Rabu, 14 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Malaysia cadang 2 projek di Brunei

Posted: 13 Sep 2011 05:00 PM PDT

Malaysia cadang 2 projek di Brunei Malaysia bercadang membangunkan dua projek berkaitan minyak dan gas di Brunei, yang dijangka dapat memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, selain mewujudkan peluang pekerjaan.

Bagi projek pertama, Petronas bercadang membina sebuah kompleks petrokimia di Brunei bersama syarikat BASF di Pulau Muara Besar, dan projek itu dijangka membabitkan pelaburan kira-kira USD1.6 bilion.

Projek kedua membabitkan cadangan memajukan sebuah limbungan fabrikasi di Brun:ei oleh Petronas menerusi anak syarikatnya Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua cadangan itu telah dimaklumkan kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada pertemuan mereka semalam dan jika mendapat persetujuan Brunei, cadangan itu akan menjadi kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua projek itu akan memberi kesan positif terhadap kedua-dua negara, terutama peluang pekerjaan.

"Ia sekali gus membuktikan cadangan yang kami putuskan di peringkat tertinggi antara kedua-dua negara dapat dimanfaatkan.

"Kita perlukan persetujuan Brunei dan penyertaan mereka dari segi ekuiti dalam kedua-dua projek," katanya pada akhir lawatannya sempena rundingan tahunan bersama Sultan Brunei, di Bandar Seri Begawan, semalam.

Perdana Menteri berkata, projek kompleks petrokimia itu dijangka mewujudkan kira-kira 650 peluang pekerjaan, dengannya produknya untuk pasaran eksport.

Sementara itu, Najib berkata, bagi blok CA1 dan CA2 yang diserahkan kepada Petronas untuk melakukan kerja cari gali, Petronas dijangka melakukan kerja-kerja penggerudian di kawasan CA2 semalam.

Isu kedua-dua blok minyak itu pernah mencetuskan kontroversi tahun lalu, apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sebab kedua-dua blok itu bukan lagi milik Malaysia dan ia boleh mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian sekurang-kurangnya USD100 bilion.

Dr Mahathir mendakwa penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.

Bagaimanapun Petronas berkata, syarikat minyak nasional itu dipelawa Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir yang sebelum ini ditandakan sebagai Blok L dan M atas dasar persetujuan komersil.

Sementara itu, Najib berkata, beliau turut berbincang mengenai peluang pelaburan Brunei dalam bidang pelancongan di Sabah dan penjanaan tenaga hidro di Sarawak.

"Ini sedang dikaji Brunei untuk menentukan kemungkinan mereka menyertai projek penjanaan hidro elektrik untuk keperluan Sarawak dan Brunei," katanya.

Dalam bidang kewangan, khususnya perbankan Islam, Najib berkata, beliau telah menyampaikan hasrat Malaysia kepada Sultan Hassanal Bolkiah supaya Brunei terlibat dalam bidang itu di Malaysia, dan secara prinsipnya Brunei menunjukkan minat bekerjasama dalam bidang perbankan Islam.

"Butiran lanjut akan diumumkan kemudian. Pihak Brunei melihat kemungkinan terlibat dalam pembangunan perbankan Islam di Malaysia memandangkan Malaysia diperakui sebagai pusat perbankan Islam dunia," katanya. - Bernama

Pengendali kontena tempoh Januari-Julai meningkat

Posted: 13 Sep 2011 05:00 PM PDT

Pengendali kontena tempoh Januari-Julai meningkat Pengendalian kontena di pelabuhan di seluruh negara dilaporkan mencatat peningkatan 9.4 peratus sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, 11.6 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) dikendalikan oleh pelabuhan di seluruh negara antara Januari dan Julai lalu, berbanding 10.6 juta TEU dalam tempoh sama tahun lalu.

"Ini merupakan prestasi membanggakan, seiring dengan kenaikan dari segi pengendalian kontena dan kargo," katanya dalam satu kenyataan.

Pelabuhan Klang mencatatkan pertumbuhan 8.0 peratus kendalian kontena iaitu daripada 5.1 juta TEU bagi Januari hingga Julai tahun lalu kepada 5.5 juta TEU bagi tempoh sama tahun ini.

Sementara itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas pula mencatatkan pertumbuhan 16.2 peratus kendalian kontena iaitu daripada 3.8 juta TEU bagi tempoh Januari hingga Julai tahun lalu kepada 4.3 juta TEU dalam tempoh sama tahun ini.

Cho Ha juga mengumumkan 1.8 juta TEU dikendalikan oleh pelabuhan di negara ini pada Julai lalu, atau peningkatan 7.3 peratus berbanding 1.7 juta TEU yang dikendalikan pada bulan sama tahun lalu.

Selain itu, pengendalian kargo juga menunjukkan prestasi yang menggalakkan dengan peningkatan sebanyak 31.5 juta tan atau 9.3 peratus kepada 371.1 juta tan berbanding 339.6 juta tan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved