Isnin, 19 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Enam warga asing disyaki cuba rompak kapal ditahan

Posted: 18 Sep 2011 05:00 PM PDT

Enam warga asing disyaki cuba rompak kapal ditahan

JOHOR BAHARU - Enam warga asing berumur antara 25 hingga 45 tahun ditahan ketika cuba merompak kapal-kapal dagang di kedudukan 2.4 batu nautika Barat Tanjung Piai Johor awal pagi hari ini.

Mereka yang menaiki sebuah bot kayu berukuran lapan meter panjang dan menggunakan enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda dikesan dalam keadaan mencurigakan, cuba merapati tiga buah kapal yang berlabuh di perairan tersebut.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai bot mencurigakan itu ketika ia cuba merapati kapal MV Kandariah dan MV Al-Agaila pada 12.30 tengah malam.

"Bot peronda kita bergegas ke lokasi dan apabila sampai pada 12.40 pagi mendapati bot kayu itu cuba merapati sebuah lagi kapal iaitu MV Sky Jupiter, dipercayai untuk merompak," katanya.

Bercakap kepada pemberita di jeti Jabatan Laut di sini hari ini beliau berkata bot kayu itu terus meluncur laju melarikan diri apabila menyedari kehadiran bot peronda APMM.

Mereka berjaya ditahan selepas dikejar selama 10 minit dan dilepaskan tembakan amaran oleh peronda APMM.

Dalam siasatan awal, APMM mendapati kesemua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menemui pisau pemotong daging, tukul, kapak, spanar, pemutar skru, tali bersaiz satu inci dan buluh daripada mereka.

Zulkifli tidak menolak kemungkinan suspek turut menggunakan senjata api, namun mungkin telah dicampak ke dalam laut ketika mereka melarikan diri.

Modus operandi mereka ialah merapati dan menaiki kapal-kapal dagang yang berlabuh lalu merompak barangan kepunyaan anak-anak kapal.

Ini adalah kejayaan kedua APMM tahun ini menangkap perompak di perairan tersebut di mana tujuh perompak ditahan pada Mac lalu.

Zulkifli mengesahkan perairan Tanjung Piai dan Pengerang di Kota Tinggi itu adalah hotspot kejadian rompakan di laut.- Bernama

Penswastaan pengurusan sisa pepejal menjamin mutu perkhidmatan dan pelaburan

Posted: 18 Sep 2011 05:00 PM PDT

Penswastaan pengurusan sisa pepejal menjamin mutu perkhidmatan dan pelaburan

PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal pasti meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negara ini ke tahap lebih cekap dan berkesan serta mencapai piawaian peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan itu membolehkan syarikat konsesi yang dilantik berani melabur secara besar-besaran bagi mendapatkan teknologi terkini, mesin dan kelengkapan moden serta tenaga kerja yang mahir, sekaligus menyediakan perkhidmatan yang efisien.

"Melalui tempoh perjanjian selama 22 tahun ini, (sebagai contoh) mereka boleh mengambil langkah menambah bilangan jentera "compactor", yang digunakan, tenaga kerja yang terlatih, di samping menyediakan tong-tong sampah yang cukup.

Dengan itu kita harapkan syarikat konsesi menjadi lebih efisien," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Konsesi dan Perjanjian Tiga Pihak antara Kerajaan Persekutuan dengan tiga syarikat konsesi sempena penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di sini hari ini.

Muhyiddin berkata peralihan tanggung jawab itu belum pernah berlaku di mana-mana negara.

Tiga syarikat konsesi itu ialah Alam Flora Sdn Bhd yang menguruskan zon tengah dan timur, yang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan, SWM Environment Sdn Bhd bagi zon selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta Environment Idaman Sdn Bhd bagi menguruskan zon utara Kedah dan Perlis Muhyiddin yakin tiga negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Perak akan turut menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tidak lama lagi.

Katanya, perjanjian baharu itu telah menamatkan episod suka duka syarikat konsesi berkenaan dalam mengharungi tempoh interim selama 14 tahun sebelum ini.

Sebelum ini, menurutnya, syarikat konsesi terbabit teragak-agak untuk melabur berjuta-juta ringgit untuk mengembangkan perkhidmatannya kerana tidak ada sebarang jaminan kukuh dari kerajaan.

"Perubahan ini dibuat mengambil kira pelbagai aspek yang menyeluruh, meliputi kerangka dasar, institusi, perundangan dan juga kepentingan rakyat.

Kerjaan juga turut mengambil kira kemampuan kewangan yang terhad bagi kebanyakan PBT, untuk menguruskan sisa pepejal secara lebih berkesan," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal adalah komitmen kerajaan Malaysia secara sukarela untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hujau, berdasarkan kepada "emissions intensity of GDP" sehingga 40 peratus menjelang 2020.

Dalam Rancangan Malaysia ke-sembilan (RMK9), katanya kerajaan telah membelanjakan RM958.7juta bagi menguruskan sisa pepejal, namun bagi 2010 sahaja, kerajaan terpaksa membelanjakan RM303 juta, iaitu hampir 1/3 dari jumlah keseluruhan bagi RMK9.

Katanya kos pengurusan sisa pepejal terus membebankan kerajaan memandangkan kuantiti sisa pepejal yang dihasilkan rakyat negara ini terus meningkat, iaitu 19,000 tan sehari bagi 2005 meningkat kepada 27,000 tan sehari sekarang.

Beliau berkata keadaan itu menjadi lebih serius memandangkan kebanyakan tapak pelupusan sisa pepejal di negara ini bukan tapak pelupusan sanitari.

"Daripada 166 tapak pelupusan yang sedang beroperasi sekarang, hanya lapan tapak sahaja yang merupakan tapak pelupusan sanitari. Dengan pengambilalihan tanggung jawab ini, kerajaan persekutuan berharap ia bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, malah dapat memberi ruang meningkatkan keupayaan bagi menerokai kaedah rawatan dan pelupusan berteknologi canggih, mesra alam dan berkesan kos," katanya.

Selain itu, beliau juga menyeru semua pihak supaya terus menggandakan pelbagai aktiviti untuk menjayakan 3R iaitu reduce (kurangkan), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula). - Bernama

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved