di mata – setiap yang memakai rekaan Wang tampak anggun dan berkelas atasan.

Tetapi tidaklah sampai saya ingin melihat baju itu di Muzium Negara! Jika pun ingin sampaikan mesej sulaman mutiara di gaun dan kasut itu bernilai tinggi, janganlah hingga menobatkan ia di muzium paling ulung negara. Itu namanya taksub dengan barang-barang yang mahal, bukan memperkasakan sejarah. Maaf saya bertanya sekali lagi, mesej apa yang hendak kita ketengahkan melalui baju pengantin Memey?

Sungguh tidak masuk akal. Akhir kalam, saya merayu kepada Pengarah Muzium Negara agar tidak meneruskan hajat untuk mempamerkan baju rekaan Vera Wang itu, seperti yang dirancangkan dari 26 November hingga 31 Disember nanti. Walaupun kekurangan bahan pameran, kita mesti tahu bahawa sejarah harus dikumpul dan dipulihara, bukan main tangkap muat sahaja!

Belajar apa yang luar silibus

Posted: 04 Oct 2011 05:00 PM PDT

Sehingga 9.30 malam tadi, jika diizinkan ALLAH, penerbangan KT-16 dari Kuala Lumpur ke tanah Arab Saudi sudah pun berlepas. Musim haji datang lagi menyelubungi umat Islam di tanah air. Membawa beribu-ribu bakal haji Malaysia bersama-sama mereka dari seluruh pelosok dunia untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima.

Setiap kali musim haji, ruang di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya penuh sesak dengan bakal haji dan juga kaum keluarga mereka. Bagi yang akan ditinggalkan, perasaan hiba tentu bersarang di dada. Anak, menantu, cucu, cicit, saudara-mara dan sahabat handai kesemuanya tersenyum dalam tangisan. Orang yang disayangi akan pergi lebih daripada sebulan. Bagaimana nanti andainya rindu bertandang? Bagi mereka yang tidak pernah berenggang, tentulah perpisahan sementara itu bagaikan perpisahan buat selama-lamanya.

Di wajah bakal-bakal haji pula, dalam tangisan di mata, tersisip senyuman di bibir. Jauh di lubuk hati, rasa bahagia begitu terasa kerana akhirnya mereka terpilih sebagai tetamu ALLAH untuk mengunjungi Baitullah. Senyuman dihulur dan pelukan erat kepada sanak saudara adalah bekal semangat buat mereka yang ditinggalkan agar tidak terus berdukacita.

Bagi yang ditinggalkan, sebaik sahaja bakal-bakal haji masuk ke dewan sebelum menaiki bas, kesuraman yang dibawa akan beransur-ansur hilang. Mereka akan terus menjalani skrip kehidupan tanpa mereka yang disayangi. Panggilan telefon dan pesanan ringkas akan menjadi penawar duka di sepanjang perpisahan sementara itu.

Sebaliknya, buat mereka yang menaiki bas dan kemudiannya kapal terbang, pengembaraan penuh cabaran baru sahaja bermula. Ujian ketahanan diri sendiri adalah dugaan paling sukar dimengerti kerana mental, fizikal dan spiritual hanya bersedia secara teori dalam kursus-kursus haji yang diikuti sebagai persediaan. Kalau adapun praktiknya dalam Kursus Haji Perdana, ia hanyalah simulasi yang amat sedikit dialami. Selain daripada kursus mengenai rukun haji, ada banyak lagi perkara tidak sempat disampaikan penceramah.

Berwuduk hanya dengan sebotol air mineral dan mempraktik solat di dalam kapal terbang adalah di antara perkara yang paling awal perlu dipraktikkan. Tentu sekali ingatan daripada pramugari agar jangan mengecahkan lantai dengan air supaya sistem elektronik di dalam kapal terbang tidak rosak adalah pelajaran baru buat para jemaah. Perjalanan yang memakan masa lebih lapan jam itu sudah cukup meletihkan. Itu pun belum termasuk perjalanan dengan bas dari Jeddah ke Madinah.

Kesabaran benar-benar teruji apabila melihat bagasi kita tiba-tiba dicampak petugas ke dalam troli. Bagaimana pula rasa hati bila melihat beg kita yang cantik diperuk ke bawah perut bas atau dicampak dari bumbung ke tanah hingga terburai isinya? Terkejutnya hati hingga tidak termarah! Lagi pula, bila ramai lagi teman terdiam menelan perasaan, kita juga mengeluh untuk melatih kesabaran.

Tinggal sebilik dengan jemaah lain di hotel juga memerlukan persefahaman yang bukan sedikit. Kita perlu berdepan dengan teman sebilik yang pelbagai perangai dan kerenahnya. Ada yang suka tidur dengan penghawa dingin, ada juga yang tidak tahan sejuk. Ada teman di sebelah katil yang berdiam diri hingga membuatkan kita susah hati. Ada juga yang riuh dan becok hingga kita belajar memekakkan telinga. Bagaimana pula menghadapi teman sebilik yang merokok?

Sama ada kita berasak-asak di dewan makan, ataupun mencari tempat solat di Raudhah, berpusu-pusu pula ke Masjidilharam apabila sampai di kota Makkah, bertolak-tolak ketika tawaf, terhimpit ketika solat oleh mereka yang bertubuh besar, atau yang berbau, bersolat di bumbung Masjidilharam yang sentiasa berangin, bersolat di lamannya yang panas membakar, berduyun-duyun melangkah di simen sejuk untuk bersaie di antara Safa dan Marwah, teriknya mentari yang memeritkan mata di Arafah; kesemuanya adalah pengalaman yang baru, yang perlu dirasai sendiri meskipun ada isteri atau suami di sisi.

Itu belum lagi termasuk sakit pening, merasai teh Arab, membeli kad prabayar, membungkus barangan ke tanah air, berdepan dengan para penjual kain dan tamar, belajar memahami sebutan mata wang Arab, dikerumuni peminta sedekah, menahan sabar dengan kerenah pemandu bas atau van untuk ke tempat-tempat miqat mahupun berkomunikasi dengan para jemaah yang lain kulit dan bahasanya.

Meskipun pegawai Tabung Haji sentiasa bersedia menjaga jemaah seperti saudara mereka, namun kita sendiri perlu melalui pengalaman yang tiada dalam silibus diajar penceramah kursus haji di tanah air.

Begitulah. Dalam mana-mana pengajian, ilmu melalui pengalaman itulah yang lebih bermakna kerana pengalaman adalah guru yang paling baik. Namun, kita tidak menafikan peranan pegawai tabung haji berusaha melancarkan urusan haji di tanah air atau di tanah suci.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved