Isnin, 3 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Mengambil iktibar politik Cina

Posted: 02 Oct 2011 05:00 PM PDT

Isu hudud bergema lagi, belum pun sempat isu-isu lain ditangani. Begini lelucon politik Malaysia. DAP sudah memberi amaran kepada Pas. MCA menggertak Umno untuk keluar Barisan Nasional jika Umno bersetuju atau memberi sokongan kepada Pas melaksanakan hudud. Terfikir pula, kuat sangatkah MCA? Tidakkah MCA (termasuk Gerakan) sedar, selama ini mereka hanya bergantung harap kepada undi Melayu untuk menang. Jika mereka bertanding di kawasan majoriti Cina, awal-awal lagi telah bungkus. Janganlah terlalu bongkak.

Kepada umat Islam, jika kita boleh menerima sistem atau ideologi lain seperti demokrasi, sosialis komunis, dan sebagainya, kenapa kita begitu elergi dengan sistem pemerintahan Islam? Lagipun, hudud adalah untuk orang Islam, tidak ada kena mengena dengan bukan Islam. Apatah lagi negeri Kelantan yang penduduknya lebih 90 peratus umat Islam. Saya tidak nampak hasrat kerajaan Kelantan perlu ditentang.

Biarkanlah kerajaan Kelantan melakukan percubaan ini. Jika berjaya, Alhamdulillah. Jika tidak, sama-sama kita bermuhasabah kenapa ia gagal?

Belajarlah dengan mengambil iktibar politik Cina. MCA dengan parti ultra kiasu tidak ada banyak bezanya. Satu bangsa dan satu bahasa, begitu licik dalam menguruskan krisis dan tahu bila mahu berhenti apabila keadaan memerlukan mereka bersatu.

Baru-baru ini Perdana Menteri umum untuk mengecualikan cukai kepada mereka yang menderma kepada Dana Kebajikan Pendidikan 'Community Chest' yang diwujudkan oleh ahli korporat Cina, bagi bantu pendidikan sekolah vernakular termasuk menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang. Saya yakin orang Cina mampu melakukannya. Cuma saya bimbang jika pendermaan tersebut dikecualikan cukai, pendapatan negara akan berkurang. Siapakah yang untung?

Ini belum termasuk dana-dana lain yang dikumpulkan. Untuk makluman, dana Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah vernakular rata-rata berjumlah lebih daripada satu juta setiap tahun kewangan berakhir. Apakah semua ini tidak cukup? Jika semua sektor korporat memberikan bantuan kepada tabung ini nanti, apakah nasib yang akan diterima oleh sekolah kebangsaan.

Sekadar berkongsi pengalaman sebagai Yang DiPertua PIBG selama lebih 10 tahun. Saya dapat merasai betapa sukar untuk mencari wang bagi membantu pembangunan sekolah-sekolah kerajaan. Jika ada sebarang kekurangan seperti kerosakan prasarana, makmal, kerusi meja dan berbagainya, amat sukar untuk mendapat bantuan daripada pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri. Alasan mudah, tidak ada bajet. Bajet sudah habis. Maka bertungkus lumus PIBG mencari dana. Saya tidak fikir perkara ini dihadapi oleh SJKC.

Kadangkala amat sedih sekali melihat kedudukan sekolah agama, begitu daif berbanding sekolah vernakular. Kita terpaksa mengharapkan derma daripada orang ramai. Janganlah hairan jika ada 'pengemis-pengemis' yang datang meminta dan mengutip derma di pintu masuk bank-bank untuk dana pendidikan sekolah agama.

Ini sifat bangsa saya, dalam pendidikan dan perniagaan, mereka begitu objektif. Sesiapa yang dapat menyumbangkan keuntungan dan setia dalam perniagaan, mereka akan diterima dan sanggup bekerjasama. Dalam politik, ada disiplin politik, maka dalam bidang perniagaan, pendidikan dan budaya, ada jua disiplin dan etikanya yang tersendiri. Justeru, disiplin politik tidak lagi relevan untuk mendapat pertimbangan yang tidak bias, prejudis dan emosional dalam bidang-bidang yang lain.

Sekadar mengambil iktibar supaya umat Pas dan Umno buka mata. Sejarah persengketaan antara Muawiyah dan Sayidina Ali r.a. Perbezaan pandangan dan ideologi antara mereka berdua menyebabkan berlakunya perang saudara. Peluang dan kelemahan yang berlaku ini telah diambil kesempatan oleh pihak ketiga iaitu kerajaan Rom. Wakil Rom yakni pihak luar ketika itu berjumpa dengan Muawiyah untuk menghulurkan bantuan bagi menghadapi tentera Sayidina Ali, namun Muawiyah dengan tegas telah menolak tawaran itu.

Ini membuktikan bahawa Muawiyah tahu adab-adab dalam berbeza pendapat. Umat Islam tidak boleh sama sekali bersekongkol dan bersubahat dengan musuh yang ada agenda tersembunyi untuk selesaikan masalah sesama Islam. Tidak seperti kita, musuh sudah di depan mata, sahabat sendiri masih lagi tidak dipercayai. Lebih malang lagi, politik turut terbawa di kalangan para pendakwah, ahli ekonomi, pakar sains dan teknologi.

Sepatutnya, biarlah orang politik bertikai, kita buat kerja. Ini tidak, kita bersentimen sama.

Ambillah iktibar ini dalam isu hudud. Walaupun nampaknya seakan menyerlahkan keretakan, tetapi kita harus melihat ia sebagai peluang untuk merapatkan jurang perbezaan di antara kita. Pas dan Umno harus bersatu dalam isu ini. Biarkan sahaja DAP, MCA dan Gerakan terus menggertak!

Kebebasan untuk transformasi politik

Posted: 02 Oct 2011 05:00 PM PDT

Ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 15 September lalu berani, bersejarah dan mercu tanda ke arah transformasi politik dan penghayatan demokrasi yang lebih progresif di negara ini. Ia selari dengan tuntutan semasa.

Terdapat tiga realiti baru masyarakat kini, iaitu penggunaan media baru bukan sekadar sebagai alat komunikasi, tetapi gelanggang beroperasi dan berkongsi; kemunculan kesedaran baru sosial dengan aktiviti-aktiviti yang tak konvensional; dan transformasi ketiga demokrasi yang memerlukan inovasi politik.

Antara hasil gandingan ketiga-ketiga realiti itu ialah kebebasan bentuk baru yang memungkinkan munculnya dua aktivisme baru yang penting.

Aktivisme baru yang pertama ialah dunia komputer alternatif, iaitu pelbagai aktiviti, termasuk penggodaman, yang berasaskan perkongsian etika dan komitmen terhadap akses kepada maklumat, sumber terbuka dan kawalan terhadap maklumat dan komunikasi peribadi sebagai hak dan iklim fundamental yang diperlukan bagi partisipasi politik dan sosial yang saksama.

Ia membezakan antara penggodam topi putih yang memburu dan mendedahkan kelemahan sistem-sistem software sebagai kaedah mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya, dengan penggodam topi hitam yang destruktif, yang merebakkan virus komputer, memecah-masuk ke dalam komputer untuk merosak dan mencuri data serta menyerang lawan perniagaan dan politik.

Para aktivisnya berhujah tentang teknologi komputer dengan cara bersama dan melaluinya. Mereka membina, menginovasi dan mengembangkannya, dan menggunakan software, jaringan dan artifak yang membolehkan mereka berhubung antara satu dengan yang lain.

Dalam dunia komputer alternatif, prasarana teknologi itu sendiri menjadi arena untuk bersuara, perubahan sosial dan partisipasi politik. Ia bersifat dwi-fungsi, iaitu sebagai alat dan kandungan sekali gus.

Sasarannya ialah sekatan, halangan kebebasan bersuara dan interaksi (termasuk di kalangan akademia dan intelektual), kekangan harga dan teknikal internet, kerahsiaan kerajaan dan perniagaan, intipan maklumat peribadi dan halangan undang-undang harta intelek.

Aktivisme baru yang kedua ialah kewartawanan partisipatori, iaitu tindakan rakyat (sama ada secara individu atau berkumpulan) memainkan peranan aktif dalam proses mengumpul, melapor, menganalisa dan menyebarkan berita dan maklumat. Matlamatnya ialah menyediakan maklumat yang bebas, dipercayai, tepat, meluas dan relevan, yang diperlukan oleh demokrasi.

Kewartawanan partisipatori bersifat dari bawah ke atas. Ia kurang atau tidak melibatkan penyuntingan atau aliran kerja kewartawanan yang formal. Sebaliknya, ia adalah hasil perbualan yang banyak, spontan dan dikongsi, yang bercambah dalam media baru.

Contohnya ialah kewartawanan rakyat dan akar umbi, berita bebas, blog dan indimedia. Para aktivisnya tidak menganggap etos kewartawanan profesional sebagai salah, atau ingin mencipta kewartawanan bentuk baru. Sebenarnya, mereka terpanggil ke dunia kewartawanan kerana menganggap wartawan profesional tidak menjalankan tugasnya dengan baik, terlalu memfokuskan kepada tajuk-tajuk yang salah atau berat sebelah, sehingga menyebabkan rakyat sukar membuat pertimbangan yang sewajarnya. Ia berpendirian bahawa kewartawanan harus mengeratkan interaksi dan partisipasi antara pembaca, wartawan, editor, malahan seluruh komuniti, dalam pengeluaran berita dan maklumat.

Dalam konteks ini, rakyat jadi bermaklumat bukan dengan cara menerima maklumat, tetapi melalui partisipasinya berkongsi maklumat.

Dunia komputer alternatif dan kewartawanan partisipatori memberi kebebasan untuk rakyat memilih dan membangunkan gelanggang berkomunikasi serta berita dan maklumat yang benar dan bermakna untuk berkongsi. Ia kebebasan baru yang strategik dalam menjayakan transformasi politik.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved