Selasa, 20 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Malaysia yang lebih terbuka

Posted: 19 Sep 2011 05:00 PM PDT

Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak telah mengejutkan seluruh negara di ambang sambutan Hari Malaysia dengan menjadikan kebebasan sivil sebagai satu inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN), Pengumuman untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan (PPPA) telah berjaya 'mencuri' isu yang selama ini diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat ( PR).

Degan berbuat demikian, Perdana Menteri Najib telah berjaya menunjukkan bahawa Umno mampu memperbaharui dirinya. Sebenarnya, di dalam Umno itu sendiri mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza dari pemimpin seperti Saifuddin Abdullah ke Puad Zakarshi. Namun demikian, dalam menghadapi krisis kepercayaan, Umno masih mempunyai kekuatan untuk bangkit, merubah dirinya dan bergerak yakin dalam ruang politik baru.

Langkah transformasi politik Perdana Menteri Najib ini memastikan Umno kembali ke tengah spektrum politik yang moderat. Alhamdulillah! Rakyat negara ini mampu menarik nafas lega. Namun demikian, banyak tugasan yang perlu dipikul dalam melangkah ke depan.

Pertama sekali, PM Najib perlu bekerja keras dan pantas untuk meminda dan menggantikan undang-undang lama ini. Beliau harus membuktikan bahawa beliau mampu untuk mengimplementasikan perubahan berani . PM Najib juga perlu mengawal kelompok haluan kanan dalam parti Umno supaya mereka tidak menyengat.

Justeru, walaupun langkah berani berubah ini harus dipuji, rakyat Malaysia masih harus berjuang untuk terus memastikan perubahan terus berlaku kepada sistem di negara kita. Sebagai seorang penulis, saya sering memikirkan apakah nasib dan halatuju media Malaysia. Sebagai sebuah negara demokrasi, media seharusnya lebih bebas dan independen tetapi PPPA telah berjaya menghambat kemajuan ini.

Sebelum kita bersorak gembira dengan pengumuman transformasi politik PM Najib, rakyat perlu diberi lebih banyak maklumat terperinci dan spesifik berkenaan perubahan ini sebelum kita boleh menilai baik buruknya.

Namun demikian, saya masih berpendapat bahawa akhbar tidak perlu sama sekali dilesenkan.

Kedua, akses dan kepemilikan media juga perlu lebih terbuka. Saya berpendapat bahawa untuk melangkah maju, semua sudut debat politik harus diberitakan secara adil. Rakyat Malaysia hanya boleh membuat keputusan terhadap masa depan mereka (dan siapa untuk diundi) jika mereka diberi informasi yang lengkap.

Tambahan pula, liputan tanpa-henti yang diberikan kepada semua pemimpin BN sahaja merupakan sesuatu yang menjelikkan. Haruskah pesanan Hari Raya PM Najib dimainkan berulang kali selama 30 hari bulan Syawal?

Situasi ini- mengakibatkan ahli politik BN menjadi malas dan tidak menghormati mereka di bidang kewartawanan dan juga sidang redaksi. Kerajaan seharusnya belajar untuk menerima kritikan dan menerima pandangan. Ini sudah tentunya akan menyeimbangkan padang politik dan mengasah saf kepimpinan BN untuk berfikir.

PAP di Singapura telah membuka ruang medianya ketika pilihan raya Parlimen dan Presiden yang lepas. Walaupun parti pembangkang memenangi 40 peratus undi popular, parti pemerintah masih menang kerana rakyat Singapura melihat calon-calon yang bertanding dengan terbuka dan merasakan lebih selamat dengan PAP.

Malaysia juga boleh dan harus melangkah ke realiti baru ini.

Sudah tiba masanya, Perdana Menteri Najib berdebat dengan Anwar Ibrahim secara terbuka di kaca tv menjelang pilihan raya yang akan datang. Biar rakyat melihat siapa yang mempunyai visi yang lebih baik untuk Malaysia. BN perlu menunjukkan bahawa mereka yakin dan berani. Yakin mempertahankan rekod pemerintahan dan berani bersemuka dengan lawan.

Ahli politik harus sedar bahawa komunikasi dan pendedahan kepada media itu resipi kejayaan, Mereka yang tidak mengendahkan tren ini, harus digugurkan dari saf kepimpinan BN. Mereka juga perlu ingat bahawa wartawan itu pemilik berkepentingan dalam masyarakat: bukannya orang upahan untuk mengagungkan pemimpin. Hormati wartawan dan pulangannya pasti lumayan.

Sudah tiba media arus perdana di Malaysia memperkentalkan diri mereka. Dengan angin transformasi di bawa PM Najib: tiada alasan yang boleh diberikan kepada media untuk tidak kritikal dan memberikan analisis mendalam- menepati cita rasa pembaca Malaysia. Bolehkah media arus perdana bangkit menyahut cabaran zaman digital yang menginginkan kebertanggungjawaban, keobjektifan dan ketelusan?

PM Najib telah membuka pintu baru untuk Malaysia: apakah kita sudah bersedia untuk melangkah masuk?

Budaya ‘syok sendiri’ dan kepalsuan

Posted: 19 Sep 2011 05:00 PM PDT

Orang politik mudah leka dan bersikap 'syok sendiri' bila menguasai tampuk pemerintahan. Itu akibatnya kerana kelekaan itu akan terus menghakis ketabahan dan kegigihan seseorang individu atau sesebuah parti politik itu sehingga kemungkinan tumbang akhirnya.

Tetapi tidak sangka pula, gejala itu turut menggodai mereka yang kehilangan kuasa dan tampuk pemerintahan dalam persada politik. Dalam keadaan sedemikian, kelekaan yang timbul bukanlah kerana keangkuhan tetapi semata-mata berpunca dari terdesaknya mencari ketenteraman jiwa dan seterusnya keyakinan dalam diri mereka, bahkan kalangan anak buahnya. Walhal, kepada pucuk pimpinan atasan pula, orang yang beramalan leka juga perlu menonjolkan sesuatu yang positif untuk meraih kepercayaan mereka.

Kelekaan yang timbul dalam keadaan sebegini lazimnya dilahirkan daripada keinginan untuk berbohong, baik kepada diri sendiri, mahupun kepada pengikut dan pemimpin atasannya. Berbohong kepada lain kerana tidak ingin kehilangan kepercayaan mereka terhadap peranan sendiri dalam parti; sedangkan kesanggupan membohongi diri adalah semata-mata hendak membendung patahnya semangat sendiri.

Namun demikian, sifat 'syok sendiri' itu tetap tidak membina. Ia tidak sekali-kali dapat merangsang mana-mana individu atau parti yang tertewas agar bangkit semula. Sebaliknya, pihak terjebak dengan sifat itu akan lebih ghairah mengejar kepalsuan dalam perjuangan politiknya.

Dalam perspektif ini, sering kali kelihatan pihak yang ghairah mengusahakan pelbagai program tetapi jarang-jarang peka terhadap keberkesanan dan impaknya. Program-program yang mereka anjurkan pun banyak hanya melibatkan pengikut setia mereka sahaja. Ramai dalam kalangan mereka ini makin kehilangan keyakinan diri atas tahap penerimaan rakyat terhadap mereka. Sebenarnya, sifat "self-withdrawal" yang dimaksudkan itulah yang betul-betul menghalang kebangkitan semula individu atau parti yang berkenaan.

Pada masa sama, kepalsuan khasnya dalam bentuk maklum balas untuk penelitian pemimpin atasan dijangka memberikan kesan yang tidak kurang hebatnya. Pemimpin atasan yang biasa membuat keputusan atas maklum balas yang sebegini sudah tentu akan rasa terpedaya tetapi kesedaran yang terlambat itu sudah cukup impaknya untuk mengganggu-gugat kelangsungan sesebuah parti.

Setiap kali menjelangnya pilihan raya umum, keadaan seperti ini semakin terserlah. Ramai pemimpin akar umbi yang berebut-rebut dan berikhtiar untuk cuba meyakinkan pemimpin atasan bahawa kawasan yang dia minat hendak bertanding itu berpeluang cerah untuk meraih kemenangan. Maka banyaklah program tiba-tiba diusahakan, tetapi pengaruhnya tetap tidak dirasai rakyat. Kehadiran yang diuar-uarkan itu pun banyaknya sengaja dilipat-gandakan semata-mata untuk mengambil hati pemimpin atasan.

Biarpun muslihat sedemikian adakalanya mungkin berjaya tetapi pada realitinya, sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kerusi Parlimen yang 'gelap' dari segi peluang kemenangannya tetap mustahil menjadi cerah tanpa sebarang usaha.

Sebenarnya pembohongan yang berupa "syok sendiri" itu bukan sekadar membohongi pemimpin atasan yang menentukan calon parti untuk bertanding dalam pilihan raya, bahkan seluruh jentera pilihan raya sesebuah parti di kawasan yang berkenaan pun mudah turut dikaburi matanya.

Sebaliknya dalam keadaan yang mendahagakan peluang untuk bangkit semula, individu atau parti yang terlibat perlulah bertungkus-lumus untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap diri mereka.

Dalam hubungan ini, yang menjadi tumpuan keprihatinan rakyat tidaklah lagi berkisar kepada kemeriahan majlis untuk menyambut tetamu VVIP, tetapi lebih tertumpu kepada iltizam dan tindakan pihak yang berkenaan dalam usaha menangani rintihan rakyat. Iltizam itu bukanlah sekadar janji atau retorik, kerana itu sikap sedemikian sememangnya tidak mendapat tempat dalam hati rakyat sekarang. Sedangkan tindakan yang bersifat "melepaskan batuk atas tangga" pun bukan saja tidak membantu, malahan akan makin menghakis keyakinan rakyat lagi.

Selagi takuk minda orang politik, khasnya mereka yang ingin sangat bangkit semula dari ketewasan lepas masih di takuk lama, maka selama itulah kepercayaan rakyat payah dikembalikan. Peralihan minda itu merupakan satu-satunya asas yang sememangnya tidak boleh diganti dengan laungan kosong semata-mata.

*Penulis merupakan Ahli Parlimen Pandan dan mantan Presiden MCA.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved