Rabu, 21 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Isteri jurufoto Sinar Harian terima RM68,960

Posted: 20 Sep 2011 05:00 PM PDT

Isteri jurufoto Sinar Harian terima RM68,960 SHAH ALAM – "Arwah selalu pesan beri keutamaan pendidikan anak-anak," kata Nor Asiah Mohd Noor, isteri kepada jurufoto Sinar Harian, Abdul Latiff Zakaria, yang meninggal dunia pada 5 Julai lalu.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada bekas majikan suaminya, Kumpulan Media Karangkraf, berjumlah RM68,960 yang disampaikan Pengarah Urusan, Datuk Hussamuddin Yaacub di sini semalam.

Noor Asiah berkata, wang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk persekolahan anak-anaknya.

"Saya begitu terharu dan bersyukur atas sumbangan itu. Kami amat memerlukannya," kata Nor Asiah, yang mengambil upah menjahit baju bagi menyara hidup setelah kematian suami.

Dua hari sebelum Aidilfitri lalu (28 Ogos), syarikat memberi RM10,000 kepada keluarga Abdul Latiff, disampaikan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Mohd Nasir Hamzah.

Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Sumber Manusia Kumpulan Media Karangkraf, Ahmad Nazri Mohd Nor berkata, sumbangan diberikan syarikat itu bagi membantu meringankan beban keluarga arwah dari segi pendidikan, keperluan asas dan lain-lain.

Syarikat juga sudah berjaya memproses pencen Pertubuhan keselamatan Sosial (Perkeso), untuk keluarga arwah.

"Malah, Datuk Hussamuddin turut mengingatkan keluarga arwah agar tidak putuskan hubungan dengan syarikat dan kita akan memantau dari semasa ke semasa, memandangkan anak- anak arwah masih kecil lagi," katanya.

Abdul Latif meninggal dunia setelah mengalami sesak nafas di rumah sewanya di sini selepas beberapa hari ditukarkan dari Kelantan ke ibu pejabat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak.

'Pas Kelantan tidak bersalah'

Posted: 20 Sep 2011 05:00 PM PDT

'Pas Kelantan tidak bersalah' KOTA BHARU – Pas Kelantan tidak bersalah jika gagal melaksanakan hukum hudud seperti yang dikehendaki sejak 1993 kerana suasana kondusif masih tidak mencukupi selain kuasa Kerajaan Negeri yang terhad.

Sehubungan dengan itu, Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) menyarankan kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggiatkan kempen kebaikan undang-undang Islam itu terlebih dahulu bagi mengelak tanggapan negatif masyarakat khususnya bukan Islam.

"Kerajaan Negeri tiada kuasa penuh untuk laksanakan hukum ini.

"Jika dibuat ia akan terdedah kepada eksploitasi dan ini bahaya. Bagi saya Kelantan elok kempenkan keindahan hudud itu dahulu, tidak payah fikir dan buat hudud kerana melaksanakannya bukan bidang kuasa Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja "Hudud suatu Perbincangan Tanggapan, Suasana dan Keberkesanan" di seminar Undang-Undang Syariah Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Hududullah Kelantan yang dirasmikan Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, jika Pas Kelantan tidak melaksanakan hudud ia tidak melanggar syariat Islam kerana undang-undang itu gagal dibuat disebabkan suasana negeri itu yang tidak kondusif.

"Saya faham perasaan bimbang Menteri Besar Kelantan sebagai pemerintah untuk laksanakan hudud kerana beliau takut disoal Allah kelak, tetapi kuasa Kerajaan Negeri terhad dan ia ditentukan Kerajaan Pusat.

"Jika tidak laksanakan hudud, beliau tidak melanggar syariat Islam kerana faktor-faktor itu. Dalam isu ini ia harus dilihat dalam kerangka lebih luas," katanya.

Menurutnya, hukum hudud memerlukan ijtihad-ijtihad baru sebelum dilaksanakan kerana keadaan masyarakat majmuk di negara ini menyebabkan ia tidak boleh terikat dengan teks lama.

Dalam usaha itu, katanya, kerajaan perlu mempromosikan aspek keadilan dalam pemerintahan, kebajikan rakyat, kesaksamaan dan sebagainya secara habis-habisan supaya masyarakat benar-benar memahami syariat Islam itu.

Dr Asri berkata, Malaysia tidak kondusif melaksanakan hukum hudud setakat ini tetapi usaha ke arah itu perlu dilakukan supaya masyarakat bukan Islam dan antarabangsa mendapat gambaran jelas mengenai hukum berkenaan.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved