Selasa, 4 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Kemerosotan tamadun Barat

Posted: 03 Oct 2011 05:00 PM PDT

Sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Mereka yang tewas akan terus berada di pinggiran sejarah dan terus dilupakan. Di Malaysia berbeza dengan Indonesia, kuasa politik konservatif yang berjuang memerdekakan tanah air kita. Justeru, pejuang haluan kiri, seperti baru disedari pemimpin Pas, Mat Sabu telah dilupakan dan terpadam dalam coretan sejarah.

Namun, interpretasi sejarah berubah dari semasa ke semasa. Sememangnya, tiada satu versi sejarah yang ada terdapat pelbagai versi, dan selalunya mereka yang berkuasa sahaja dapat menentukan versi mana diguna pakai.

Tetapi, apakah akan berlaku apabila satu bangsa yang berkuasa itu mula merudum? Adakah sejarah akan ditulis dan digubah semula?

Perubahan ini dapat dilihat sejak kebelakangan ini melalui tulisan cendekiawan Barat tentang kemerosotan kuasa dan pengaruh Barat, terutama Amerika Syarikat.

Sejarawan, Niall Ferguson melakarkan proses ini dalam bukunya: Civilization: The West and the Rest (Tamadun: Barat dan yang lain). Ferguson mengutarakan hujahnya bahawa dunia Barat berjaya mengatasi kuasa y lain (Empayar China dan Ottoman) kerana enam aplikasi hebat: persaingan, sains, hak milik tanah, perubatan, masyarakat pengguna dan etika kerja.

Ferguson berhujah, dunia Barat berjaya mengusai semua enam ciri khas ini, tetapi dunia selain Barat hanya menguasai sebahagiannya sahaja atau tidak langsung.

Beliau berpendapat, masalah kemerosotan Barat kini merupakan krisis kepercayaan terhadap nilai ketamadunan mereka. Pendek kata, kuasa Barat telah gagal memperbaharui komitmen mereka kepada aplikasi hebat ini.

Kuasa barat seharusnya mengenal pasti dan mengapresiasi kehebatan dan kemegahan tamadun mereka sendiri kerana ia menawarkan set institusi ekonomi, sosial dan politik yang lengkap. Anda mungkin tidak bersetuju, tetapi sejak kebelakangan ini terdapat fenomena baru di mana ramai penulis mengupas isu kemerosotan kuasa Barat.

Krisis kepercayaan ini diburukkan lagi dengan krisis kewangan global dan momentum ekonomi yang lemah, dengan perlahan menghancurkan sistem ekonomi Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Sememangnya, dalam edisi majalah New Yorker baru-baru ini, Adam Gopnik menulis esei yang berhujah, kemerosotan merupakan satu genre sastera yang kembali popular, dan ini sering menjadi topik pilihan ahli akademik dan pundit.

Tetapi adakah ini suatu perkembangan yang baru? Peramal kemerosotan mula meramal sejak zaman kejatuhan ini berzaman-zaman lalu. Menurut Gopnik, frasa "kejatuhan Barat" digunakan seawal tahun 1918 oleh sejarawan Jerman, Oswald Spengler.

Namun, ketakutan akan prospek keruduman tamadun Barat ini bukannya eksklusif daripada pemikir Barat, tetapi sudah menjadi tema penulis dan sejarawan seperti Ibn Khaldun, Tun Sri Lanang dan SimaQian.

Hadirnya buku seperti Civilization ini di Malaysia menunjukkan isu ini menjadi satu masalah global.

Mengapakah mereka (pemikir Barat) dan kita (pembaca buku) harus ditakutkan dengan keruntuhan aturan kuasa kini? Anda perlu membaca buku seperti yang ditulis Fergusan untuk mengetahui tren-tren sedang berkembang dalam dunia ilmuwan sejarah.

Sejarawan Barat seperti Ferguson menghabiskan masa dalam kerjaya mereka mengkaji kebangkitan negara mereka ke tampuk kekuasaan dunia. Kini, mereka menghabiskan masa mengkaji kemerosotan kuasa negara masing-masing. Adakah hasil kerja seperti buku Ferguson ini merupakan cubaan untuk menerangkan sistem geopolitik dunia yang baru? Atau adakah ini merupakan satu amaran kepada kuasa baru, terutamanya dari Timur untuk tidak mengulangi perkara sama?

Tatkala Ferguson dan Gopnick berhujah, tamadun Barat sememangnya telah meninggalkan banyak legasi moral seperti mansipasi hak wanita dan toleransi antara agama. Pada masa sama, mereka berdua turut berlaku jujur dalam mengkritik kegagalan Tamadun Barat dalam menangani isu perkauman dan kesombongannya.

Bolehkah sejarawan Asia pada masa depan bersifat objektif dan holistik? Sememangnya, ketika kita di Malaysia sedang mengimbangi dan memperbetulkan obsesi dengan sejarah versi Umno, kita harus ingat situasi boleh berubah tiba-tiba dan bila-bila masa.

Tiada sesiapa mampu menidakkan kepentingan sejarah, tetapi harus ingat sejarah itu bukan sesuatu yang konstan ia akan diolah dan diinterpretasikan dari semasa ke semasa. Pemimpin Malaysia seharusnya risau adakah kita mampu untuk menguasai enam aplikasi yang diperkatakan Ferguson atau adakah mereka sekadar mahu menggunakan sejarah untuk menyerang musuh-musuh politik sendiri?

Masalah parti, peribadi ahli kita

Posted: 03 Oct 2011 05:00 PM PDT

Apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa Hukum Hudud akan dilaksanakan di Kelantan, dan Negara Islam tetap menjadi hasrat dan cita-cita Pas, Karpal Singh kembali garang. Sebagai reaksi, kita dapati Nik Aziz juga turut garang. Maka pada minggu lepas berlaku perbalahan yang hebat. Kata Nik Aziz, jika DAP tidak menyetujui hasrat Pas, dan akan meninggalkan Pakatan, 'Itu dia punya pasal' (Berita Harian, 23 September 2011). Bunyinya bagaikan persoalan tersebut adalah peribadi sifatnya, kerana secara rasmi Pas telah berjanji akan menubuhkan Negara Berkebajikan, bukan Negara Islam.

Terdapat anggapan bahawa semua itu ialah sandiwara. Nik Aziz mempunyai gayanya yang tersendiri, dan Karpal Singh juga demikian. Setakat yang kita tahu, kata-kata popular Karpal masih tidak ditarik balik, iaitu beliau dengan tegas menyebutkan 'langkah mayatnya' jika Negara Islam mahu ditubuhkan. Kekasaran gaya Karpal seolah-olah disediakan untuk menghadapi kekasaran Nik Aziz, untuk tujuan menghidupkan aspek konflik dan suspens drama berkenaan.

Kehebatan kata-kata Karpal tidak sia-sia, malah masih terngiang-ngiang, kerana Pas telah menukar cita-cita, daripada penubuhan Negara Islam ke hasrat baru, iaitu penubuhan Negara Berkebajikan. Kebanyakan pembicara politik, dan pemerhati umum berpendapat bahawa kemahuan Karpal telah tercapai. Pas tunduk kepada DAP. Itulah plot dasar drama tersebut.

Apabila Mohammad Sabu memaparkan arah yang lebih baru, iaitu menyatakan sejarah perlu ditulis semua, dengan meletakkan golongan progresif dan penyerang Balai Polis Bukit Kepong di tempat wira, maka deretan pemimpin besar Pas terbahagi arah. Ini adalah subplot drama. Memang secara luaran pembahagian arah itu tidak ditonjolkan, tetapi adalah satu perkara nyata selama ini, bahawa Pas memberatkan perjuangan Islam, bukan perjuangan Marhaenisme. Adalah mustahil secara kolektif dan menyeluruh Pas akan mengikut jalan Mohammad Sabu.

Mohammad Sabu sebenarnya berjaya mengikut jalan yang telah lama dipilihnya. Prof Mohammad Abu Bakar dalam bicara ilmu anjuran Sinar Harian baru-baru ini menyebutkan istilah Sabuisme, istilah yang menggambarkan Mohammad Sabu telah mencapai tahap ilmu sehingga dianggap pencipta aliran pemikiran. Tidaklah kita tahu dengan pasti, adakah Mohammad Abu Bakar bermaksud mengatakan Sabuisme ialah satu gejala, kerana memang terdapat gejala yang berakhirkan 'isme'. Tentulah tidak wajar jalan fikiran Mohammad Sabu yang amat biasa melayakkan beliau menerima penghormatan seperti Karl Marx memunculkan Marxisme, dan Sigmund Freud memunculkan Freudianisme.

Saya katakan, bahawa fikiran Mohammad Sabu – iaitu pihak yang menyerang balai polis ialah hero, dan pihak polis ialah polis British – adalah simple dan mudah. Semua orang yang lulus mata pelajaran Sejarah di tahap Tingkatan Satu telah tahu tentang itu, cuma tidak diucapkan begitu rupa kerana masing-masing tidak berkecenderungan demikian.

Apabila Nik Aziz secara tiba-tiba mengulangi hasrat untuk melaksanakan Hukum Hudud dan Hukum Islam, kita rakyat Malaysia tentulah tertanya-tanya. Karpal dan tokoh-tokoh DAP yang lain memperlihatkan rasa musykil, kerana baru saja Pas berjanji akan melaksanakan penubuhan Negara Berkebajikan. Mereka mungkin sedar bahawa Nik Aziz ketika itu bimbang kalau-kalau Mohammad Sabu terlalu terikut-ikut dengan cita-cita DAP. Dengan menekankan kewiraan penyerang Balai Polis Bukit Kepong, Mohammad Sabu melihat permasalahan tanah air sebagai permasalahan manusia dari sudut sekular semata-mata, dan tidak memberatkan agama. Dalam perkataan lain, Mohammad Sabu telah mengambil tempat DAP yang tidak mempunyai keberanian untuk berkata demikian. Jika DAP yang berkata-kata begitu, keriuhan adalah berlipat kali ganda. Mohammad Sabu berkorban untuk DAP, tanda persahabatan yang bertahap tinggi.

Dalam kalangan orang Melayu, kecenderungan Mohammad Sabu untuk memberikan tempat kepada perjuangan golongan kiri adalah sejalan dengan kecenderungan Hishamuddin Rais, pembicara sosialisme yang tegas (dan kerap juga sarkastik) itu. Kita percaya Nik Aziz tidak menyenangi arah itu, kerana beliau tahu: bagi Hishamuddin, yang betul dalam politik ialah perjuangan membela orang miskin agar bebas daripada penindasan golongan kaya burjuis. Lebih tegas lagi, bagi Hishamuddin, bukanlah perjuangan politik jika pembelaan kelas tertindas tidak diutamakan.

Perkaitan persoalan yang disebutkan di atas adalah bersifat tersirat. Kekecohan yang timbul secara tiba-tiba antara Nik Aziz dan Karpal pada akhir September 2011, tetapi berbaik-baik kembali pada awal Oktober 2011 tentulah melucukan, kerana itu ialah pengulangan peristiwa. Perubahan sikap pemimpin Pas dan tolak ansur yang berlebih-lebihan antara parti itu dengan DAP merupakan drama absurd. Absurditynya terbukti jika segi perasaan diberi tumpuan. Kemarahan yang berapi-api berubah menjadi kemesraan adik beradik, bagaikan kedua-duanya tidak pernah berselisih faham.

Segi absurdity yang lain ialah apabila pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong Nik Aziz dianggap pandangan peribadi. Jika pandangan seseorang pemimpin dianggap bersifat peribadi, semuanya akan menjadi ringkas dan tidak perlu diheboh-hebohkan. Maksud saya, jika kesemua percakapan Karpal dan Nik Aziz juga dianggap bersifat peribadi, maka keseluruhan konflik yang sedang dibincangkan ini tidak wujud.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved