Khamis, 22 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Peluang terakhir untuk puasa enam

Posted: 21 Sep 2011 05:00 PM PDT

HARI ini 24 Syawal 1432, atau hari raya ke-24. Bagi mereka yang belum sempat melakukan puasa enam walau sehari pun, masih ada peluang sehingga raya terakhir Rabu depan 28 September, untuk mendapat ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Tetapi ada syarat: dalam masa enam hari dari sekarang pastikan anda tidak tergelincir walau sehari pun untuk melakukan puasa sunat Syawal. Ertinya, iman anda mesti ekstra kuat, tidak lut dengan sebarang dugaan.

Saya mengagumi kawan-kawan – terutama wanita – yang memulakan puasa sunat itu pada raya kedua, terus menerus hingga raya ketujuh. Bagi kaum Hawa mereka perlu menyegerakan amalan tersebut sebab bimbang akan datang hari dan musim semula jadi yang mengharamkan puasa.

Nasib baik kaum Adam, baik muda atau tua, tidak dilanda musim merah itu. Kalau tidak tentu semakin sukar orang lelaki hendak menggenapkan bilangan enam hari yang ganjarannya amat lumayan itu.

Tidak kira Adam atau Hawa patut sekali mereka dijadikan contoh sebab amalan puasa ketika raya baru bermula. Iman mereka kuat, nafsu mereka didisiplinkan ketat sekali. Kalau tidak mana mungkin mereka dapat mengawal selera ketika aroma rendang tok masih memenuhi setiap ruang.

Ada pandangan sesetengah pihak bahawa sekiranya ada tetamu berkunjung ke rumah pada hari raya, keutamaan ialah melayan tetamu tersebut. Kalau kita berpuasa enam, maka diberatkan berbuka untuk sama-sama makan minum dengan tetamu. Ertinya, meraikan tetamu lebih diutamakan dari puasa sunat.

Itulah yang setiap tahun saya jadikan alasan untuk tidak melakukan puasa di awal Aidilfitri. Nasib baik ada pandangan begitu, sekurang-kurangnya tidaklah saya berasa malu untuk menikmati ketupat, lemang, rendang, sate dan lain-lain makanan lazat yang dihidangkan secara mewah sepanjang tiga empat hari pertama Syawal.

Secara peribadi, sebenarnya lebih sukar melakukan puasa enam daripada puasa wajib 30 hari sepanjang Ramadan. Hakikatnya ialah bulan puasa semua orang tidak makan siang. Tidak ada roti canai, nasi kandar, kurma kambing, teh tarik atau sirap bandung. Sebab itu godaan tidak banyak.

Tetapi berpuasa di musim raya, terlalu banyak dugaan tekak. Tidak tergamak menahan selera pada ketika teman-teman sepejabat tidak habis-habis menghidangkan juadah raya secara 'pot luck'.

Di luar pejabat, dugaan tekak lebih hebat. Selain ketupat dan lemang sebagai pencabar tradisional, ada beraneka hidangan moden – sate rusa, kambing salai berempah, ayam tanduri, nasi beriani gam, sup ekor, roti bom, roti nan, popia, kek buah, pai apel, jus kurma, dan lain-lain – yang dihidangkan pada rumah-rumah terbuka.

Di Kuala Lumpur saya menerima dua atau tiga undangan rumah terbuka setiap hari daripada kementerian dan agensi kerajaan, syarikat-syarikat korporat dan kawan-kawan. Pada Sabtu dan Ahad sentiasa ada undangan rumah terbuka dari pagi hingga lewat malam.

Itu tidak termasuk undangan ke majlis dan keramaian lain yang turut diadakan pada musim raya, seperti kenduri kahwin, majlis bertunang, tahlil orang pergi Mekah, doa selamat anak hendak ke luar negara, kekah kambing cucu genap tujuh hari, dan lain-lain acara makan yang semuanya diadakan pada waktu siang.

Dalam waktu yang sama ada juga 'geng' yang setelah sebulan menahan selera, kini berhasrat untuk melepas gian, dan mempelawa makan nasi kandar kari kepala ikan bawal di Jalan Tunku Abdul Rahman. Maka serta-merta tawaran tersebut diterima tanpa banyak soal.

Sama ada undangan rumah terbuka, kenduri kahwin, atau tawaran nasi kandar, semuanya dipenuhi atas semangat hendak menjaga hati kawan, dan itu dengan sendirinya mempersulit untuk melakukan puasa enam.

Dalam keadaan yang serba mencabar itu, saya berjaya melakukan empat hari puasa sunat Syawal, tinggal lagi dua hari. Sepatutnya tinggal sehari, kalau tidak kerana lepat pisang yang dihidangkan dalam satu mesyuarat pagi semalam.

Tipisnya iman! Begitu pun saya mencuba sedaya upaya untuk tidak berbuka, daun pembungkus lepat itu kelihatan begitu menawan. Kalau pembungkus sudah menawan, isinya tentu 100 kali lebih menawan. Maka puasa saya kekal empat hari.

Harap-harap hari ini, dan esok tidak ada cendol, karipap sardin atau rojak mamak yang cuba menggoda. Sebab saya berazam tahun ini jumlah sunat enam hari itu hendak disempurnakan sebelum hujung Syawal, Insya-Allah.

ISA: Kenangan silam dan masa depan

Posted: 21 Sep 2011 05:00 PM PDT

Kenalan lama yang juga seorang penulis tidak segan silu mengandaikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA ibarat golekan bola ke pintu gol pembangkang. Sebaik bola yang disepak hampir melintasi garisan gawang lawan, penjaga gol sudah pun terkapai-kapai memberikan isyarat 'tewas'.

Sepakan ke gawang gol pada minit-minit terakhir oleh ketua pasukan, Datuk Seri Najib Razak menjelang perlawanan akhir piala PRU edisi ke-13 sudah menampakkan petanda jelas betapa kemenangan akan, tanpa diragui, memihak kepada Perdana Menteri dan pasukannya, Barisan Nasional.

Biar apa pun yang difikir dan diulas, kenalan ini yang kadangkala menyokong pihak lawan seperti sesetengah rakyat Malaysia lain menerima berita pemansuhan ISA ini sebagai satu berita baik.

Ia adalah satu kejutan. Tak ada sesiapa yang dapat meramalkan, tak ada pihak yang menjangka dan tidak mustahil pemimpin Bersih yang pernah satu ketika dahulu menganjurkan perhimpunan haram bermodalkan penghapusan ISA ini juga menggerakkan kening mereka ke atas sebaik mendengar kenyataan yang boleh ditafsirkan 'buah cempedak menjadi nangka'.

Bagi mereka selagi ISA wujud, maka selagi itulah ia kekal menjadi agenda utama mereka dalam usaha menghasut rakyat dan sekali gus mengambil peranan sebagai tukang sorak pembangkang.

Keberanian Najib dilihat sebagai watak baru, dan malah bersifat 'transformatif' sejak memikul tanggungjawab sebagai teraju utama negara. Perbandingan segera dibuat sekiranya tokoh terdahulu juga seberani Najib. Lalu ada yang berani bertaruh bahawa keberanian Najib adalah kerana keikhlasannya mahu menjadi ubat kepada permasalahan rakyat dan bukannya menjadi kacang hantu politik.

Memang terlalu awal untuk sesiapa saja berjenaka ataupun menjulang piala kemenangan namun pengumuman itu sudah cukup memberi kesan. Impaknya tentulah kepada pembangkang yang ibarat kehilangan modal untuk menjinakkan hati rakyat.

Kalau selama ini, mereka menjaja isu ini macam jual ikan di pasar, kini si ikan seolah-olah telah melompat kembali ke dalam laut. Apa yang tinggal untuk dimakan ialah ikan lama yang telah dikeringkan atau dijadikan pekasam dan tidak ketinggalan budu (dibaca modal lama yang sering dikitar semula).

Pemansuhan ISA yang digubal pada tahun 1948 serta melalui beberapa pindaan dalam tempoh 60 tahun memperlihatkan kesungguhan kerajaan mendahulukan rakyat. Atau dengan kata lain, Najib membuka telinga mendengar rintihan rakyat. Aduan mereka walaupun kadangkala cuba ditutup oleh pihak tertentu namun seperti kata pepatah 'sekilas ikan sudah diketahui jantan betina', tapi bukannya ikan lompat-lompat pembangkang.

Pembangkang melihatnya sebagai perjuangan mereka berhasil. Sambil tidak menafikan sedikit sebanyak perjuangan menentang ISA, secara kebetulan, membuahkan hasil, perjuangan rakyat secara demokratik melalui pintu rundingan, usul dari Umno di peringkat akar umbi serta buah fikiran para cendikiawan di pusat-pusat pengajian tinggi harus diberi puji-pujian.

ISA banyak merakamkan sejarah pahit maung kepada golongan wartawan dan penulis, termasuk penerbit. Jika hendak diperhaluskan, ia memerlukan kajian berkajang-kajang dan senarai berjela mereka yang menjadi penghuni kem tahanan Kamunting, Perak sejak undang-undang tersebut diperkenalkan.

Allahyarham Halim Mahmood, pengarang akhbar Watan meringkuk lama dalam tahanan kerana dituduh bersubahat dengan anasir komunis. Tuduhan itu tentulah melucukan kerana Halim adalah wartawan dan penulis yang kebetulan menyokong Tengku Razaleigh Hamzah ketika berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1981. Tun Musa Hitam yang memenangi jawatan itu dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam negeri. ISA adalah di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri. Selain daripada Halim, pemilik Pustaka Antara, Datuk Aziz Ahmad, sahabat baik Tunku Abdul Rahman dan penyokong kuat Umno sejak tahun 1940-an lagi, juga di ISA. Datuk Aziz ialah penerbit akhbar Watan ketika itu.

Ketika mereka ditahan, saya sedang menuntut di Amerika Syarikat. Wartawan Utusan Malaysia, Rosli Ismail (kini pemilik Agenda Daily) menelefon meminta saya tidak balik kerana katanya," Tadi King Ghaz cakap, kalau hang balik kerajaan nak tangkap hang." King Ghaz atau Tan Sri Ghazali Shafie adalah Menteri Dalam Negeri ketika itu. Berita itu tentu menakutkan dan untuk rekod bagi tempoh masa tertentu, fikiran saya terganggu dengan berita berkenaan.

Itu waktu saya menjadi wartawan. Kemudian apabila menjadi penerbit akhbar Mingguan Waktu (dan beberapa penerbitan lain), lesen penerbitan ditamatkan KDN secara mendadak. Kes kami bunyi macam filem wayang. Tajuk isu pertama 'Mahathir Diktator' akhbar Mingguan Waktu itu telah mengundang kemarahan bukan kepalang Majlis Tertinggi Umno. Perbincangan yang dipengerusikan Tun Mahathir seperti memberi signal. Beberapa hari kemudian DS Anwar Ibrahim memanggil saya ke rumah mengenai perkara ini, keesokannya kami menerima surat rasmi KDN berhubung penarikan balik permit Mingguan Waktu.

Bagi penerbit akhbar, mereka boleh jatuh muflis jika permit akhbar dimatikan. Kes-kes begini banyak, dan tidak ada pihak tertentu, sama ada pemimpin Umno apatah lagi pembangkang tampil memberi ganti rugi. Risikonya kamilah tanggung tapi jika media kami mengkritik kerajaan, puak Umno melenting. Kalau puji sikit pun pembangkang atau melaporkan berita, atau tidak menyiarkan berita mengenai mereka, kami juga kena gasak. Belok ikut mana sekalipun yang menanggung rugi ialah penerbit.

Dalam konteks inilah saya kagum dengan penerbit tersohor Datuk Hussamuddin Yaacub (pemilik empayar Karangkraf) kerana "keberanian" menjadi penerbit bebas seperti kata orang "without fear or favour". Risikonya ditanggung tapi lebih besar risikonya, lebih besar pula untungnya. Lantas jika beliau kini menghampiri imej Rupert Murdock di London, ia ada asasnya dan kehebatan membina empayar Karangkraf dalam masa tidak sampai empat dekad.

Justeru kami sering dipesan, perniagaan selaku penerbit akhbar usahlah menjadi keutamaan. Allahyarham Tan Sri Khir Johari (pemilik asal akhbar Watan) dipetik berpesan tentang risiko menjadi penerbit akhbar. Pesanan beliau tentulah berdasarkan kawalan penerbitan yang termaktub dalam ISA dan perniagaan itu sendiri.

Justeru hari ini wartawan, penerbit dan penulis boleh bersyukur dengan keputusan kerajaan memansuhkan ISA dan memansuhkan keperluan memohon untuk memperbaharui permit penerbitan berkala setiap tahun.

Harus diakui, penerbit, wartawan dan penulis sering kecut perut apabila dipanggil pihak KDN. Sebab itu Menteri Dalam Negeri sering dilihat lebih berpengaruh dan berkuasa daripada Perdana Menteri. Zamannya King Ghaz nampak lebih berpengaruh daripada Perdana Menteri, kerana sebagai penjaga permit media dan ISA, kementeriannya berkuasa membatal atau menahan seseorang di bawah ISA. Malah bukanlah gurauan Perdana Menteri pun boleh dimasukkan ke ISA kerana kuasanya berada dalam tangan Menteri Dalam Negeri.

Beberapa minggu lalu saya terbabit dalam perbualan dengan kawan-kawan yang melibatkan diri dalam dunia penulisan. Salah satu topik perbualan ialah sikap kerajaan dalam bidang ini, khususnya melibatkan golongan penulis/wartawan. Tokoh akademik, Datuk Ramlah Adam dipetik memberitahu audiens di Ipoh, "penulis di Malaysia bukan boleh jadi kaya."

Tetapi mereka terlupa sumbangan penulis lebih bermakna jika dibandingkan sumbangan Jamal Abdillah atau Siti Nurhaliza. Tetapi walaupun banyak buku mengenai negara dan ahli politik di pasaran, jualannya tak seberapa. Menteri-menteri pun buat tak tahu sahaja, seperti kata Pak Habib (S H Alattas), nak tunggu menteri belanja secawan kopi pun payah. Maka tak hairan jika penulis lebih gemar menghentam kerajaan kerana buku begini boleh laris sehingga mencecah ratusan ribu naskhah. Justeru pada era pasca ISA, kerajaan perlu mengkaji semula kedudukan penulis tempatan supaya jangan sampai lebih ramai yang menghentam daripada menyokong kerajaan.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved