Selasa, 27 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Atasi kebimbangan rakyat

Posted: 26 Sep 2011 05:00 PM PDT

Atasi kebimbangan rakyat KUALA LUMPUR - Setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, kerajaan kini perlu menumpukan kepada mekanismenangani kesannya dan kebimbangan terhadap keupayaan kerajaan menangani dan mengurus hal ehwal keselamatan negara.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin berkata, walaupun undang-undang dan peraturan ini dimansuhkan, kesannya tetap dirasakan semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan perlu berupaya meyakinkan rakyat bahawa ia mampu mewujudkan keseimbangan di antara memberikan ruang kebebasan dan hak asasi yang meluas dan dalam masa sama berupaya mengurus keselamatan negara.

"Nilai 'psyche' dan kerangka minda legasi pertembungan ideologi komunis-liberal era Perang Dingin yang sekian lama mendasari dan terangkum secara mendalam.

"Ditambah pula dengan pemikiran politik yang bersifat perkauman masih wujud di Malaysia harus ditangani secara bijaksana bagi mengelakkan hasrat mewujudkan demokrasi matang yang progresif di Malaysia tidak terbantut," katanya.

Beliau berkata, kefahaman rakyat tidak harus dibataskan kepada konsep keselamatan semata-mata dengan melihat ancaman bersifat ketenteraan sebagai satu-satunya ancaman di negara ini.

"Isu-isu keselamatan juga meliputi pelbagai ancaman lain seperti keganasan antarabangsa, pemerdagangan manusia dan dadah, ancaman konflik etnik, keselamatan makanan, krisis tenaga dan air dunia, epidemik penyakit, bencana alam berskala besar dan sebagainya kini merupakan aspek-aspek keselamatan yang tidak kurang pentingnya, malah kadangkala lebih menggugat keselamatan negara," katanya.

Oleh itu, MPN mencadangkan agar diwujudkan penyelidikan dan pembangunan sosial, untuk melengkapi penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi yang sedia ada.

"Rasionalnya ialah perpaduan yang Malaysia idamkan masih belum wujud. Yang wujud adalah 'kesepaduan sosial' iaitu suatu keadaan aman dan stabil yang terhasil daripada perundingan, tolak ansur dan rasa muhibah antara etnik yang berlaku berterusan. Tetapi tak semuanya manis dan harmonis, kadang kala berlaku konflik," katanya.

Beliau berkata, perpaduan di Malaysia adalah berbentuk 'work-in-progress' di mana melalui penyelidikan dan pembangunan sosial boleh memantau paras kesepaduan sosial dengan tujuan akhirnya untuk mewujudkan perpaduan.

"Kita perlu nanti menentukan apakah sebilangan teras penyelidikan dan pembangunan sosial itu, jumlah dana diperlukan dan sistem pelaksanaannya, iaitu, dari segi agihan dan penilaian rapi supaya kesan hasilnya dapat membantu memastikan keadaan aman dan stabil berterusan sekali gus membina daya ketahanan masyarakat," katanya.

Shamsul Amri berkata, produk daripada penyelidikan dan pembangunan sosial ini adalah dalam bentuk maklumat, ilmu pengetahuan dan analisis yang boleh membantu kita membangun satu sistem amaran awal sekali gus sistem :'sprinkler sosial' :untuk negara bersiap-sedia berhadapan dengan sebarang cabaran terhadap kesepaduan, keamanan dan kestabilan negara.

Beliau berkata, ISA diwujudkan berlatarbelakangkan era Perang Dingin yang menyaksikan pertembungan ideologi komunis dan demokrasi liberal.

"ISA juga di sepanjang sejarah kewujudannya digunakan untuk mengekang anasir subversif, ekstremis agama dan kaum serta terdapat juga sejumlah kes di mana ia turut digunakan untuk ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan tertentu atas pelbagai alasan yang berkait dengan ancaman keselamatan Negara

"Pelaksanaan ISA dan kewujudan beberapa undang-undang yang mengekang kebebasan awam juga sering menyebabkan demokrasi di Malaysia menerima pelbagai kecaman dan kritikan hebat, sekali gus mencacatkan imej demokrasi dan merencatkan perkembangannya di negara ini," katanya.

Katanya, langkah Perdana Menteri memansuhkan ISA dan beberapa akta lain yang mengekang kebebasan asasi sebagai tepat dan kena pada masanya bersesuaian dengan peredaran masa dan hasrat mewujudkan sebuah negara demokrasi yang matang dan progresif.

Peluang wanita cipta kejayaan

Posted: 26 Sep 2011 05:00 PM PDT

Peluang wanita cipta kejayaan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyampaian Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita dan Anugerah Perdana Menteri Penggiat Sosial Wanita 2011 yang diperkenalkan buat julung kali tahun ini akan menjadi titik permulaan untuk melahirkan lebih ramai ikon wanita dalam kedua-dua bidang berkenaan.

Perdana Menteri berkata, selain memberi pengiktirafan kepada ikon wanita berjaya, penyampaian kedua-dua anugerah itu juga diharap dapat merangsang lebih ramai kaum wanita untuk berusaha gigih dan mencapai kejayaan seumpamanya.

"Saya fikir kalau ada majlis sebegini yang boleh mengiktiraf tokoh ikonik yang berjaya sebagai usahawan dan pengiat sosial akan juga dapat merangsang lebih ramai wanita untuk berfikir 'kalau mereka boleh lakukannya kenapa tidak saya?'

"Itu semangat yang mahu kita lihat melalui anugerah ini," katanya sempena majlis penyampaian Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita dan Anugerah Perdana Menteri Penggiat Sosial Wanita 2011 di sini semalam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pem�bangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur serta Pengerusi Yayasan Sime Darby Tun Musa Hitam.

Pada majlis itu, pengasas syarikat Ken-Rich Chemical Production Sdn Bhd, syarikat pengilang peralatan kimia, Hooi Lai Lin dinobat sebagai penerima Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita 2011 manakala Presiden Rumah Amal Cheshire Datin Paduka Khatijah Sulaiman@Sulieman memenangi Anugerah Perdana Menteri Penggiat Sosial Wanita 2011.

Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi kristal serta seutas jam tangan setiap seorang.

Hooi juga mendapat tajaan penyertaan dalam program pembangunan pengeksport wanita anjuran Matrade dan Khatijah pula mendapat penajaan daripada Tabung Khas Perben�daharaan selama dua tahun bagi menjalankan program atau aktiviti sosial.

Perdana Menteri berkata, peranan kaum wanita kini sudah bergerak jauh daripada ruang lingkup sebagai ibu dan isteri kepada menjadi pengerak sosial dan aktivis politik.

Katanya, mereka kini berada dalam fasa di mana kedudukan mereka semakin tinggi dan telah berjaya melangkah ke dalam arus perdana.

Oleh itu, kata Najib sudah sampai masa untuk kaum wanita di negara ini diberikan peluang dan dorongan yang lebih kuat untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.

"Ini penting untuk memperkasakan wanita sebanyak yang mungkin," katanya.

Najib berkata, wanita Malaysia bernasib baik kerana tidak pernah berdepan dengan tekanan untuk memperjuangkan hak asasi mereka seperti mana yang berlaku di negara-negara lain termasuk negara maju.

Mengakui bangga dengan pencapaian yang ditempa kaum wanita negara ini, Perdana Menteri berharap usaha mereka tidak terhenti kerana kerajaan sentiasa menyokong mereka.

Katanya, sasaran kerajaan untuk meletakkan 30 peratus wanita dalam bidang korporat tidak sepatutnya dijadikan isu.

"Ini bukan kuota tetapi sasaran... kita bagi tempat berdasarkan merit. Jika tidak saya rasa wanita pun tidak akan terima jika tidak berdasarkan merit," katanya.

Lebih penting, kata Perdana Menteri wanita perlu dilihat sebagai rakan dalam perjalanan untuk mentransformasikan Malaysia.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved