Sabtu, 24 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Jakim seragam logo Halal

Posted: 23 Sep 2011 05:00 PM PDT

Jakim seragam logo Halal

NILAI - Hanya logo Halal Malaysia dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja boleh digunakan pada produk makanan, farmaseutikal dan barangan kulit di negara ini, mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata, langkah itu bagi memudahkan pihak berkuasa memantau semua produk digunakan umat Islam.

"Logo baru itu dapat mengikis keraguan dalam kalangan umat Islam di negara ini berhubung pelbagai logo halal digunakan, termasuk dikeluarkan pihak swasta.

"Selain itu, kita dapat memastikan tiada kegiatan penyalahgunaan logo halal oleh pihak tertentu," katanya selepas merasmikan Seminar Wahyu Asas Tamadun di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di sini, kelmarin.

Hadir sama, Naib Canselor Usim, Profesor Datuk Dr Muhamad Muda.

Menurut Othman, penggunaan logo Halal Malaysia itu adalah mengikuti Akta Perihal Dagangan 2011 dan mana-mana pertubuhan yang mengeluarkan sijil pengesahan halal sebelum ini tidak akan dibenarkan berbuat demikian.

"Tindakan boleh dikenakan sekiranya mereka melanggar akta terbabit selepas ia dikuatkuasakan nanti," katanya.

Dalam perkembangan sama, kata beliau, Jakim mengiktiraf sijil dan logo halal dikeluarkan 52 pertubuhan dari 23 negara yang memasarkan produk ke negara ini.

"Penggunaan logo halal berkenaan di negara ini dikekalkan selepas Jakim mengesahkan semua maklumat termasuk bahan digunakan dalam produk," katanya.

DAP tetap dengan pendirian

Posted: 23 Sep 2011 05:00 PM PDT

DAP tetap dengan pendirian

GEORGETOWN - DAP terus berkeras akan menentang sesiapa sahaja yang mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini termasuk sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, Pas.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, parti itu juga membantah cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

"Cadangan Nik Abdul Aziz itu boleh menjejaskan kesepakatan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Karpal secara sinis berkata,bukan mudah bagi Pas untuk melaksanakan hudud di Kelantan sekalipun jika tidak ditentang oleh DAP

"Pendirian Pas bercanggah dengan dasar pakatan pembangkang dan bercanggah dengan apa yang sudah ditetapkan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara.

"Apa juga undang-undang berhubung kesalahan jenayah adalah termasuk dalam bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau juga hairan dengan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara peribadi menyokong hasrat Nik Aziz menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.

Anwar dalam satu kenyataan kelmarin menyokong Menteri Besar Kelantan itu yang sudah lebih sedekad berhasrat mahu melaksanakan hudud sambil berkata, undang-undang itu turut melindungi hak bukan Islam.

Karpal berkata, cadangan Nik Aziz mewujudkan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud sebagai membelakangi keputusan Muktamar Tahunan Pas ke-57, pada Jun lalu yang menukar dasar penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu tidak sekali-kali akan bersetuju dengan cadangan Pas melaksanakan hudud.

"Pendirian kita konsisten dalam perkara ini. Bagaimanapun DAP tetap boleh bekerjasama dengan Pas dalam hal-hal yang lain, yang kita sudah persetujui bersama sebelum ini, tidak termasuk hudud," katanya.

Menurut Guan Eng, manifesto PR yang sudah dipersetujui ketiga-tiga parti tetap akan menjadi komitmen bersama.

"Perkara itu sudah dinyatakan dengan jelas dalam Buku Jingga. Hudud tidak termasuk dalam persetujuan bersama itu. Oleh itu, ia hanya pandangan peribadi Nik Aziz ataupun parti Pas saja," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam laman sosial :Twitter :berkata, DAP konsisten dengan pendirian menolak penubuhan negara Islam serta hukum hudud yang dicadangkan PAS dan menganggap ia tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

Kit Siang berkata, hasrat Pas menubuhkan negara Islam dan hukum hudud bertentangan dengan dasar pakatan itu sebelum ini dan sebarang perubahan perlu diputuskan ketiga-tiga parti.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved