Ahad, 2 Oktober 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Facebookers - Tujuh kesilapan yang merugikan Pakatan Rakyat

Posted: 01 Oct 2011 05:00 PM PDT

Facebookers - Tujuh kesilapan yang merugikan Pakatan Rakyat

Terlalu ramai penyokong Pakatan Rakyat yang bersemangat menyokong PR dan memerangi BN; tetapi hanya membazir tenaga dan masa dalam FB dalam kerja yang nampaknya bersungguh benar tapi hakikatnya hanya 'merosakkan' sokongan terhadap PR.

Di samping terdapat segolongan besar lagi yang malas memanfaatkan peluang menyebarkan maklumat secara mudah yang terhidang dalam FB.

Saya ingin mengguna kesempatan ruangan ini untuk membetulkan golongan yang hanya bekerja keras (work hard) tetapi tidak bekerja secara baik (work smart) di FB.

Berikut adalah senarai KESILAPAN yang dilakukan oleh rakan FB penyokong PR:

1.Kesilapan terbesar jurukempen alam siber ialah tidak memokuskan tugas utamanya iaitu cuba mengubah minda sasaran. Ramai yang berminat menyindir, mengutuk, menghina, memperlekeh dan merendahkan pihak lawan.

Pihak lawan membalas balik dengan serangan yang lebih ganas, memaki hamun, mencarut, memberi gelaran buruk. Atau pihak lawan yang memulakan dan kita memberi reaksi serupa. Apa hasilnya? Kita adalah penyokong PR tegar manakala mereka adalah penyokong BN tegar. Tiada siapa akan berubah.

Yang akan terubah persepsi ialah rakan-rakan atas pagar yang melihat kedua belah pihak sama saja, 2x5, 5x2. Jadi, betulkan nawaitu serta tujuan kita: Hendak mempengaruhi orang ramai atau hendak melepas geram.

1.Jangan termakan provokasi lawan. Berhujah dengan lunak berasaskan dalil dan fakta. Hujah kita akan dinilai oleh golongan yang rasional. Biarkan pihak lawan melakukan serangan kotor kerana semakin celupar mereka 'berhujah' semakin hilang wibawa mereka. Kita yang untung.

2.Jangan guna gelaran buruk untuk lawan. Contoh: Najis Tun Razak, Wak Sembab (Muhyiddin Yasin), Hisham Aww, Khir Toyol. Ingat tugas anda ialah mempengaruhi golongan atas pagar dan golongan rasional. Pihak lawan sering menggunakan N.ajis, Pork Nick, Aljuburi, Peliwat Tegar, Anugay, Mat Sabun, Mat Shabu, DAPig, hamPAS.. Biarkan, kerana ia 'sangat membantu' kita.

3.Jangan memaki hamun, eg. Babi, anjing, bodoh, bengap, keldai, haramjadah, celaka. Jangan mengejek, eg. Wakakaka, perghh, huahhh. Jangan mencarut. Tiada sasaran yang akan terpengaruh dengan maki hamun dan ejekan, tetapi manusia terpengaruh dengan hujah dan fakta.

4.Jangan menyerang penyokong atau pengikut. Tahap kesetiaan penyokong mana-mana parti adalah berbeza. Penyokong yang lemah dan rasional mempunyai keupayaan untuk berubah tapi jika kita menyerang penyokong BN secara borong, yang lemah pun akan terasa kuat.

Jadi elakkan mengguna perkataan puak-puak tu, penganut UMNO, pengikut buta tuli UMNO, geng songkok tinggi dll. Yang mesti diserang ialah para pemimpin mereka di semua peringkat.

5.Bagi segolongan rakan FB dari kalangan penyokong PR, mereka hanya gemar menjadi pembaca, langsung tidak mahu berperanan sebagai penyebar maklumat. Di luar sana, kita sibuk menyalahkan BN kerana media yang berat sebelah tetapi di alam siber yang beratnya berbelah-belah kita tidak memanfaatkan peluang yang terhidang. Jadilah pencetus dan pengkomen, bukan hanya sekadar pembaca.

6.Masing-masing pemegang akaun FB mempunyai rangkaian rakannya tersendiri. Terlalu banyak bahan kempen yang sampai berupa nota, banner, kartun ataupun klip video. Lakukan 'share' (kongsi), hanya dengan satu sentuhan beribu rangkaian rakan kita akan memperolehnya. Lagi banyak maklumat yang sama disebarkan, lagi teguh kepercayaan orang terhadapnya. Sangat mudah untuk dilakukan mengapa tidak buat?

Hari ini ceramah tidak lagi mendapat sambutan seperti satu atau dua dekad lalu. Maklumat yang mudah diperolehi dari media baru mungkin menjadi sebab. Tenaga dan masa yang diperlu untuk mengatur satu program ceramah sangat besar. Tapi Tuan Guru Nik Aziz boleh 'berceramah' kepada lebih 400 ribu rakan mayanya hanya dengan sentuhan jari.

Kelebihan FB ialah rangkaian rakan-rakannya adalah golongan menengah dan terpelajar dalam masyarakat. Cakap mereka berwibawa dan didengari. Pengaruhi mereka, lalu biarkan mereka mempengaruhi masyarakat.

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Dipetik daripada blog Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Orang UMNO perlu balik ke perjuangan asal untuk menang pilihan raya: Tun M

Posted: 01 Oct 2011 05:00 PM PDT

Orang UMNO perlu balik ke perjuangan asal untuk menang pilihan raya: Tun M

JITRA - Ahli UMNO perlu balik pada perjuangan asal parti demi agama, bangsa dan tanah air dengan mengetepikan kepentingan diri untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata hanya dengan cara itu penyakit yang menjadi 'duri dalam daging' iaitu mencantas atau menikam belakang dalam diri orang-orang UMNO akan terhapus.

"Dulu orang UMNO berkorban apa saja untuk parti, sanggup gadai barang kemas dan sebagainya untuk bantu parti tetapi sekarang mereka pegang jawatan sebab hendak dapat kontrak, jadi calon atau sebab tertentu.

"Jika diadakan PRU waktu ini, UMNO boleh kalah besar kerana sokongan dan semangat mereka telah pudar," katanya selepas menyampaikan 'Bicara Negarawan' pada perhimpunan perdana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) siri kedua peringkat negeri di Dewan Wawasan di sini, hari ini.

Hampir 2,000 pengerusi dan setiausaha JKKKP dari seluruh negeri hadir mendengar bicara beliau yang berlangsung selama sejam. Hadir sama pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, timbalannya Datuk Mukhriz Mahathir serta jawatankuasa Perhubungan UMNO Kedah.

Dr Mahathir berkata Barisan Nasional (BN) bagaimanapun boleh menang besar pada PRU ke-13 sekiranya penyakit dalam diri orang UMNO ini terhapus.

Beliau yang ditanya adakah sesuai PRU diadakan sekarang, menjawab: "Pada pendapat saya sekarang belum sesuai. Banyak lagi yang perlu dilakukan lagipun UMNO belum cukup kuat."

"Dalam UMNO masih ada puak. Saya fikir perpecahan masih kritikal. Kalau ada kesedaran dan perasaan syukur dan terus bersatu, BN boleh menang. Orang UMNO seharusnya buang sifat tidak puas hati. Walaupun tidak dapat apa yang dihajati mereka tetap menikmatinya dalam bentuk lain," katanya.

Mengenai parti PAS yang mengulangi hendak melaksanakan hukum hudud, beliau berkata: "Mereka buat begitu kerana rasa nak kalah."

"Negara ini mengandungi penduduk berbilang agama dan bangsa. Kalau 100 peratus Islam tiada masalah. Hudud yang hendak dilaksanakan terhadap orang Islam sahaja seperti kata (Datuk) Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas), itu betul... tidak adil. Islam menuntut keadilan dalam semua perkara.

"Dalam satu kes melibatkan seorang Islam dan seorang bukan Islam, orang Islam dihukum potong tangan dan bukan Islam dijel....adilkah itu. Bagi Nik Aziz adillah, bagi saya tidak adil.

"Kalau nak potong tangan, sama-sama kena potong tangan, kalau jel, sama-sama masuk jel. Jenayah sama hukuman pun patut sama.

"Kerajaan bukan tidak setuju dengan hukum hudud tetapi keadaan dalam negara kita tidak sesuai. Berapa banyak negara Islam yang benar-benar melaksanakan hukum hudud," soal Dr Mahathir.

Beliau yang ditanya seorang wartawan akhbar Cina mengenai sama ada kerajaan akan membenarkan Chin Peng yang dilaporkan sakit untuk balik ke Malaysia, Dr Mahathir berkata rakyat masih marah pada komunis.

"Dia pilih untuk mengkhianati negara.... kita kena ambil kira perasaan orang kerana ramai jadi mangsa komunis, kehilangan keluarga, putus kaki. Ramai orang tidak maafkan dia. Kita kena fikir perasaan mereka bukan Chin Peng," katanya.

Dr Mahathir menegaskan Chin Peng berjuang kerana hendak mendirikan kerajaan komunis bukan menuntut kemerdekaan, berlainan dengan perjuangan Datuk Onn Jaafar, Tun Sambanthan dan beberapa lagi tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan. - Bernama

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved