Jumaat, 30 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Hebat sungguh godaan si dia

Posted: 29 Sep 2011 05:00 PM PDT

Saya sangat teruja tatkala membaca emel seorang gadis jelita, seksi dari luar negara yang katanya: "Saya teringin sekali mengenali anda lebih dekat setelah melihat profil anda di internet."

Ketika itu juga, saya terlupa akan diri saya yang berkulit sawo gelap, muka dipenuhi kawah gunung berapi ala-ala Tangkuban Perahu, dan juga perut yang boleh buat orang terkeliru dengan tembikai susu ini. Saya sebaliknya dilambung khayalan tiba-tiba jadi sekacak Aaron Aziz.

Akan tetapi, apabila melihat gadis berambut perang itu begitu beria-ia mahu mengenali saya, saya rasa Aaron Aziz juga bukan bandingan tetapi yang selayaknya adalah Brad Pitt. Untuk seketika, saya terlupa ianya adalah brake pad bukan Brad Pitt.

Untuk beberapa malam seterusnya, saya sukar lena malam kerana sibuk memikir, mengapalah dalam usia 40 ini, ada pula gadis yang tiba-tiba hendak merapati saya sedangkan pada usia remaja dahulu, saya sering ditolak mentah-mentah jika suarakan hasrat itu kepada sesiapa.

Hendak kata saya kini aktif berulang alik ke jim hingga perut berketak, pun tidak juga. Malah jika saya berada di gerai tembikai susu, mungkin ada yang tersalah pegang, jentik-jentik dan mahu angkat ke penimbang kerana tersalah sangka akan aset diri yang saya paling hargai ini.

Namun, itulah anehnya dunia! Lebih aneh lagi, emel seperti itu bukan sekali saya terima. Dahulunya saya rasa begitu teruja hingga terfikir gadis yang pertama hubungi saya, mungkin seperti saya juga, tidak dapat lena malam kerana begitu teruja hendak bertemu saya seperti yang dikatanya "saya teringin sekali hendak ke Malaysia yang khabarnya begitu menarik dan saya harap saudara sudi menemani saya sepanjang kunjungan itu", namun apabila emel yang kemudian juga skripnya sama, saya mulai curiga.

Di sebalik wajah si jelita yang seksi, berambut perang dengan mata yang kebiru-biruan itu, saya mula ternampak wajah ala Mr T dalam siri The A-Team. Tidak syak lagi, ini hanya strategi untuk memperdaya lelaki seperti saya yang mereka tahu mudah cair dengan godaan seperti itu. Apa lagi dalam usia 40-an dan yang menggoda pula hampir setengah 'tiang' lebih muda.

Kalau lelaki yang 40 ini pun nyaris cair, seharusnya kita rasa bimbang apabila hampir setiap hari, ada sahaja berita anak gadis kita diperdaya warga asing. Ada yang lari tinggalkan keluarga untuk ikut teman lelaki ke Lombok, Nepal, Bangladesh, ada yang jadi 'keldai dadah' dan macam-macam lagi.

Tidak kurang juga negara kita dijadikan tempat pertemuan untuk mangsa yang datang dari negara lain bertemu buah hatinya yang dari negara lain juga setelah wang beratus ribu dipindahkan secara online ke akaun bank lelaki itu. Lihatlah bagaimana teknologi disalah guna untuk merompak.

Yang hairannya, meskipun sudah beratus laporan disiarkan, masih ramai juga yang jadi mangsa. Semakin dihebahkan, semakin ramai yang terkena.

Hendak dikata maklumat tidak sampai, kebanyakan mangsa bukan tidak berpelajaran. Maklumlah hendak berkomunikasi dengan orang luar, tentunya perlu berbahasa Inggeris dan kebanyakan yang berbahasa Inggeris di negara kita, rata-ratanya berpelajaran dan berjawatan tinggi belaka. Manakala berita hal penipuan ini terdedah, yang lesap juga bukan sedikit membuktikan mangsa sememangnya berduit.

Kenyataan media dari Bukit Aman yang disiarkan semalam menyebut, dalam lapan bulan pertama tahun ini, sejumlah RM24 juta telah dikaut daripada 774 wanita tempatan yang diperdaya cinta palsu warga asing.

Pemangsa biasanya mengirimkan foto diri mereka yang kononnya berkulit putih, kacak kepada mangsa disulam dengan madah cinta yang mudah mencairkan hati wanita seperti ketulan ais disiram air panas.

Kerana itu, dalam keadaan yang kita sendiri fikir tidak munasabah, ramai yang sudah diperdaya dan akan terus diperdaya. Sama ada lelaki juga pernah jadi mangsa taktik licik seperti ini, tidaklah diketahui kerana mungkin juga ada namun mereka sengaja tidak menghebabkannya.

Seperti yang sudah dicerita, saya sendiri nyaris jadi mangsa. Namun kerana saya tidak membalas emel itu - sekadar mengenang dan tersenyum sendiri hingga sukar lena malam - ianya tidak sampai menimbulkan masalah kepada diri saya.

Lagi pula, jika hubungan itu hingga ke tahap berorientasi wang, saya tentu akan segera menarik diri. Saya sememangnya tidak punya apa-apa untuk 'dilaburkan' kerana apa yang saya ada, hanya cinta yang penuh untuk isteri saya sahaja.

Contohi semangat juang Salah al-Din

Posted: 29 Sep 2011 05:00 PM PDT

Perjuangan Palestin selama setengah abad untuk mendapat kemerdekaan mencapai tahap dramatik minggu lalu apabila Presiden Mahmoud Abbas mengangkat dokumen permohonan menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil berkata: "Masa kami sudah tiba." Beliau mendapat tepukan gemuruh, dan ramai diplomat berpendapat ia kemenangan moral buat Palestin.

Ini mengingatkan kita kepada kemunculan kali pertama pemimpin legenda Yasser Arafat di PBB 37 tahun lalu sambil membawa dahan pokok zaitun sebagai simbol keamanan, bukannya raifel atau pedang. Selama di bawah Yasser dan Mahmoud, rakyat Palestin terpaksa berkorban dan berjuang, bukan sahaja terhadap penjajahan Israel, malah menentang prejudis dan sekatan diplomatik bagi mendapat pengiktirafan dunia untuk wujud sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Perjalanan untuk mencapai status anggota penuh PBB dan negara merdeka tetap sukar. Walaupun Palestin boleh mendapat sokongan majoriti negara Islam dan anggota PBB lain, namun Amerika Syarikat (AS) telah menunjukkan sikap berat sebelah yang jelas pro-Israel. Malah, Presiden Barack Obama umum akan menggunakan kuasa pembatal jika majoriti anggota Majlis Keamanan menyokong permohonan Palestin.

Tindakan AS tentu akan jejaskan kredibilitinya dalam kalangan negara-negara Islam sebagai pro-demokrasi dan negara pendamai dalam krisis Palestin-Israel. Padahal, lain-lain kuasa besar seperti China, Rusia, India dan Brazil menyokong hasrat Palestin. Malah, ucapan Obama di PBB minggu lalu dikecam pemimpin Palestin Hanan Ashrawi dan pengkaji politik/penulis veteran Robert Fisk sebagai 'teruk' dan 'buruk'.

Sebagai negara Islam dan pencinta keamanan, Malaysia dan seluruh rakyatnya turut menyokong perjuangan dan matlamat Palestin ke arah tercapainya perpaduan dan keamanan yang berkekalan di wilayah itu. Justeru, tindakan zalim dan penindasan rejim Israel seperti membedil kediaman penduduk dan membangunkan tempat kediaman haram mesti terus dikutuk.

Rakyat Malaysia tidak percaya kepada penegasan AS-Israel bahawa perdamaian kekal hanya boleh dicapai melalui rundingan dua hala dengan Palestin. Ia hanya helah untuk melambatkan kemerdekaan Palestin sementara memberi ruang lebih banyak kepada Israel untuk membangunkan penempatan haram di bumi Palestin.

Kita mengalu-alukan hasil soal selidik terbaru Pusat Kajian Dasar dan Penyelidikan Palestin membabitkan 1,200 responden Palestin yang mendapati 80 peratus rakyatnya menyokong kemerdekaan negara mereka, meliputi wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur. Kajian itu juga mendapati populariti Mahmoud meningkat kepada 59 peratus sejak tiga bulan lalu.

Kehebatan Yasser, kebijaksanaan Mahmoud dan perjuangan rakyat Palestin adalah kesinambungan keberanian dan keperwiraan Salah al-Din (1137-1193), yang pernah memerintah Mesir, Syria, Yaman, sebahagian Mesopotamia dan Hijaz (sebahagian Tanah Besar Arab termasuk kota Mekah dan Madinah) semasa Perang Salib ke-3. Beliau adalah pahlawan tentera Islam menentang kemaraan tentera Eropah. Semasa raja England ketika itu, Richard I atau dipanggil 'The Lionheart' menuntut Salah al-Din menyerah kalah dan serahkan semua tanah jajahan pemerintahannya kepada Kristian, beliau menjawab: "Baitulmaqdis (Jerusalem) adalah hak kami sebagaimana ia adalah hak kamu; malah ia lebih suci kepada kami daripada kamu kerana di sinilah tempat Nabi kami berjalan waktu malam dan kota di mana orang-orang kami berkumpul. Jangan ingat kami akan menyerahkan tempat ini atau berkompromi dengan kamu dalam hal ini. Tanah ini adalah milik kami sejak awal lagi, manakala kamu adalah pendatang dan (dapat) mengambilnya hanya kerana kelemahan orang Islam ketika itu. Allah tidak membenarkan seketul batu pun ditambah untuk pembinaan semula tempat ini selagi perang ini berterusan."

Salah al-Din tidak mengaku kalah walaupun tentera Eropah lebih kuat dan besar. Akhirnya, pihak Kristian terpaksa berdamai, lalu mereka dibenarkan ke Baitulmaqdis selama tiga tahun berdasarkan syarat-syarat di bawah Perjanjian Ramia. Eloklah rakyat Palestin dan seluruh umat Islam mengambil iktibar daripada kejayaan Salah al-Din ini.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved