Rabu, 28 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Maaf! Belum tergerak nak naik bas

Posted: 27 Sep 2011 05:00 PM PDT

Ayah tidak pernah milik kereta seumur hidup. Sebahagian besar hidup beliau, naik basikal, ulang alik sejauh 15 kilometer antara rumah di kampung dan pejabat di bandar. Hanya apabila masuk hampir separuh abad, pada 1971, beliau mula menunggang motosikal - Honda 90 baru - berharga RM1,070 sahaja masa itu.

Berdasarkan keadaan hidup, hubungan saya dengan bas, basikal dan motosikal sangat akrab.

Masa bayi saya dibawa ibu dan ayah naik bas. Masa kanak-kanak dan ketika remaja, kalau sekadar 10 kilometer (pergi balik), tiada masalah; jalan kaki sahaja.

Jika dapat izin pergi ke rumah saudara di tanah besar girangnya hati tidak terkira kerana dapat naik bas, bahkan rasa macam dapat keluar makan angin di luar negeri.

Apabila remaja dan sudah ada basikal sendiri (dibeli ayah dengan harga RM30 kerana lulus peperiksaan akhir tingkatan dua) saya kayuh merata-rata.

Antara tahun 50an dan awal 60an, bas dari majlis bandaran; digerakkan mengguna palang kabel sepanjang jalan di sekitar bandar.

Hujung minggu, apa lagi musim cuti, bas sendat dengan penumpang. Kami pergi 'waterfall', iaitu Taman Bunga dekat Tanjung Tokong, yang ada air terjun, pokok bunga dan monyet.

Sebagai anak remaja, saya secara sukarela mengambil tugas melompat masuk ke dalam bas sebaik sahaja ia sampai di tempat perhentian. Ibu menghulur periuk nasi, bekas berisi gulai dan minuman dan adik yang berumur empat tahun menerusi tingkap.

Tapi kena berjaga-jaga sebab jika tumpah, saya kena marah, kalau pun tidak diketuk. Pertama kali saya naik bas ialah keliling Pulau Pinang. Perlu bayar RM1 sahaja. Makanan dan minuman bawa sendiri.

Anda percaya di Pulau Pinang pada era 60an sudah ada bas dua tingkat warna merah macam yang terdapat di London? Tapi tetap digerakkan guna palang kabel.

Kebaikan mengguna palang yang disangkut pada kabel ialah bas tidak bergerak laju dan kemalangan jarang berlaku,

Tempat duduknya keras, dilapik sama ada dengan getah nipis atau sabut. Yang koyak sama banyak dengan yang elok.

Remaja diajar menghormati penumpang lain; yang tua, wanita, kanak-kanak, apatah lagi orang kurang upaya.

Kalau bas boleh tahan, tapi naik kereta api? Pernah saya dan seorang dua kawan berdiri dan duduk di tangga koc selama lebih lapan jam dari awal perjalanan sampai ke destinasi. Sebenarnya, teringat hendak menulis mengenai memori lama ini setelah melihat gambar Perdana Menteri dan isteri mengetepikan protokol, menaiki bas di Ipoh tiga hari lalu untuk mengenali dan bermesra dengan rakyat; kemudian Datuk Seri Najib Razak mengetuai kira-kira 5,000 pelajar dan orang awam mengayuh basikal sejauh 7 kilometer sempena Program Kayuhan Amal 1Malaysia Untuk Pelajaran di Straits Quay, Tanjung Tokong, Pulau Pinang, Ahad lalu.

Atas pengakuan beliau sendiri, Najib berkata kali terakhir beliau menunggang basikal barangkali 50 tahun lalu.

Beliau kerap ke kawasan berdekatan Hospital Tangling untuk beli nasi lemak paling sedap.

Untuk anak kampung macam saya, kereta, motosikal dan basikal terus menjadi perkara biasa.

Tetapi untuk naik bas, minta maaf! Saya tidak mahu lagi. Biarlah orang kata murah dan selamat. Saya mengalaminya. Ada pemandu yang pecut bas macam hantu raya. Jika malam, tidak guna cakap. Masalahnya anda tidak boleh tegur.

Yang hairan, ada yang melayan kita seolah-olah kita naik bas syarikat mereka percuma. Dia arah kita naik cepat, dia berhenti di kawasan simpan bas milik syarikat, tukar tayar, isi minyak ikut suka. Kalau ditanya bila agaknya sampai, anda hanya akan dapat jelingan masam, seolah-olah dia berkata: "Nak tanya pasal apa? Bila sampai, turunlah!"

Tetapi bukan semua; pemandu yang baik pun ramai. Apa pun saya selesa pandu kereta sendiri. Kalau tidak kerana bayaran tol yang makin meningkat, balik kampung dengan kereta lebih menjimatkan, lebih cepat dan selesa.

Ikut suka hendak pakai sarung dengan singlet leher bulat, berhenti rehat, solat, makan di mana sahaja dan tuju ke mana suka.

Jika musim raya, kena pandai pilih masa; kalau tidak anda sangkut dalam kesesakan berjam-jam lamanya.

Kesesakan menjadi satu lagi masalah besar. Sudah berapa kali kita dengar menteri dan orang besar nasihat kita naik kereta secara pool (sebuah kereta dinaiki empat atau lima orang) tetapi anda boleh sekadar dengar cerita sajalah. Yang beri nasihat boleh amalkan naik kereta ramai-ramai? Tekaan anda serupa dengan jangkaan saya.

Cuba berdiri di tepi jalan; anda terpaksa setuju bahawa hampir semua kereta yang lalu depan anda mempunyai pemandu sahaja, atau paling ramai, seorang penumpang, kecuali ketika orang balik kampung di musim raya.

Dengan bilangan kenderaan semakin bertambah hari demi hari di jalan raya dan lebuh raya, anda agak bila kesesakan di jalan raya dan masalah kekurangan kawasan parkir akan dapat dikurangkan? Buatlah jejambat bertingkat-tingkat. Fikirlah sendiri apa akan jadi lima tahun dari sekarang!.

Indahnya bila mencari makna

Posted: 27 Sep 2011 05:00 PM PDT

Saya baru sahaja duduk untuk makan tengahari di sebuah restoran apabila lagu Gadis Melayu nyanyian Jamal Abdillah berkumandang di kaca televisyen. Lantas saya memandang Sazli yang sedang menyuap nasi. Walaupun tadi, dia kata dia lapar dan kerana itu saya beri dia peluang menceduk nasi dan makan dahulu, namun kini saya nampak nasi yang disuapnya bagai tersekat di halkum.

"Apa khabar dengan Ayzura?" tanya saya. Sazli hanya menggeleng tanpa memandang wajah saya. Kening saya terangkat kerana sedikit hairan. Sebenarnya lagu Gadis Melayu adalah lagu kesukaan Sazli. Apabila dia berkenalan dengan Ayzura, 'seorang gadis Melayu terakhir' kerana keayuan dan kelembutannya, Sazli semakin kerap menyanyikan lagu itu terutama sekali apabila pulang berdating.

Apabila kami tamat pengajian, saya tahu Sazli dan Ayzura sedang hangat bercinta. Saya gerenti Sazli akan mengahwini 'gadis Melayunya' itu. Dan, bila bertemu Sazli tengahari ini setelah 10 tahun berpisah, soalan saya mengenai Ayzura bila terdengar lagu di TV itu tentulah bertanyakan gadis Melayunya bernama Ayzura yang kini isterinya. Tetapi… "Gadis Melayu aku tu dah kahwin dengan mat salih!" kata Sazli perlahan sebelum meneguk sirap. Nyata sekali lagu Gadis Melayu sudah menjadi kenangan yang mengusik jiwa Sazli. Jika sebelum ini lagu itu menjadi siulan Sazli kerana kerancakan temponya, kemudian menjadi nyanyian kerana beliau telah menemui gadis Melayunya, kini irama lagu itu umpama duri yang merobek kembali luka di hatinya. Betapa lagu Gadis Melayu itu telah memberi tiga makna kepada Sazli.

Dalam melihat makna kepada sesuatu peristiwa itu, kita juga mempunyai makna yang berbeza bila ia dialami pada waktu yang berlainan. Sambal belacan adalah sejenis makanan yang tidak disukai seseorang sewaktu kecil kerana pedasnya. Apabila meningkat dewasa ia adalah kesukaan pula kerana membuka selera. Kini, sambal belacan menjadi makanan pantang kerana seseorang itu sudah tidak boleh memakannya kerana mengalami alahan resdung.

Makna bagi sesuatu perkara itu boleh juga berbeza daripada seorang kepada seorang yang lain. Umpamanya, hujan itu bermakna bagi petani kerana ia akan menyuburkan tanamannya. Hujan bagi kanak-kanak adalah waktu yang seronok untuk bermain. Hujan bagi kebanyakan daripada kita yang bekerja pula adalah penghalang pergerakan seharian kita.

Soalnya, mengapa kita perlu mencari makna terhadap apa yang kita lalui? Hidup kita yang terlalu tersusun pada hari ini menjadikan kita umpama robot. Lebih tiga suku perkara yang kita lakukan setiap hari adalah perkara yang sama dan berulang. Sejak bangun tidur, bersiap untuk bekerja, bersarapan, bergerak ke tempat kerja, bekerja, makan tengahari, bekerja dan pulang ke rumah adalah pola harian yang kita lalui. Waktu yang disukat ini menjadi rutin. Rutin pula membolehkan kita melakukan kebanyakan perkara secara automatik menurut pengalaman hari-hari sebelumnya. Ia akhirnya menumpulkan minat terhadap rutin yang dilalui dan akhirnya kehidupan kita menjadi hambar.

Salah satu cara untuk menghidupkan minat terhadap apa yang dilakukan ialah dengan mencari makna baru terhadap apa yang dilakukan. Contohnya, sering kali bila ada trafik jem bila kita nak ke pejabat, fikiran kita akan membuat tafsiran yang biasa berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui. Pertama, kesesakan itu berpunca kerana ada kemalangan, kenderaan rosak atau jalan dibaiki.

Bagaimanapun, tidakkah kesesakan lalu lintas itu membawa makna, alangkah bersyukur dan bernasib baiknya kita kerana kalau kita cepat, mungkin kitalah yang berdepan dan menjadi mangsa kemalangan itu. Ataupun, bagus juga kerana tuan punya kenderaan yang rosak itu mengalaminya di tengah-tengah jalan yang sibuk. Kasihannya kalau kenderaannya rosak di jalan yang sunyi kerana tiada orang yang tahu. Atau, baguslah jalan yang dibaiki akan melancarkan lalu lintas pada esok hari.

Makna terhadap sesuatu yang dialami itu, meskipun berulang-ulang, perlu dilihat dari kaca mata yang sentiasa berbeza. Dan sebagusnya kita perlu lihat perkara itu daripada sudut positif. Barulah ia kreatif. Tanpa mencari makna baru terhadap apa yang dilakukan, kita akan terikat dengan suasana yang tidak berubah.

Hidup akan jadi bosan jika kita asyik lihat apa yang tersurat, tetapi bukan yang tersirat. Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved